Sabtu, 1 Mac 2014

#118 - UNTUKMU, APIUM NILAM PURI


Bismillah, Assalamu 'alaikum warahmatullah~

Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana masih mengizinkan saya untuk menulis lagi entry dalam blog ini walau semua sudah sedia maklum bahawasanya telah lama blog ini tidak diisi dengan posting terbaharu. Entah mengapa, hati saya tiba-tiba tergerak untuk menulis entry terbaharu walau mungkin agak sedikit jiwang memandangkan perasaan saya sebenarnya masih bercampur baur - antara sedih, terharu, gembira, haru biru jadinya. Tapi, hmm, entahlah, tak tau nak cakap macam mana, sukar nak digambarkan dengan kata-kata.

Eh, sekejap! Apa yang saya nak cakap ni sebenarnya? Hmm, ok, berbalik pada topik asal, sebenarnya tujuan saya menulis post ini adalah untuk menceritakan serba ringkas pengalaman saya sepanjang menjadi mahasiswa atau penuntut di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Nilam Puri (singkatannya: APIUM Nilam Puri atau APIUMNP) sejak saya menjejakkan kaki ke sana hinggalah saat saya melangkahkan kaki dengan berat untuk keluar dari sana.

Mendapat Tawaran

APIUM Nilam Puri, sebuah bumi tarbiyah yang telah banyak mengajar saya erti kehidupan yang sebenar. Erti sebuah pengabdian diri kepada Ilahi, peri pentingnya ilmu fardu ain dan fardu kifayah, serta bagaimana kita melalui liku-liku kehidupan sebagai seorang mahasiswa Islam. Masih saya ingat hari itu (17 Mei 2013), ketika mendapat tahu yang saya terpilih untuk menyambung pengajian dalam peringkat Asasi Pengajian Islam dan Sains (APIDS) di APIUMNP, saya menjerit kegembiraan dan terus melakukan sujud syukur kerana keinginan saya untuk menyambung pengajian ke sini menjadi kenyataan.


Pasti ada yang tertanya-tanya, mengapa saya begitu seronok dengan tawaran ini? Sebabnya ialah saya sebenarnya sangat dahagakan tempat yang wujudnya biah solehah setelah saya telah lama kehilangannya selama lebih kurang dua tahun (selepas saya berpindah dari Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar ke zaman menengah tinggi di SBPI Kubang Pasu). Bukan saya ingin menyatakan yang SBPIKP atau i-KUPs itu tiada suasana atau aktiviti seumpama itu, cuma saya berpendapat i-KUPs kurang dari sudut itu. Entah mengapa saya rasa sebegitu. Mungkin saya selama ini, sejak dari tadika hingga tingkatan tiga, semua institusi yang saya duduki ialah institusi agama (sekolah agama). Apabila saat saya berpindah ke SBP, memang terasa jugalah kejutan budaya tu. Oleh sebab itulah saya menyertai Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) i-KUPs semata-mata agar jiwa saya sentiasa terisi dengan makanan rohani yang mencukupi dan supaya saya sentiasa duduk dalam jemaah agar akan sentiasa ada sahabat yang saling mengingat serta menegur jika berlaku sebarang kekhilafan. Alhamdulillah, sayau mampu bertahan di situ sehingga saya menamatkan zaman SPM dan bergelar alumni i-KUPs.


Jadi, setelah saya mendapat tawaran untuk menyambung pengajian ke APIUMNP, hati saya memang sudah tidak sabar-sabar untuk kembali merasai suntikan tarbiyah dan biah solehah yang telah lama saya dambakan, lebih-lebih lagi lokasi pengajian tinggi ini terletak di Kelantan, bumi Serambi Makkah. Jadi, setelah siap dan sedia semua dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran, kami sekeluarga bertolak ke Kota Bharu sehari sebelum pendaftaran masuk pelajar-pelajar asasi baharu untuk sesi 2013/2014 dan bermalam di Holiday Villa Hotel & Suites, Wakaf Che Yeh.

Hari Pendaftaran dan Minggu Haluan Siswa

26 Mei 2013

Alhamdulillah, saya menjejakkan kedua-dua kaki saya buat pertama kalinya ke APIUMNP dengan penuh perasaan bangga, ditambah pula dengan maklumat yang sahabat lama dari i-KUPs, Nurafiqah Saidin dan Wafa' Bohari juga turut menyambung pengajian ke situ (padahal saya baru tau waktu MHS yang Wafa' pun belajar situ, sebelum ni tau Afiqah Saidin sorang je). Cumanya, program asasi Wafa' tidak sama dengan saya dan Afiqah Saidin kerana dia mengambil Asasi Pengajian Islam (API) manakala kami mengambil APIDS. Jadi, sebelum program Minggu Haluan Siswa (MHS) bermula, sempatlah juga ayah saya merakamkan gaya saya sewaktu hari pertama di situ (first day masuk pun dah bergaya sakan, haha).

Bersama keluarga tercinta

Antara sahabat terawal yang saya jumpa dan kenal di APIUMNP ini ialah Abdul Halim Hafiz, itu pun sebab kenal waktu temu duga kemasukan ke program asasi UM tempoh hari (29 April 2013) di APIUM Kuala Lumpur. Kami sama-sama tak sangka dia dapat masuk sebab dia pun 'hancur' jugak sebenarnya waktu temu duga tu (haha). Tapi, takdir Allah yang menemukan kami semula di sini. Sahabat-sahabat lain yang sempat saya ta'aruf pada hari temu duga yang juga mendaftarkan diri ke sini ialah Azfhadli dan Zahid Addin.

Maka bermulalah lipatan sejarah yang penting dalam hidup saya setelah kemasukan saya ke sini dengan program MHS sebagai pemulanya (tak perlu cerita kot pasal MHS kat sini, panjang sangat :P).

Abdul Halim Hafiz
Azfhadli
Zahid Addin

Hari Kuliah, Majmu'ah Tujuh, dan APIDS

Ustaz Khairul Akhbar

Buat pengetahuan semua, subjek Pengajian Islam di sini menggunakan bahasa pengantar Bahasa Arab. Jadi? (Hmm, fikir sendirilah). Selain itu, pelajar-pelajar semester saya terbahagi kepada enam majmu'ah (maksudnya kumpulan, tapi kat sini lebih merujuk kepada kelas) API dan dua majmu'ah APIDS (majmu'ah tujuh dan lapan). Saya dimasukkan ke dalam majmu'ah tujuh bersama mentor yang tersayang, Ustaz Khairul Akhbar dan 21 orang lagi sahabat saya yang lain (7 orang ikhwah + 14 orang akhawat + saya = 22 orang). Namun begitu, salah seorang ahli majmu'ah tujuh, Ahmad Mu'az telah menukar kos dari APIDS ke API seterusnya membawa kepada perpindahan posisinya dari majmu'ah tujuh ke majmu'ah lima. Jadi, bilangan kami yang terakhir ialah sebanyak 21 orang.

Ahmad Mu'az

Err, kalian tahu ke APIDS tu apa benda? Kalau nak tau sila klik sini. Ok, pelajar atau ahli APIDS yang berdaftar untuk sesi 2013/2014 ini pada asalnya ada 44 orang, namun setelah dua orang ahli kami berpindah kos (seorang Mu'az, seorang lagi Saiful Islam dari majmu'ah lapan), maka jadilah hasilnya 42 orang. Namun, langit tidak selalunya cerah, tiga orang sahabat APIDS kami, Siti Mardhiyah, Zul Alif dan Zahid Addin pula menyambung pengajian ijazah sarjana muda ke luar negara dalam bidang masing-masing. Mardhiyah ke China, Alif ke Russia, manakala Zahid pula ke Jordan. Maka, berkuranglah lagi ahli kami sehingga jumlah akhirnya sebanyak 39 orang sahaja (12 orang ikhwah, 27 orang akhawat).

Saiful Islam

Zul Alif

Hendak dijadikan cerita, pelajar-pelajar APIDS ini antara pelajar yang dihormati dan disegani la di sini. Bukan apa, mungkin sebab kami ambil dua kursus major - Pengajian Islam dan Sains - menyebabkan kami dipandang tinggi antara sahabat-sahabat APIUMNP kami yang lain. Tambahan pula, kami mempunyai organisasi sendiri seperti mana sahabat-sahabat dari Sabah, Sarawak, dan Thailand (SST) juga mempunyai pertubuhan mereka sendiri yang diberi nama HABIBAT (Himpunan Anak Belia Islam Borneo dan Thailand). Seperti biasa, dalam sesuatu pertubuhan atau organisasi mestilah terdiri daripada ahli Majlis Tertinggi (MT), lajnah atau exco, dan sebagainya. Saya cuma mahu cakap yang saya memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung APIDS selama dua semester berturut-turut, huhu (bangga pulak dia :P).

Antara kejayaan yang dicapai oleh APIDS 2013/2014 atau APIDS 95 adalah dalam Muntada (sebuah aktiviti mingguan yang dijalankan oleh pelajar-pelajar APIUMNP bagi meningkatkan skil dan kemahiran berkomunikasi Bahasa Arab dengan melakukan aneka persembahan di Dewan Johor seperti lakonan atau forum) yang mana majmu'ah tujuh telah mendapat johan ketika semester satu manakala majmu'ah lapan pula memenangi tempat ketiga ketika semester dua. Kami juga menggunakan wasilah APIDS untuk menjalankan aktiviti sesama kami dalam mempererat ukhuwwah serta menjalin persefahaman seperti menjalankan rehlah, mengadakan usrah, dan sebagainya. Nak tahu lebih lanjut berkenaan aktiviti APIDS boleh klik sini.

Ahli Majmu'ah Tujuh Sesi 2013/14

APIDS Gen-12

Para Pensyarah APIUMNP

Sayonara APIUM Nilam Puri


Ahli sebilik, Akh Abdul Hakim

1 Mac 2014

Ok, bahagian ini memang paling saya kurang gemar untuk dicoretkan di sini. Kenapa? Hmm, faham-faham sajalah, saat perpisahan bersama sahabat-sahabat seperjuangan merupakan antara saat yang paling menyedihkan dan memeritkan untuk saya lalui, lebih-lebih lagi untuk berjauhan dari tempat dan biah yang saya sayangi, APIUMNP dan Kelantan Darul Naim :'( Namun, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Jika tidak mahu perpisahan, maka jangan diadakan pertemuan. Jadi, ayuh! Bangkitlah Muhaimin! Hidup perlu diteruskan! Allahu akbar! ^o^

In syaa Allah, saya akan menyambung program APIDS di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) Kuala Lumpur hujung bulan lima ini, mungkin. Akhirul kalam, mohon doa dan restu ibu bapa, para asatizah, para sahabat, dan semua yang membaca post kali ini agar saya terus kuat dalam perjuangan dan jihad dalam menuntut ilmu Allah ini serta dalam menegakkan kalimah 'La Ilaha Illa Allah' di atas muka Bumi-Nya, Allahumma ameen~ ^_^

Pemandangan di Sekitar APIUM Nilam Puri



















Untuk lebih banyak gambar, sila klik sini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA