Sabtu, 22 Ogos 2009

FADHILAT DAN KEISTIMEWAAN RAMADAN


1. Bulan agung yang dipenuhi dengan pelbagai jenis amal ibadah (puasa, tarawih, sedekah, iktikaf, doa, munajat, tadarrus, dan sebagainya).

2. Bulan keampunan, rahmat, keberkatan dan janji pelepasan dari api neraka.

3. Bulan pembersihan jiwa melalui munajat, taubat, doa, dan sebagainya serta dapat meningkatkan sifat sabar, tabah, belas kasihan, dan sebagainya.

4. Bulan di dalamnya ada Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan.

5. Bulan permulaan Al-Quran diturunkan (Nuzul Al-Quran).

6. Bulan pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup.

7. Bulan syaitan diikat dan dibelenggu.

8. Bulan pahala ibadah dilipatgandakan. Amalan sunat dikira sebagai pahala amalan fardhu dan amalan fardhu pahalanya digandakan sehingga 700 kali ganda.


SIKAP NEGATIF SEBAHAGIAN UMAT ISLAM PADA BULAN RAMADAN

))) Berpuasa sebagai adat bukannya ibadat. Faktor iman dan mengharapkan keredhaan Allah tidak menjadi pendorong utama kepada ibadah puasa.


))) Berpuasa hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi perbuatan mungkar seperti berdusta, mengumpat, menipu, berkata lucah, dan sebagainya masih dilakukan.


))) Meninggalkan kelebihan bersahur, sedangkan banyak hadis yang menyatakan kelebihannya. Ada yang bangun lewat sehingga tertinggal solat Subuh.


))) Ibadah solat fardhu dan sunat hanya dilakukan pada bulan Ramadan sahaja.


))) Bersungguh-sungguh mengerjakan solat sunat Tarawih dan Witir, tetapi meninggalkan solat fardhu.


))) Meningkatkan amal untuk diri sendiri sahaja seperti membaca Al-Quran, tetapi mengabaikan penglibatan ahli keluarga untuk sama-sama beribadah.


))) Bersungguh-sungguh menghidupkan ibadah pada awal Ramadan sahaja, sedangkan banyak hadis yang menyatakan tentang kelebihan sepuluh hari terakhir, antaranya terdapat Lailatul Qadar.


))) Membaca Al-Quran hanya pada bulan Ramadan sahaja dan berakhir dengan berakhirnya Ramadan.


))) Membaca Al-Quran tanpa berusaha untuk menghayati dan memahami isi kandungannya sebagai panduan dalam kehidupan seharian.


))) Menghabiskan sebahagian besar masa pada bulan Ramadan dengan amalan yang sia-sia seperti menonton televisyen, bersiar-siar, berbual kosong, dan sebagainya.

))) Puasa tidak menginsafkan diri terhadap penderitaan dan kesengsaraan saudara se-Islam yang lain. Mereka terus dengan sifat bakhil dan kedekut.

))) Mensia-siakan kelebihan sepuluh akhir Ramadan termasuk meninggalkan amalan takbir hari raya pada malam hari raya kerana sibuk dengan program-program yang melalaikan.


))) Tidak mengeluarkan zakat fitrah di samping zakat harta. Sedangkan zakat merupakan ibadah yang mesti disertakan dengan ibadah solat dan puasa.

))) Melewat-lewatkan pengeluaran zakat fitrah, sedangkan Rasulullah SAW menggalakkan agar dikeluarkan lebih awal sebelum tibanya hari raya untuk diagih-agihkan kepada mereka yang berhak menerimanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA