Selasa, 2 Jun 2015

#142 - ADINDAKU SUDAH DI ALAM KAMPUS!


Rumahku terasa sepi sekali lagi.

Pada saat adik-adikku yang masih bersekolah sedang bergembira menghabiskan masa dua minggu cuti persekolahan dengan aktiviti membuang masa (keh keh), adik perempuanku yang sulung, Anis Syakirah​ pula mula mendaftarkan diri sebagai salah seorang pelajar diploma Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak Kampus Seri Iskandar​ pada hari ini. Maka, kesunyianlah adik perempuanku yang seorang lagi tidak berteman kerana kakaknya sudah berangkat pergi menempuh alam kampus yang menyimpan 1001 warna, khazanah, dan pengalaman, huhu. Hal ini secara tidak langsung menjadi rekod adik-beradik #ZHADAMI wanita pertama yang menjejakkan kaki ke institut pengajian tinggi. Yalah, dah nama pun kakak, mestilah masuk dahulu sebelum adik kan...

Di sebalik kesyukuran yang terzahir atas keberhasilan adikku mendapat tempat di universiti, terselit juga rasa hiba memandangkan seorang demi seorang daripada kalangan kami sudah mulai membesar dan menginjak ke alam belia dan dewasa. Masakan tidak? Perkembangan fizikal seiring dengan peningkatan umur juga menjadi indikator bahawa selepas ini, semakin sukarlah untuk kami adik-beradik berkumpul dan melakukan aktiviti bersama di rumah dalam satu-satu masa. Masing-masing pergi membawa hala tuju dan mencapai cita-cita. Belum dikira lagi jika ada dalam kalangan kami yang akan melangsungkan perkahwinan selepas ini. Mungkin - atau lebih tepat - pasti akan ada dalam kalangan kami yang berhijrah ke tempat lain atas pelbagai faktor - pekerjaan, mengikut keluarga mertua, dan sebab-sebab lain.

Lantas, perkara ini membuatkan memori aku kembali terngiang akan kisah silamku. Zaman di mana aku masih comel dan mentah. Tidak pernah kisah dan peduli pun akan kebimbangan hidup di atas dunia yang gila ini. Ya, begitulah dunia kanak-kanak. Namun begitu, apa yang lebih penting ialah kesemua ahli adik-beradik #ZHADAMI berada di sisi. Semuanya ada.

Melakukan kerja-kerja rumah bersama-sama,
Menyepah dan menyelerakkan rumah bersama-sama,
Bermain permainan indoor dan outdoor bersama-sama,
Berimaginasi dalam permainan komputer bersama-sama,
Menonton filem dan kartun bersama-sama,
Bergaduh dan berkelahi bersama-sama,
Rakam video, gelak kuat-kuat, lepas tu delete dan rakam semula bersama-sama...
Apa lagi ya?

Makan bersama,
Mandi bersama,
Tidur bersama...

Dan pelbagai lagi aktiviti 'bersama-sama' tapi bukan pada musim summer yang kita lakukan,
Bersama-sama...

Kini, zaman kanak-kanak aku sudah berlalu. Kanak-kanak yang tinggal dalam adik-beradik #ZHADAMI (pada saat artikel ini ditulis) cumalah adik lelaki bongsu saya sahaja. Yang lain semuanya sudah menginjak alam belia dan dewasa.

*dush* tepuk kelapa, eh kepala.

Yo bro, cukup-cukuplah throwback mengenangkan kisah lampau. Tak salah pun nak imbas kembali masa lalu, tapi jangan jadikan perkara tersebut sebagai asbab untuk aku terus leka akan tanggungjawab aku yang lebih berat dalam masa yang mendatang ni. Ingat balik, aku diciptakan di atas dunia ini untuk tujuan apa. Banyak lagi masalah ummah dan ad-deen yang perlu aku sama-sama bantu dan sama-sama perjuangkan demi meraih reda-Nya.

Hmm, betul tu. Hidup perlu diteruskan. Ya, masing-masing sudah besar. Hal ini juga bermakna tanggungjawab kita juga semakin besar, #ZHADAMI. Tapi, ingat tak sewaktu kita kecil dahulu, kita mampu melakukan semua perkara seperti di atas bersama-sama? Jadi, tak mustahillah kalau kita mampu menggalas tanggungjawab kita yang sebenar di atas dunia ini secara bersama-sama juga, kan? Malah, kehidupan kita ini pun sebenarnya sebuah madrasah, sekolah, atau universiti kehidupan. Kita tidak akan bergraduasi dari sistem pendidikan - atau lebih tepat - sistem tarbiah ini selagi roh belum terpisah dari jasad. Kita boleh belajar semua perkara dan menilai sudut pandang kehidupan ini dengan cara kita yang tersendiri. Walau jasad kita mungkin akan terpisah selepas ini, namun hati kita masih bisa terpaut utuh dengan izin-Nya. Betul tak adik-adik, abang-abang, dan kakak-kakak sekalian?

Doaku padamu wahai adik-beradikku sekalian, moga kita terus kuat dalam meniti arus dan liku kehidupan yang penuh pancaroba ini. Pegang erat-erat tangan kita, jangan sesekali dilepaskan! Ingin sekali aku mahu kita terus bersama-sama sehingga tiba di pintu jannah-Nya. Kalau dahulu kita bersama-sama di alam fantasi, namun kini ayuh kita bersama-sama menuju alam realiti.


"Ya, Allah! Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi perintah-Mu, bersatu memikul beban dakwah-Mu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulatkan dan menyokong syariat-Mu. Maka, eratkanlah ya Allah akan ikatannya. Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini akan jalannya yang sebenar. Penuhkanlah piala hati ini dengan cahaya rabbani-Mu yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman, keyakinan, dan keindahan tawakal kepada-Mu. Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifat tentang-Mu. Jika Engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong..."

Kepada adindaku Anis Syakirah, selamat menuju ke gerbang universiti kehidupan! Semoga penulisan ini memberi inspirasi untuk menjadi seorang anak yang lebih solehah dan aset ummah yang bermanfaat, amin...

Nukilan abangmu,
Ahmad Muhaimin bin Ahmad Safaruddin

---

Nota kaki: #ZHADAMI di atas merujuk kepada abjad awal bagi nama-nama adik-beradikku bermula daripada bongsu kepada sulung. Oh ya, saya anak kedua. ^_^
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA