Sabtu, 1 Ogos 2009

BULAN SYA`BAN


Pendahuluan

Erti Sya`ban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraisy pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

Apabila Rasulullah SAW datang, baginda mengekalkan nama itu sehingga kini. Rasulullah SAW telah menyebut tentang fadhilat bulan Sya`ban dalam hadis-hadisnya. Antara hadis yang paling masyhur ialah seperti yang berikut: Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabatnya, "Tahukah kamu sekalian mengapa dinamakan dengan bulan Sya`ban?" Para sahabat menjawab, "Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui." Sabda Rasulullah SAW, "Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali." (Dipetik daripada kitab Raudhatul `Ulama).

Fadhilat Sya`ban

Bulan Sya`ban merupakan bulan kedua selepas bulan Rejab yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab ialah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, pada bulan Sya`ban ialah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala perkara yang tercela, dan pada bulan Ramadhan pula adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Sya`ban ialah:-

1. Memperbanyak puasa sunat. Sebagaimana yang telah dijelaskan dahulu bahawa Rasulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Sya`ban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu, kita selaku umat baginda patut mencontohinya dalam memperbanyak puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Sya`ban ini.

Dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Sya`ban, tiga hari pada pertengahan Sya`ban, dan tiga hari pada pengakhiran Sya`ban, maka Allah Taala mencatatkan pahala untuknya seperti pahala tujuh puluh Nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

2. Memperbanyak doa, zikir, dan selawat kepada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW, "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Sya`ban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya, serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya pada tahun itu daripada segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik daripada kitab Zubdatul Wa`izhin)

3. Bertaubat. Diriwayatkan daripada Umamah Al-Bahili RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Apabila telah masuk bulan Sya`ban, sukacitalah dirimu dan perbaikilah niatmu."

Peristiwa-peristiwa Penting

1. Malam Nisfu Sya`ban

Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, "Jibril AS telah datang pada malam Nisfu Sya`ban lalu berkata, 'Ya Muhammad, pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilah dan kerjakanlah sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua-dua tanganmu ke langit! '

Kata saya (Nabi Muhammad), 'Hai Jibril, apakah ertinya malam ini?' Jawab dia (Jibril), 'Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh hitam, orang-orang yang suka permusuhan atau pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang melakukan zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, orang-orang yang suka mengadu domba (batu api), dan prang-ornag yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni segala kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulangi perbuatannya itu."

Maka pergilah Nabi Muhammad SAW untuk mengerjakan sembahyang serta menangis di dalam sujudnya dengan membaca, "Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksa-Mu dan kemurkaan-Mu, dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepada-Mu, sebagaimana Engkau memuji-muji kepada diri-Mu sendiri, maka segala puji bagi-Mu sehingga Engkau redha." (Dipetik daripada kitab Zubdatul Wa`izhin).

2. Penukaran Arah Kiblat


Pada awal pewajiban perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat menunaikan solat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Ini telah menjadi satu kontroversi pada waktu itu. Umat Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu mengadap Baitul Muqaddis.

Umat Islam telah ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para Sahabat RHUM telah mengadu kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW menyuruh mereka supaya terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah baru daripada Allah SWT. Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Mendengar tentang apa yang berlaku pada ketika itu. Allah SWT telah mewahyukan agar Rasulullah SAW mengadap ke Baitullah Kaabah.

Sebahagian ulama' sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau mengimamkan solat. Sebahagian ulama'mengatakan pada solat Asar, ada yang mengatakan Maghrib dan ada yang meriwayatkan pada solat Isya’. Rasulullah SAW sebagai imam terus mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat sebagai ma'mum.

3. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi`)

Bani Mustaliq ialah salah satu puak daripada kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat daripada puak Badwi. Peperangan ini adalah turutan daripada peperangan bani Quraizhah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW supaya keluar dari Madinah. Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5 Hijrah. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.

Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang puteri terkemuka Bani Mustaliq iaitu Barrah (nama sebenarnya Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq). Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq. Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.

Tetapi, Barrah waktu itu terus menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya. Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu bersetuju untuk membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah. Rasulullah SAW menukarkan nama Barrah menjadi Juwairiyyah. Tindakan Rasulullah SAW ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, antaranya ialah ramai orang di kalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan antara umat Islam dan Bani Mustaliq. Juwairiyyah meninggal dunia pada tahun 56 Hijrah.

Aktiviti Jabatan Mufti Melaka


Bermula daripada bulan Rejab kita disarankan agar lebih prihatin tentang peredaran dan kedudukan matahari dan bulan. Ini ialah persediaan kita untuk merukyah hilal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah. Untuk meneruskan latihan dan revesi kita, pada 29 dan 30 Rejab ini sekali lagi kita merukyah dan merekodkan peredaran dan kedudukan matahari dan bulan. Keluarkan segala peralatan yang kita ada dan gunakan segala kemahiran yang kita ada untuk menjejaki hilal Syaaban.

Bagi yang masih belum berkemampuan untuk memiliki sebarang peralatan falak, jangan kecewa atau menjadikan itu sebagai alasan untuk mengasingkan diri. Keluar dan latihlah mata kita pada petang 29 dan 30 Rejab itu agar mata kita akan terlatih dan bersedia untuk merukyah hilal.


Sumber Rujukan

Akmal Haji Mohd Zain, Mohd Shafwan Amrullah, Isteri-isteri Rasulullah, Pustaka Al-Mizan, Kuala Lumpur, 1989, halaman 103.
Yayasan Ummi Malaysia, Bimbingan Rohani, 2000, http://www.teennet.com.my/art_48.html
Jabatan Agama Islam Melaka, Peristiwa-peristiwa Dalam Bulan Islam, Syaaban 1425H

Disediakan Oleh:-
Bahagian Falak dan Sumber Maklumat
Jabatan Mufti Negeri Melaka

Sebarang pertanyaan atau cadangan, sila emailkan kepada:
jkmmufti@tm.net.my
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA