Sabtu, 7 September 2013

#114 - MESIR BERDARAH


Assalamu 'alaykum dan salam sejahtera.

Isu global yang sedang hangat diperkatakan kini ialah pergolakan di Mesir. Sejauh manakah kesedaran dan kefahaman kita tentang isu ini? Adakah kita menerima maklumat yang benar dari sumber yang betul?

In Syaa Allah saya akan berkongsikan beberapa juzuk utama dan fakta penting yang berkaitan dengan krisis yang sedang berlaku di Mesir sekarang ini untuk tatapan dan pengetahuan kalian.

Krisis yang sedang berlaku ini tidak wajar dipandang enteng oleh kita. Mesir ialah bumi barakah yang perlu dipertahankan. Mesir merupakan pintu masuk kepada pembebasan Baitul Muqaddis. Tidak mustahil hal ini juga ialah titik awal kepada kemenangan Islam yang sudah terlalu hampir itu!

Harapannya, selepas membaca artikel ini, dapatlah kalian mengetahui sedikit sebanyak gambaran yang lebih jelas tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku. Selepas itu, diharapkan kalian dapat berkongsikan fakta-fakta yang tepat dan benar kepada rakan-rakan, saudara-mara, jiran-jiran, dan semua di sekeliling kalian. Hal ini yang demikian kerana masih banyak yang tidak tahu situasi sebenar yang berlaku di Mesir dan mengharapkan laporan-laporan berat sebelah media tempatan dan antarabangsa.

Demonstrasi aman pro-Mursi

Fakta #1

Pergolakan yang sedang berlaku di Mesir pada hari ini ialah kesan langsung daripada rampasan kuasa oleh pihak tentera yang diketuai oleh Jeneral Abdul Fattah as-Sisi ke atas Presiden Muhammad Mursi yang digulingkan pada 3 Julai 2013 yang lalu. Sebagai tindak balas, para penyokong Presiden Mursi mengadakan protes dan tunjuk perasaan secara aman di seluruh Mesir, namun fokusnya adalah di Kaherah (Cairo), Mesir.

Penggulingan Presiden Mursi dilihat oleh banyak pihak sebagai haram dan tidak sah, sementelah beliau telah memenangi pilihan raya Mesir secara adil dan saksama apabila memperoleh 52% daripada undi rakyat Mesir. Ironinya, sebahagian mereka yang mengadakan demonstrasi untuk menjatuhkan Presiden Mursi ialah mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pejuang demokrasi.


Fakta #2

Dalam pilihan raya parlimen Mesir yang buat julung-julung kalinya diadakan secara teus dan adil, parti al-Hurriyyah wal 'Adalah (Freedom dan Justice Party) yang merupakan sayap politik kepada Ikhwan al-Muslimin, telah menang besar apabila memperoleh 37.5% daripada jumlah undi, diikuti oleh Parti Salafi an-Nur (27.8%) dan Parti al-Wafd (9.2%). FJP dan an-Nur merupakan parti yang berasaskan ideologi Islami; maka secara tidak langsung parlimen Mesir telah didominasi oleh mereka yang mahu memperjuangkan Islam. Hal ini jelas memberikan ancaman kepada golongan liberal sekular di Mesir.

Fakta #3

Antara yang mendalangi demonstrasi dan tunjuk perasaan yang akhirnya membawa kepada kejatuhan Presiden Mursi termasuklah Muhammad el-Baradei, Amr Moussa, Hamdeen Sabahi, dan Hisham Bastawisy. Hampir kesemuanya merupakan calon yang kalah dalam pilihan raya Presiden Mesir.

El-Baradei
As-Sisi, el-Baradei, dan konco-konconya bersekongkol dengan kerajaan Zionis Israel dan Amerika Syarikat dalam merencana kekacauan dan huru-hara di Mesir, sehingga akhirnya membawa kepada penggulingan Presiden Mursi.

El-Baradei telah dilantik sebagai Naib Presiden yang baharu bagi kerajaan sementara Mesir; itu pun setelah dibantah oleh banyak pihak kerana tidak bersetuju denagn cadangan untuk melantiknya sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Terbaru, el-Baradei telah pun meletakkan jawatannya sebagai Naib Presiden kerana tidak bersetuju dengan tindakan tentera Mesir membunuh para penunjuk perasaan di Medan Raba'ah dan kawasan sekitarnya.

Fakta #4

Jeneral as-Sisi
Siapakah dia as-Sisi? Dia telah dilantik sendiri oleh Presiden Mursi untuk menggantikan Muhammad Hussein Tantawi sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera Mesir yang baharu. Siapa sangka, dialah yang menjadi dalang utama dalam menjatuhkan tuannya sendiri. Selepas melantik Adly Mansour sebagai Presiden bagi kerajaan sementara, as-Sisi melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Pertahanan yang baharu selain jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Fakta #5

Pembunuhan beramai-ramai yang berlaku ke atas para penunjuk perasaan bermula pada 14 Ogos 2013 apabila pihak tentera nekad untuk mengosongkan Medan Raba'ah, Medan an-Nahda, dan Medan Mustafa Mahmud di Giza daripada para penyokong legitimasi Presiden Mursi. Sebelum ini pun sudah berlaku perisitiwa Subuh berdarah, apabila sebahagian penyokong Mursi ditembak oleh pembidik tepat ketika mereka sedang bersolat Subuh pada pagi 8 Julai 2013.

Namun begitu, pembunuhan beramai-ramai yang berlaku pada 14 Ogos lebih melampau dan zalim lagi. Bukan setakat rakyat dibunuh, masjid dibakar, mayat para syuhada' dibakar, malah ada yang dilanggar oleh jentolak hidup-hidup! Jumlah kematian yang dicatatkan berbeza-beza mengikut sumber; tetapi angka kematian tertinggi yang dilaporkan adalah lebih daripada 2 200 nyawa! Hal ini jelas merupakan kezaliman melampau, apatah lagi dilakukan oleh rakyat Mesir sendiri terhadap saudara-saudara mereka. Malah, ada yang menyifatkan tindakan pihak tentera yang didalangi oleh Amerika dan Israel ini, lebih dahsyat dan keji daripada pembunuhan Bashar al-Assad terhadap rakyatnya dan kekejaman kerajaan Zionis Israel terhadap rakyat Palestin. Tindakan mereka ini jelas melanggar semua nilai kemanusiaan yang ada.

Fakta #6

Presiden Mursi
Perlu juga disebutkan di sini, apakah sebabnya Presiden Mursi digulingkan atau apakah alasan yang digunakan oleh golongan Tamarrud dan pihak tentera untuk menjatuhkan Presiden Mursi yang hafaz al-Quran serta selalu solat berjama'ah dan menjadi imam di masjid ini?

Mereka mendakwa Presiden Mursi telah gagal dalam mengotakan janji-janjinya pada awal pelantikannya sebagai Presiden Mesir, gagal memulihkan keadaan ekonomi Mesir yang runcing, di samping beberapa faktor politik, ekonomi, dan sosial yang lain, termasuklah peluang pekerjaan dan sebagainya. Itu ialah alasan yang mereka gunakan.

Hakikatnya, tidak munasabah untuk Presiden Mursi memulihkan sepenuhnya keadaan Mesir yang telah hampir binasa dan rosak dari pelbagai aspek pascapemerintahan rejim Hosni Mubarak yang telah memerintah selama 30 tahun itu dalam masa setahun. Mursi memerlukan keajaiban untuk menjadikan Mesir sebuah negara yang aman dan makmur dalam sekelip mata.

Namun begitu, perubahan besar yang telah dilaksanakan oleh Presiden Mesir yang berjiwa rakyat selama setahun pemerintahannya ialah:
  • Meningkatkan produktiviti gandum daripada 20% kepada 60%.
  • Membangunkan kilang-kilang industri seperti elektronik, senjata, dan kereta yang memberikan peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan rakyat Mesir kepada barangan import.
  • Memberikan kebebasan kepada media.
  • Tidak mahu tinggal di istana Presiden dan menolak untuk dilindungi oleh para pengawal peribadi.
  • Membuka 593 000 peluang pekerjaan baru.
  • Menyediakan 100 juta paun untuk 500 000 orang ibu tunggal.
  • Menyediakan subsidi persekolahan bagi 1 juta anak miskin.
  • Mengawal, memberikan subsidi, dan menguruskan pengedaran roti dengan lebih cekap.
  • Membina 45 338 buah rumah mampu milik.
  • Menyokong perjuangan Palestin, Syria, dan Myanmar, antaranya dengan membuka sempadan Rafah untuk kemudahan rakyat Palestin.
Faktor sebenar mengapa Presiden Mursi digulingkan adalah kerana beliau membawa syiar Islam ke dalam pemerintahannya. Beliau juga adil, saksama, amanah, bersih, dan bijaksana. Mana mungkin taghut dan jahiliyyah boleh duduk diam dengan pemimpin sebegini rupa; jika mereka biarkan Mursi dan Ikhwan al-Muslimin membawa perubahan berteraskan Islam di Mesir, mereka tahu bahawa kegemilangan Islam pasti akan kembali semula. Maka, mereka mula menanam mekar-mekar jahat dan keji untuk menjatuhkan Mursi.

Fakta #7

Telah terbongkarnya penglibatan Amerika Syarikat, Israel, dan musuh-musuh Islam yang lainnya dalam merencana kejatuhan Presiden Mursi dan penguasaan FJP dalam parlimen Mesir.

Pergerakan Tamarrud, yakni nama yang telah diberikan kepada para penunjuk perasaan penentang Presiden Mursi telah terbukti menerima pembiayaan daripada Amerika Syarikat. Pembongkaran ini dilaporkan oleh al-Jazeera.

Junta tentera Mesir jelas menyebelahi rejim Zionis yang menjajah Palestin dan mahu meruntuhkan Masjid al-Aqsa. Antara tindakan pertama yang dilakukan oleh kerajaan sementara pimpinan Presiden Adly Mansour adalah dengan menutup semula sempadan Rafah yang sebelum ini telah dibuka oleh Presiden Mursi. Sempadan ini menjadi penghubung penting rakyat Palestin dalam mendapatkan bekalan asasi harian. Penutupan ini jelas memperlihat persekongkolan yang berlaku antara Israel dan kerajaan Mesir yang baharu. Tentera juga meletupkan terowong yang dibina oleh Hamas untuk membawa bekalan apabila sempadan ditutup.

Saya amat yakin, apa-apa yang sedang dihadapi oleh saudara-saudara kita di Mesir hanyalah sebahagian daripada ujian dan cubaan Allah untuk membersihkan sebarang unsur jahiliyyah dan taghut yang ada, sebelum Allah mengangkat mereka kepada darjat yang lebih tinggi. Apa-apa yang sedang saudara-saudara kita lalui di Mesir, ialah trailer daripada Allah sebelum Dia mengurniakan kemenangan yang lebih agung!


Allahu Akbar!

Kita di sini, teruskan memanjatkan doa dan bermunajat untuk keselamatan dan kemenangan saudara-saudara kita di sana. Kongsikan dan sebarkan berita-berita serta fakta-fakta yang benar lagi sahih tentang apa-apa yang berlaku. Didik masyarakat di sekitar kita untuk cakna dengan apa-apa yang berlaku.

Kalahnya Mesir, maka tewaslah kita. Tetapi menangnya Mesir, akan tersebar luaslah cahaya keagungan dan kemenangan Islam, In Syaa Allah~!

"Sesiapa yang membantu menyelesaikan kesulitan seorang Mukmin daripada sebuah kesulitan antara berbagai-bagai kesulitan dunia, nescaya Allah akan memudahkan salah satu kesulitan antara berbagai-bagai kesulitannya pada hari Kiamat." - [Hadis riwayat Muslim, at-Turmudzi, dan lain-lain]

Diubahsuai daripada artikel asal di: Angel Pakai Gucci

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA