Khamis, 18 Julai 2013

#112 - MENCEGAH KEMUFLISAN PAHALA RAMADAN


بسم الله الرحمن الرحيم. السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.

Alhamdulillah, Allah SWT masih memberikan peluang dan kesempatan kepada kita untuk bertemu bulan Ramadan yang mulia ini. Rasanya masih belum terlambat untuk ana mengucapkan 'Selamat mengimarahkan bulan Ramadan'. Semoga segala amalan kebajikan yang kita lakukan serta segala fahsya' dan munkar yang kita tinggalkan dicatat sebagai pahala di sisi-Nya, Insya-Allah.

Baiklah, kita kembali kepada topik utama entry pada kali ini. Puasa sebenarnya suatu latihan, suatu tarbiyyah dalam hidup Muslim. Puasa ibarat sebuah institusi atau madrasah latihan yang bertujuan membentuk disiplin para pesertanya. Bukan sekadar untuk diamalkan ketika berkursus sahaja, tetapi untuk dibawa ke dalam kehidupan sebenar selepas kursus. Demikian juga haji dan umrah. Sesorang yang sedang berada dalam ibadah-ibadah ini diperintahkan untuk mematuhi pantang larang (taboo) tertentu. Maka seseorang yang berpuasa atau yang berada dalam haji dan umrah semestinya tidak boleh bertengkar dalam perkara yang sia-sia, tidak boleh mencerca, tidak boleh mengungkapkan perkataan yang buruk, dan lain-lain.

Mendisiplinkan diri

Walaupun perkara-perkara itu sememangya tidak patut dilakukan dalam semua keadaan, baik masa mahupun tempat, namun oleh kerana banyak manusia yang gagal mematuhi arahan Allah tersebut, maka setiap tahun, setiap Muslim akan dimasukkan ke dalam pusat tarbiyyah Ramadan untuk mereka kembali menghayati disiplin tersebut. Perkara ini disebut sebagai suatu program latihan Ilahi (tarbiyyah rabbaniyyah / divine training). Demikian juga bagi mereka yang menunaikan haji dan umrah. Namun, tempoh Ramadan lebih panjang berbanding haji dan umrah. Satu latihan Ilahi selama sebulan bagi membolehkan setiap Muslim berdisiplin dalam menjalani kehidupan sebelas bulan yang lain. Muslim diajar dan dididik dalam tempoh latihan ini untuk mengawal tindakannya demi kelangsungan pahala ibadahnya. Jika dia gagal, bermakna dia akan kehilangan pahala dan kehalusan jiwa dalam mendekatkan diri kepada Allah.

Sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud:
"Setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya kecuali puasa, maka sesungguhnya puasa itu bagi-Ku dan Aku yang membalasnya. Dan puasa merupakan perisai, apabila seseorang kamu berpuasa maka janganlah ia bercakap yang cela, bertempik, dan sekalipun dimaki oleh seseorang atau diperangi olehnya maka hendaklah ia berkata: 'Sesungguhnya aku berpuasa.' Demi jiwa Muhammad yang berada di tangan-Nya, maka bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan. Apabila berbuka dia berasa gembira dengan berbukanya dan apabila bertemu Allah dia berasa gembira dengan puasanya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Kehilangan Pahala

Kehilangan pahala adalah sesuatu yang amat merugikan. Masakan tidak, jika kita faham betapa berertinya pahala bagi seseorang insan yang akan bertemu Tuhannya, kita akan dapat menilai betapa besarnya erti pahala. Pahala membawa ke syurga, sementara dosa membawa ke neraka. Jika puasa itu diandaikan sebagai sebuah pekerjaan dan pahala sebagai gajinya, maka perlanggaran pantang larang itu sebagai pengurangan atau pemotongan gaji. Namun begitu, pahala lebih bererti daripada gaji dalam kehidupan duniawi ini. Banyak orang yang beramal dalam dunia ini pulang kepada Allah pada hari kiamat kelak dalam keadaan muflis kerana kehabisan pahala amalan disebabkan dosa-dosanya kepada orang lain.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"'Tahukah kalian siapakah orang yang muflis?' Jawab mereka: 'Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta.' Sabda baginda: 'Orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah sesiapa yang datang pada hari kiamat nanti bersama-sama solat, puasa, zakat. Dia juga pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, makan harta seseorang, menumpahkan darah seseorang, dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil pula dosa-dosa mereka lalu dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan ia ke dalam neraka.'" (Riwayat Muslim)


Pelihara Lidah

Lidah ialah punca terbesar kita kehilangan pahala. Puasa jika kita dapat mendidik lidah kita daripada mengumpat, berdusta, menuduh, dan memaki hamun orang lain, maka hal itu merupakan satu kejayaan yang besar. Manusia yang beradab tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat dari mulutnya. Dia mungkin tegas, pedas, dan tajam penghujahannya, tetapi tidak dusta, kesat, dan buruk perkataan. Muslim yang baik tidak menzalimi orang dengan lidah dan anggotanya, sama ada pada bulan Ramadan atau pun bulan-bulan selain Ramadan. Alangkah malang jika ada yang memakai 'jenama ustaz' memaki orang lain dalam ceramahnya. Apatah lagi jika perbuatan buruk tersebut dihamburkan di dalam masjid atau pada bulan Ramadan. Sangat hina dan jelek sekali! Dalam riwayat at-Tabarani dari al-Mu'jam al-Kabir bahawa Nabi SAW pernah hadir dalam suatu majlis orang Ansar. Dalam majlis tersbut terdapat seorang lelaki yang terkenal dengan sifat suka memaki hamun. Nabi SAW pun bersabda:
"Memaki orang Muslim itu perbuatan fasik dan memeranginya perbuatan kufur."
Ramadan mendidik kita supaya senantiasa menjaga perkataan. Hal ini termasuklah antara pasangan suami isteri. Wujud sesetengah orang yang memelihara lidahnya dari memaki orang lain, tetapi tidak kepada isterinya. Padahal terhadap isterilah lebih patut dikawal perkataan kerana dia seorang Muslimah dan ada perintah-perintah khusus dalam al-Quran dan as-Sunnah untuk menjaga hubungan dengannya.

Tuntasnya, ayuhlah kita bersama-sama memelihara pahala kita dalam dan luar Ramadan!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA