Ahad, 31 Julai 2011

SELAMATKAH "SELAMAT HARI RAYA" KITA?



.::Dipetik dari Majalah Solusi Isu No. 34, isu khas sempena Ramadan dan Syawal halaman 6 ruangan 'Salam Editor'. Walaupun `Id al-Fitr belum menjelma, namun atas kesuntukan masa ana sebagai budak asrama, maka ana akan menulis post ini lebih awal daripada biasa. Selamat Menyambut Ramadan al-Mubarak 1432H ^_^::.

Ramadan datang lagi dengan ribuan peluang untuk meraih kebaikan dan keberkatan. Sebelumnya kita menunggu dengan pelbagai harapan dan azam. Azam untuk melakukan yang terbaik. Namun begitu, mengapa nafsu masih tidak jinak? Amukannya masih buas dan liar. Peluang keemasan terlepas dan terbiar.

Azam yang membara menjadi kendur dan akhirnya terbentur. Hati menjadi korban dalam perang maha dahsyat dalam diri. Mulut, telinga, mata, hidung, dan seluruh diri masih tegar dan rela dengan dosa. Berpuasa hanya sekadar menahan lapar dan dahaga. Kesan pada jiwa dan pancaindera masih di takuk lama.

Kita teringat sebuah hadis riwayat Imam Ahmad yang menceritakan perbuatan Rasulullah SAW yang sedang menaiki mimbar, lalu baginda menyebut "amin" sebanyak tiga kali. Selesai memberi khutbah, para sahabat bertanya kenapa disebut "amin" sebanyak tiga kali?

Rasulullah SAW menjawab bahawa Jibril datang ketika itu dan berdoa. Sangat kecewa dan rugilah bagi:

  • Orang yang apabila disebut nama Muhammad, tidak dibaca selawat atasnya.
  • Orang yang sempat hidup bersama orang tuanya, tetapi tidak dapat masuk syurga.
  • Orang yang sempat hidup dalam bulan Ramadan, tetapi tidak terampun dosa-dosanya.
Ah, malangnya jika kita termasuk dalam tiga golongan itu! Lalu, apakah kekesalan pada Ramadan yang lalu akan berulang lagi tahun ini? Hingga dengan itu apabila takbir Syawal bergema, kita sayu kerana terasa Ramadan telah pergi meninggalkan diri kita yang masih bergelumang dosa. Rupa-rupanya, kita masih berangan-angan dengan rahmat dan pengampunan Allah tanpa berjuang penuh kesungguhan. Kita kalah kerana selalu mengalah di jalan mujahadah.

Malangnya, tidak banyak antara kita yang menyedari hakikat ini. "Mood" hari raya kadangkala sudah menenggelamkan keberkatan Ramadan yang belum pun tiba. Beradabkah kita dengan Allah? Bayangkan dua orang tetamu sedang menuju pintu rumah kita. Seorang yang lebih mulia berjalan di hadapan, sementara seorang lagi berjalan di belakang. Siapakah yang patut kita alu-alukan dahulu?

Tentulah yang di hadapan. Sudahlah dia lebih mulia, dia pula berjalan di hadapan. Tentulah tidak beradab kalau kita mengalu-alukan tetamu yang di belakang dan meminggirkan tetamu yang berjalan di hadapan. Begitulah kita selalunya. "Tetamu" Ramadan yang lebih mulia dan awal sering dipinggirkan kerana sibuk membuat persiapan menyambut Syawal. Akibatnya, amalan tadarrus, tarawih, qiyamullail, iktikaf, dan lain-lain amalan mulia terencat oleh kesibukan menyediakan baju raya, kuih raya, duit raya, dan lain-lain.

Hari raya ialah hari kemenangan dan kesyukuran, bukan hari kekalahan yang mempamerkan kekufuran. Namun, itulah yang berlaku kini. Pada hari raya terserlah segala "kekalahan-kekalahan" kita. Zikir kita dengan kalimah takbir, tahmid, dan tasbih telah digantikan dengan nyanyian dan tarian yang melalaikan. Pendedahan aurat, pergaulan bebas, pembaziran, dan lain-lain perbuatan dosa dan sia-sia sudah begitu dominan dan membudaya.

Dengan segala bentuk kemungkaran itu, selamatkah kita pada hari raya ini? Maksudnya, bukan saja selamat dari kemalangan jalan raya ataupun mercun raya, tetapi yang lebih penting adakah kita selamat dari neraka dan masuk syurga? Justeru, Solusi 34 menawarkan peluang bermuhasabah... Sekiranya ini Ramadan terakhir, layakkah kita berhari raya?

Pahrol Mohamad Juoi
Ketua Editor Majalah Solusi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA