Rabu, 19 Mac 2014

#120 - TANDAS DUDUK ATAU TANDAS CANGKUNG?

Selasa, 18 Mac 2014.

Hujan turun lagi membasahi Bumi, tanda rahmat dan kasih sayang-Nya maha luas walaupun kita selaku hamba-Nya seringkali melakukan keingkaran kepada-Nya. Jari-jemariku yang sedang rancak menari-nari di atas papan kekunci ASUS kelihatan lancar mengatur gerak tarinya. Kemas. Aku menghela nafas panjang. Alhamdulillah, masih lagi diberi kesempatan untuk menghirup udara hujan yang kian luput dari kotak memoriku semenjak musim kemarau yang melanda bumi Banjaran Titiwangsa belakangan ini.

Namun begitu, kegirangan aku yang baru mulai bercambah terganggu seketika. "Ah, nantilah dulu!" getus hatiku. Perut aku sudah mula meragam. Aku yang sedari tadi berusaha semahu-mahunya memujuk perutku agar menahan sebentar ledakan nafsunya (disebabkan aku ini jenis orang yang malas nak pergi tandas sebenarnya), akhirnya mengalah jua dengan pujuk rayunya yang kian mengganas. Aku pasrah.

Berlari dan terus berlari. Akhirnya, sampai jua aku ke lokasi yang diingini. Namun begitu, satu masalah yang paling aku benci sewaktu berada di dalam tandas dan mengqada hajat ialah tandas duduknya (jamban). Kenapa aku anggap tandas duduk sebagai satu masalah? Sudahlah leceh, nak kena 'panjat' mangkuk jamban tu lagi. Paling aku benci adalah sewaktu najis jatuh dengan penuh bergayanya ke dalam jamban, maka berlakulah hukum fizik yang paling memualkan apabila terperciknya air yang berada dalam jamban tersebut (korang faham sendiri la kan). Ergh!


*****

Mohon maaflah kerana entry kali ini mungkin agak menjijikkan. Bukan apa, saya hanya ingin berkongsi ilmu dan sama-sama mengajak anda berfikir dan membuka minda bahawasanya bukan setiap pemodenan itu baik untuk diri kita. Misalnya dalam bab tandas duduk dan tandas cangkung ini. Ha, yang ni baru nak masuk point, kat atas tu merapu meraban je banyak, heh.


*****

Mana Satu Pilihan Anda?

Dasawarsa, kebanyakan rakyat Malaysia dan mungkin penduduk seluruh dunia nampaknya sudah mula beralih kepada penggunaan tandas duduk, sama ada yang menetap di kampung atau pun yang tinggal di bandar, masing-masing seakan–akan sudah melupakan tandas tradisional (eastern toilet) iaitu tandas jenis mencangkung. Ramai yang beranggapan tandas sebegitu sudah ketinggalan zaman, malahan kalau di hotel-hotel dan tempat ternama lain, tandas jenis duduk sering menjadi pilihan.

Tahukah anda apa sebenarnya rahsia di sebalik tandas cangkung ini dan apa pula keburukan akibat menggunakan tandas jenis duduk?


Lubang najis (anal canal) berada dalam keadaan tidak menegak apabila duduk semasa menggunakan tandas jenis duduk, berbanding dengan dalam keadaan mencangkung, laluan najis untuk keluar akan menjadi mudah kerana lubang najis berada dalam keadaan betul-betul menegak dan ini memudahkan proses pembuangan air besar.

Perkara sebaliknya berlaku sekiranya dalam keadaan duduk, kerana ini akan membawa kepada masalah sembelit. Sembelit merupakan satu keadaan seseorang itu menghadapi kesukaran membuang air besar, dan kaitannya dengan menggunakan tandas duduk ialah najis tidak akan habis dikeluarkan kerana laluannya menjadi sempit dan akan terus disimpan lagi sehinggalah untuk waktu seterusnya. Najis yang disimpan akan mengeras (kerana proses pengulangan penyerapan air) dan ini membawa kepada masalah sembelit. Sebab itulah banyak yang mengadu seringkali tidak berasa puas apabila menggunakan tandas duduk ini.

Di samping itu, satu masalah yang akan timbul melibatkan tandas duduk ini ialah akan menyebabkan berlakunya kebocoran (backflow) najis yang ada di usus besar kepada usus kecil. Hal ini melibatkan fungsi injap ileocaecal yang mengawal aliran najis dari usus kecil kepada usus besar. "Backflow" ini menyebabkan toksin diserap melalui usus kecil ini (usus kecil untuk menyerap nutrien cernaan dan mengandungi banyak salur darah) dan akan diserap oleh salur darah seterusnya memberi beban kepada hati untuk menyahtoksikkan bahan toksin tersebut.


Sekadar makluman, dalam Islam makruh bagi kita memakan hati (organ dalaman). Banyak yang mempersoalkan sedangkan hati mempunyai khasiatnya yang tersendiri juga. Jawapannya ialah memandangkan kita tidak tahu di bahagian hati manakah khasiat tersebut disimpan dan salah satu fungsi major hati adalah untuk meneutralkan toksin / dadah, rasanya lebih wajar untuk kita tidak memakannya.

Untuk pengetahuan anda juga, penggunaan tandas duduk merupakan penyebab nombor dua kepada kanser kolon di Amerika Syarikat, kerana semua rakyatnya menggunakan tandas duduk, walhal pada fikiran kasar, tandas duduk banyak memberikan kemudahan dan kesenangan terhadap penggunanya.

Tambahan pula, dalam Sunnah Nabi SAW, memang kalau seseorang itu ingin membuang air besar, disunatkan mencangkung dengan bahagian punggung kiri sedikit terangkat, lebih kurang sama seperti cara duduk ketika makan. Mengapa? Kerana pada bahagian itulah terletaknya rektum, iaitu tempat penyimpanan najis sebelum dikeluarkan.

*****

Jadi, setelah anda membaca penulisan ini, adakah anda sudah terfikir untuk mengubah gaya pembuangan air anda? Hmm, terpulanglah. Hendak dijadikan cerita, dahulu saya juga salah seorang peminat tegar tandas duduk. Kalau pergi ke tandas-tandas awam, mesti cari tandas duduk dahulu sebab, macam biasalah alasannya - simple, modern, and convenience. Tetapi, hidayah Allah telah menyapa hati ini, saya telah mendapat maklumat berkenaan hal ini. Maka, berlakulah transformasi di situ - dahulu sayang, sekarang benci (eheh).

Eh, sekejap! Nanti ada orang tanya saya pulak, habis macam mana kalau ada orang tua atau orang yang menghidapi sakit belakang ni nak cangkung, lagi-lagi nak 'panjat' jamban tu, tak ke naya je? Heh, persoalan ini sudah pun ada solusinya. Jika anda ini tergolong dalam mereka seperti yang disebutkan di atas atau anda ini jenis orang yang culas bab nak mencangkung atas tandas duduk ni (takut jatuh ke apa), kat sini saya recommend guna produk alternatif Squatty Potty® bagi mereka yang menggunakan tandas duduk sama ada di rumah atau di pejabat. Korang tengoklah sendiri macam mana rupa bentuk dan prosedurnya. (Sila klik pada gambar untuk pembesaran)




Bangga beliau~




Akhirulkalam, semoga artikel kali ini memberi manfaat dan dinilai sebagai pahala di sisi-Nya, insya-Allah. Mohon maaf atas segala salah dan silap deh~ ^_^
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA