Ahad, 7 Disember 2014

#134 - OH, ADIK-ADIKKU!

Vroom! Vroom!

Melihatkan gelagat adik-adik saya yang kerap bermain permainan komputer, lebih-lebih lagi pada musim cuti sekolah seringkali membuatkan saya tersenyum sendiri dan mengingatkan saya pada zaman 'jahiliah comel' saya dahulu yang gemar juga mengisi masa kosong dengan aktiviti seperti ini. Apa yang terlintas setiap hari setiap kali bangun pagi ialah; bangun pagi, buka komputer, internet, main game. Seolah-olah hanya itu sahaja rutin dan tujuan hidup.

Tetapi itu cerita dahulu. Kini saya sedar bahawa tanggungjawab saya sangat berat dalam menongkah arus hidup ini daripada sekadar bermain game. Hinggakan masa untuk bermain game itu sebenarnya tidak perlu wujud langsung dalam kamus hidup apabila kita betul-betul menghayati makna hidup dan melaksanakan segala tanggungjawab yang masih tertunggak.

Hakikatnya, saya juga lambat untuk menyedari hakikat ini. Ketika saya menginjakkan kaki di bumi Nilam Puri sebagai pelajar APIDS itulah baru saya mula membuka minda seluas-luasnya dalam meneroka dunia luar serta falsafahnya. Hal ini juga banyak dipengaruhi oleh sahabat seperjuangan terutamanya saudara Shahrulanwar yang saya kira sangat proaktif dalam menggalakkan sahabat-sahabatnya untuk menghidupkan zaman mahasiswa ini sebaik mungkin. Kuliah jalanan, bedah buku, diskusi, hei banyak lagi benda tak explore, Muhaimin woi!

Atas inisiatif sendiri, saya cuba untuk memaksa diri sendiri dengan banyak membeli pelbagai bahan bacaan ilmiah dan bukan sekadar buku-buku agama demi merealisasikan 'minda liberal dan terbuka' gagasan saya sendiri (eh). Hobi lama saya suatu ketika dahulu iaitu membaca buku (sebelum ditewaskan oleh sang komputer dan internet) cuba untuk saya hidupkan semula. Ya, budaya membaca sangat perlu dipupukkan sedari kecil kerana peratusan rakyat Malaysia yang membaca dalam tempoh setahun masih rendah, anak-anak!

Jadi, apabila saya menyaksikan kegiatan adik-adik yang betah berlama-lama di hadapan skrin monitor, saya tidak boleh membuat penilaian awal bahawa mereka akan kekal selama-lamanya dengan hobi seumpama itu kerana saya juga pernah berada di posisi tersebut. Malah, mungkin mereka akan sedar lebih awal daripada saya yang 'dah masuk alam universiti baru nak sedar!', heh. Insya-Allah, suatu masa nanti, adik-adikku yang nakal :P
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA