Isnin, 19 Mei 2014

#128 - FAREWELL, MY BELOVED GAMES!


Masih saya ingat...

Saya merupakan salah seorang pemain tegar permainan komputer pada suatu masa dahulu. Orang sekarang panggil golongan macam ni gamers. Anda mungkin tertanya, bagaimana bisa saya menjadi salah seorang golongan ini dan bagaimana saya boleh terjebak ke dalamnya, walhal saya ni kan budak baik? Ceh, baik la sangat. (PERINGATAN: Jangan ditiru aksi ini di rumah!)


Masih saya ingat...

Semasa saya berada di alam tadika, saya telah mula belajar menggunakan komputer dengan panduan ayahanda yang tercinta. Komputer rumah ketika itu hanya dikuasai oleh saya, abang, dan adik perempuan saya yang pertama. Tak ada istilah berebut komputer lagi waktu tu (memanglah, baru ada tiga orang adik-beradik masa tu). Biasalah kan, waktu tu pun zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kat Malaysia ni baru nak up. Maka, saya banyak mempelajari ilmu baharu melalui medium komputer yang dipasang cakera padat video (VCD) padanya seperti ilmu al-Quran, sirah para Nabi, bahasa Arab, bahasa Inggeris, tulisan jawi, sains, matematik, dan lain-lain. Tambahan pula, kebanyakan VCD tersebut banyak diselitkan unsur interaktif dan permainan yang sesuai dimainkan oleh kanak-kanak seperti saya pada waktu itu. Jadi, kemungkinan pada masa itulah bermulanya era permainan komputer dalam jiwa maskulin ini, eh.


Masih saya ingat...

Antara permainan komputer bersifat pendidikan yang menjadi kegemaran saya ketika di bangku tadika dan sekolah rendah ialah Game Jawi, Siri Sahabat Rimba, Science Blaster Jr., Chessmaster 5000, dan lain-lain. Tapi, lumrah alam la kot, benda-benda yang bersifat pendidikan ni mana tahan lama minatnya kalau dah ada unsur-unsur lain yang lebih 'lagha' dan menyeronokkan muncul, heh. Bagaimana mungkin tidak?


Masih saya ingat...

Bermain permainan komputer telah menjadi salah satu hobi saya ketika di alam sekolah rendah di samping membaca buku dan menonton televisyen. VCD-VCD games telah muncul dengan berlambaknya bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Ayah saya juga turut menambah koleksi VCD permainan komputer kepada kami adik-beradik yang telah berjumlah lima atau enam orang pada masa itu. Saya juga pernah membuat pertukaran pinjaman VCD games daripada rakan sekolah saya. Antara permainan yang menduduki carta tertinggi dalam imaginary ranking ciptaan saya ialah MechWarrior, The House of the Dead, F1 Championship Season 2000, Bionicle, Pac-Man All-Stars, dan lain-lain. Tambahan pula, bermain permainan seperti MechWarrior dan Formula 1 lebih mengghairahkan dengan adanya penggunaan kayu ria (joystick). Kalau diingatkan semula memang, pergh. Seronok gila. Selalunya budak-budak lelaki je yang selalu duduk di hadapan komputer ni, budak perempuan a.k.a. adik perempuan saya bukan minat pun. Pernah sekali saya dan abang meminta ayah saya untuk membelikan PlayStation, tetapi tidak dibenarkan. Nasib baik ayah tak belikan, kalau tak, tak taulah apa jadi kat saya sekarang ni, heh.


Masih saya ingat...

Bukan setakat di rumah saya bermain permainan komputer, bahkan ketika saya di sekolah rendah juga. Entah bagaimana dan siapa yang memasang (install) atau memuat turun (download) games pada komputer di dalam makmal komputer sekolah saya. Kadang-kadang ada satu-satu masa tu, kalau ada kelas IT kat sekolah, masuk makmal komputer tapi cikgu ITnya tiada dan diganti dengan cikgu lain, apa lagi, bebaslah nak main apa-apa pun kat komputer tu. Antara permainan yang pernah saya main di makmal komputer ialah Zuma Blast, Diner Dash, dan lain-lain. Setakat games Pinball, Minesweeper, Spider Solitaire, dan lain-lain Windows Games tu tak payah cerita la, semuanya saya sudah pro, eh. Yang paling tak tahannya ialah saya pernah diizinkan oleh guru saya untuk memasuki makmal komputer sekolah dan bermain permainan komputer di dalamnya beberapa hari selepas tamat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Sebenarnya hari itu (tak ingat hari apa) merupakan cuti bagi semua murid darjah enam sekolah saya, tetapi saya tersilap dengan menghadirkan diri ke sekolah pada hari tersebut. Maka, bagi menghilangkan kebosanan, saya meminta izin untuk memasuki makmal dan tak sangka pula diberi layanan istimewa ala-ala very important person (VIP), haha.


Masih saya ingat...

Saya mula mengenali apa itu kafe siber (CC) ketika saya berada dalam darjah enam (kalau tak silap). Pada masa itu, ada sebuah CC yang baru saja ditubuhkan berhampiran rumah saya. Entah macam mana saya boleh ke sana, mungkin diajak oleh kawan kepada adik lelaki saya yang pertama (anak keempat dalam adik-beradik) kot. Pada masa itu jugalah, saya mengenali permainan Counter-Strike, FIFA, dan lain-lain. Walau bagaimanapun, saya hanya melayan Counter-Strike sahaja disebabkan pada waktu itu saya hanya mahu mencuba permainan berunsur tembakan. Saya perhatikan pun banyak orang duk main game ni je kat CC tu. Waktu tu pun minat terhadap permainan komputer bola sepak masih belum bercambah lagi. Jadi, pada saat itulah saya mula meminati Counter-Strike dan telah dimasukkan dalam senarai permainan kegemaran saya, heh. Namun begitu, kehadiran saya bersama abang ke CC tersebut telah terkantoi. Entah macam mana boleh terkantoi tak ingat. Emak saya memarahi dan menasihati saya agar jangan mudah terpengaruh dengan kawan-kawan, lebih-lebih lagi saya akan bersekolah asrama pada tingkatan satu nanti.


Masih saya ingat...

Saya mula didedahkan dengan alam internet seawal usia 13 tahun (tingkatan satu), zaman saya sudah mula menginjak alam menengah dan mula bersekolah di salah sebuah sekolah berasrama swasta di Perak. Pada mulanya, saya hanya menggunakan internet untuk saling berkomunikasi dengan keluarga yang berada di kejauhan menggunakan emel dengan sambungan internet dial-up connection di kampung. Oh, ya! Kenangan menggunakan sambungan internet jenis ini pada masa itu memang tidak boleh dilupakan kerana betul-betul menguji kesabaran dan iman serta menghabiskan banyak masa saya di hadapan komputer hanya untuk menunggu sehingga laman web habis loading. Walau bagaimanapun, saya masih noob dalam menjadi pengguna internet, jadi saya tidak berasa terganggu sangatlah dengan kelembapan itu. Ok sambung cerita balik. Dengan hanya menggunakan internet untuk menghantar dan membaca emel, saya telah menaik taraf diri saya menjadi pemain permainan komputer secara atas talian (online). Lebih-lebih lagi apabila rumah saya sudah mula dihinggapi dunia internet pada ketika itu dengan pada mulanya menggunakan broadband, kemudian bertukar kepada sambungan Wi-Fi, hoyeah.


Masih saya ingat...

Antara laman web online computer games yang sering saya kunjungi pada suatu masa dahulu ialah Miniclip, Nitrome, dan lain-lain. Ok, itu zaman sebelum saya ada Facebook. Pabila era Facebook sudah bercambah dalam diri ini sekitar akhir tahun 2009, saya mula mengenali dan meminati permainan atau aplikasi yang berada di dalam Facebook pula. Antara permainan Facebook yang pernah menjadi kegemaran saya ialah CityVille, Yakuza Lords, Footy!, Empires VS Allies, dan lain-lain. CityVille tu saya suka sebab game tu berkaitan dengan perancangan dan pembinaan bandar. Biasalah kan, dulu saya pernah berangan nak jadi Khalifah Islamiyyah suatu hari nanti, siap lantik kawan-kawan ada jawatan sendiri pulak. Ada yang jadi Sultan, Perdana Menteri, Gabenor, Mufti, Menteri Pertahanan, sehinggalah kepada gundik diraja, haha. Kadang-kadang, waktu outing hujung minggu kat asrama, saya dan kawan-kawan pergi ke CC untuk online atau pun bermain games. Paling best mestilah zaman selepas Penilaian Menengah Rendah (PMR), kami pelajar tingkatan tiga selalu keluar dari sekolah tak kira siang mahupun malam semata-mata ingin berjalan-jalan, online, atau bermain games di CC.


Masih saya ingat...

Zaman seusai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan masa lapang yang paling lapang pernah saya ada. Tetapi, saya banyak menghabiskan sisa-sisa masa tersebut dengan online dan bermain games. Lebih-lebih lagi ayah saya telah menghadiahkan saya sebuah komputer riba Windows 8. Lagilah saya seronok bermain. Astaghfirullah. Haha, tapi bukan sepanjang masa saya buat benda tu. Waktu cuti tu la saya dapat lesen memandu dan dapatkan informasi terkini berkenaan kehangatan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Ingat PR nak menang dah, tapi Allah masih belum mengizinkan kemenangan PR lagi, hmm. Eh, tukar topik pulak dia! Selain itu, zaman ni kan dah mula zaman iPad, jadi rumah saya pun tak terkecuali daripada menerima tempias tablet tersebut. Kadang-kadang, saya bermain permainan bola sepak "Dream League Soccer" di iPad keluarga saya, hmm.


Masih saya ingat...

Ketika saya sudah menjejakkan kaki ke alam pra-universiti, saya masih lagi bermain permainan komputer. Contohnya, permainan "Top Eleven: Be a Football Manager" dan "UberStrike" yang menggunakan platform Facebook untuk bermain sejak selepas SPM lagi. Saya mula meminati permainan bola sepak sejak saya mengambil tahu perkembangan bola sepak tempatan dan antarabangsa secara serius sejak memulakan persekolahan menengah tinggi di salah sebuah sekolah berstatus Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Kedah walaupun saya sendiri kaki bangku. Entah bagaimana saya boleh terpengaruh dengan sukan ini. Pada zaman pra-universiti ini jugalah, saya mula belajar bermain menggunakan gamepad dan mula terpengaruh dengan permainan Pro Evolution Soccer (PES) yang menjadi kegilaan sahabat-sahabat jejaka saya. Saya turut bermain FIFA Online 3. Saya juga memerhatikan ada sebahagian sahabat saya yang sangat gemar akan permainan DOTA (Defense of the Ancients) atau pun Warcraft. Ada orang gelar DOTA tu "Dunia Orang Tanpa Awek". Haha, whatever. Saya mendapat tahu mengenai DOTA ini ketika berada di alam menengah tinggi. Nasib saya baik kerana saya tidak gemar akan permainan berstatus strategi sebegini dan saya tidak mahu mengambil serius mahupun belajar cara-cara bermain permainan ini.


Masih saya ingat...

Salah seorang pensyarah merangkap guru penasihat majmu'ah (kelas) saya pernah beberapa kali menasihati agar kami sebagai anak-anak muridnya meninggalkan games dan menolaknya 100% kerana beliau tidak mahu kami membuang masa dan melupakan tugas sebenar sebagai khalifah-Nya. Tetapi, saya masih berpegang pada pendapat, "tak apa main game, asalkan jangan leka." Namun, pada hakikatnya memang terleka sungguh pun. Allah. Dan saya masih meneruskan tabiat bermain games sehingga saya menamatkan pengajian setahun Asasi saya, siap beli gamepad sendiri lagi untuk kemudahan saya bermain PES dalam komputer riba saya. Ahha, zaman sekarang pun era telefon pintar, bukan? Jadi, sejak saya ada telefon pintar sendiri ni, lagi mudahlah nak main permainan yang ada versi mobile dia, huh.


Sehinggalah pada suatu hari...

Saya mula terasa kebosanan melayan permainan ini.
Saya mula bermuhasabah.
Saya mula merenung.
Berfikir, menghela nafas panjang-panjang.
Menghembuskannya semula.

Apakah yang telah kuperbuat selama ini?
Apakah yang telah kuhabiskan sepanjang masa muda ini?
Apakah yang telah kusumbangkan untuk Islam?

Berapa banyak masaku terbuang untuknya?
Berapa banyak majlis ilmu yang luput kerananya?
Berapa banyak surah yang aku dah hafal?
Berapa banyak bahasa asing yang telah aku kuasai?

Ya Allah, banyaknya masa muda yang aku buang selain untuk Islam!!!
Ya Allah, banyaknya masa muda yang aku buang selain untuk Islam!!!
Ya Allah, banyaknya masa muda yang aku buang selain untuk Islam!!!


Kesedaran yang mula menyuntik diri ini pun berlaku atas beberapa faktor; pembacaan, rakan, keluarga, pensyarah, pengalaman daripada senior, memerhatikan sendiri isu semasa, globalisasi. Ah, tak tertulis semuanya di sini!

Saya mula berazam. Saya akan mula berhenti bermain permainan komputer mahu pun permainan telefon pintar. Sedikit demi sedikit. Peringkat demi peringkat. Saya akan menunaikan azam saya apabila bermulanya cuti semester nanti. Itulah yang saya sematkan di dalam minda dan hati. Kerana saya sendiri pun sudah berazam akan menghabiskan cuti semester ini dengan aktiviti yang bermanfaat buat diri sebagai persediaan menghadapi dunia luar yang lebih mencabar.

Alhamdulillah, saya mula berjaya. Pada awalnya saya nyahpasang (uninstall) aplikasi permainan dalam telefon pintar saya hanya untuk menjimatkan memori, namun setelah berfikir dua kali, ya, saya perlu buat keputusan.

Saya uninstall semua games yang telah saya download dalam smartphone saya.
Saya hanya tinggalkan permainan yang menguji akal seperi Sudoku dan lain-lain.
Saya delete permainan PES dalam komputer riba saya.
Saya remove permainan yang pernah saya main dalam Facebook.
Saya hanya tinggalkan sedikit memori lama permainan itu seperti album dan lain-lain.
Saya tidak lagi melayan permintaan (request) daripada rakan-rakan Facebook agar saya bermain games.

Saya sudah nekad! Alhamdulillah, sepanjang cuti semester selama lebih kurang tiga bulan ini, saya sudah tidak lagi bermain permainan komputer sama ada secara online atau pun sebaliknya.


Sepanjang saya hidup dengan bermain permainan komputer ini...

Saya dapat melihat karakter dan personaliti saya terbentuk hasil daripada tarbiyah games atau komputer. Haha, ada pulak.
Saya meminati sukan Formula 1.
Saya menggemari alatan menembak. Kadang-kadang saya berangan mahu jadi penembak suatu hari nanti.
Saya menyukai teknologi yang berkaitan dengan perkomputeran.
Saya kurang gemar akan riadah di luar kerana saya suka duduk di hadapan komputer.
Walaupun hakikatnya hobi saya dahulu menunggang basikal.
Saya suka berada atas talian.
Saya suka menonton video dan mendengar lagu di komputer.
Saya suka menaip dan melakukan aktiviti-aktiviti komputer.

Tetapi kini, biarlah sedikit kemahiran saya dalam ilmu perkomputeran ini boleh saya gunakan untuk ummah.
Boleh saya sumbangkan untuk Islam.
Ummah sedang tenat, kan? Ya, saya juga sebahagian daripada ummah!
Segala puji bagi Allah atas hidayah-Nya yang indah ini.


---
Buat anda yang membaca artikel saya, terima kasih saya ucapkan kerana sudi membacanya dengan tekun. Saya harap para pembaca dapat mendoakan saya agar terus kuat dan istiqamah dalam meniti jalan menuju reda-Nya, insya-Allah.

Kini, obsesi dan fitnah (ujian) yang sedang menghantui dan saya takuti ialah internet, muzik, gajet, dan wanita. Huh, dunia akhir zaman. Therefore, please always keep remembering me in your prayers, okay! Farewell, my beloved games!

"Andai masa yang kita habiskan di hadapan televisyen, internet, atau permainan video itu dimanfaatkan untuk menghafaz al-Quran, kita telah menjadi hafiz Quran sejak sekian lama. Andai masa-masa itu digunakan untuk mempelajari bahasa Arab atau Inggeris, kita telah fasih berbicara dan menulis dengan bahasa ini sejak dahulu."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA