Ahad, 28 Jun 2009

BULAN REJAB


http://farm4.static.flickr.com/3133/3243687920_258ca4f34b.jpg

Pengertian


Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Isra' dan Mi`raj.

Peristiwa-peristiwa Penting Bulan Rejab

1. Hijrah Pertama

Hijrah ke Habsyah (Ethiopia). Pihak Musyrikin Makkah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW mereka agar berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Antara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Sayyidina `Utsman RA dan isterinya Ruqayyah puteri Rasulullah SAW. Jumlah mereka ialah 14 orang termasuk empat orang wanita. Habsyah dipilih sebagai lokasi hijrah kerana rajanya dikenali sebagai toleransi dan sikap terbuka orangnya.

2. Isra' dan Mi`raj

Isra' dan Mi`raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Makkah ke Baitul Muqaddis pada wamtu malam dan diangkat ke langit menghadap Allah SWT untuk mengambil kewajipan solat lima waktu daripada Allah SWT.

Dalam menentukan tarikh bilakah berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama' mengatakan pada 27 Rabi`ul Akhir; sebahagian ulama' mengatakan pada 17 Rabi`ul Awwal; sebahagian ulama' mengatakan pada 29 Ramadhan; sebahagian ulama' mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain daripada apa yang disebutkan tadi.

Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr. (H) Haji Kassim Bahali, ada sesetengah ulama' mengatakan pada malam tanggal 7 Rabi`ul Awwal. Walau bagaimanapun, pendapat yang mengatakan bahawa 27 Rejab merupakan golongan yang paling banyak sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.

Tahun berlakunya Isra' Mi`raj juga terdapat perselisiahn pendapat ulama'. Ada sebahagian yang mengatakan pada tahun ke-5 dari Bi`tsah (tahun Nabi diangkat menjadi Rasul); sebahagiannya berpendapat pada tahun ke-12 dari Bi`tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi berhijrah ke Taif; sebahagian berpendapat pada tahun ke-3 sebelum hijrah Nabi SAW ke Yatsrib (Madinah) dan ada pula yang sebahagiannya berpendapat lain daripada semua yang disebutkan tadi.

Walau bagaimanapun, seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Sa`ad telah mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Kubra", bahawa Isra' Mi`raj berlaku pada lapan belas bulan sebelum Nabi SAW berhijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu. (Tazkirah, Pusat Zakat Negeri Sembilan)

3. Perang Tabuk

Dinamakan "Tabuk" sempena nama suatu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai kesukaran.

4. Pembebasan Baitul Muqaddis


Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Sayyidina Umar Al-Khattab RA pada zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan umat Islam keika zaman pemerintahan Abbasiyyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salahuddin Al-Ayyubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Namun pada tahun 1967M bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam Syafi`i RH

Nama sebenar Imam Syafi`i RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghazah (Gaza), Palestin pada tahun 150H bersamaan 767M dalam bulan Rejab. Beliau ialah salah seorang dari empat Imam Mazhab yang besar dalam dunia Fiqh. Malaysia mengamalkan Mazhab Syafi`i. Antara peninggalan Imam Syafi`i RH yang tidak ternilai harganya dan menjadi sumber rujukan sehingga kini ialah kitab Al-Umm.

Amalan-Amalan di Bulan Rejab
Tiada amalan khusus untuk bulan Rejab yang diriwayatkan yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW yang dijumpai di dalam mana-mana hadis sahih. Penulis berpendapat ada hikmahnya mengapa Allah SWT, Rasulullah SAW, dan para sahabat tidak memberitahu tarikh dan tahun berlakunya peristiwa Isra' dan Mi`raj. Rasulullah SAW tidak mahu umatnya menetapkan ibadah-ibadah tertentu di bulan Rejab khasnya pada hari dan malam berlakunya peristiwa Isra' dan Mi`raj itu.

Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang diada-adakan (bid`ah) dan perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu bulan. Namun begitu ada pendapat yang meriwayatkan tentang amalan-amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab, dan umrah Rejab. Pendapat ini adalah bersandarkan hadis-hadis lemah (dho`if).

Terlau banyak amalan-amalan sunat umum yang masih kita belum berkesempatan untuk mengamalkannya boleh kita praktikkan dalm bulan Rejab ini sebagai persediaan kita menjelang Ramadhan Al-Mubarak. Antaranya Qiyamullail, puasa Isnin dan Khamis, tadarrus Al-Quran, dan banyak lagi.

Di sini penulis ingin menyarankan supaya pada akhir bulan Jamadil Akhir khasnya pada 29hb, kita bolehlah melatih mata kita untuk menjejaki hilal (anak bulan). Proses melatih mata untuk merukyah hilal boleh dimulakan 20 minit sebelum Maghrib sehinggalah 20 minit selepas Maghrib dengan memerhatikan ufuk Barat sekitar tempat matahari terbenam.

Ini boleh dilakukan dengan mata kasar tanpa menggunakan sebarang peralatan kecuali untuk melihat matahari memerlukan penapis solar filter. Bagi mereka yang mempunyai teleskop atau teodolite atau binocular, inilah masanya untuk menguji peralatan dan kemahiran masing-masing supaya pada hari cerapan hilal Sya`ban, Ramadhan, dan Syawal kita tidak menghadapi masalah dalam melakukan cerapan hilal.

Sebenarnya Rasulullah SAW sendiri amat mengambil berat tentang kedudukan bulan pada setiap akhir bulan khasnya apabila menjelangnya bulan Rejab dan bulan-bulan yang seterusnya.


Sumber


Disediakan oleh: Bahagian Falak dan Sumber Maklumat Jabatan Mufti Negeri Melaka

Sebarang kemusykilan, pertanyaan, dan cadangan sila hubungi:-

Jabatan Mufti Melaka,
Aras 2, Imarah A,
Kompleks Majlis Agama Islam Melaka,
75150 Bukit Palah,
Melaku Darul Azim.
Telefon: 06-2847920/21
Faksimilie: 06-2848144
Emel: jkmmufti@tm.net.my

Rujukan:

Tafsiran Waktu Solat dari Sudut Astronomi,
Dr. (H) Haji Kassim bin Bahali,
Jabatan Mufti Negeri Melaka.

Hubungan Pemerintah dengan Ulama ke Arah Perkembangan Peradaban dan Merealisasikan Kemenangan
Dr. Abdul Halim Uwais
12 Julai 2003
Kamus Al-Muhid, muka surat 113
dan Lisan Al-Arabi, juzuk 1 / muka surat 411-412
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA