Ahad, 30 Ogos 2009

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE-52

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Alhamdulillah, marilah kita sama-sama merafa`kan kesyukuran kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia serta inayah-Nya dapat kita sama-sama mengecapi nikmat kemerdekaan selama 52 tahun. Tarikh 31 Ogos 2009 ini merupakan tarikh di mana negara kita akan meraikan sambutan ulangtahun hari kemerdekaan yang ke-52. Setelah 52 tahun, negara kita telah melalui banyak saat-saat yang menguji ketahanan dan kekuatan, dan setiap kali itu jugalah negara kita bangkit dan terus bangun berdiri sehingga menjadi satu nama yang G3 (Gah, Gempaq, Giler) di mata dunia.

Sepanjang perjalanan tersebut, terlalu ramai tokoh-tokoh yang datang dan pergi. Ada wira yang didendang, ada juga yang tidak didendang. Namun, mereka masih setia dan teguh mempertahankan negara yang tercinta.

Kita generasi baru sepatutnya mencontohi tokoh-tokoh ini. Mereka bukan sahaja ikhlas berjuang untuk negara tetapi sanggup berkorban apa sahaja untuk memastikan kemerdekaan yang telah dicapai dahulu tidak hilang begitu sahaja.

Tetapi apa yang berlaku merupakan sebaliknya. Dewasa ini, kita berusaha untuk memecahbelahkan diri sendiri. Kita tidak dapat menghayati semangat juang nenek moyang kita. Kita tidak lagi memikirkan untuk kesejahteraan semua. Kita lebih mementingkan diri sendiri. Apakah contoh yang telah kita berikan kepada generasi akan datang?

Atas sebab itulah, 1Malaysia patut dijadikan asas untuk membangunkan semula nilai-nilai yang telah diamalkan oleh generasi terdahulu. Ini bukan masanya untuk berburuk sangka, bertelagah dan mencaci sesama kita. Ini adalah masa untuk mengukuhkan semula ikatan yang kian longgar, yang mana jika dibiarkan, masa depan lebih 27 juta manusia yang berlindung di negara ini, Malaysia akan menjadi kelam.

Fikirkanlah! Sambutan kemerdekaan yang jatuh ketika bulan penuh rahmat, Ramadhan, pastinya mempunyai hikmah dan maksud yang cukup dalam. Jangan terlalu alpa dan leka dengan nikmat duniawi kerana ia tidak kekal. Cintailah akhirat kerana akhirat merupakan tempat yang kekal dan abadi.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-52.


Sabtu, 29 Ogos 2009

PENYELEWENGAN FAKTA OLEH REJIM YAHUDI


*Sila klik pada gambar untuk membaca dengan lebih jelas

Khamis, 27 Ogos 2009

LEBIH LIMA RIBU RAKYAT RAI KEMENANGAN SALLEH MAN










Lebih lima ribu rakyat Permatang Pasir membanjiri perkarangan Markaz Induk Pas di sini meraikan kemenangan bergaya wakil rakyat baru mereka Mohd Salleh Man yang menewaskan calon Umno-BN Rohaizat Othman.

Perkarangan markaz berkenaan mula dibanjiri seawal jam 9 malam. Ketibaan Mohd Salleh disambut dengan laungan ‘takbir’ di kalangan hadirin yang hadir selain ucapan taniah dari pelbagai kaum. Hadirin melaungkan hasrat untuk bertemu dan mendengar ucapan kemenangan dari Salleh Man.

Pimpinan Pakatan Rakyat turut turun meraikan kemenangan ini. Antara yang hadir termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Naib Presiden Pas Mahfuz Omar serta Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang Datuk Zahrain Hashim.

Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, pengundi di Permatang Pasir telah membuktikan kebijaksanaan mereka dengan memilih Salleh Man untuk menjadi Adun di kawasan berkenaan.

“Ini bukti pengundi boleh membezakan mana yang palsu dan mana yang betul, boleh bezakan yang hitam dan yang putih.

“Hari ini kita boleh lihat BN sudah pecah tembelang, lidah biawak bercabang dua,” katanya.

Sementara itu, Lim Kit Siang menyifatkan kemenangan berkenaan sebagai angin perubahan yang bertiup dalam politik Malaysia.

Menurutnya, kemenangan tersebut sangat bersejarah bagi Pakatan Rakyat di Pulau Pinang kerana membuktikan kekalahan teruk Perdana Menteri Najib Razak yang gagal dalam kempen 1 Malaysianya, lebih-lebih lagi Timbalan beliau, Muhyiddin Yassin.

Ini memperlihatkan kekuatan Pakatan Rakyat untuh hingga berjaya mematahkan konspirasi Umno untuk pecah belahkan Pakatan Rakyat.

“Mereka gagal dan terus gagal kerana Pakatan Rakyat akan bersatu berjuang hingga berjaya dalam pilihan raya akan datang dan akan terus ke Putrajaya menggantikan BN,” katanya.

Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau kecewa dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mengulas mengenai keputusan pilihan raya ini.

Mahfuz menjelaskan, sebagai seorang pemimpin Muhyiddin tidak boleh memaksa pengundi membuat keputusan kerana ia merupakan hak rakyat.

“Bila orang tidak mengundi mereka, dia kata tidak mahu berubah, rakyat Permatang Pasir tidak mahu perubahan. TPM kecewa sikap pengundi tidak mahu pembaharuan.

“Ini apa punya TPM bila rakyat tidak mengundi dia, dia kata rakyat tidak mahu pembangunan tidak mahu perubahan. Ini hak rakyat tidak boleh kata bila rakyat tolak BN rakyat tolak pembangunan,” katanya.

Mahfuz menambah, kenyataan yang dibuat seolah-olah memperlihatkan kerajaan cuba lari dari tanggungjawab membela rakyat seperti yang dijanjikan di Permatang Pasir.

Salleh Man yang berjaya menewaskan calon Umno-BN dengan majoriti 4551 undi dalam ucapannya yakin dengan sokongan dan kerjasama yang ditunjukkan dalam Pakatan Rakyat membuktikan kemenangan sebenar mereka dalam pilihan raya pada kali ini.

"Kemenangan ini kemenangan semua dan kemenangan bersama. Dengan semangat dan kekuatan besar Pakatan Rakyat di seluruh negara berkampung di di sini membolehkan kita mendapat kejayaan besar. Inilah kejayaan sebenar.

“Pas selaku satu-satu wakil parti dalam Pulau Pinang dan Pakatan Rakyat akan memberikan kerjasama dan membantu memantapkan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya. TVA

Rabu, 26 Ogos 2009

TAFSIRAN LOGO MADRASAH IDRISIAH


Bagi sesiapa yang hendak mengenali madrasah ini dengan lebih mendalam, bolehlah melawat ke laman web Madrasah Idrisiah Bukit Chandan. Berikut merupakan tafsiran logo Madrasah Idrisiah, iaitu madrasahku yang tercinta:-
  1. Warna logo melambangkan warna negeri Perak.
  2. Warna hijau melambangkan kesucian agama Islam.
  3. Buku melambangkan luasnya ilmu Allah dan bagaimana pelajar mengharungi gelombang dugaan untuk mencapai matlamat yang satu.
  4. Bulan sabit yang melingkari buku dan lautan memperlihatkan kelengkapan dan kesejahteraan agama Islam yang sejati.
  5. Kedudukan buku di tengah-tengah bendera menampakkan kepentingan ilmu untuk melahirkan generasi pelajar yang lebih sempurna, mantap, dan bersyakhsiah tinggi bagi mentadbir negara ke arah tamadun yang unggul dan syumul.

Sabtu, 22 Ogos 2009

FADHILAT DAN KEISTIMEWAAN RAMADAN


1. Bulan agung yang dipenuhi dengan pelbagai jenis amal ibadah (puasa, tarawih, sedekah, iktikaf, doa, munajat, tadarrus, dan sebagainya).

2. Bulan keampunan, rahmat, keberkatan dan janji pelepasan dari api neraka.

3. Bulan pembersihan jiwa melalui munajat, taubat, doa, dan sebagainya serta dapat meningkatkan sifat sabar, tabah, belas kasihan, dan sebagainya.

4. Bulan di dalamnya ada Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan.

5. Bulan permulaan Al-Quran diturunkan (Nuzul Al-Quran).

6. Bulan pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup.

7. Bulan syaitan diikat dan dibelenggu.

8. Bulan pahala ibadah dilipatgandakan. Amalan sunat dikira sebagai pahala amalan fardhu dan amalan fardhu pahalanya digandakan sehingga 700 kali ganda.


SIKAP NEGATIF SEBAHAGIAN UMAT ISLAM PADA BULAN RAMADAN

))) Berpuasa sebagai adat bukannya ibadat. Faktor iman dan mengharapkan keredhaan Allah tidak menjadi pendorong utama kepada ibadah puasa.


))) Berpuasa hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi perbuatan mungkar seperti berdusta, mengumpat, menipu, berkata lucah, dan sebagainya masih dilakukan.


))) Meninggalkan kelebihan bersahur, sedangkan banyak hadis yang menyatakan kelebihannya. Ada yang bangun lewat sehingga tertinggal solat Subuh.


))) Ibadah solat fardhu dan sunat hanya dilakukan pada bulan Ramadan sahaja.


))) Bersungguh-sungguh mengerjakan solat sunat Tarawih dan Witir, tetapi meninggalkan solat fardhu.


))) Meningkatkan amal untuk diri sendiri sahaja seperti membaca Al-Quran, tetapi mengabaikan penglibatan ahli keluarga untuk sama-sama beribadah.


))) Bersungguh-sungguh menghidupkan ibadah pada awal Ramadan sahaja, sedangkan banyak hadis yang menyatakan tentang kelebihan sepuluh hari terakhir, antaranya terdapat Lailatul Qadar.


))) Membaca Al-Quran hanya pada bulan Ramadan sahaja dan berakhir dengan berakhirnya Ramadan.


))) Membaca Al-Quran tanpa berusaha untuk menghayati dan memahami isi kandungannya sebagai panduan dalam kehidupan seharian.


))) Menghabiskan sebahagian besar masa pada bulan Ramadan dengan amalan yang sia-sia seperti menonton televisyen, bersiar-siar, berbual kosong, dan sebagainya.

))) Puasa tidak menginsafkan diri terhadap penderitaan dan kesengsaraan saudara se-Islam yang lain. Mereka terus dengan sifat bakhil dan kedekut.

))) Mensia-siakan kelebihan sepuluh akhir Ramadan termasuk meninggalkan amalan takbir hari raya pada malam hari raya kerana sibuk dengan program-program yang melalaikan.


))) Tidak mengeluarkan zakat fitrah di samping zakat harta. Sedangkan zakat merupakan ibadah yang mesti disertakan dengan ibadah solat dan puasa.

))) Melewat-lewatkan pengeluaran zakat fitrah, sedangkan Rasulullah SAW menggalakkan agar dikeluarkan lebih awal sebelum tibanya hari raya untuk diagih-agihkan kepada mereka yang berhak menerimanya.


Jumaat, 21 Ogos 2009

RAMADHAN... KETIBAANMU DINANTIKAN


"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa." (Surah Al-Baqarah:2:83)

"Apabila tiba bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Persiapan Menyambut Ramadhan

Menanti Ramadhan dengan penuh kegembiraan

Menanti ketibaan Ramadhan dengan penuh kegembiraan serta mengharapkan agar dapat melaksanakan ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain sepanjang Ramadhan kali ini dengan baik dan diterima oleh Allah SWT.

Mengulang kaji semula ilmu berkaitan dengan puasa
Meneliti semula rukun, syarat, sunnah, adab-adab dan hikmah-hikmah ibadah puasa supaya ibadah ini dapat dilakukan dengan sempurna.


Menguatkan azam

Menguatkan keazaman dan kesungguhan untuk melaksanakan ibadah puasa dengan sesempurna mungkin. Ramadhan adalah bulan untuk kita memperbanyakkan amalan, membersihkan diri daripada segala noda dan dosa serta menghiasi diri dengan segala sifat yang mulia.

Memperbanyak doa

Banyakkanlah doa kepada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan untuk melaksanakan ibadah puasa dengan hati yang penuh ikhlas, jujur, dan tawadhu`.

Berazam menghapuskan adat kebiasaan yang bertentangan dengan Islam

Contohnya seperti membazir dalam membeli juadah berbuka puasa, lalai dengan aktiviti yang sia-sia dan sebagainya.


Meningkatkan kesungguhan beramal secara berterusan

Bertekad supaya dapat menjaga dan memelihara benih-benih amalan yang telah kita semai dan suburkan pada bulan Ramadhan supaya tidak cacat dan rosak dan terus diamalkan pada bulan berikutnya.

Senarai Semakan Amalan pada Bulan Ramadhan

  • Iftar bersama
  • Tilawah
  • Tadarrus
  • Solat Tarawih
  • Qiyamullail
  • I`tikaf
  • Bersedekah
  • Menambah ilmu
  • Eratkan Silaturrahim
  • Menghayati Perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat

Ahad, 9 Ogos 2009

SOLDIERS OF ALLAH - 1924

Tujuan ana memasukkan lagu ini ke dalam blog adalah untuk memperingati hari Masjid Al-Aqsa dibakar pada 21 Ogos 1969. Hayatilah lagu ini...

MENGINGATI MASJID AL-AQSA DIBAKAR


FIRMAN Allah S.W.T.: ‘‘Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat ibadat serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan juga tempat-tempat sembahyang (synagogue kaum Yahudi) dan juga masjid-masjid yang sentiasa disebut nama Allah sebanyak-banyaknya.” (Surah al-Haaj: ayat 40)

Jika dalam ayat di atas, umat Islam telah dilarang daripada menjadikan rumah-rumah ibadat sebagai sasaran mereka di kala peperangan dan di kala damai, sebaliknya pula yang sentiasa berlaku terhadap umat Islam.

Sering kali jika berlaku apa-apa peperangan ke atas umat Islam, pasti musuh-musuh mereka menjadikan masjid-masjid sebagai sasaran.

Lihatlah apa yang berlaku di Babri, India, masjid-masjid di Bosnia lewat konflik Serb-Bosnia, masjid-masjid di Iraq yang sentiasa terdedah kepada penghinaan dan serangan tentera-tentera “paling bertamadun” di dunia, iaitu tentera-tentera Amerika Syarikat (AS).

Di tanah Palestin, ada masjid yang dirobohkan, ada yang dijadikan muzium dan ada yang ditukarkan kepada kandang lembu.

Ada juga masjid yang ditukarkan menjadi kelab malam dan rumah pelacuran seperti mana yang dilaporkan oleh wartawan Palestine Return Centre, United Kingdom dalam filem dokumentari mereka The Cries of the Minarets.

Lebih malang lagi, Masjid al-Aqsa sendiri, yang merupakan masjid ketiga suci umat Islam dan juga kiblat pertama mereka sendiri tidak terlepas daripada ancaman dan juga aksi ganas pihak Zionis.

Dalam peperangan 1967 yang menyaksikan kemenangan rejim Israel dengan bantuan AS, pihak tentera Zionis telah memasuki Masjid al-Aqsa dan menawannya.

Dengan bertrak-trak tentera rejim, mereka telah menari-nari di sekeliling Masjid al-Aqsa sambil menyanyikan lagu:

“Letakkan apricot ke atas epal, agama Muhammad telah hancur dan musnah, Muhammad telah mati. ‘‘Yang ditinggalkan hanyalah anak-anak perempuan yang lemah.”

Lagu tersebut membawa makna bahawa dengan kemenangan mereka yang dianggap sebagai mukjizat itu merupakan berakhirnya agama Islam.

Ia juga menandakan kegagalan umat Islam mempertahankan masjid mereka itu menunjukkan bahawa umat Islam telah kehilangan orang-orang lelaki yang mampu mempertahankan masjid mereka!

Bermula tarikh itu, pihak rejim telah mengisytiharkan tembok sebelah barat Masjid al-Aqsa sebagai milik mereka.

Tembok sebelah barat masjid yang dikenali selama berkurun-kurun sebagai ‘Tembok Buraq’ (kerana dikatakan Rasulullah telah mengikat Buraq di tembok tersebut sewaktu peristiwa Israk dan Mikraj) itu telah ditukarkan namanya kepada ‘Tembok Meratap’.

Ia telah diisytiharkan secara rasmi juga melalui tarikh tersebut sebagai kiblat warga Yahudi untuk mereka menunaikan ibadat ‘meratap’ di atas kehilangan ‘Haykal’ yang pernah dibina oleh Nabi Sulaiman di atas tapak tersebut.

Sehingga kini, penganut agama Yahudi yang berfahaman Zionis dari serata dunia akan menunaikan ‘haji’ mereka di sana.

Bagi tentera mereka yang akan menjawat jawatan tertinggi dalam angkatan tentera rejim juga akan menunaikan ‘angkat sumpah’ di tembok tersebut untuk mempertahankan negara Israel (Erez Yizrael) dengan nyawa dan darah mereka.

Perlu diingat, penawanan ke atas tembok Buraq itu bukanlah satu tindakan yang terakhir mereka terhadap Masjid al-Aqsa, tetapi merupakan permulaan bagi mereka untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dan membina semula kuil ibadat mereka yang dinamakan sebagai The Mount Temple ataupun Haykal Sulayman.



Sebagai bukti yang kukuh, pada 21 Ogos 1969, seorang penganut fahaman Zionis beragama Kristian dari Switzerland Dennis Micheal telah membakar sebahagian daripada ruang utama Masjid al-Aqsa.

Antara yang mengalami kemusnahan daripada tindakan keganasan tersebut ialah mimbar masjid yang telah dibina semenjak zaman Nuruddin al-Zinki dan pernah digunakan oleh Salahuddin al-Ayyubi di zaman pemerintahannya.

Sehari suntuk, umat Islam telah bertungkus lumus bersama-sama memadamkan api dan juga menyelamatkan kesan -kesan sejarah di masjid tersebut.

Hasil daripada peristiwa pembakaran Masjid al-Aqsa ini, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) telah ditubuhkan untuk menyatukan negara-negara majoriti umat Islam agar menjadikan isu Palestin dan Masjid al-Aqsa sebagai isu utama umat Islam sedunia.

Bagi penjenayah yang telah bertanggungjawab membakar Masjid al-Aqsa pula, beliau telah dibebaskan oleh kerajaan rejim Zionis kerana didapati ‘tidak siuman’, walaupun dari segi profesionnya beliau merupakan seorang doktor perubatan!

Sebagai reaksi terhadap peristiwa pembakaran tersebut, negara-negara Islam telah bersetuju untuk menubuhkan OIC sebagai langkah menjadikan isu Palestin dan Masjid al-Aqsa sebagai isu utama umat Islam sedunia.

Sejak hari itu jugalah, 21 Ogos dianggap sebagai hari memperingati Masjid al-Aqsa sedunia.

Sayangnya, sehingga kini, bukan hanya sekadar isu Palestin tidak dapat diselesaikan oleh OIC, malah isu Masjid al-Aqsa yang sepatutnya diambil peduli oleh setiap umat Islam terpinggir dari agenda OIC.

Ratusan resolusi yang telah diluluskan oleh OIC, namun di peringkat praktikalnya, tiada satu pun yang dapat dilaksanakan.

Lebih malang lagi, dalam mengemukakan apa-apa penyelesaian terhadap isu Palestin, negara-negara OIC hanya menuruti sahaja apa-apa keputusan yang dibawa dari Washington dan Tel Aviv.

Sehingga detik ini, walaupun sudah hampir tiga ancaman yang diumumkan oleh golongan radikal Yahudi semenjak awal tahun 2005 untuk merempuh masuk dan menawan Masjid al-Aqsa, tiada apa-apa keputusan yang dikeluarkan oleh OIC dan mana-mana negara anggotanya berkaitan perkara tersebut.

Sepatutnya, negara-negara OIC menjadikan tarikh 21 Ogos sebagai tarikh untuk diingati oleh semua umat Islam di serata dunia setiap tahun.


Ahad, 2 Ogos 2009

PERHIMPUNAN ANTI-ISA

Assalamualaikum.
Di bawah ini merupakan tayangan tentang demonstrasi atau perhimpunan Anti-ISA yang telah diadakan pada 1 Ogos yang lalu. Dalam tayangan ini juga terdapat peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang demonstrasi tersebut berlangsung. Saksikanlah...



Sabtu, 1 Ogos 2009

BULAN SYA`BAN


Pendahuluan

Erti Sya`ban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraisy pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

Apabila Rasulullah SAW datang, baginda mengekalkan nama itu sehingga kini. Rasulullah SAW telah menyebut tentang fadhilat bulan Sya`ban dalam hadis-hadisnya. Antara hadis yang paling masyhur ialah seperti yang berikut: Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabatnya, "Tahukah kamu sekalian mengapa dinamakan dengan bulan Sya`ban?" Para sahabat menjawab, "Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui." Sabda Rasulullah SAW, "Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali." (Dipetik daripada kitab Raudhatul `Ulama).

Fadhilat Sya`ban

Bulan Sya`ban merupakan bulan kedua selepas bulan Rejab yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab ialah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, pada bulan Sya`ban ialah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala perkara yang tercela, dan pada bulan Ramadhan pula adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Sya`ban ialah:-

1. Memperbanyak puasa sunat. Sebagaimana yang telah dijelaskan dahulu bahawa Rasulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Sya`ban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu, kita selaku umat baginda patut mencontohinya dalam memperbanyak puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Sya`ban ini.

Dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Sya`ban, tiga hari pada pertengahan Sya`ban, dan tiga hari pada pengakhiran Sya`ban, maka Allah Taala mencatatkan pahala untuknya seperti pahala tujuh puluh Nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

2. Memperbanyak doa, zikir, dan selawat kepada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW, "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Sya`ban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya, serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya pada tahun itu daripada segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik daripada kitab Zubdatul Wa`izhin)

3. Bertaubat. Diriwayatkan daripada Umamah Al-Bahili RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Apabila telah masuk bulan Sya`ban, sukacitalah dirimu dan perbaikilah niatmu."

Peristiwa-peristiwa Penting

1. Malam Nisfu Sya`ban

Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, "Jibril AS telah datang pada malam Nisfu Sya`ban lalu berkata, 'Ya Muhammad, pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilah dan kerjakanlah sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua-dua tanganmu ke langit! '

Kata saya (Nabi Muhammad), 'Hai Jibril, apakah ertinya malam ini?' Jawab dia (Jibril), 'Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh hitam, orang-orang yang suka permusuhan atau pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang melakukan zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, orang-orang yang suka mengadu domba (batu api), dan prang-ornag yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni segala kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulangi perbuatannya itu."

Maka pergilah Nabi Muhammad SAW untuk mengerjakan sembahyang serta menangis di dalam sujudnya dengan membaca, "Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksa-Mu dan kemurkaan-Mu, dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepada-Mu, sebagaimana Engkau memuji-muji kepada diri-Mu sendiri, maka segala puji bagi-Mu sehingga Engkau redha." (Dipetik daripada kitab Zubdatul Wa`izhin).

2. Penukaran Arah Kiblat


Pada awal pewajiban perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat menunaikan solat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Ini telah menjadi satu kontroversi pada waktu itu. Umat Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu mengadap Baitul Muqaddis.

Umat Islam telah ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para Sahabat RHUM telah mengadu kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW menyuruh mereka supaya terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah baru daripada Allah SWT. Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Mendengar tentang apa yang berlaku pada ketika itu. Allah SWT telah mewahyukan agar Rasulullah SAW mengadap ke Baitullah Kaabah.

Sebahagian ulama' sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau mengimamkan solat. Sebahagian ulama'mengatakan pada solat Asar, ada yang mengatakan Maghrib dan ada yang meriwayatkan pada solat Isya’. Rasulullah SAW sebagai imam terus mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat sebagai ma'mum.

3. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi`)

Bani Mustaliq ialah salah satu puak daripada kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat daripada puak Badwi. Peperangan ini adalah turutan daripada peperangan bani Quraizhah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW supaya keluar dari Madinah. Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5 Hijrah. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.

Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang puteri terkemuka Bani Mustaliq iaitu Barrah (nama sebenarnya Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq). Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq. Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.

Tetapi, Barrah waktu itu terus menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya. Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu bersetuju untuk membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah. Rasulullah SAW menukarkan nama Barrah menjadi Juwairiyyah. Tindakan Rasulullah SAW ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, antaranya ialah ramai orang di kalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan antara umat Islam dan Bani Mustaliq. Juwairiyyah meninggal dunia pada tahun 56 Hijrah.

Aktiviti Jabatan Mufti Melaka


Bermula daripada bulan Rejab kita disarankan agar lebih prihatin tentang peredaran dan kedudukan matahari dan bulan. Ini ialah persediaan kita untuk merukyah hilal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah. Untuk meneruskan latihan dan revesi kita, pada 29 dan 30 Rejab ini sekali lagi kita merukyah dan merekodkan peredaran dan kedudukan matahari dan bulan. Keluarkan segala peralatan yang kita ada dan gunakan segala kemahiran yang kita ada untuk menjejaki hilal Syaaban.

Bagi yang masih belum berkemampuan untuk memiliki sebarang peralatan falak, jangan kecewa atau menjadikan itu sebagai alasan untuk mengasingkan diri. Keluar dan latihlah mata kita pada petang 29 dan 30 Rejab itu agar mata kita akan terlatih dan bersedia untuk merukyah hilal.


Sumber Rujukan

Akmal Haji Mohd Zain, Mohd Shafwan Amrullah, Isteri-isteri Rasulullah, Pustaka Al-Mizan, Kuala Lumpur, 1989, halaman 103.
Yayasan Ummi Malaysia, Bimbingan Rohani, 2000, http://www.teennet.com.my/art_48.html
Jabatan Agama Islam Melaka, Peristiwa-peristiwa Dalam Bulan Islam, Syaaban 1425H

Disediakan Oleh:-
Bahagian Falak dan Sumber Maklumat
Jabatan Mufti Negeri Melaka

Sebarang pertanyaan atau cadangan, sila emailkan kepada:
jkmmufti@tm.net.my
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA