Isnin, 22 Ogos 2016

#188 - CATATAN RINGKAS MALAYSIA DALAM TEMASYA SUKAN OLIMPIK


Temasya Sukan Olimpik merupakan temasya sukan yang teragung dan paling berprestij di dunia selain daripada Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia. Temasya yang diadakan selama empat tahun sekali ini bermula pada tahun 1896 di Athens, Greece. Temasya ini berjaya menarik penyertaan atlet-atlet terbaik dunia. Kebiasaannya, banyak rekod dunia yang tercipta dalam temasya tersebut.

Kontinjen Malaysia mula menyertai temasya Sukan Olimpik pada tahun 1956 di Melbourne. Negara kita yang masih bergelar Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu bertanding sebagai "Malaya" (MAL) dalam Sukan Olimpik 1956 dan 1960. Borneo Utara (kini Sabah) juga menghantar kontinjen mereka sendiri pada tahun 1956, sementara Singapura pula turut bertanding dalam temasya ini dari tahun 1948 hingga 1960. Apabila ketiga-tiga bekas tanah jajahan British ini membentuk Persekutuan Malaysia yang merdeka pada tahun 1963, kontinjen negara buat julung kalinya mengguna pakai nama "Malaysia" (MAS) pada Sukan Olimpik Tokyo 1964 sebelum Singapura memerdekakan diri daripada Malaysia pada tahun 1965, seterusnya bertanding sebagai "Singapura" (SIN) bermula Sukan Olimpik Mexico City 1968 hingga kini.

Semenjak tahun 1956, Malaysia sentiasa menghantar para atletnya ke setiap temasya Sukan Olimpik Musim Panas, kecuali pada tahun 1980 apabila negara kita telah menyertai gagasan pemulauan Sukan Olimpik Moscow 1980 bersama-sama 65 buah negara yang lain. Pada tahun tersebut, pasukan bola sepak Malaysia telah pun berjaya menempah tiket ke Sukan Olimpik 1980 buat kali kedua setelah mengalahkan Korea Selatan 2-1. Kali pertama pasukan bola sepak Malaysia layak ke Sukan Olimpik adalah pada tahun 1972. Boleh baca kisah lanjut mengenai pasukan bola sepak kebangsaan ketika itu di sini. Pemboikotan yang dikepalai oleh Amerika Syarikat ini adalah bagi menzahirkan protes terhadap pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan pada Disember 1979. Lantas, sebagai tanda "balas dendam", empat tahun berikutnya, Soviet Union (kini Russia) pula melancarkan boikot terhadap Sukan Olimpik Los Angeles 1984 bersama-sama 13 buah negara Blok Timur yang lain. Namun begitu, Malaysia tidak pernah menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk. Yalah, Malaysia mana ada musim sejuk, macam mana pula hendak bertanding, bukan?

Setelah begitu lama menyertai Sukan Olimpik, akhirnya Malaysia berjaya meraih pingat pertama pada temasya Sukan Olimpik Barcelona 1992. Itupun selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (OIC) memilih acara badminton sebagai salah satu sukan yang dipertandingkan bermula temasya Sukan Olimpik tersebut. Kisah lanjut mengenai sukan badminton Malaysia ke Sukan Olimpik boleh dibaca di sini. Pasangan beregu badminton negara yang juga pasangan adik beradik Razif Sidek dan Jalani Sidek berjaya membawa pulang sebutir pingat gangsa setelah tewas kepada pasangan beregu Korea Selatan, Kim Moon-soo dan Park Joo-bong pada peringkat separuh akhir. Empat tahun berikutnya di Atlanta, Malaysia sekali lagi berjaya membawa pulang pingat, kali ini menerusi pasangan beregu badminton Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock (pingat perak) dan pemain badminton perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek (pingat gangsa). Pasangan beregu badminton kita tewas kepada pasangan beregu dari Indonesia, Rexy Mainaky dan Ricky Subagja dalam perlawanan penentuan pingat emas. Rashid Sidek pula tewas kepada pemain China, Dong Jiong pada peringkat separuh akhir, namun berjaya mengalahkan pemain dari Indonesia, Hariyanto Arbi dalam perlawanan penentuan perak gangsa.

Selepas Sukan Olimpik Atlanta 1996, Malaysia mengalami kemarau pingat yang berpanjangan selama 12 tahun. Akhirnya, pada Sukan Olimpik Beijing 2008, Malaysia kembali bersinar dengan harapan pingat emas disandarkan ke atas pemain badminton perseorangan sensasi, Lee Chong Wei apabila berjaya mara ke perlawanan akhir badminton buat pertama kali dalam Sukan Olimpik. Namun, ternyata jagoan badminton tuan rumah, Lin Dan (nama gelaran: Super Dan) lebih mendominasi perlawanan itu, sekaligus menyaksikan Malaysia berjaya membawa pulang sebutir pingat perak. Lee Chong Wei kemudian dianugerahi gelaran "Dato'" atas pencapaiannya yang sangat cemerlang dalam arena sukan badminton.

Sukan Olimpik London 2012 pula menyajikan cerita berbeza. Kali ini, Malaysia buat pertama kalinya memperoleh pingat menerusi sukan yang berbeza selain badminton. Siapa lagi kalau bukan atlet terjun wanita kita, Pandelela Rinong Pamg menerusi acara terjun 10m platform. Beliau juga merupakan atlet wanita Malaysia yang pertama memenangi pingat dalam temasya Sukan Olimpik. Walau bagaimanapun, terlebih dahulu, Dato' Lee Chong Wei sekali lagi berjaya mara ke perlawanan akhir badminton buat kali kedua berturut-turut. Menariknya, lawannya pada peringkat akhir juga merupakan seteru yang sama seperti di Beijing dahulu. Beliau berjaya memperoleh pingat perak setelah tewas kepada Lin Dan dalam pertarungan sengit tiga set. Sebagai tambahan, "Super Dan" berjaya mencipta rekod dengan menjadi pemain badminton pertama mempertahankan emas dalam dua temasya Sukan Olimpik berturut-turut.

Hari ini, Sukan Olimpik Rio 2016 bakal menutup tirainya. Seperti yang kita sedia maklum, nyata pencapaian kontinjen Malaysia pada temasya kali ini merupakan antara yang terbaik sepanjang 15 kali penyertaan negara kita dalam Sukan Olimpik. Semestinya, wujud pelbagai kisah suka dan duka di sebalik warna-warni Sukan Olimpik Rio ini. Pingat pertama Malaysia diperoleh oleh pasangan terjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong menerusi acara terjun seirama 10m platform. Kemudian, sukan berbasikal menjadi sukan terbaru yang membutirkan pingat buat negara apabila penunggang prolifik kebangsaan, Azizulhasni Awang cemerlang membawa pulang pingat gangsa menerusi acara keirin pada peringkat akhir. Sebelum itu, kem badminton negara membawa beberapa khabar gembira dan terus mencipta pelbagai kejutan apabila pasangan beregu lelaki dan beregu campuran negara berjaya menewaskan beberapa pasangan beregu lain yang lebih tinggi kedudukannya (ranking) dan layak ke perlawanan akhir walaupun pada asalnya, mereka langsung tidak diberi harapan yang tinggi untuk membawa pulang sebarang pingat.

Terlebih dahulu, pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying terpaksa akur dengan kehebatan pasangan beregu campuran dari Indonesia, Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir apabila tunduk dalam perlawanan akhir, seterusnya berjaya menghadiahkan sebutir pingat perak. Pasangan beregu lelaki pula, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong mengulangi sejarah Sukan Olimpik Atlanta 1996 apabila berhasil memperoleh pingat perak buat negara setelah tewas kepada pasangan beregu dari China yang lebih berpengalaman, Fu Haifeng dan Zhang Nan walaupun pada satu ketika, Malaysia tampak bakal mengakhiri kemarau pingat emas yang sangat diidam-idamkan selama 60 tahun lamanya. Namun begitu, rezeki masih belum memihak kepada kontinjen negara kita.

Selepas itu, harapan emas terakhir jatuh di atas bahu Dato' Lee Chong Wei yang memiliki peluang cerah selepas berjaya menundukkan saingan utamanya, Lin Dan pada peringkat separuh akhir dalam aksi yang penuh dramatik yang juga merupakan pertemuan terakhir mereka dalam arena Sukan Olimpik. Dato' Lee Chong Wei berjaya melangkah ke peringkat akhir Sukan Olimpik buat kali ketiga berturut-turut, kali ini berhadapan pula dengan bintang muda China yang sedang meningkat naik, Chen Long. Apakan daya, beliau sudah mengerahkan segala kudrat dan usaha yang ada, namun belum berhasil untuk menghadiahkan emas Olimpik pertama buat negara. Beliau berjaya memperoleh hatrik pingat perak dalam acara badminton, seterusnya melakar kejayaan sebagai Olimpian Malaysia paling berjaya dalam sejarah.

Apa-apa pun, kesyukuran harus dipanjatkan kepada Tuhan kerana temasya Sukan Olimpik kali ini menyaksikan Malaysia berjaya mengutip empat butir pingat perak dan sebutir pingat gangsa, menjadikan lima butir pingat secara keseluruhan, seterusnya merupakan edisi yang paling ulung buat kontinjen Malaysia sepanjang penyertaan dalam temasya ini. Sukan Olimpik Rio juga menyaksikan persaraan beberapa legenda ternama dunia seperti Usain Bolt, Michael Phelps, dan Lin Dan. Segala puji bagi Tuhan kerana kita sempat diberi nafas untuk hidup sezaman dengan barisan legenda ini. Jadi, apa bab seterusnya?


Ayuh, terus bersikap optimis! Teruskan memberi sokongan dan dukungan kepada kesemua atlet kita yang telah memerah keringat dan berjuang bermatian-matian bagi mewangikan nama "Malaysia" di seantero dunia. Giatkan lagi usaha bagi menggilap serta mengasah bakat-bakat muda kita agar setanding dengan para atlet antarabangsa. Mereka ialah "emas" negara kita yang tiada galang ganti dan sanggup berkorban pelbagai perkara demi watan yang tercinta. Ada yang sanggup berjauhan dari keluarga, ada yang betah mengorbankan masa mudanya hanya semata-mata mahu menjadi yang terbaik demi tanah air Malaysia. Moga-moga Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti mampu menatijahkan sesuatu yang sangat bermakna buat kita; menyaksikan emas pertama negara serta mendengar lagu kebangsaan "Negaraku" dikumandangkan di sana sempena Wawasan 2020, Insya-Allah.

Malaysia Boleh!

Catatan oleh,
Ahmad Muhaimin bin Ahmad Safaruddin
Penyokong setia pasukan kebangsaan.

Klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas

Ahad, 7 Ogos 2016

#187 - TANGKAP SAMA ITU POKÉMON


"Angah, nanti dah besar Acu (bukan nama sebenar) nak jadi gamer, boleh?"

Saya yang sedang meneguk minuman ketika itu membiarkan sejenak enzim amilase di dalam mulut menjalankan tugasnya sebelum memberi respon terhadap persoalan yang dikemukakan. Sambil itu, mata ralit menatap skrin televisyen diod pemancar cahaya (LED) bersaiz 42 inci yang memaparkan sebuah siaran permainan. Bukan, bukan siaran Sukan Olimpik Rio 2016, tetapi siaran pertandingan sekumpulan gamers bertarung sesama mereka dalam peringkat separuh akhir permainan video "Counter-Strike: Global Offensive (CS:GO)" sempena ELEAGUE, sebuah liga sukan elektronik (eSports) khusus untuk para penembak profesional CS:GO yang berpusat di Atlanta, Amerika Syarikat.

Sebaik mendengar hasrat hati si adik, saya tidak pula melatah, apatah lagi meloncat dari kerusi ibarat terlihat lipas kudung. Malah, saya sudah menyedari akan hakikat itu kerana memang rutin harian si adik ialah menghadap sang komputer legenda untuk bermain FIFA Online 3. Tidak cukup setakat itu, impian untuk menjadi seorang gamer pun ditulis dengan penuh perasaan di atas sehelai kertas di samping beberapa impian yang lain lalu diletakkan di cermin muka bilik. Kalau setiap hari mengandam di situ, memang akan terbacalah gugusan impian tersebut. Ternyata didikan pakar motivasi sangat memberi kesan kepadanya.

"Emm, boleh je nak jadi gamer, tapi targetlah yang tinggi sikit. Bukan apa, gamer tu nampak macam kecil sangat skopnya. Cuba cari yang lagi besar, lebih luas. Software engineer contohnya. Bukan setakat boleh main game, bahkan boleh buat game terus!"

Usu (bukan nama sebenar) yang duduk di sebelah entah dengar atau tidak perbualan antara saya dan Acu. Sibuk menghafal sambil menyanyi lagu Maher Zain katanya. "Medina, Medina, Medinatun-Nabi..." Ya, itu dia, dia sedang bernasyid dengan penuh syahdu.

Saya menyambung lagi, "lagipun, tak kisah sebenarnya Acu nak jadi apa. Jadilah apa-apa pun, yang penting dapat bagi sumbangan untuk Islam. Kalau nak jadi gamer, Acu kena fikirlah gamer boleh bagi apa yang terbaik untuk agama." Halamak, ayat saya. Tapi, serius beb. Tak mahulah adik saya hanya semata-mata menjadi gamer' menang pertandingan, dapat duit, jadi kaya-raya, hidup senang. Kemudian, selepas itu?

Tiba-tiba, Acu meneruskan perbualan dengan pertanyaan berikutnya, "tadi Acu ada baca satu link kat Facebook, mufti kata main Pokémon Go haram, betul ke?"

Haaa, ini yang saya nak meroyan. Namun, segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan darjat kebesaran, eh kesabaran kepada setiap hamba-Nya, termasuk diri ini bagi digunakan sebaiknya. Jadi, saya pun cuba menjawab dengan penuh ketenangan sambil lidah dialunkan untuk mencari rentak lafaz pertuturan yang mengena.

"Salah tu. Kalau Acu baca betul-betul kat artikel yang mufti tulis kat website dia, dia tak kata haram pun. Mufti cuma nasihat supaya umat Islam tidak terlibat atau menjauhi game tu kalau membawa kepada mudarat. Itulah masalah media atau berita, suka buat cerita sensasi. Last last, orang kita yang salah faham terus kutuk mufti. Bacanya malas, mengajinya malas, tapi tau nak hina je."

Acu hanya separa gelak tanda mengiyakan. Kemudian, saya menyambung, "sebab tu Angah lagi suka kalau Acu jadi software engineer. Cuba cari idea macam mana nak bantu hasilkan game yang boleh mendidik dan menambah iman. Kalau budak-budak main game tu, automatik ingat kat Tuhan." Acu gelak. "Haha, macam mana tu?"

"Haaa, cubalah fikir," saya menjawab. Konon nak bagi jawapan selamatlah tu, tapi sebenarnya saya pun kekeringan idea. Entahlah, kadang-kadang kita ini asyik mencaci dan mengkritik sana sini, tetapi apa usaha kita bagi memperbaik situasi? Tampak semacam mustahil, tetapi hakikatnya tidak, bukan? Kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih!

Ahad, 31 Julai 2016

#186 - ULASAN BUKU (JULAI 2016)


Bismillah. Assalamualaikum warahmatullah.

Ehem, semua sudah menunaikan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal ini? Apa khabar iman kita pasca-Ramadan? Masih sihat dan bertenaga, atau sudah lemah dan tidak bermaya? Moga-moga kita sentiasa beroleh kesedaran bagi memastikan kualiti iman kita sentiasa berada pada tahap yang terbaik, amin.

Baik, nak mula dari mana ya? Emm, sekadar pengenalan, rasanya ini merupakan kali pertama saya menulis ulasan (review) buku sebab sebelum ini, saya hanya sekadar membaca dan mentelaah sahaja, tetapi tidak pernah pula menulis ulasan usai menghabiskan pembacaan sesuatu buku. Walau bagaimanapun, pada kali ini, semangat untuk menulis ulasan buku tiba-tiba hadir membuak-buak dalam diri berikutan terinspirasi daripada sahabat-sahabat penggila buku yang telah saya temui di alam maya, umpamanya di laman sesawang Goodreads. Selain itu, saya juga berazam untuk mencatat ulasan buku ini pada akhir setiap bulan berdasarkan jumlah buku yang telah habis dibaca pada bulan tersebut. Contohnya, jika saya hanya mampu menamatkan sebuah buku sahaja pada satu-satu bulan itu, maka hanya sebuah buku sahajalah yang akan saya ulas. Gitu. Hal ini bagi memastikan agar saya terus istiqamah untuk membaca dengan tekun dan teliti, bukan sekadar menjadikan pembacaan sebagai hobi atau aktiviti mengisi masa senggang semata-mata.

Seperkara yang perlu kalian ketahui, saya mohon kalian supaya janganlah menganggap ulasan saya sebagai ulasan yang perlu dijadikan rujukan muktabar terhadap buku-buku yang telah saya ulas. Tambahan pula, ulasan saya tidaklah seprofesional atau seintelektual ulasan-ulasan mereka di luar sana yang jauh lebih profesional dan lebih intelektual berbanding diri saya yang hina-dina ini. Ulasan saya hanya sekadar tercetus daripada hadaman dan adunan pemikiran biasa-biasa (baca: biashe-biashe jew) seorang insan berkaca mata yang memakai gelaran "Hamas Syuja`iy". Sebab itu, blog ini diberi nama "Cetusan Hamas Syuja`iy", ewah. Nampaklah fungsi sikit di situ. Harapnya, dengan adanya pembaharuan dalam penulisan saya yang serba cetek ini, sekurang-kurangnya dapat memberikan sedikit inspirasi dan manfaat kepada kalian yang membelek-belek penulisan saya bagi meneruskan kelangsungan hidup di bawah lembayung reda-Nya. Tak banyak, sikit pun jadilah.

Ok, panjang pula membebel ya. Jadi, dengan lafaz basmalah yang agung, saya dengan ini ingin mempersembahkan tiga buah ulasan daripada tiga buah karya yang telah saya khatamkan pada bulan ini! *tepukan gemuruh*

---

1. #Henshin Mahasiswa


Penulis: Amirul Eqhwan bin Rahim
Penerbit: Inspirasee International Sdn. Bhd.
Tahun terbitan: 2016
Bilangan muka surat: 188
Rating: ★★★★

Asbab saya memilih buku ini sebagai naskhah yang pertama untuk ditelaah pada bulan ini adalah kerana saya baru saja menamatkan pengajian tahun pertama sarjana muda pada hujung bulan Jun yang lalu. Pada asalnya, saya mahu memulakan pembacaan bulan ini dengan karya yang berbeza sebaik saja saya pulang ke kediaman tercinta. Walau bagaimanapun, dengan tidak semena-mena, mata tertancap ke arah sebuah pustaka yang terletak elok di atas meja bacaan. "Eh, la! Abang aku dah beli rupanya buku ni. Nice!" getusku dalam hati. Lalu, tangan segera mencapai naskhah tersebut dan terus melabuhkan punggung di atas sebuah sofa untuk menikmati 'juadah' yang tersedia di dalam genggaman.

Buat pengetahuan semua, sebenarnya saya telah pun lama mengetahui akan kewujudan buku ini melalui laman sosial Facebook ketika saya masih berada dalam semester yang pertama. Hal ini yang demikian kerana buku ini dikarang sendiri oleh senior saya yang dihormati, iaitu saudara Amirul Eqhwan bin Rahim yang pada ketika itu masih bergelar mahasiswa tahun ketiga jurusan Sains Kimia di alma mater yang sama tempat saya menimba ilmu, Universiti Malaya (UM). Saudara Eqhwan yang saya kenali juga merupakan mantan Yang DiPertua Persatuan Belia Islam Nasional (YDP PEMBINA) UM serta memegang jawatan Pengerusi Exco Kerohanian dan Perpaduan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM sesi 2015/2016. Wah, hebat betul senior saya! Tidak hairanlah beliau sangat berkelayakan untuk menghasilkan buku ini.

Ok, sambung cerita. Di samping itu, banyak kali juga saya 'terserempak' dengan buku ini ketika meninjau-ninjau reruai-reruai buku yang dibuka di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya pada fasa minggu kuliah. Namun begitu, saya masih belum berkesempatan untuk membeli buku ini sebab saya fikir, lebih baik saya bertentang mata dan melakukan pembayaran secara terus dengan saudara Eqhwan. Alang-alang boleh dapat diskaun dan bonus autograf pengarang sekali, wakaka. Namun, apakan daya, masa tidak mengizinkan untuk saya berbuat demikian. Eleh, acah-acah sibuklah tu.

Apa-apa pun, Alhamdulillah kerana kakanda saya terlebih dahulu menunaikan hasrat murni tersebut iaitu dengan memiliki buku ini. Secara ringkasnya, buku ini merupakan sebuah panduan atau manual yang sangat berguna buat seluruh mahasiswa yang menjejakkan kaki ke alam universiti, terutamanya kepada pelajar lepasan sekolah atau prauniversiti yang bakal bergelar mahasiswa tahun pertama yang masih kurang atau tidak tahu-menahu langsung mengenai ikhtiar hidup di dunia varsiti. Istilah popular untuk golongan ini kita sebut sebagai 'freshie'. Entah dari mana datangnya istilah itu. Mungkin secara adat kepercayaannya, mahasiswa tahun pertama itu dianggap sebagai masih 'suci' daripada dinodai 'dosa' dan 'nista' varsiti, disebabkan itu mereka ialah "orang yang segar-bugar (freshie)". Agaknya begitulah.

Bukan setakat golongan freshie sahaja yang perlu mentelaah karya ini, malah para mahasiswa yang sudah sedia memakai gelaran mahasiswa juga sangat digalakkan untuk menghayati buku ini, khususnya mahasiswa universiti dalam negara. Saya yang hendak memasuki tahun kedua pengajian pun baru berkesempatan untuk membacanya. Tambahan pula, penulis menggarap isi dan menyentuh pelbagai topik dengan begitu baik sesuai dengan realiti kehidupan mahasiswa kontemporari. Bermula dari persediaan dan perancangan sebelum melangkah ke alma mater, ketempangan Minggu Haluan Siswa (MHS), hidup bergelumang dengan organisasi serta projek kolej dan universiti, bagaimana ukhuwah bersama para pensyarah, pengurusan masa dan kewangan mahasiswa, hinggalah perbincangan mengenai politik kampus. Bukan itu sahaja, malah diselitkan juga drama cinta mahasiswa, bulatan gembira (usrah), serta bonus cerpen abang naqib, wew.

Kesimpulan mudah yang boleh dinukilkan daripada buku ini adalah bagaimana mahu menjadi seorang mahasiswa Muslim berilmu yang pada masa yang sama, sentiasa beramal dan berada di bawah keredaan-Nya. Kalau hendak diceritakan semuanya di sini mana boleh, kalian perlu memilikinya segera. Apa tidaknya, besar harapan penulis agar setiap mahasiswa di luar sana dapat mengambil manfaat daripada buku ini seterusnya mengubah diri daripada mahasiswa yang biasa-biasa kepada mahasiswa yang luar biasa statusnya. Kita anak muda sebagai pemimpin masa depan negara, bukan? Jadi, mulakan membaca!

---

2. Pseudoscience Watch


Penulis: Ahli Medik dan Para Saintis Gila
Penerbit: Simptomatik Press
Tahun terbitan: 2016
Bilangan muka surat: 288
Rating: ★★★★★

Pertama kali saya berkenalan dengan buku "Pseudoscience Watch" adalah ketika saya terbaca suatu 'post' yang dihantar oleh siapa entah berkenaan buku ini di Facebook yang dikatakan bakal dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 di Malaysian Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor. Mendengar tajuk sahaja sudah menarik, ditambah pula dengan barisan penulis buku tersebut yang menggelarkan diri mereka sebagai "Ahli Medik dan Para Saintis Gila". I mean, seriously? Siapa mereka ini? Ohoi, memang nak kena dapatkan sebuah ni!

Jadi, hasrat pun tertunai usai keberangkatan ke PBAKL pada 2 Mei 2016 yang lalu. Saya berhasil memperoleh buku ini dan juga beberapa buah buku lain dengan menggunakan kepingan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) pemberian kerajaan yang tercinta. Namun, hasrat untuk membaca naskhah ini tertangguh sehingga ke cuti semester disebabkan beberapa kekangan yang ada. Sekali lagi, acah-acah sibuklah katakan.

Walau bagaimanapun, Alhamdulillah saya berjaya menghabiskan keseluruhan buku ini dalam tempoh dua minggu pertama bulan Syawal. Pergh, musim perayaan tu! Ingat senang ke nak habiskan dalam tempoh tersebut. Perlukan mujahadah dan konsistensi yang berterusan dalam 'mencuri' masa yang ada apabila tidak beraya ke mana-mana atau tidak berbuat apa-apa ketika berjalan raya <- betul atau tidak istilah ini.

Baik, buku ini sebenarnya membicarakan perihal sebilangan golongan tertentu yang mengamalkan "sains palsu" (pseudoscience). Mereka ini gemar memanipulasi dan melakukan korupsi terhadap ilmu, terutamanya yang berkaitan dengan ilmu sains, perubatan, kedoktoran, dan kejuruteraan yang disifatkan oleh penulis dan diisyaratkan oleh Rasulullah SAW sebagai golongan "Ruwaibidoh" (رويبضة), iaitu golongan yang bodoh dan dangkal, namun berbicara tentang perkara besar yang melibatkan orang ramai. Malangnya, banyak dalam kalangan anggota masyarakat yang terpengaruh dengan pembicaraan mereka. Maka, lahirlah sebuah entiti yang tegas, ganas, dan intelektual untuk bangun dan menentang golongan Ruwaibidoh ini. Entiti yang juga barisan penulis ini memakai gelaran "Pseudoscience Watch" dan mereka juga mengakui terdiri daripada pelbagai profesion seperti doktor perubatan, jurutera, saintis, dan ahli farmasi.

Sebagai tambahan, buku ini didokumentasikan hasil daripada catatan penting di halaman Facebook rasmi yang dikendalikan oleh pihak mereka sendiri (rujuk di sini). Hal ini yang demikian kerana, dikatakan halaman rasmi mereka sering diancam oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Malah, terdapat beberapa isu panas yang terpaksa dipadam atas sebab-sebab tertentu. Justeru, demi menyelamatkan penulisan yang bertujuan memerangi pendukung sains palsu serta bertanggungjawab menyedarkan kembali masyarakat yang terpengaruh dengan pemikiran mereka, maka terhasillah buku ini sebagai bahan rujukan jika pada masa akan datang, halaman Facebook mereka tidak wujud lagi.

Saya kira, buku ini hadir tepat pada masanya saat dunia hari ini berkecamuk dengan pelbagai kecelaruan dan pemikiran berbahaya yang telah ditimbulkan oleh golongan sains palsu ini, umpamanya isu antivaksin, pronatural, kelahiran alami di rumah (unassisted home birth), penunggang agama, penggunaan ganja sebagai remedi (ubat), produk-produk sains palsu, skim piramid atau multilevel marketing (MLM), rokok elektronik (vape), dan banyak lagi. Tipulah kalau cakap saya tak banyak belajar istilah baru sepanjang pengembaraan saya merenangi pembacaan naskhah ini, lebih-lebih lagi istilah berkaitan medik.

Akhirulkalam, saya berharap agar dengan adanya penerbitan buku seperti ini, sekurang-kurangnya dapat memberi saya dan para pembaca sedikit cahaya harapan dan pencerahan bagi menjawab kembali hujah yang dilontarkan oleh pihak pendukung sains palsu di luar sana. Tak perlu cakap banyak, ayuh dapatkannya dengan kadar yang segera!

---

3. Cerita Korea Kami


Penulis: Ummu Hani Abu Hassan, Norhayati Abu Bakar, Hanafi Sarif, Ahmad Fouad
Penerbit: Inteam Publishing Sdn. Bhd.
Tahun terbitan: 2016
Bilangan muka surat: 256
Rating: ★★★★

Wah, sejak bila kau minat nak baca bab-bab berkaitan Korea ni, Muhaimin? Bukankah kau ini anti-K-Pop?

Huhu, sebenarnya, faktor yang membuatkan saya berasa terpanggil untuk membaca karya-karya perihal Korea Selatan sejak belakangan ini adalah kerana saya bakal mengikuti program pertukaran pelajar selama satu semester (semester depan) di Chonnam National University (CNU), Gwangju, Korea Selatan. Alhamdulillah, bak kata pepatah Inggeris, "opportunity rarely knocks twice" (peluang jarang datang dua kali). Jadi, peluang keemasan yang hadir ini perlu digapai sebaik mungkin. Hendak tahu bagaimana saya bisa memperoleh tawaran ini? Nantikan dalam kisah akan datang. Insya-Allah, saya akan mula berlepas ke sana pada jam 8.00 pagi, 30hb Ogos ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). Kalau ada sesiapa yang hendak menemani dan menghantar saya pada hari dan masa tersebut, sangat dipersilakan. Saya amat menghargai kesudian dan kelapangan masa yang kalian berikan, ewah.

Awalnya, bukan buku ini sebenarnya yang hendak saya cari dan beli di kedai buku Bookworm yang berhampiran dengan rumah, sebaliknya buku yang berjudul "I'm a Backpacker: Korea" karya saudari Halian Azurin itu yang berada dalam radar saya ketika singgah di sana. Entah bagaimana, buku itu tidak ditemui pula di situ. Lain yang dicari, lain pula yang dijumpai. Takdir Tuhan telah menemukan saya dengan buku yang berjudul "Cerita Korea Kami" ini. Lantas, setelah tidak bertemu dengan buku asal yang diingini, saya mengira mungkin saya perlu pergi ke kedai buku yang lain pada lain masa untuk mencari buku tersebut. Apa lagi, tangan segera mencapai naskhah yang masih berbalut plastik itu dan terus melakukan pembayaran.

Apa yang menarik tentang pustaka ini ialah, buku ini merupakan himpunan pelbagai kisah yang menarik mengenai Korea Selatan dan segala isinya daripada empat orang penulis yang berbeza latar belakang. Penulis pertama, saudari Ummu Hani banyak bercerita mengenai pengalamannya selaku penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Hankuk University of Foreign Studies, Seoul dalam bidang Sastera Bandingan (Melayu). Kisah beliau yang berada di sana bersama suami dan anak-anak yang masih kecil sungguh mengujakan, umpamanya perihal budaya orang Korea, mengajar bahasa Melayu di sana, K-Pop vs Koslems (Korea Muslim), dan banyak lagi. Penulis kedua, saudari Norhayati Abu Bakar pula menukilkan perihal kisah lawatan ke beberapa lokasi menarik yang terdapat di Korea Selatan bersama keluarga dan anak beliau yang menuntut di sana (Sungkyunkwan University). Terdapat juga beberapa tips atau panduan yang dikongsikan kepada pembaca sekiranya memasang niat untuk berkunjung ke sana seperti bab pemilihan makanan, empat buah musim, dan lain-lain.

Fuh, tarik nafas sekejap. Ok, kita sambung. Penulis ketiga, saudara Hanafi Sarif yang merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Korea University, juga salah seorang pengendali halaman Facebook Mudahnya Bahasa Korea (MUBAKO) menceritakan beberapa cerita bermaknanya sepanjang bergelar pelajar di sana, terutamanya kisah berkaitan bola sepak, buah gingko, dan Ramadan di Korea Selatan. Manakala penulis keempat dan terakhir, saudara Ahmad Fouad yang kini mendalami bidang Antropologi dalam peringkat Sarjana di CNU (universiti yang sama dengan saya nak pergi nanti oi, haha), kisah yang dinukilkannya boleh disifatkan sebagai yang paling menggelikan hati. Apa yang kelakarnya itu? Ohoi, kalian kenalah baca buku ini!

Menariknya, walaupun terdapat variasi kisah yang dikumpulkan dalam buku ini, namun semuanya diungkapkan dengan bahasa yang jujur, santai, serta diselitkan nilai tarbiah Islam. Perbezaan agama, budaya, pemikiran, dan geografi yang wujud di Korea Selatan merupakan aset yang sangat berharga untuk dijadikan pengajaran kepada kita, khususnya masyarakat Muslim di Malaysia. Hal ini selaras dengan mafhum firman Allah SWT yang menggalakkan hamba-Nya untuk bertebaran di atas muka Bumi bagi menggali setiap inci hikmah dan manfaat yang tersembunyi.

Doakan permusafiran saya ketika berada di sana nanti, ya!

---

Sekian saja untuk ulasan buku pada bulan ini. Jangan lupa untuk bersama-sama saya sekali lagi pada hujung bulan depan, Insya-Allah! ^_^

Wassalam.

Selasa, 5 Julai 2016

#185 - DEMI MASA


#TadabburQuran
#Day30
#Juz30

وَٱلۡعَصۡرِ

Demi masa!

إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian;

إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Al-`Asr (103: 1-3)

---

⏰ Subhanallah, sedar tidak sedar, pejam celik pejam celik, kita telah pun berada pada penghujung hari dalam bulan Ramadan. Begitu pantas sekali masa berlalu. Maka, Insya-Allah, tadabbur al-Quran pada hari ini pun akan berbicara soal masa dan sangat sesuai sebagai konklusi bagi siri 30 hari tadabbur al-Quran kita.

⏰ Kebanyakan antara kita telah pun sedia maklum bahawa Allah telah bersumpah dengan masa dalam surah ini ("العصر" sendiri bermaksud masa), bahawa masa itu bergerak dan menitik terlalu pantas sehingga tidak mampu untuk menangkapnya. Bagaimana 30 hari sebulan Ramadan begitu cepat sekali berakhir? Bagaimana masa boleh berlalu begitu laju? Rasanya kita baru saja memasuki bulan Ramadan, tup tup Ramadan dah pun berakhir?

⏰ "إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ"

Tiada keraguan lagi bahawasanya manusia itu sememangnya lemas atau tenggelam dalam kerugian. Itulah realiti pahit yang harus kita telan. Ya, kerugian kita yang paling besar ialah masa. Kita baru saja kerugian sebulan Ramadan atau kita hampir saja kerugian barakah Ramadan dan peluang yang ada ini untuk memperoleh keampunan. Apabila kita menyedari bagaimana rupa kerugian itu, semestinya kita sebagai orang beriman tidak membiarkan seharian berlalu dengan masih mengamalkan sikap bertangguh atau berlengah-lengah.

⏰ Buat pengetahuan semua, surah al-`Asr hakikatnya merupakan kesimpulan daripada keseluruhan isi al-Quran. Apabila kita menyedari bahawa surah ini merupakan kesimpulan bagi al-Quran, maka kita perlu memperoleh sesuatu yang berguna daripada surah al-`Asr — penghormatan terhadap masa.

⏰ Apa contoh perbuatan yang menggambarkan penghormatan terhadap masa? Perbetulkan pengurusan masa seharian kita; ibaratnya masuk tidur dan bangun awal, menunaikan solat fardu tepat pada waktu, solat dengan niat yang benar, jangan membazir masa dengan perkara-perkara yang kurang atau tidak berfaedah, dan banyak lagi.

⏰ Contoh lain adalah jangan duduk di hadapan komputer atau bermain gajet sehingga larut malam, walaupun kita mahu menonton video Islamik. Pastikan kita mampu sekurang-kurangnya solat Isyak dan Subuh secara berjemaah, sama ada di masjid atau di rumah. Kita melakukan semua ini kerana kita sedar, manusia itu akan berterusan berada dalam fasa kerugian. Jadi, bagaimana mahu keluar dari zon kerugian ini?

⏰ Sama ada kita suka atau tidak, setiap daripada kita kesemuanya berarak menuju kematian. Tiada satu hari pun yang berlalu tanpa kita, isteri, dan anak-anak berjalan menghampiri kematian dan pengakhiran kehidupan yang sementara di dunia.

⏰ Kerugian itu sedang datang. Satu hari atau satu bulan baru saja diambil dari hidup kita dan kita tidak akan mendapatkannya kembali. Kita tidak akan kembali menjadi lebih muda, bahkan kita sebenarnya menjadi lebih tua dan semakin menghampiri hari penamat di atas muka Bumi ini. Itulah fakta yang harus kita terima.

⏰ Ya, faktanya ialah, kita akan sentiasa kehilangan masa kerana setiap perkara yang kita miliki di dunia ini kesemuanya berkait dengan masa. Kita menikmati duit yang melimpah-ruah, kediaman yang mewah, kesemuanya dalam kerangka masa yang tertentu, bukan? Kalau kita tidak memiliki masa, nescaya semua perkara tersebut akan tiada gunanya lagi. Bayangkan jika kita diberitahu bahawa kita akan mati dalam tempoh sejam sahaja lagi dari sekarang, adakah kesemua kenikmatan tersebut ada nilainya lagi? Sudah tentu tidak kerana apa yang kita miliki kini hanyalah satu jam sahaja!

⏰ Justeru, apabila kita benar-benar menghayati mesej al-Quran ini bahawa masa itu merupakan aset yang paling berharga dalam hidup, nescaya kita akan menggunakan serta menghormati setiap detik dan ketika yang kita miliki ini sebaik mungkin. Tiada lagi sikap sambalewa apabila tiba hari minggu seperti membuang masa menonton filem atau drama, bermain permainan video, dan pelbagai lagi bentuk pembaziran waktu. Sebaliknya kita akan berusaha melakukan pelbagai perkara yang produktif dalam kehidupan.

⏰ "إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ..."

Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, yakni hanya orang-orang Mukmin sahaja yang tidak akan mengalami kerugian kerana mereka sedar, mereka akan mengakhiri kehidupan ini dan menuju ke suatu tempat yang tiada lagi had atau batasan waktu. Atas kesedaran itu, orang-orang Mukmin melakukan pelbagai amalan kebajikan yang telah diperintahkan oleh Allah kepada mereka.

⏰ Kalimah "الصالحات" sebenarnya bermaksud "beberapa / sebilangan amal soleh" sahaja. Hal ini bermaksud bahawa Allah tidak meminta banyak pun amalan kebaikan daripada kita. Allah tidak meminta kita banyak melakukan amal soleh sepanjang tahun sepertimana kita menggandakan amal soleh ketika bulan Ramadan. Jadi, cukup dengan kita berterusan melakukan apa-apa jua amalan kebaikan dan jangan sesekali berhenti.

⏰ "...وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ..."

Orang-orang beriman itu saling menasihati, saling mengajak, dan saling menggalakkan antara satu sama lain ke arah kebenaran. Kalimah "تواصي" bermaksud "saling prihatin", menggambarkan bahawa "saya bukan lebih baik daripada kamu, dan kamu pula bukan lebih baik daripada saya; kita memerlukan antara satu sama lain".

⏰ Oleh hal yang demikian, perlunya kita untuk mencari sahabat yang beriman bagi memastikan nilai keimanan dan masa kita sentiasa hidup dan terpelihara. Mereka boleh selalu bertanya khabar akan keimanan dan kualiti masa kita apabila kita ada bersama mereka. Mereka jualah yang akan selalu mengingatkan kita akan tujuan hidup di atas muka Bumi, tentang bagaimana perlu untuk kita memiliki kehidupan yang baik tanpa melupakan matlamat hidup yang hakiki. Inilah yang dimaksudkan dengan "تواصي بالحق".

⏰ "...وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ"

Apabila ada ujian yang menerpa, cubaan yang melanda, godaan yang tiba, dan kesukaran yang menduga, kita perlu berpegang teguh pada keimanan kerana sabar bukan hanya diperlukan ketika berhadapan dengan saat-saat sulit sahaja, bahkan ketika menghadapi godaan duniawi jua. Kita perlu memiliki disiplin diri yang kuat daripada terlibat ke kancah kehinaan tersebut. Jika kita tidak mempunyai kesabaran yang jitu, nescaya kita tidak akan mampu untuk bertahan dalam setiap cabaran yang mendatang.

⏰ Ya, hari ini merupakan hari baru kita! Setelah kita berhempas-pulas selama sebulan, mengerahkan segala usaha, keringat, doa, dan air mata bagi memastikan roh Ramadan hidup dalam jiwa, kita perlu yakin bahawa Allah telah memberi kita suatu permulaan yang baru. "لا تقنطوا من رحمة الله".

⏰ Dari sini, kita benar-benar memahami nilai sebuah masa dan kita mahu memastikan bahawa kita akan melakukan yang terbaik dalam segenap aspek kehidupan. Antara tindakan yang boleh dilakukan adalah dengan menyusun jadual amalan seharian kita (مراتب الأعمال) — masa untuk hadir menunaikan solat tepat pada waktu, masa untuk mentadabbur atau mengulang hafazan al-Quran, masa untuk menuntut ilmu, dan lain-lain.

⏰ Paling penting dan utama, jaga solat kita dahulu kerana solat merupakan peringatan mutlak terhadap nilai masa. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتۡ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ كِتَـٰبً۬ا مَّوۡقُوتً۬ا

"Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." — Al-Nisa' (4: 103)

⏰ Bagi sesiapa yang masih bergelar remaja atau belia, yang masih menuntut ilmu sama ada di sekolah, kolej, atau universiti, jika anda mendapati diri anda banyak memiliki masa terluang, pastikan anda mengisi masa lapang tersebut dengan melakukan sesuatu yang produktif. Jangan sesekali membazirkan masa anda.

⏰ Hal ini yang demikian kerana, masa lapanglah antara penyebab atau punca kehancuran iman kita. Kebanyakan antara kita apabila memiliki masa lapang, kita mengisi masa tersebut dengan perkara-perkara dosa dan maksiat. Jika kita rasa kita lemah, jangan pernah sesekali berikan ruang masa lapang kepada kita. Cuba untuk selalu sibukkan diri dan mohonlah pertolongan Allah dalam menghadapi situasi tersebut.

⏰ Semoga Allah memberi kita kurniaan sahabat yang sejati dan mulia, menjauhkan kita dari orang-orang yang ingin mengajak melakukan dosa, memberi kita keputusan dan hikmah yang benar, sifat yang baik, serta kekuatan dalam melawan nafsu dan godaan dalam diri. Semoga Allah jua menjadikan kita seorang insan yang saling menasihati ke arah kebaikan dan kesabaran sehingga mampu menjadi asbab kepada orang lain untuk mengakrabkan diri kepada-Nya. Dan, semoga Allah tidak memasukkan kita ke dalam golongan yang mengalami kerugian, sebaliknya tergolong dalam kalangan mereka yang beruntung. Allahumma amin.

Barakallahu li walakum. Jazakumullahu khairan kasira.

#RamadanFiesta #EidMubarak

Isnin, 4 Julai 2016

#184 - BERISTIGHFARLAH!


#TadabburQuran
#Day29
#Juz29

فَقُلْتُ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارًا

"Sehingga aku berkata (kepada mereka): 'Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kalian, sesungguhnya Ia Maha Pengampun.

يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا

"(Sekiranya kalian berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kalian;

وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَٰلٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّٰتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَٰرًا

"Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

Nuh (71: 10-12)

---

☔️ Dalam surah ini, Nuh AS sedang memberitahu Allah tentang perkara yang telah baginda perbuat terhadap kaumnya; yakni apa yang telah baginda berjaya sempurnakan dan bagaimana ada perkara yang tidak berhasil untuk kaumnya. Tetapi Allah memilih untuk menyebut petikan ini dan di dalamnya terdapat suatu nikmat atau pemberian yang sangat indah. Pemberian itu ialah — apa yang akan kita peroleh apabila kita menyebut "istighfar" dengan ikhlas.

☔️ Secara jelasnya, jika kita memohon keampunan daripada Allah, maka Insya-Allah, hasilnya kita akan memperoleh keampunan. Tetapi, sebenarnya terdapat beberapa faedah tambahan dengan beristighfar kepada Allah seperti yang disebut dalam ayat di atas. Pemberian yang nyata kerana memohon keampunan ialah keampunan itu sendiri, namun terdapat juga faedah keduniaan. Kita akan dapat melihat faedah tersebut apabila beristighfar ketika masih di dunia lagi.

☔️ Apakah faedah tersebut?

"يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا"

"Dia akan menghantarkan hujan yang lebat (yang penuh kehidupan) kepada kalian."

Perlu diketahui bahawa hujan tetap turun ke atas kaum Nuh AS, tetapi turunnya hujan itu penuh dengan kematian. Jadi, Nuh AS berkata bahawa jika kaumnya memohon keampunan daripada Allah, maka Dia akan menurunkan hujan yang penuh dengan kehidupan. Jika kita menetap di sebuah bandar yang dilanda kemarau, apakah salah satu cara untuk membolehkan hujan turun? Istighfarlah! Insya-Allah, Dia akan menurunkan hujan dari langit.

☔️ Manfaat kedua:

"وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَٰلٍ وَبَنِينَ"

"Dan Dia akan memberi kepada kalian dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak..."

Kita akan menjalani kehidupan yang penuh sihat sambil dilimpahi pelbagai kerahmatan yang boleh kita nikmati seperti hujan dari langit, duit, dan anak-anak.

☔️ Manfaat ketiga:

"وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّٰتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَٰرًا"

"Dan Dia akan mengadakan bagi kalian kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kalian sungai-sungai."

Agama kita, Islam bukan hanya menawarkan pakej ukhrawi sahaja, bahkan tiba dengan menawarkan pakej duniawi juga. Sentiasa menyebut istighfar dengan ikhlas, Insya-Allah, Dia pasti melimpahi hidup kita dengan kenikmatan hidup di dunia sambil kita menyiapkan diri untuk kenikmatan abadi di akhirat sana.

☔️ Betapa indahnya agama ini! Kita tidak perlu pun meminta hujan, duit, anak-anak, kebun-kebun tanaman, dan sungai-sungai di dunia ini. Kita hanya perlu ikhlas dalam memohon Allah untuk mengampuni kita supaya Allah sangat gembira dengan kita yang memohon keampunan-Nya lalu mengurniai kita segala kenikmatan ini. Nikmat-nikmat ini tiada apa-apa pun bagi-Nya. Kita yang memerlukan semua ini. Apa yang penting bagi Allah ialah kita memohon keampunan daripada-Nya.

☔️ Sudut pandang atau perspektif yang diberikan daripada ayat ini ialah apa yang bernilai untuk Allah (hamba-Nya beristighfar kepada-Nya) dan apa yang bernilai untuk kita (kenikmatan dunia). Allah sedang berfirman melalui ayat-Nya ini kepada siapa? Ya, kepada golongan manusia yang sedang asyik dengan dosa kerana mereka berfikir, jika mentaati Allah dan memohon keampunan daripada-Nya (tidak melakukan kemungkaran lagi terhadap Allah), maka bagaimana mereka mahu mendapatkan wang? Bagaimana mahu menikmati kehidupan yang baik?

☔️ Allah berkata bahawa kita tidak sepatutnya berfikir dengan mentaati Allah, kita tidak boleh mengecap kenikmatan hidup lagi. Tetapi sebenarnya, kita boleh mendapatkan kehidupan yang lebih baik daripada yang kita jangka. Apabila kita cuba untuk mendapatkan kehidupan yang baik untuk diri kita, hanya diri kita yang berada di sisi sendiri. Tetapi apabila kita beristighfar, Allah yang akan berada di sisi kita. Walhasil, Dia akan mengurniakan kelengkapan, sumber, anak-anak, dan lain-lain kepada kita. Subhanallah!

☔️ Moga-moga Allah menjadikan kita insan yang sering beristighfar dengan sebenar-benarnya supaya kita bukan hanya dapat membersihkan diri kita di dunia semata-mata, tetapi juga memperoleh keampunan yang sangat mulia pada Hari Pengadilan nanti. Amin.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=Ugx4MZK3EGQ
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA