Rabu, 3 Disember 2008

PERANAN MUSLIMAH SEBAGAI PENDAKWAH


Penglibatan wanita dalam gerakan dakwah adalah merupakan sesuatu yang tidak dapat dinafikan lagi. Contoh yang dibuktikan oleh wanita yang terdahulu seperti Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid sebagai manusia pertama yang menyahut seruan iman dan islam. Sayyidatina Aisyah sebagai gedung ilmu dan pusat sumber maklumat. Ummu Umarah Nusaibah binti Ka`ab yang bermati-matian di medan Uhud. Sumayyah Ali Yasir sebagai orang pertama mendapat gelaran syahid. Mereka adalah bukti yang jelas bahawa peranan muslimah adalah jauh lebih luas dari hanya sekadar beroperasi dalam rumahnya.

Fenomena yang mengancam pemikiran ramai manusia dalam memisahkan peranan wanita di dalam medan perjuangan Islam adalah merupakan sebahagian dari gejala Rawathib al-Jahiliyyah (karat-karat jahiliyyah) yang juga Rawathib al-Isti`mariah (karat-karat penjajahan) yang begitu dominan di seluruh pelosok dunia Islam. Akibat dari gejala ini, salah faham terhadap Islam berlaku dan Islam ditohmah sebagai satu ajaran agama yang menindas dan memperlekhkan kaum wanita.

Sifat Islam sebagai Deenul Fitrah (agama fitrah) yang datang untuk menjadi panduan kepada manusia sama ada lelaki atau wanita adalah merupakan satu bukti yang nyata bahawa tanggungjawab sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini dipikul bersama oleh muslimin dan muslimat.


Kebanyakan perintah-perintah yang terdapat dalam Al-Quran adalah bersifat umum yang merangkumi lelaki dan perempuan dan Islam tidak sama sekali membezakan antara mereka dari segi tanggungjawab di atas muka bumi mahupun pembalasan di akhirat nanti.

Setelah kita berusaha untuk membentuk diri kita dengan sesempurna mungkin untuk memikul tanggungjawab ini. Setiap individu muslimah mestilah berusaha untuk memanggil ke arah perlaksanaan cita-cita Iman dan Islam tadi ke dalam realiti. Keindahan dan kesempurnaan Islam tidak akan terbukti kalau hanya setakat teori dan cita yang tidak dicernakan ke dalam realiti. Tugas mencernakan ajaran Islam dan mengajak manusia bersama untuk beriman inilah yang dikenali sebagai dakwah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA