Ahad, 9 Disember 2012

HAMAS - 25 TAHUN PENUH SUKA DAN DUKA


Jalan Menuju Pembebasan!
Menuju ke Merdeka!
Sambutan Ulangtahun ke 25 Tahun HAMAS

8 Disember 2012 – Tentunya ia adalah hari yang bersejarah buat HAMAS, sebuah gerakan Islam Palestin yang berjuang untuk masa depan rakyat Palestin dan bertekad membebaskan Masjid al-Aqsa daripada cengkeman Zionis Israel. Sambutan Jubli Perak – 25 Tahun memberikan satu gambaran kematangan, kedewasaan dan satu anjakan baru bagi mereka.
Puluhan ribu rakyat Palestin membanjir satu perhimpunan khas bagi sambutan acara utama HAMAS 25 Tahun di komples Al-Qatiba, barat Bandar Gaz. Hujan renjai-renjai tidak menghalang mereka untuk terus setia bersama HAMAS dan merasai satu sambutan dengan penuh kehangatan ukhuwah dan semangat juang yang tinggi.
HAMAS tidak muncul secara tiba-tiba. Ia adalah satu rentetan perjuangan yang panjang, berliku penuh duka, disimbahi darah dan diwarnai pengorbanan yang tidak terkira. HAMAS ditubuhkan secara rasmi pada 8 Disember 1987 yang diasaskan oleh Syeikh Ahmad Yassin dan beberapa orang sahabat beliau seperti Dr Abdul Aziz Rantisisi, Salah Syahadah, Muhammad Sham’ah, Isa al-Nashar, Abdul Fatah Dukhan dan Ibrahim al-Yazuri. Penubuhan HAMAS adalah rentetan penstrukturan semula Ikhwanul Muslimin Palestin pada ketika itu.


Di pentas Utama Sambutan. Sokongan Daripada Puluhan Ribu Rakyat Palestin. Juga diikuti oleh rombongan rakyat Malaysia yang mengikuti Misi Solidariti Gaza 2012
Kekuatan HAMAS
HAMAS dan perjuangan Palestin sememangnya tidak dapat dipisahkan. Sesiapa yang menidakan atau menafikan peranan HAMAS serta jihad mereka – ia bererti mereka buta akan sejarah Palestin! Para pejuang mereka, terutama sayap ketenteraan mereka iaitu Briged al-Qassam sangat-sangat digeruni, ditakuti dan diawasi oleh pihak Zionis Israel.
Disiplin, kecekapan, kesungguhan, keberanian dan kepatuhan mereka kepada kepimpinan membuat merekalah tentera yang sentiasa disebut-sebut sebagai tentera contoh. Sehingga ada yang menggelarkan mereka sebagai tentera malaikat.
Syarat penyertaan yang ketat dalam Briged al-Qassam seperti konsisten Solat Subuh berjemaah selama 6 bulan tidak tertinggal, hafal Al-Quran dan hadis, puasa sunat Isnin Khamis dan sebagainya – menjadi ia pasukan tentera yang hebat, luar biasa dan ditakuti musuh. Ternyata, bantuan dan pertolongan Allah SWT mengiringi setiap derapan langkahan mereka di medan tempur!


Salah seorang pejuang HAMAS, komandan Briged al-Qassam. 
Populariti HAMAS melonjak
Kemenangan HAMAS secara mengejut dan diluar jangkaan pada 25 Januari 2006 dalam Pilihan Raya telah membuka suatu lembaran baru bagi perjuangan mereka ketika itu. Sungguh, mereka sendiri tidak menyangkakan kemenangan 74 kerusi daripada 132 kerusi yang dipertandingkan. Tetapi, jelas kepada dunia – rakyat Palestin memberikan kepercayaan kepada mereka untuk memimpin mereka.
Populariti HAMAS yang sebelum ini yang banyak melakukan khidmat kebajikan untuk rakyat melonjakan imej mereka untuk diterima rakyat Palestin sebagai kerajaan yang memerintah. Bahkan, ia lebih terbukti lagi selepas mereka menjadi kerajaan Palestin dengan slogan “hidup untuk rakyat”. Mana tidaknya, kesemua menteri kabinetnya tidak mengambil gaji dan hidup mereka fokus untuk kebajikan, perjuangan dan pembangunan rakyat.
Inilah sebenar-benarnya pemimpin! Kemenangan HAMAS adalah satu fenomena, dan ia adalah fenonema yang menggegarkan dunia. Ia bukanlah organisasi atau gerakan yang bergantung kepada populariti individu tetapi ia kuat kepada kekuatan yang ada pada HAMAS itu sendiri.
Barisan pejuang yang hebat. Bersiap siaga sentiasa!

Apa kata mereka? – Tentang HAMAS
Jeneral Ori Saghi, Ketua Shin Bet iaitu Bahagian Perisikan Tentera rejim Zionis mengatakan :
“ HAMAS memiliki budaya kerja profesional, amalan kerahsiaan pada tahap tertinggi dan perlaksanaan operasi yang menonjol dan berkesan.”

Para penganalisis rejim Zionis, memberikan komentar yang positif tentang HAMAS :
“ HAMAS sudah menghasilkan sekumpulan sepsis rakyat Palestin yang baru dan mereka adalah para pejuang Palestin yang baru!.”

Yaacov Jevri, Ketua Shabak pernah mengatakan :
“ HAMAS adalah satu-satunya gerakan yang kami gagal menembusinya. Ini kerana kekuatan sistem dan disiplin gerakan itu.”
Kepulangan Pemimpin Utama HAMAS – Khalid Mesh’al disambut penuh kegembiraan dan kesyukuran. Turut kelihatan Perdana Menteri Palestin, Ismail Haneyyah.
Satu yang menggembirakan HAMAS bagi sambutan ulang tahun ke 25 ialah kepulangan pemimpin utama mereka iaitu Khalid Mesh’al . Bertahun lamanya beliau berada dalam buangan selepas kebangkitan rakyat Palestin menentang kekejaman tentera Zionis Israel pada tahun 1987. Namun, Maha Suci Allah SWT yang mengatur segalanya – beliau akhirnya pulang ke tanah airnya sendiri di bumi Gaza.
Siapakah beliau?
Khalid adalah pemimpin utama HAMAS. Selepas peristiwa pembunuhan Syeikh Ahmad Yassin dan Dr Abdul Aziz al-Rantissi pada tahun 2004, Khalid menjadi tumpuan media. Nama beliau dikaitkan sebagai bakal pengganti al-Rantissi. Namun atas faktor keselamatan HAMAS merahsiakan senarai kepimpinan utama mereka, ramai penganalisis politik menjangka beliau adalah tokoh yang paling layak untuk mengambil alih amanah itu.
Kepulangannya memberikan satu signal kepada keutamaan gerak kerja HAMAS di masa hadapan dan halatuju perjuangan pembebasan Al-Aqsa. Jelas kepada kita, HAMAS sangat bersungguh-sungguh dan penuh komited dengan perjuangan mereka. Banyak perkara yang perlu dikaji, diteladani dan diambil pengajaran daripada perjuangan mereka.
Lambaian pemimpin yang hidup mereka untuk rakyat!
Penutup : Sikap Dan Sumbangan Kita
Sewajarnya – semangat, prinsip, kesungguhan dan juga komitmen mereka harus dicontohi dan diterjemahkan ke dalam perjuangan yang lebih relevan dan sesuai dengan situasi kita di Malaysia. Anak-anak muda Malaysia harus melihat semua ini dengan kaca mata yang lebih positif dan menjadikan ia inspirasi dan motivasi dalam berjuang untuk menggapai impian, cita-cita dan harapan yang diidamkan.
HAMAS telah berjaya membuka mata seluruh manusia untuk melihat bahawa pembebasan Masjid al-Aqsa adalah tanggungjawab seluruh ummat Islam dan ia adalah isu kemanusiaan sejagat. Mereka telah berjaya membuktikan komitmen mereka dalam perjuangan yang suci ini.
Justeru, kita harus persoalkan apakah sumbangan yang telah kita lakukan kepada Masjid Al-Aqsa dan rakyat Palestin?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA