Selasa, 28 April 2015

#139 - AKU INGIN KELUAR MENGEMBARA


Berdasarkan pemerhatian saya yang dangkal ini, saya dapat membuat penilaian awal bahawa penerbitan buku yang bergenrekan 'pengembaraan' (adventure) bakal menjadi 'trending' dalam bidang percetakan dan penjualan buku di Malaysia dalam masa yang terdekat ini. Hal ini sangat membakar serta mendorong jiwa saya untuk melakar impian dan menggapai cita-cita untuk menjadi seorang pengembara dalam usia yang masih segar ini. Lebih-lebih lagi salah seorang senior saya sewaktu menuntut ilmu di Madrasah Idrisiah dahulu, saudara Meor Farid Asyradi​ baru saja mengeluarkan buku pertama beliau, 'Travelog Mr. Traveller' yang mana beliau telah menjelajah dan mengelilingi 15 buah negara hanya dengan menggunakan sekeping tiket dan menaiki kereta api secara solo dengan usia belum mencecah 25 tahun!

Baru-baru ini, saya telah menyertai program 'Youth Awards, Convention, and Exhibition (YouthACE) 2015' di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor pada 25 April 2015 yang lalu. Dalam program tersebut, ada suatu slot yang membuatkan saya terinspirasi dengan kisah seorang lagi anak muda berjiwa besar, saudara Badrul Hisham. Beliau juga telah melakukan perkara yang luar biasa dalam usia yang masih belia; mengayuh basikal sejauh lebih kurang 11,000 km dari London ke Malaysia! Tambahan pula, dengan saranan daripada ustaz Hasrizal Abdul Jamil sendiri yang menggalakkan anak-anak muda untuk keluar dari kota halaman dan pergi mengembara, menyalakan lagi api hamasah as-syabab dalam diri ini untuk belajar sesuatu daripada pengalaman sendiri.

Sewaktu Temasya Masjid ar-Rahman (TAMAR) diadakan pada 23 - 24 Mei 2015 yang lepas, ada sebuah slot bual bicara khas pada malam 23 Mei tersebut. Dua orang panelis dijemput pada malam itu iaitu Datuk Seri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (Mantan Pengarah Urusan PROTON, Pengerusi Eksekutif Brainy Bunch Islamic Montessori, Nazir Masjid al-Falah USJ 9) dan saudara Muhammad Suhail Ahmad (Presiden Grup Penjejak Tamadun Dunia [GPTD]). Datuk Seri Syed Zainal Abidin berkongsi perihal 'Kepemimpinan Holistik: Pengalaman Dunia Korporat, Perniagaan, dan Sukarelawan' manakala saudara Suhail yang juga abang ipar kepada arwah Ahmad Ammar berkongsi pengalaman fenomena kisah Ahmad Ammar bin Ahmad Azam yang meninggal dunia seawal usia 20 tahun pada 2 November 2013 di Turki.

Dalam program bual bicara itu, saudara Suhail sebagai Presiden GPTD ada menekankan tiga sebab mengapa kita perlu mengembara, iaitu supaya kita dapat meletakkan sepenuh pergantungan kepada Allah, dunia ini tiada sempadan geografi, dan berdakwah seperti para sahabat Rasulullah SAW. Beliau juga ada berpesan supaya setiap anak muda, sebelum usia mencecah 35 tahun, anda mesti keluar mengembara. Arwah Ahmad Ammar sewaktu beliau masih hidup juga, beliau telah merancang sendiri pengembaraannya bersama rakan-rakannya. Allahu akbar. Betapa saya benar-benar terinspirasi pada malam itu. Lalu, saya pun pergi membeli buku 'Cerita Cinta Ahmad Ammar' yang dijual di Masjid ar-Rahman pada malam tersebut dan telah pun selesai membacanya. Maaflah, saya agak lewat sedikit membeli buku tersebut, huhu. Semoga saya jua mendapat syahid sepertimana arwah Ahmad Ammar memperolehnya, amin.

Ya Allah, izinkan hamba-Mu untuk keluar mengembara dan meneroka dunia ciptaan-Mu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA