Jumaat, 15 Mei 2015

#141 - IBRAH DARIPADA SURAH AL-JUMU'AH


(Dipetik daripada coretan usrah WhatsApp saya pada minggu lalu.)

Bismillah. Assalamu 'alaikum warahmatullah. Kita mulakan perkongsian kita pada pagi ini dengan Umm al-Furqan, al-Fatihah.

---

Alhamdulillah, Allah masih mengizinkan kita untuk terus bernafas dan menghirup udaranya pada pagi Jumaat yang penuh barakah ini. Sama-samalah kita berusaha menggunakan nikmat usia dan kehidupan ini untuk meningkatkan lagi amal-amal soleh dan meninggalkan segala kemungkaran yang dilarang.

Baik, pertama sekali saya ingin memohon maaf atas kelewatan saya dalam mengendalikan 'Usrah Whatsapp' kita pada minggu ini. Jadi, tanpa melengahkan masa, saya berkenan memilih tajuk "Surah al-Jumu'ah" sebagai intipati usrah kita bersesuaian dengan hari Jumaat pada hari ini. Jom tadabbur sama-sama!

---

Info Surah al-Jumu'ah:
  • Surah ke-62 dalam al-Quran. 
  • Mengandungi 11 potong ayat. 
  • Merupakan salah satu surah Madaniyyah (surah yang diturunkan selepas hijrah Rasulullah SAW ke Madinah).


Ok, kita akan lalui satu persatu setiap ayat yang ada dalam surah ini. Dah sedia ya semua? Mari kita mulakan!

---

✳ Ayat 1: Allah memulai surah ini dengan pujian-pujian terhadap diri-Nya. Hal ini membawa simbolik bahawa Dia ingin memberitahu sesuatu yang besar. Apa perkara yang besar itu? Kita lihat pada ayat yang seterusnya.

✳ Ayat 2-4: Allah mengutus Rasulullah SAW dengan tiga tujuan utama; TILAWAH, TAZKIYAH, dan TA'LIM (3T). Apa benda 3T tu?

➡ Tilawah: Membacakan ayat-ayat Allah.
➡ Tazkiyah: Menyucikan jiwa.
➡ Ta'lim: Mengajarkan Kitab (al-Quran) dan Hikmah (Sunnah).

3T ini bolehlah kita simpulkan sebagai "فضل الله" (kurniaan Allah) yang paling besar dalam hidup kita. Inilah tarbiyah yang diajar oleh Rasul SAW. Betapa kita sepatutnya beruntung jika kita memperoleh ketiga-tiga perkara ini dan dapat pula kita menggunakan modus operandi ini kepada orang lain pula.

✳ Ayat 5: Allah menempelak orang-orang yang diberi tugas membawa kitab Taurat tetapi tidak mengamalkannya seperti seekor KELDAI yang membawa kitab-kitab tebal. Ya, memang dalam ayat ini Allah berkata kepada golongan yang membawa kitab Taurat, tetapi cuba kita inplementasikan kepada diri kita sebagai pembawa kitab al-Quran. Cuba kita bayangkan kita yang berada di posisi tersebut sebagai golongan yang diberi ilmu mengenai Islam. Sahabat-sahabat boleh bayangkan tak betapa buruknya perumpamaan yang digunakan oleh Allah ini? Apa guna kalau kita ada ilmu yang banyak, pengetahuan yang luas, tetapi lokek untuk berkongsi dengan orang lain dan menyebarkannya? Kalian diibaratkan seperti keldai, beb!

✳ Ayat 6-8: Nabi mencabar orang-orang Yahudi untuk segera mengharapkan kematian kerana mereka mendabik dada dengan mengatakan merekalah kekasih Allah, bukan orang lain. Tetapi, adakah orang-orang Yahudi benar-benar mahu mengharapkan kematian dan bersedia dengannya? Sama sekali tidak! Kerana mereka tahu bahawa kejahatan mereka terlalu banyak sehingga mereka sangat takut untuk bertemu dengan kematian. Ketahuilah! Sekuat mana usaha kita untuk lari dari kematian, tak akan sekali-kali berhasil kerana kematian tetap akan mengejar kita. Jadi, cuba kita cabar dan tanya diri kita pula - dengan dosa dan maksiat kita yang masih berlambak, amal soleh entah ke mana, mungkin di utara atau di selatan, tetapi kita anggap diri kita sudah cukup baik, amal kita sudah bagus - jika pada saat ini Allah bagi peluang untuk kita mati, adakah kita sudah benar-benar bersedia bagi menerima kematian? Adakah perangai kita juga serupa dengan orang Yahudi? Tepuk dada, tanya iman!

*fuh fuh, rilek semua. Tenang, tarik nafas jap. Ok, kita sambung. ✌

✳ Ayat 9-11: Ok, dah sampai pun tiga ayat terakhir. Tiga ayat ini merupakan bahagian terakhir dalam surah ini yang mana Allah memerintahkan kita untuk bersegera pergi bertemu Allah dengan berangkat ke masjid, mendengar isi khutbah dengan teliti, serta menunaikan solat Jumaat. Tinggalkan segala urusan dunia dan utamakan urusan yang lebih besar, iaitu bertemu dengan Tuhan yang Maha Besar. Kalau kita perasan, hakikatnya dalam khutbah perlu juga ada penerapan 3T supaya masyarakat sentiasa beringat akan perkara ini setiap minggu. Kemudian, selepas selesai solat Jumaat, Allah memerintahkan kita agar bertebaranlah di atas muka bumi, dengan maksud rezeki bukan datang bergolek dengan hanya duduk merintih doa dan meratib zikir di dalam masjid, tetapi perlu disertai dengan usaha dan ikhtiar bagi memperoleh rezeki yang halal dan mencari kurniaan Allah. Itulah 3T yang disebutkan di atas sebentar tadi. Lihatlah betapa pentingnya 3T ini dalam kehidupan kita.

---

Alhamdulillah, sekian saja usrah kita pada hari ini. Sebarang teguran dan perkongsian tambahan adalah amat dialu-alukan. Sama-sama kita berkongsi ilmu yang bermanfaat demi meraih reda-Nya. Wallahu a'lam, yang baik itu daripada Allah dan yang lemah itu daripada kelemahan diri saya sendiri. Kita tangguhkan usrah kita pada pagi ini dengan kaffarah al-majlis dan surah al-'Asr.

Assalamualaikum warahmatullah. ^_^
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA