Khamis, 25 Jun 2015

#144 - DOAKU KETIKA DI PASUM


Segala puji bagi Allah. Sudah seminggu nampaknya saya melalui bulan Ramadan pada tahun ini. Tinggal tiga minggu lagi berbaki dalam misi memburu takwa dan mencapai reda-Nya. Dalam penulisan saya sebelum ini, ada saya nyatakan bahawa saya akan totally menyambut bulan Ramadan di rumah kerana sedang bercuti. Jadi, seperti kebiasaan, sekitar waktu Duha saya akan log masuk ke dalam laman sosial Facebook melalui komputer riba pembelian ayah bagi mendapatkan informasi atau berita terkini daripada keluarga, guru, sahabat, mahupun seluruh dunia di alam maya. Ucap selamat hari lahir, skrol suapan berita, like, like, dan like. Kalau diri terasa rajin mahu komen, saya akan komen. Otherwise, saya hanya akan menjadi pemerhati bisu, pembaca setia, dan tukang suka (liker), heh. Seolah-olah segala aktiviti tersebut sudah menjadi rutin harian. Hmm, budak zaman sekarang...

Selesai menjalani semua proses di atas, barulah saya mula menekan simbol 'bumi' yang berada di sudut kanan atas Facebook. Ya, butang notifikasi atau dalam bahasa bakunya, pemberitahuan. Selalunya, butang atau ikon itulah yang paling akhir yang akan saya klik daripada ikon-ikon lain seperti permintaan menjadi rakan dan peti mesej. Jangan tanyalah sebab apa. Dah perangai saya macam itu. Ok, dalam sekian banyak notifikasi Facebook yang ada pula, saya gemar untuk melihat aplikasi 'On This Day' terlebih dahulu. Menariknya, aplikasi ini membolehkan saya melihat kembali setiap pos lama yang telah saya poskan ke dalam Facebook bagi tahun-tahun sudah pada tarikh tersebut. Misalnya, jika tarikh hari ini ialah 25 Jun 2015, maka kita dapat melihat setiap pos - status, gambar, video, dan lain-lain - yang telah kita pos pada tarikh 25 Jun itu bagi tahun-tahun sebelumnya sejak hari pertama kita bertapak di Facebook. Lebih kurang macam arkib sejarah gitu, huhu.

Jadi, saya mula menekan notifikasi 'On This Day' untuk hari ini. Berikut ialah status yang telah saya kemas kini pada setahun yang lalu, 25 Jun 2014. Zaman ketika saya berada dalam tahun kedua Asasi Pengajian Islam dan Sains (APIdS) di Universiti Malaya.

sakit mata? klik pada gambar.

Saya terpana seketika. Allahu akbar. Tidak kusangka, tidak kuduga, ini doa yang pernah saya nukilkan dahulu. Pabila saya terbaca semula doa ini, teringat kenangan dahulu sewaktu saya berasa agak tertekan dengan kehidupan di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM). Kehidupan yang serba akademik dan seolah-olah tiada life orang kata. Bangun pagi, pergi kuliah, balik, buat tutorial, tidur. Esoknya pun begitu. Allah, dah jadi macam robot rasa! Lalu, saya cuba pujuk hati ini agar kuat dan tabah dengan segala dugaan dan kesukaran yang mendatang. Mana ada benda senang di dunia ini, bukan? Yang penting tabah. Ya, tabah!

Allah dah hantar saya ke sini. Allah dah takdirkan saya untuk berada di sini. Masakan Dia hendak membiarkan saya di sini secara sia-sia? Dia tidak akan pernah meninggalkan saya. Tidak sekali-kali.

Alhamdulillah, kini saya telah menamatkan dua tahun zaman asasi dengan jayanya (*tepuk tangan). Insya-Allah, jika ada rezeki, nafas masih panjang, saya akan menyambung pengajian sarjana muda dalam bidang Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat, juga di Universiti Malaya. Moga-moga apabila ada ketika saya berasa lemah dan lelah, saya akan cuba hayati semula doa ini. Semoga Allah sentiasa memandu niat saya agar sentiasa menuntut ilmu kerana-Nya dan demi ummah yang tercinta. Amin.

Buat adik-adik APIdS Gen-13 dan adik-adik PASUM '97 yang mungkin sedang membaca pos ini, doa saya untuk kalian moga-moga kalian sentiasa kuat, dipermudahkan segala urusan, dan sentiasa diluruskan niat dalam musafir ilmu ini. Amin sekali lagi.

Salam Ramadan 1436H ^_^
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA