Isnin, 7 September 2009

NUZUL AL-QURAN



Sememangnya sudah menjadi tradisi bagi kita umat Islam, pada setiap tanggal 17 Ramadhan kita akan mengadakan peringatan Nuzul al-Quran.

Bahkan hampir di seluruh negeri-negeri Islam, pemerintahan setempat secara rutin melaksanakan peringatan tersebut setiap tahun, yang seringkali digabungkan dengan peristiwa Perang Badar al-Kubra (berlaku pada 17 Ramadhan tahun kedua Hijriyyah, ketika umat Islam pertama kali melaksanakan puasa Ramadhan).

Peristiwa Nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW. Perkataan 'Nuzul' bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW maka al-Quran memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

'Al-Quran' bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal Tauhid, Ibadat, Jinayyat, Mu`amalat, Sains, Teknologi, dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata 'al-Quran mukjizat akhir zaman' atau 'al-Quran yang mempunyai mukjizat'. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran, tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah SWT, "Dan tidak seekor binatang pun yang melata di muka Bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua-dua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)." (al-An`am: 38)

Al-Quran adalah Hidayah, Rahmat, Syifa', Nur, Furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai an-Nur bererti cahaya yang menerangi. Al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan az-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada surah al-`Alaq yang bermaksud, "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (al-`Alaq: 1-5)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA