Selasa, 21 April 2015

#138 - SAYA DAN PERBANDINGAN AGAMA


Saya mula mempelajari bab perbandingan agama ketika saya masih dalam tingkatan lima (tahun 2012) di Institut Al-Qayyim​, Mengkuang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Ketika itu, niat utama saya hanya mahu menghabiskan cuti umum Hari Malaysia​ selama tiga hari dua malam (14-16 September 2012) di rumah salah seorang sahabat junior saya, saudara Muawiyah Al Murtadho​ yang masih dalam tingkatan empat di sana. Namun begitu, perancangan Allah Maha Hebat. Sungguh tidak diduga, saya cuti bukan sekadar cuti, tetapi Dia mengizinkan saya untuk bertemu dengan pelbagai figura yang mantap dan mengutip sebanyak mungkin ilmu sepanjang berada di sana. Antaranya ialah Prof. Madya Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin (DrMAZA.com​). Buat pertama kalinya saya berkesempatan untuk mendengar ceramah beliau secara langsung, bertentang mata, bersalam, serta berbual pendek dengan beliau. Subhanallah, perasaan kagum dan teruja itu memang tidak mampu diungkapkanlah bagaimana rasanya.

Keterujaan saya tidak terhenti setakat itu sahaja. Kebetulan pula ketika saya balik 'bercuti' di sana, saya diizinkan pula untuk mengikuti penganjuran sebuah program yang diberi nama "Interactive Dakwah Training​" (IDT) Fasa 1 selama dua hari (15-16 September 2012) di tempat yang sama. Pelbagai 'speakers' yang hebat telah hadir mengisi slot program tersebut seperti Bro Lim Jooi Soon​, Bro Firdaus Wong Wai Hung​, dan Bro Mohd Amin Yaacob. Alhamdulillah, melalui program IDT inilah, saya mula mengenali kepentingan soal perbandingan agama dan mempelajari sejarah agama Kristian, Buddha, Hindu, adat dan budaya masyarakat Cina, bedah kitab Bible, salah faham terhadap Islam, dan banyak lagi. Allahu akbar, sungguh, ketika itu baru saya betul-betul faham mengapa saya perlu benar-benar bersyukur atas nikmat kurniaan Allah yang teragung kepada saya sejak lahir, iaitu nikmat deen al-Islam. Saya juga mula berasakan tanggungjawab besar yang harus dipikul, iaitu berdakwah bukan hanya kepada Muslim, bahkan kepada non-Muslim jua.

***


Tiga tahun sudah berlalu...

Alhamdulillah, pada 18-19 April 2015 yang lepas, saya berpeluang mengikuti program seumpama ini lagi, tetapi penganjurnya saja yang berbeza. Program yang diberi nama "Da'wah 101 Understanding Faiths" ini telah dianjurkan oleh Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama Global UNITY Network​ dan Bro Shah Consultancy & Services​ di Mini Auditorium, UIAM Gombak, Selangor. Saya hadir dengan niat ingin menyegarkan semula kefahaman dan menambah pengetahuan mengenai ilmu perbandingan agama yang telah saya pelajari tiga tahun yang lalu. Antara 'speakers' yang hadir ialah Bro Shah Kirit​, Bro Engku Fauzi​, dan Bro Mas-Yuri Mahyiddin. Alhamdulillah, saya berhasil memperkukuh kefahaman dan meningkatkan ilmu pengetahuan berkenaan perkara ini. Terima kasih kepada sahabat saya, saudara Saiful Islam​, saudara Amirul Mustaqim​, dan lain-lain atas ajakan kalian sebelum ini untuk saya sama-sama menyertai program ini.

Kini, setelah sekian banyak teori yang telah saya suap dan telan, bila lagi saya mahu turun ke lapangan dan melakukan perubahan? Ya Allah, berikan saya kekuatan untuk terus melakukan islah dan dakwah dalam menerajui umat, amin!

***

"Katakanlah (wahai Muhammad), 'Wahai Ahli Kitab! Marilah (kita) menuju kepada satu Kalimah (pegangan) yang sama antara kami dan kamu, bahawa kita tidak menyembah selain Allah dan kita tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun, dan bahawa kita tidak menjadikan satu sama lain tuhan-tuhan selain Allah.' Jika mereka berpaling, maka katakanlah (kepada mereka), 'Saksikanlah, bahawa kami ialah Muslim.'"
(Ali 'Imran, 3: 64)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA