Sabtu, 26 April 2014

#124 - PERINGKAT UKHUWWAH


WhatsApp!

Ukhuwwah. Persaudaraan. Brotherhood.

Sembang pasal ukhuwwah, mesti ramai yang terbayangkan kawan-kawan sekeliling.

Kalau ana tanya antum:

"Hang dok ukhuwwah peringkat mana?"

*Korek hidung

See... Tak ramai boleh jawab.

Meh, ana nak share.

Ukhuwwah ini ada peringkat, ada tiga kesemuanya. Peringkat ini dalam bentuk kedudukan (ranking):

  1. Ithaar (إثار)
  2. Salamah as-Sodr (سلامة الصدر)
  3. Husnu az-Zhon (حسن الظن)


Jadi, Ithaar adalah yang paling top dalam carta ukhuwwah.

'Ithaar tu apa bro?'

Ithaar ni tak ramai yang dapat dalam ukhuwwah, bahkan ranking terbawah sekalipun iaitu Husnu az-Zhon pun tak ramai yang dapat.

Ithaar ini ialah kita lebih pentingkan sahabat daripada diri kita sendiri.

Lagu mana tuh?

Macam kaum Ansar yang sanggup bagi isteri (isteri tu!) dekat kaum Muhajirin. Senang cerita, Ithaar ini kita bergembira dengan kegembiraan sahabat kita.

'Bereh, bereh. Salamah as-Sodr pulok?'

Salamah as-Sodr ialah berlapang dada. Kita berlapang dada dengan apa-apa yang sahabat kita buat dan kecapi.

Kawan kita ejek, kawan kita hina, kita relax je. Kita tak marah pun. Kita berlapang dada ^_^

'Husnu az-Zhon bersangka baik kan?'

Benar! Banyak yang tahu, tetapi peringkat tercorot carta ukhuwwah ini pun orang tak dapat nak buat, apatah lagi yang ranking kedua dan ranking pertama.


Kawan buat sikit, terus sangka buruk, terus nak cemuh (!@#$%^&*).

Haih... Muhasabahlah! Kita di peringkat ukhuwwah mana?

T_T

Selasa, 8 April 2014

#123 - 1, 2, 3, MULA!!!


"Cepat! Cepat! Kita dah nak sampai ke checkpoint yang terakhir dah ni," ujar Friedel kepada sahabat-sahabat ahli kumpulannya yang lain. Empat orang kesemuanya: Kedley, Henderson, Ruffey, dan Champion. Mereka berlari kepenatan menuju ke tempat pemeriksaan (checkpoint) yang dimaksudkan. Almaklumlah, sudah lima tempat pemeriksaan telah mereka tempuhi. Kini, mereka akan melalui fasa terakhir sebelum kembali semula ke tempat permulaan.

Kelihatan di gelanggang badminton sana, dua susuk tubuh sedang tekun menanti kehadiran sang perwira penerokaan (explorace). Tersenyum melihat gelagat lima orang tunas Islam tersebut saat menyerbu tempat pemeriksaan mereka.


"Abang, betul kan ni checkpoint 'Arena Merah'?" tanya Ruffey kepada Bro Sheffield. Beliau hanya mampu mengukir senyuman. "Tepat sekali! Tahniah ye adik-adik! Oh ye, kumpulan adik sekarang ni dah checkpoint yang terakhir kan?" celah Sis Merida sambil memberikan tepukan. Jelas terpancar kelegaan pada wajah kelima-lima ahli kumpulan 'Le Coureurs' tersebut. "Ya, kak! Kami dah tak sabar nak habiskan explorace ni, hehe," seloroh Kedley sambil matanya melirik ke arah Bro Sheffield. Sedari tadi beliau hanya berdiri lagak seorang maskulin sejati saja dan... Masih tersenyum.

"Okay, memandangkan adik-adik sangat bersemangat nak tamatkan explorace ni secepat mungkin, jadi akak pun rasa bersemangat jugalah nak bagi tugasan untuk adik-adik. Adik-adik boleh duduk dulu ye," kata Sis Merida sambil menerima lima helai kertas dan lima batang pen daripada Bro Sheffield. Semua ahli Le Coureurs sudah duduk bersila sambil menanti arahan seterusnya. "Okay, akak akan bagi sehelai kertas dan sebatang pen ni setiap seorang. Tugasannya ialah... Adik-adik hendaklah catit kat atas kertas tu semua nikmat yang adik-adik perolehi sejak adik lahir sampai sekarang. Nikmat ni macam semua benda baik yang kita dapatlah. Senaraikan semua nikmat tersebut dalam masa seminit sahaja. Boleh?"

"Hah, seminit je? Sempat ke nak tulis semua?" kata Henderson sambil mengerutkan dahi. Ada yang membulatkan mata. Ada juga yang buat-buat batuk kononnya tercekik biji durian. "Eh, seminit lama apa! Kan dah banyak gila nikmat yang kita dapat sejak kita hidup ni sampai sekarang. Senaraikan je apa-apa yang terlintas di fikiran adik. Boleh ye, adik-adik?" tanya Sis Merida. "Boleh, akak!" jawab ahli Le Coureurs serentak. Seperti biasa, Bro Sheffield yang berdiri di samping Sis Merida masih lagi tersenyum.


"Baik, dalam kiraan 1, 2, 3, mula!!!"

Terus adik-adik Le Coureurs mencatit apa-apa saja nikmat yang terlintas di dalam fikiran. Ada yang beberapa saat berhenti sebentar, kemudian menyambung semula catitannya. Berfikir, mungkin. Bro Sheffield dan Sis Merida hanya memerhatikan mereka yang sedang sibuk berada dalam alam fantasi masing-masing. Tersenyum.

"Okay, masa dah tamat! Udah, udah. Adik-adik diminta berhenti menulis sekarang ye. Boleh bagi kertas dan pen yang adik-adik pegang tu kat abang Sheffield," ujar Sis Merida kepada ahli Le Coureurs. Mereka menuruti arahan tersebut tanpa banyak soal.

Bro Sheffield membelek setiap helaian kertas yang ada di tangannya. Meneliti senarai nikmat yang telah dicatit dengan penuh minat. Nikmat iman dan Islam, nikmat ibu bapa, nikmat makan, minum, tidur, belajar, pergi sekolah, main, bernafas, pancaindera, dan banyak lagi. Tersenyum Bro Sheffield membacanya. Bagus adik-adik ni, getusnya dalam hati.


Adik-adik Le Coureurs gelisah melihat Bro Sheffield yang asyik tersenyum sejak mula mereka tiba di tempat pemeriksaan tersebut. Entah apa yang difikirkannya, masing-masing tidak tahu.

Suasana hening seketika. Bro Sheffield kemudian menyerahkan kesemua helaian kertas tersebut kepada Sis Merida dan melangkah ke hadapan. Semua mata tertumpu kepada Bro Sheffield. Fokus. Akhirnya beliau mula mengeluarkan suara. "Baik, adik-adik," Bro Sheffield memulakan bicara. "Sebentar tadi adik-adik dah senaraikan semua nikmat yang adik-adik dapat sejak adik-adik lahir sampai sekarang, kan? Apa yang abang baca tadi, Alhamdulillah semua jawapan yang adik-adik bagi semua betul. Beri tepukan untuk diri sendiri!" Ahli-ahli kumpulan Le Coureurs bertepuk tangan. Bangga mereka. Bro Sheffield tersengih.

"Tapi..." Bro Sheffield menyambung semula percakapannya. "Dalam banyak-banyak nikmat yang adik-adik tulis tu kan, ada lagi nikmat yang adik-adik tak tulis sebenarnya. Cuba teka apa dia?" Mereka berpandangan sesama sendiri. "Nikmat iman dan Islam ke, abang?" tanya Champion. "Eh, yang tu dah ada dalam senarai nikmat yang adik-adik tulis. Cuba teka lagi. Jawapan lain?"

"Nikmat kesihatan dan masa lapang!" kata Ruffey pula. "Jawapan tu dah betul, tapi kurang tepatlah, hehe," ujar Bro Sheffield.


"Nikmat berlari!" "Bukan."

"Nikmat tempat tinggal!" "Pun bukan."

"Nikmat iPad, PlayStation, games!" "Haha, apa tu? Salah tu."

"Nikmat... hidup!" "Emm, masih kurang tepat, hehe."

Masing-masing sudah tampak berputus asa. Friedel, Kedley, Henderson, Ruffey, dan Champion. Apa-apa jawapan yang diberikan semuanya tidak betul. Jadi, apa yang betulnya? "Macam mana adik-adik? Takkan dah nak mengalah kot. Kata lelaki sejati," kata Bro Sheffield sambil tersenyum. Geli hatinya melihat reaksi adik-adik Le Coureurs sambil masih menunggu jawapan yang paling tepat daripada mereka. Tiba-tiba, kedengaran satu suara menyebut, "banyak sangatlah nikmat ni, tak terkira..."

Itu pun dia! Jawapan yang sangat ditunggu-tunggu akhirnya kunjung tiba. "Siapa yang cakap tadi?" tanya Bro Sheffield kepada mereka. "Friedel, bang!" jawab ahli Le Coureurs serentak sambil menunjuk dan berpaling ke arah Friedel yang duduk di tepi sekali. Friedel terdiam. "Friedel, cuba sebut semula apa yang Friedel cakap tadi," pinta Bro Sheffield. "Err, nikmat yang kita ada banyak sangat, tak terkira," kata Friedel, gugup.

"Alhamdulillah, betul dah tu. Tepat sekali! Jawapan yang abang nak dah ada. Jadi, berikan tepukan gemuruh untuk Friedel!" Seluruh ahli Le Coureurs memberikan tepukan. Friedel hanya mampu tersengih. "Baik adik-adik, dengar sini baik-baik ya. Apa yang Friedel sebut tu tersangatlah betul, iaitu nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepada kita sejak kita lahir hingga kini tersangatlah banyak sehingga tak terkira banyaknya, daripada nikmat hidup sebagai Muslimnya, nikmat bernafasnya, nikmat ibu bapanya, dan lain-lain lagi nikmat yang pasti kita sebagai hamba-Nya tidak mampu menghitung nikmat-Nya satu persatu. Meskipun kita selalu saja mengingkari perintah-Nya, namun betapa kasih sayangnya Allah, Dia masih lagi melimpahkan nikmat-Nya untuk kita. Kalau kita bayar kesemua nikmat tersebut dengan selautan syukur kita pun, hanyalah setitis daripada setiap nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah di Bumi ini," terang Bro Sheffield dengan panjang lebar. Adik-adik Le Coureurs mendengar penjelasannya dengan penuh khusyuk dan insaf. Subhana Allah, maha luasnya nikmat Allah.


"Jadi adik-adik, bagi menghargai nikmat pemberian Allah dan bagi menyatakan syukur serta cinta kita kepada-Nya, apa perlu kita buat? Iaitu dengan sentiasa mentaati segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Boleh, adik-adik?" soal Bro Sheffield. "Boleh, insya-Allah!" jawab ahli Le Coureurs dengan penuh bersemangat. "Alhamdulillah, mudah-mudahan kita akan menjadi hamba Allah yang bertaqwa di sisi-Nya, ameen," Bro Sheffield mengakhiri ucapannya. Sis Merida yang berdiri di sisinya terharu melihat sinar yang ada pada wajah-wajah bakal pejuang Islam di hadapannya. Kali ini giliran beliau pula tersenyum.

"Alhamdulillah, adik-adik. Selesai sudah checkpoint kita untuk kali ini. Harap semua dapat ambil iktibar daripada apa yang kita buat hari ini ye! Okay, adik-adik boleh pulang semula ke tempat permulaan explorace," ujar Sis Merida. "Terima kasih, abang Sheffield! Terima kasih, akak Merida!" kata adik-adik Le Coureurs sambil berlalu pergi. Bro Sheffield dan Sis Merida melemparkan senyuman manis.

Mereka memerhatikan perjalanan adik-adik Le Coureurs dari belakang dengan menyimpan segunung harapan. Harapan agar adik-adik ini bakal menyambung risalah perjuangan Islam pada masa akan datang. Harapan untuk melihat agar tertegaknya kembali khilafah Islamiyyah 'ala minhaj an-Nubuwwah!


Ya Allah, make my best day the day that I meet You, ameen~ ^_^

Selasa, 1 April 2014

#122 - KOREK TELINGA? PFFT...


Masih ingat post saya tempoh hari berkenaan jamban? Kalau masih ingat, Alhamdulillah. Kalau dah lupa, buat-buat lupa, atau pun memang tak tau langsung, dipersilakan untuk membacanya di sini dengan penuh bangga, hiks.

Eh, apasal hang asyik post artikel yang menjijikkan je sejak belakangan ni? Hari tu cerita pasal jamban, la ni cerita korek telinga pulak? Dah takde benda lain nak post?

Sabar, bro. Sabar. Saya cuma ingin menyatakan yang hak dan memperbetul salah faham yang sering berlaku dalam masyarakat MODEN kita ni. Biarlah agak jijik pun, asalkan kebenaran terserlah, ok! Ayuh buka minda dan mari kita mulakan!

***

"Aduh, gatal betul telinga aku ni! Mesti dah penuh gila taik telinga dalam ni."

"Eei! Kotor sih telinga kau! Lama tak korek la tu!"

"Apasal kau ni? Panggil berpuluh-puluh kali tak dengar? Mesti dah lama tak korek telinga ni."

Begitulah antara perbualan yang acapkali kita dengar apabila berbicara mengenai tahi, taik, atau najis (najis?) telinga. Maka, sama ada secara sukarela atau paksarela, kita mencapai sebatang putik kapas (cotton bud) lalu mengorek telinga kita dengan nikmatnya, mmm.


*Eh, nanti dulu! Jangan korek telinga hang!

Hah, siapa yang cakap tu?

*Akulah. Aku yang hang baca ni.

Ish, kacau je! Baru nak merasai nikmat mengorek telinga ni.

*Aku kata jangan, janganlah.

Hmm, apa-apa je la hang ni. Eh, awat hang halang aku korek telinga pulak? Bukankah itu satu pekerjaan yang mulia? Kebersihan itu kan sebahagian daripada iman?

---

Ha, yang ni la yang saya nak beritahu semua orang akan salah faham ini! Dunia moden hari ini hakikatnya telah banyak merosakkan diri kita tanpa sedar. Sedihnya, kita merasakan perkara tersebut baik untuk diri kita walhal apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Jadi, mari kita sama-sama mengkaji dan menghayati apakah risiko mengorek telinga ini terhadap telinga kita. Yelah, mestilah telinga, takkan hidung pulak -.- Kredit kepada Dr. Irfan Mohamad ^^

***

SEJAK kecil lagi kita telah didedahkan dengan kaedah mencuci telinga yang telah diamalkan secara turun-temurun oleh mereka yang lebih berusia daripada kita.

Baik dengan menggunakan putik kapas oleh mereka yang dikatakan tergolong dalam kategori moden, mahupun penggunaan benda-benda tajam atau secara spesifiknya pin rambut oleh mereka yang agak tradisional.


Kedua-duanya digunakan oleh mereka yang mempunyai niat dan tujuan mencuci telinga yang kononnya kotor dan tersumbat dengan tahi telinga.

Ada yang menjadikannya sebagai satu rutin atas dasar telinga perlu dicuci selalu dan ada juga yang telah menjadikannya suatu amalan yang tidak boleh ditinggalkan setiap kali selepas mandi disebabkan oleh kerana terlalu biasa dengan amalan mengorek telinga.

Bagi mereka yang tidak berapa berkemampuan pula, agak jarang mereka dapat merasai nikmat mengorek telinga dengan menggunakan putik kapas. Jauh sekali untuk menjadikannya sebagai rutin harian.

Lantas, golongan ini sering dianggap tidak pandai menjaga kebersihan diri kerana membiarkan tahi telinga terkumpul dalam lubang telinga.

Tanggapan salah

Mungkin suatu pendedahan atau maklumat baru yang agak mengejutkan sekiranya anda diberitahu bahawa penggunaan putik kapas sebenarnya bukan sahaja tidak mampu membersihkan telinga, bahkan ia boleh menyebabkan masalah gangguan pendengaran.

Itulah hakikat sebenarnya jika anda bertanya kepada pakar telinga di mana-mana klinik atau hospital swasta sekalipun.

Itu bukanlah suatu yang menghairankan kerana kepercayaan yang kurang tepat ini tidak begitu terdedah kepada masyarakat awam.

Hanya mereka yang mengalami masalah tersumbat tahi telinga sahaja yang mengetahuinya kerana tabiat mengorek telinga secara rutin inilah yang menjadi punca yang membawa mereka ke klinik berjumpa doktor.

Lilin telinga


Sesungguhnya manusia diciptakan dalam sebaik-baik kejadian, lengkap dengan mekanisme yang membolehkan kita menjalani hidup yang selesa, walaupun tanpa pengunaan perkakasan tambahan.

Saluran telinga manusia mempunyai bahagian yang dilapisi kulit yang menghasilkan lilin telinga (ear wax).

Saluran telinga mempunyai struktur menyerupai rerambut halus di bahagian menghala ke luar, dan bahagian tanpa rerambut yang letaknya lebih ke dalam yang hampir dengan gegendang telinga.

Lilin telinga, yang ramai antara kita mengenalinya sebagai tahi telinga, terhasil daripada kelenjar yang terletak di bahagian yang lebih ke luar daripada keseluruhan salur telinga.

Majoriti dalam kalangan masyarakat menganggap lilin telinga ini kotor dan perlu dicuci, dan fahaman ini sebenarnya adalah salah!


Maka, bersyukurlah kepada Tuhan yang telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian! Sila rujuk al-Quran, 95: 4

Kesan mengorek telinga

Menjadi sesuatu yang lumrah bahawa apa sahaja yang dijenamakan sebagai ‘tahi’ itu perlu dicuci. Di sinilah timbulnya kesilapan yang pertama.

Lilin telinga terhasil daripada proses fisiologi dalam diri manusia. Amaun yang dihasilkan amatlah sedikit.

Apa yang menjadikannya banyak ialah tindakan kita yang sering mengganggu proses pencucian lilin telinga ini yang sepatutnya berlaku tanpa diganggu.

Rerambut halus yang terdapat dalam saluran telinga sebenarnya telah diprogramkan untuk ‘menyapu keluar’ lilin telinga ini.

Disebabkan itulah bagi mereka yang tidak menggunakan putik kapas, akan terasa seperti debu-debu berhampiran dengan kawasan cuping telinga.

Itu sebenarnya ialah lilin telinga yang secara automatik telah disapu keluar oleh petugas-petugas yang sentiasa bekerja di dalam telinga kita.

Apabila tugas mereka diganggu, maka semakin hari semakin banyaklah lilin telinga akan terkumpul dan terperosok ke bahagian yang lebih ke dalam.


Sampai ke suatu tahap, kita akan mengalami apa yang dikenali sebagai kurang dengar jenis konduktif (conductive hearing loss).

Tidak kurang juga kes-kes di mana hujung kapas terlucut daripada bahagian plastiknya dan menyebabkan ia tertinggal di dalam lubang telinga.

Ia tidak dapat dikeluarkan di rumah oleh pesakit sendiri atau kawan yang ingin membantu. Ini kerana lokasinya yang agak jauh ke dalam, ruangnya yang sempit serta susunan saluran telinga yang tidak lurus sepenuhnya.

Pengeluaran kapas berkenaan biasanya memerlukan pemeriksaan mikroskopik dan putik kapas yang tertinggal diambil keluar dengan menggunakan forseps.

Ada juga di kalangan kita yang menggunakan benda-benda yang lebih berbahaya seperti pin rambut, lidi, hujung pensel dan sebagainya untuk mengorek telinga.

Penggunaan alat-alatan ini lebih mengundang padah kerana ia akan lebih mendedahkan pesakit kepada kecederaan yang serius seperti luka pada saluran telinga dan kerosakan pada gegendang telinga selain daripada ia turut mendedahkan kepada risiko jangkitan kuman pada saluran telinga yang dipanggil otitis eksterna.

Gambar pesakit yang menghidapi otitis eksterna

Kurang dengar

Apabila terlalu banyak lilin telinga yang termampat dan terperosok ke dalam, ia semakin menghampiri gegendang telinga.

Gegendang ini berfungsi sebagai penukar daripada tenaga bunyi kepada tenaga getaran atau mekanikal.

Apabila ada sesuatu yang menyentuh apatah lagi menghimpit dan menekan ke atasnya, maka sistem konduksi bunyi akan terganggu dan terjadilah masalah pendengaran.

Perlu difahami, kehadiran gumpalan lilin telinga yang termampat akibat sentiasa ditolak masuk oleh putik kapas akan menyebabkan gelombang bunyi yang sepatutnya masuk ke dalam telinga akan terhalang.

Lantas, jumlah stimulasi bunyi yang sampai ke gegendang untuk diinterpretasi akan menjadi minimum dan mungkin tidak cukup untuk tahap pendengaran yang jelas.

Rawatan

Pesakit selalunya akan hadir ke klinik dan hospital apabila terjadinya masalah pendengaran yang mengganggu tugas harian mereka.

Ada juga di kalangan pesakit yang menghadapi bunyi bising (tinnitus) di dalam telinga. Setelah menjalani pemeriksaan dan lilin telinga termampat disahkan, doktor akan menggunakan beberapa kaedah untuk mengeluarkannya.

Kaedah konvensional yang digunakan ialah dengan memancutkan air suam ke dalam telinga dengan menggunakan picagari (ini hanya boleh dilakukan oleh mereka yang terlatih sahaja).

Dengan cara ini, lilin telinga akan menjadi sedikit lembut dan lama-kelamaan ia akan terkeluar dengan arus air tersebut.

Bagi sesetengah kes pula, ketulan-ketulan yang terlalu keras dan mampat akan dilembutkan terlebih dahulu dengan sejenis ubat titis telinga dan kemudiannya barulah lilin termampat tadi mudah dikeluarkan.

Sesetengah hospital, terutamanya hospital besar yang mempunyai perkhidmatan pakar telinga, kaedah penyedutan lilin telinga di bawah pemeriksaan mikroskopi boleh dilakukan.


Apabila lilin telinga telah dikeluarkan, biasanya pesakit akan memperoleh tahap pendengaran seperti sedia kala.

Bunyi bising dalam telinga atau tinnitus akan hilang dan rasa selesa kembali dinikmati. Nasihat yang diberikan ialah supaya pesakit tidak lagi menggunakan putik kapas pada masa akan datang.

Kita perlu ingat bahawa badan kita telah diciptakan dalam keadaan yang cukup baik dan serba lengkap.

Sebarang manipulasi hendaklah disertakan dengan ilmu yang mencukupi agar kita tidak ditimpa mudarat.


Benarlah kata orang-orang tua bahawa menjaga kesihatan dengan cara mencegah adalah lebih baik, lebih selesa, lebih mudah dan jauh lebih murah daripada merawat.

***

Alhamdulillah, berakhir sudah pembacaan. Jadi, bagaimana? Bagi yang telah terbiasa mengorek telinga menggunakan putik kapas dan sebagainya, atau menjadikan perbuatan tersebut sebagai hobi, ayuh sama-sama lakukan anjakan paradigma! Tahukan kalian, Islam telah mengajar kita suatu cara yang sangat efisien bagi membersihkan telinga, iaitu dengan mencuci kedua-dua belah telinga kita ketika proses mengambil wuduk.


Air secara saintifiknya terbukti sebagai agen pembersihan yang paling baik bagi diri kita. Jadi, ayuh kembali kepada Sunnah! Anda mampu mengubahnya! :)




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA