Rabu, 12 Ogos 2015

#146 - S.M.P.I.T.M.


Sewaktu saya di bangku sekolah rendah dahulu, saya pernah memasang cita-cita untuk menjadi seorang guru dan seorang doktor. Dalam fikiran saya, saya membayangkan diri saya sebagai guru pada hari bekerja dan doktor pula pada hari minggu. Itu dia, dua profesion sekaligus! Bila nak ambil cutinya, Muhaimin oi? Well, biasalah tu zaman hingusan, mana kenal lagi erti dunia yang sebenar.

Apabila usia menginjak ke alam menengah rendah, saya berasakan bahawa saya lebih cenderung untuk memilih kerjaya sebagai seorang saintis disebabkan minat saya yang sangat mendalam terhadap ilmu sains. Tambahan pula, saya juga sangat menggilai Bahasa Arab serta subjek-subjek agama yang lain. Jadi, saya bertekad dalam hati dan menetapkan cogan kata sendiri dalam hidup: "Saintis Islam yang mati syahid". Halamak. Apabila berada di dalam makmal sains sekolah, saya sering berimaginasi seorang diri bahawa saya ialah seorang saintis terkemuka di dunia sedang melakukan kajian dan penyelidikan. Nampak tak, kuat sungguh berangannya di situ.

Namun begitu, langit tidak selalunya cerah. Sebaik saya memasuki arena menengah atas dan berpindah ke sebuah sekolah yang dianggap elit, saya mula berasakan suatu gelora yang maha dahsyat menghentam jiwa lemah ini. Saya seolah-olah hilang keyakinan bahawa saya mampu menggapai cita-cita sebagai seorang saintis itu. Setiap kali peperiksaan, daripada 11 subjek yang diambil, saya seringkali hanya mampu memperoleh 7A sahaja. Tiga subjek sains tulen (Kimia, Fizik, Biologi) dan Matematik Tambahan sering menghantui zaman sekolah saya waktu itu. Antara ketiga-tiga subjek sains itu, saya lebih cenderung terhadap subjek Fizik disebabkan saya mampu untuk lebih cemerlang menguasainya, diikuti Biologi dan Kimia. Walhasil, saya beroleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan 9A. Hanya Kimia dan Matematik Tambahan sahaja yang tidak memperoleh gred A.

Asbab perkara di atas, saya mula melihat diri saya sebenarnya lebih cenderung ke arah bidang sastera atau sains sosial berbanding sains tulen. Saya juga sangat minat untuk belajar dan mengkaji sejarah. Tambahan pula, kesemua tujuh subjek selain empat subjek igauan saya itu mendapat A+. Kata orang, saya ini jenis manusia otak kanan berbanding otak kiri. Walau bagaimanapun, jauh di sudut hati, saya masih mencintai bidang sains ini di samping saya juga tidak mahu meninggalkan bidang agama apabila melangkah ke alam universiti nanti. Kalau tak percaya, boleh bedah hati saya. Hah sudah, kecelaruan identiti betul.

Dengan izin dan takdir Allah, ditambah dengan pepatah Melayu "pucuk dicita, ulam mendatang", saya terserempak dengan program Asasi Pengajian Islam dan Sains (APIdS) ketika mengisi borang Unit Pusat Universiti (UPU) selepas mendapat keputusan SPM. Alhamdulillah, kini, saya telah pun menamatkan program APIdS selama dua tahun di Universiti Malaya (UM) dengan jayanya.

Semasa tahun kedua asasi di Pusat Asasi Sains UM (PASUM), saya telah mengambil aliran sains fizikal sebagai pilihan berbanding sains hayat. Antara faktor yang mendorong saya membuat pilihan tersebut adalah disebabkan subjek Sains Komputer (subjek ini tidak ditawarkan dalam aliran sains hayat). Oh, lupa nak cakap! Saya juga sebenarnya meminati bab-bab berkaitan dunia perkomputeran dan teknologi maklumat ini. Di samping itu, faktor Fizik yang mendapat gred A yang lebih tinggi berbanding Biologi ketika SPM (Fizik A; Biologi A-) juga memainkan peranan dalam pemilihan ini.

Hendak dijadikan cerita, rupa-rupanya subjek Fizik yang saya belajar ketika asasi ini tidaklah semudah yang disangka. Lebih-lebih lagi, formula Fizik langsung tidak diberikan di dalam kertas soalan peperiksaan sepertimana zaman sekolah dahulu. Kah! Sekali lagi, saya berasakan bahawa saya tidak mampu untuk meneruskan lagi pengajian saya dalam bidang sains. Entah kenapa, saya berasa begitu. Lalu, saya berazam untuk menyambung pengajian sarjana muda saya dalam bidang Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat. Selamat tinggal, dunia sains tulen T-T

Tulisan terlalu kecil? Sila klik pada gambar

Alhamdulillah, takdir Allah telah meletakkan saya sebagai pelajar Sarjana Muda Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat (SMPITM) UM bagi sesi 2015/2016 melalui keputusan UPU yang baru saja keluar pada 11 Ogos lalu. Keputusan ini bermakna saya akan meninggalkan dunia sains secara total. Lalu, saya kembali berfikir dan merenung mengenai masa depan saya. Apa yang saya mahu? Apa yang saya hendakkan sebenarnya dalam hidup ini? Di mana dan siapa saya pada masa akan datang? Pelbagai lagi persoalan dan kecelaruan datang menimpa minda ini, bertalu-talu.

Ya Allah, hamba-Mu ini kini tidak pasti arah tuju hidupnya untuk masa akan datang. Namun, daku sentiasa yakin dan percaya bahawa segala-gala yang Engkau caturkan semuanya terbaik untuk kehidupan daku. Pandulah daku, bimbingilah daku dalam setiap langkah dan detik dalam hidupku. Jangan biarkan daku tersasar walaupun dengan sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek daripada itu. Sesungguhnya, Engkau jualah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.

Kepada sahabat-sahabat yang telah memperoleh keputusan UPU, tahniah diucapkan! Kepada yang sebaliknya, yakin dan percayalah bahawa Allah sedang merancang sesuatu yang lebih baik buat kalian. Buat seluruh ahli keluarga, guru, pensyarah, sahabat, dan insan yang mengenali diri ini, tolong selitkan nama saya dalam doa kalian ya. Pray for my best! Jazakumullahu khairan kasira... :')

---

Ahmad Muhaimin bin Ahmad Safaruddin
120815
0215
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA