Jumaat, 2 Januari 2009

DI SEBALIK SUJUD

http://abusoleh.files.wordpress.com/2007/11/gambar-sujud.jpg

Sujud adalah salah satu daripada rukun sembahyang. Tanpa sujud, maka cacatlah sembahyang seorang hamba itu dan tidak diterima oleh Allah Taala. Pernahkah kita terfikir kenapa kita perlu sujud? Apakah sebenarnya yang tersirat di sebalik sujud? Junjungan besar Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, "Sehampir-hampir hamba dengan Tuhannya ialah ketika dia sedang bersujud. Oleh itu banyakkanlah doa ketika itu."

Ketika sujud, seorang hamba yang mengerjakan sembahyang bermaksud mahu keluar dari segala dosa-dosanya dan ingin mendekatkan diri kepada Penciptanya. Di kala itu dia sebenarnya telah melontarkan dirinya di hadapan Allah dengan penuh ketundukan dan kepatuhan. Oleh sebab itulah seseorang itu sanggup meletakkan wajah dan kepalanya yang sentiasa dijunjung ke atas muka bumi, sama paras dengan kakinya yang sentiasa dipijak. Semuanya adalah semata-mata kerana Allah Taala. Tiada yang lain melainkan-Nya sahaja.

Apabila sujud, seseorang itu berada pada taraf yang paling rendah, tapi hakikatnya Allah telah meletakkannya pada kedudukan yang palin hampir dengan-Nya. Di saat itu juga Allah telah memuliakannya dan diletakkan di bawah naungan kebaikan dan kebajikan-Nya. Allah juga turut merahmati mereka yang tunduk lemah kepada-Nya dan menyerahkan seluruh jiwa dan raga hanya untuk-Nya dan mengharap hanya pada-Nya.

Bersujudlah kita kepada Allah. Bukan sahaja dalam sembahyang, bahkan dalam semua aspek kehidupan kita. Ketahuilah, semua makhluk di muka bumi ini tunduk kepada-Nya. Malah mereka lebih patuh lagi jika dibandingkan dengan manusia yang diberi nikmat akal fikiran yang cukup dan sempurna.

Alangkah kerdil dan hinanya kita! Jadi wajarkah kita bersikap angkuh dan takbur sesama manusia? Apatah lagi dengan Allah Taala. Memang manusia mudah lupa. Selalu sahaja tidak sedar tentang hakikat ini. Akibatnya mereka hidup di muka bumi Allah dengan penuh rasa megah dan takbur. Tidak cukup sekadar bersifat takbur sesama manusia, malah ada juga yang berbuat begitu kepada Allah. Lupa asal-usul mereka. Lupa dari manakah segala nikmat yang mereka perolehi. Mereka sanggup melanggar syariat Allah, meninggalkan suruhan-Nya, dan memandang ringan terhadap apa yang telah diwajibkan.

Sepatutnya pengajaran daripada sujud dapat memberi kita keinsafan dan kesedaran. Sudah jelas bahawa kita adalah insan yang kerdil lagi hina. Kita tidak punya apa-apa. Kita hanyalah seorang musafir dan segala yang kita miliki adalah pinjaman semata-mata!

Jadi, SEDARLAH WAHAI MANUSIA!!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA