Sabtu, 9 Mei 2015

#140 - UPU, APIDS, DAN NILAM PURI

Logo APIdS Gen-12

Keputusan Permohonan Kemasukan ke IPTA (atau juga dikenali dengan nama 'Unit Pusat Universiti' - UPU) bagi lepasan SPM atau setaraf telah pun diketahui pada hari Rabu (6 Mei 2015) yang lepas. Seperti biasa, drama setiap tahun, ada yang gembira kerana mendapat apa-apa yang dihajati, ada yang sebaliknya, namun ada juga yang masih berkira-kira sama ada ingin menerima atau tidak keputusan UPU tersebut. Mungkin atas faktor lain. Yalah, sama ada ingin menunggu keputusan JPA-MARA, atau ingin memilih kursus yang ditawarkan bawah jabatan agama Islam negeri masing-masing, atau ingin meneruskan pengajian dalam bidang STAM mahupun STPM, atau lebih meminati matrikulasi, atau sebab-sebab lain yang anda boleh jawab sendiri. Itu ini begitu begini ~

Walau bagaimanapun, seperkara yang menarik yang ingin saya kongsikan di sini ialah apabila secara tiba-tiba, saya seolah-olah menjadi sumber rujukan muktabar adik-adik. Bertubi-tubi mesej singgah masuk ke dalam telefon pintar saya, hatta daripada junior yang saya tidak kenal pun siapa mereka. Pandai diorang cari nombor saya. Matlamatnya cuma satu; mahu bertanya atau mendapatkan info lanjut mengenai kursus prauniversiti yang baru saja saya menamatkannya secara rasmi pada bulan April yang lalu. Itulah Asasi Pengajian Islam dan Sains (APIdS), the one and only double major courses at University of Malaya​ atau nama lainnya, "Asasi Paling Indah dan Seksi". Ok, itu mengarut.

Saat yang paling bermakna ketika membalas mesej adik-adik ini ialah apabila saya dapat menceritakan kursus ini dengan penuh perasaan teruja dan bangga. Kembang kempis lubang hidungku saat jari-jemariku (ibu jari je pun) ligat menari di atas skrin sentuh Xperia L bagi meyakinkan mereka bahawa kursus ini sangat cantik, menarik, tertarik, kau memang debom. Bukan apa, saya sebenarnya sangat suka kalau orang bertanyakan kursus ini, lebih-lebih lagi dalam bab menghasut pemikiran junior agar dapat memilih APIdS dengan penuh keyakinan dan keimanan.

Antara kegemaran lain juga ialah saya cenderung untuk menjelmakan keindahan dan kedamaian bumi Nilam Puri serta segala isi yang ada di atasnya kepada mereka. Betapa saya sebenarnya mahu sangat-sangat adik-adik ini dapat juga merasai apa-apa yang pernah saya rasai dan nikmati, khususnya sewaktu berada di Nilam Puri. Entah sumpahan apa yang meracuni minda yang membuatkan Nilam Puri antara bumi yang paling dirindui oleh saya. Memang tak mampu sebenarnya untuk saya nukilkan di sini. Sesiapa yang pernah berada di sana sahaja tahu bagaimana perasaannya. Daripada pensyarahnya, suasananya, makanannya, jalan rayanya, kereta sewanya (err...), dan pelbagai lagi.

Apa-apa pun, pada kesempatan yang penuh barakah ini, saya ingin mengalungkan ucapan jutaan tahniah kepada adindaku, saudari Anis Syakirah​ yang berjaya mendapat kursus yang diminati iaitu Diploma Reka Bentuk Dalaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak Kampus Seri Iskandar​. Moga menjadi seorang pereka dalaman yang hebat dan dapat membantu ummah melalui hasil rekaan anda, insya-Allah! Kepada adik-adik SPM 2014 yang lain juga, moga mendapat apa-apa yang dihajati! Yakinlah dengan segala percaturan Allah. Indeed, He is the best Planner!

"SEKOLAH BUKAN PENJARA, UNIVERSITI BUKAN KILANG"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA