Ahad, 4 September 2016

#191 - KULIAH DAN MAKANAN HALAL

Peta kampus Chonnam National University. Sila klik pada gambar untuk paparan lebih jelas.

1 September 2016.

Berakhirnya hari orientasi sebagai pelajar pertukaran antarabangsa bersekali dengan berlalunya hari terakhir bulan Ogos. Kini, satu September membuka tirai dengan megahnya. Hari pertama bulan kesembilan dalam kalendar Masihi itu dimulai dengan hari pertama kuliah di Chonnam National University (CNU). Ya, saya sudah bersedia dari segi fizikal, mental, dan emosional bagi menikmati permulaan hari ini!

Pendaftaran kursus untuk dipelajari sepanjang tempoh satu semester keberadaan saya di sini telah pun dilaksanakan oleh pihak CNU Office International Affairs (OIA) ketika saya masih berada di tanah air lagi. Pada masa itu, pihak CNU OIA meminta setiap pelajar pertukaran untuk memilih subjek yang diingini berdasarkan senarai kursus yang ditawarkan ketika "Fall Semester" di CNU. Selaku mahasiswa Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat (IT), tentu sekali saya akan mencari subjek yang berkaitan dengan IT terlebih dahulu dengan harapan agar saya dapat melakukan pemindahan jam kredit seterusnya tidak perlu melanjutkan tempoh pengajian saya untuk satu semester lagi di Universiti Malaya (UM).

Tetapi, saat mata ralit mencari dan menatal jadual kursus yang diberikan oleh pihak mereka, tidak tertulis walau satu subjek pun yang bersangkut-paut dengan IT. Aiya, macam mana boleh tidak ditawarkan ini? Kalau hendak mencari kursus Pengajian Islam pula, jangan mimpilah. Ini CNU beb, bukan UIM (Universiti Islam Madinah). Hmm, nampak gayanya, terpaksalah saya memilih kursus-kursus yang tiada kaitan dengan pengkhususan saya. Walhasil, saya perlu menambah satu semester lagi sepanjang tempoh empat tahun pengajian Sarjana Muda saya, sekaligus bergraduasi agak lewat berbanding rakan-rakan yang lain. Uwaaa, kahwin lewatlah saya ~

Hehe, tidak mengapalah. Insya-Allah, ada hikmah di sebalik semua yang berlaku. Allah sudah mentakdirkan saya untuk menuntut ilmu di sini, jadi tentunya Dia yang Maha Arif lebih mengetahui mana yang terbaik untuk diri saya, bukan? Jadi, cari punya cari, akhirnya saya berjaya memilih tiga buah kursus yang pada pandangan saya kelihatan agak menarik untuk dipelajari. Berikut ialah senarai kursus tersebut:

  • Special Seminar in Sociology
  • Introduction to Korean History
  • Introduction to Psychology

Jumlah jam kredit: 9

Jam 8.30 pagi, saya berserta sahabat-sahabat yang mengambil kursus yang sama seperti saya berjalan kaki menuju ke kelas pertama pada hari itu, Introduction to Korean History. Suasana kampus pada pagi itu kelihatan sangat meriah dengan para penuntutnya berjalan kaki beramai-ramai. Tidak kurang juga yang menunggang basikal untuk hadir ke kelas masing-masing. Jarang sekali untuk melihat pemandangan sebegini di UM. Benar, di sini tidak disediakan perkhidmatan bas ulang-alik (shuttle bus) sepertimana di kebanyakan kampus, termasuk di UM. Jadi, pelajar-pelajar yang tidak berkenderaan perlu bergerak ke sana dan ke mari di dalam kawasan varsiti dengan hanya menggunakan sepasang kaki. Apa yang saya perhatikan, hanya pensyarah, pekerja, dan pelajar yang tinggal di luar kawasan kampus sahaja yang membawa kereta atau motosikal di dalam CNU. Selebihnya, pelajar-pelajar seperti kami yang menetap di dormitori, hampir kesemuanya bergerak ke fakulti atau jabatan masing-masing dengan hanya berjalan kaki!

Kami tiba di Institute of Liberal Education beberapa minit sebelum jam 9.00 pagi setelah agak tersesat sebelumnya (tak ada la sesat mana) kerana hampir terlupa di mana lokasi bangunan tersebut. Lebih kurang 10 minit sahaja perjalanan biasa dari bilik ke kelas. Awal-awal kelas begini, perasaan teruja itu sememangnya akan menguasai diri. Yalah, pertama kali kot belajar di tempat asing, mana tak excited. Rasanya perasaan cuak atau berdebar itu tiada pula wujud dalam diari hari itu, lebih-lebih lagi saya merupakan seorang yang cool, ditambah pula dengan Profesor yang mengajar subjek ini cool juga, heh.

Pensyarah yang mengajar kami untuk subjek Introduction to Korean History.

Antara kata-kata Prof. Im yang paling diingati pada hari pertama pembelajaran ialah "You are very lucky" dengan sebutan Inggeris gaya orang Korea tulen, lebih-lebih lagi pada kalimah "lucky" yang disebut ibarat "loki". Agak lucu juga sebenarnya apabila mendengar beliau menyebut perkataan tersebut. Mengapa?

Kata beliau, kami sepatutnya berasa bertuah belajar subjek ini dengan beliau kerana beliau akan mengajar sejarah mengenai Korea atas kapasiti sebagai "historian" (ahli sejarah), bukan sebagai "nasionalist" (nasionalis). Makna kata, beliau akan mengajar subjek ini dengan penuh telus tanpa ada sebarang kecenderungan (bias) terhadap kerajaan atau pemerintah. Kata beliau lagi, beliau juga akan bebas mengajar tanpa unsur patriotisme sepertimana yang dilakukan para pensyarah atau rakyat Korea lain apabila bercerita mengenai Korea Selatan. Nampaklah kesungguhan di situ bahawa beliau benar-benar ingin menjadi seorang yang neutral sepanjang pengajaran berlangsung. Tambahan pula, sebelum itu pada tahun 2013, beliau juga pernah mengajar subjek ini kepada beberapa orang pelajar antarabangsa (termasuk pelajar Malaysia) sambil menunjukkan gambar anak muridnya pada slaid. Jadi, beliau pun dengan berkata dengan bangganya, "I'm very lucky as well" :D

***

Selesai kuliah pertama jam 10.15 pagi, saya dan sahabat-sahabat bergerak untuk pergi ke bangunan Student Union 1 bagi melakukan pemeriksaan kesihatan. Student Union di sini ibarat Kompleks Perdanasiswa (KPS) UM. Sebagai tambahan, terdapat tiga buah bangunan Student Union di sini (rujuk peta kampus di permulaan perenggan). Sebelum kami tiba ke sana, kami mengambil kesempatan untuk bergambar di hadapan bangunan Yongbong, bangunan tertua di CNU kerana rekaan bangunannya yang sangat cantik memaksa kami untuk bergaya di hadapan bangunan tersebut. Saya tidak pasti bagaimana sejarah di sebalik bangunan itu. Kelihatannya bangunan tersebut semacam sudah tidak digunakan lagi.

Ini dia bangunan yang dimaksudkan.

Bangunan Yongbong yang bersejarah. Cantik, bukan?

Adib dan Sollehin.

Penulis yang macho. Gambar ini terpaksa disunting disebabkan gambar asal diambil dengan agak senget dan tidak sekata oleh si jurukamera tidak bertauliah dan tidak perfectionist :P

Oh, ada berita baik!

Ketika berada di Student Union 1, saya telah menerima sebuah e-mel balasan daripada Miss Byeol Jeon yang menyatakan permohonan maaf rentetan daripada aduan saya malam sebelumnya mengenai masalah buddy yang masih belum saya bertentang mata sejak hari pertama saya tiba di sini. Bukan sekadar itu sahaja, malah Miss Byeol juga telah memilih seorang buddy yang baru untuk saya menggantikan buddy yang lama. Kalau buddy yang dahulu merupakan seorang lelaki, kali ini buddy yang terkini merupakan seorang wanita. Wohoo! Eh, tersuka pula dia!

Ketika urusan di Student Union hampir selesai, saya menerima sebuah e-mel lagi. Kali ini daripada pasangan buddy saya yang baru itu pula. Akhirnya, salam perkenalan diterima juga oleh saya daripada si buddy. Berikut ialah mesej yang dihantar olehnya:

"Hello Muhaimin.
My name is Hyein, and your buddy.
Nice to meet you.
Actually, now I'm not in Korea, I'm in America.
But I will go back to Korea soon. I will arrive on 2nd September. During summer vacation, I went to Canada to study English. And after finishing the program in Canada, I was traveling for couple of days. So, it is not available to contact to me on the phone. Please contact me through email. If I go back to school, I will contact you. If u need a help or any question, just let me know. As soon as possible, I will do my best. Thank you and see u soon"

Oh, begitu! Disebabkan dia tidak berada di Korea pada masa ini, jadi saya tidak akan berjumpa dengannya dalam masa terdekat. Maka, terpaksalah saya memohon bantuan buddy yang lain dahulu dan menunggu beberapa hari lagi untuk saya dapat bertemu dengannya. Tidak mengapalah. Perbualan mesej melalui e-mel antara saya dan dia diteruskan sehingga hari saya bersua muka dengannya yang akan diceritakan dalam bab yang akan datang.

Jadi, selepas selesai urusan di Student Union 1, kami pun pulang ke dormitori bagi beristirahat. Saya dan seorang rakan perempuan, saudari Wahizatul atau Iza yang mengambil jurusan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam UM (APIUM) mempunyai satu kelas lagi untuk dihadiri, iaitu kursus Special Seminar in Sociology pada jam 3.00 petang nanti, sementara Adib dan Sollehin sudah selesai kuliahnya pada hari tersebut. Namun, mereka berpesan kepada saya sekiranya kelas Sosiologi yang bakal saya hadiri pada petang itu menarik, mereka akan mendaftarkan subjek itu juga untuk dipelajari. Tiadalah mereka membuang masa sangat duduk di CNU dengan hanya mengambil dua subjek sahaja, Introduction to Korean History dan Introduction to Psychology.

***

Jam 2.30 petang, setelah selesai berurusan di pejabat dormitori berkenaan pendaftaran cap jari untuk tujuan sekuriti, saya dan Iza pun bergerak ke kelas yang dimaksudkan di Department of Sociology. Pensyarah yang mengajar subjek itu ialah Prof. Julia Jiwon Shin. Walaupun beliau belum lagi memiliki ijazah kedoktoran (PhD) atau bergelar profesor penuh, namun kami tetap memanggilnya dengan gelaran "profesor". Begitulah sikap hormat pelajar Korea terhadap guru atau pensyarah mereka.

Di dalam kelas itu, hanya kami berdua sahaja pelajar antarabangsa dari Malaysia. Ada beberapa pelajar antarabangsa dari negara lain dan selebihnya ialah pelajar tempatan. Jadi, Prof. Julia mengajar subjek tersebut dalam dwibahasa. Sekejap bahasa Korea, sekejap bahasa Inggeris. Semasa beliau bersyarah dalam bahasa Inggeris, saya akan fokus terhadap kata-kata beliau, tetapi selepas itu beliau akan kembali bersyarah dalam bahasa Korea. Disebabkan majoriti pelajar di dalam kelas tersebut merupakan rakyat Korea Selatan, sepertimana yang kita sedia maklum bahawa pemahaman dan penguasaan bahasa Inggeris mereka adalah sangat lemah, jadi menurut Prof., beliau perlu bercakap dalam kedua-dua bahasa agar kesemua pelajarnya dapat memahami pengajarannya.

Saya pun berasa agak tidak selesa dengan cara tersebut, lebih-lebih lagi selepas Prof. menerangkan silibus dan kaedah pembelajaran untuk minggu-minggu seterusnya, termasuk pembahagian kumpulan dan sesi pembentangan yang akan bermula pada minggu depan. Entahlah, saya dapat berasakan akan berlaku kesukaran untuk saya kekal dan tabah berada dalam kelas ini untuk sepanjang minggu pengajian.

Jadi, usai kelas berakhir, saya pun berbincang dengan Iza dan menyatakan hasrat saya bagi menggugurkan (drop) kursus ini serta menggantikannya dengan subjek yang lain. Iza pun nampaknya seperti merasai 'derita' yang sama lalu bersetuju dengan cadangan saya, haha. Keputusan muktamad; saya akan menggantikan kursus ini dengan kursus yang lain. Tetapi, kena bawa berbincang dahulu bersama-sama sahabat-sahabat yang lain mengenai pemilihan subjek yang dirasakan sesuai dan menarik.

***

Kami telah berkenalan dengan seorang akak senior dari Malaysia yang menuntut di CNU. Kini, beliau berada dalam tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Sastera Inggeris. Akak yang berusia 24 tahun itu kami panggilnya sebagai "Kak Ernie". Saya tidak pasti bagaimana rakan-rakan wanita saya boleh berjumpa dan berkenalan dengan beliau. Tidak pula terlintas dalam fikiran saya untuk bertanyakan hal tersebut kepada mereka. Tidak mengapa, yang penting legalah sedikit hati kami kerana sekurang-kurangnya, ada pelajar senior Malaysia di sini yang boleh membimbing kami untuk meneruskan kehidupan di sini selain buddies. Bukan senang hendak ketemu sama orang senegara kami di Gwangju.


Malam itu, beliau telah mengajak kami pelajar Melayu Muslim yang mengikuti program pertukaran pelajar untuk makan malam di sebuah kedai makan yang ada menyediakan makanan halal. Alhamdulillah, buat pertama kalinya, dapat juga kami menikmati makanan berat yang halal lagi menyelerakan hasil bantuan Kak Ernie. Saya memilih untuk makan omelette rice with cheese (nasi telur dadar berserta keju). Sekali pandang macam nasi goreng pataya pun ada. Enak!


Gambar kedai makan yang dimaksudkan.

Menu yang tersedia di kedai makan tersebut. Makanan yang ditanda dengan pen merah ialah makanan halal. 

Gambar pelajar wanita yang menyertai makan malam pertama. Ada seorang rakan Malaysia kami yang tidak hadir. Kelihatan juga dua orang rakan kami dari Brunei yang duduk paling hujung dalam gambar (bersebelahan dinding), dua orang rakan kami berbangsa Cina (dua dan tiga dari kiri), dan Kak Ernie (paling kanan). Akak yang bertudung perang itu saya terlupa namanya, hehe.

Ini dia jejaka Malaya pujaan ramai :P

Ketika makan malam, kami mengambil kesempatan ini untuk bertanyakan Kak Ernie segala kemusykilan dan masalah yang kami hadapi sepanjang tiga hari pertama kami di sini seperti urusan penukaran wang, pembelian kad modul pengenalan pengenalan (SIM card) Korea, dan banyak lagi. Semestinya Kak Ernie yang telah berpengalaman hidup di Bumi Hallyu selama setahun lebih mampu menjawab serta meleraikan segala permasalahan yang timbul.

Selesai makan malam, Kak Ernie pun membawa kami berjalan-jalan secara ringkas di kawasan pekan kecil Gwangju yang terletak di belakang CNU. Beliau juga menunjukkan beberapa kedai yang ada menjual barangan atau peralatan yang jauh lebih murah jika dibandingkan dengan kedai serbaneka CU yang berada di dalam kampus. Alhamdulillah, saya sempat membeli beberapa barangan dan makanan sebagai bekalan bagi melayari kehidupan yang mendatang di CNU dengan lebih selesa. Kamsahabnida nuna Ernie atas bantuannya pada malam ini!

Begitulah kisah hari kuliah pertama merangkap hari kedua saya berada di Gwangju. Semoga hari-hari yang seterusnya akan kekal berada dalam keadaan baik, amin.

Jumaat, 2 September 2016

#190 - ANAK MERDEKA DI CNU

31 Ogos 2016.

Today is a brand new day!

Barangkali itu ayat yang terlafaz dari lubuk hati seorang anak muda bernama Ahmad Muhaimin saat menikmati pagi pertamanya di Chonnam National University (CNU). Waktu Subuh di sini masuk sekitar jam 4.45 pagi, berbeza sekali dengan waktu Subuh di Malaysia. Begitu jua saat matahari mula menampakkan dirinya pada kira-kira jam 6.00 pagi ke atas. Tika mata tertumpu pada pemandangan kota Gwangju berlatarkan langit duha nan indah dari tingkap bilik, lisan segera mengungkapkan kalimah tasbih memuji keindahan alam ciptaan-Nya. Foto pemandangan tersebut telah saya abadikan ke dalam laman Instagram peribadi.


Alkisahnya, sewaktu saya ingin memuat naik gambar di atas ke laman Instagram, saya perlu turun dari dormitori saya yang berada di tingkat ke-11 dan keluar ke kawasan rumah kedai yang terletak di belakang bangunan tempat saya menginap seperti yang tertera di dalam gambar. Hal ini yang demikian kerana, malam sebelumnya ketika saya baru tiba di dormitori ini, ketika saya cuba mencari dan menyambung Internet tanpa wayar (WiFi) ke dalam gajet saya sebelum tidur, terdapat hanya satu jenis sambungan WiFi sahaja yang percuma, boleh didapati, dan boleh disambung. WiFi yang saya gunakan itu pun berpunca dari kawasan rumah kedai tersebut. WiFi lain yang lebih laju termasuk WiFi bangunan penginapan ini mempunyai kata laluannya yang tersendiri.

Jadi, disebabkan 'WiFi rumah kedai' yang saya 'sedut' dari atas bilik adalah sangat perlahan dan agak menyakitkan hati (haha), lalu saya membuat keputusan untuk turun dan pergi ke kawasan kedai yang dipercayai menjadi sumber WiFi percuma itu. Hendak buat macam mana, saya hanya mampu bergantung sepenuhnya kepada 'talian hayat' WiFi ini bagi terus berhubung dan memberi perkembangan terkini kepada ahli keluarga, guru-guru, dan rakan-rakan di tanah air melalui media sosial. Kalau di rumah atau di UM pun, saya langsung tidak melanggan sebarang data atau pelan Internet. Mungkin hari-hari seterusnya, jika saya sudah dapat membeli kad modul pengenalan pelanggan (SIM) Korea yang mempunyai pelan Internet tersendiri, maka tidaklah perlu untuk saya hanya sekadar bergantung harap kepada WiFi saat menggunakan telefon pintar.

Maka, pagi itu mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila secara rasminya, si empunya nama Ahmad Muhaimin melakukan derapan kaki dengan lebih gah dan berani di atas tanah daerah Bukgu secara bersendirian. Angin pada pagi itu agak kuat. Rasa sejuknya sedikit menikam tulang sumsum. Ya, pengalaman merasai deruan angin sebegini amat jarang sekali dapat dinikmati di Malaysia. Lalu, saya menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskannya kembali sambil meluahkan rasa syukur yang tidak terperi ke hadrat Ilahi. "Alhamdulillah, terima kasih pada-Mu ya Allah, akhirnya aku sampai jua ke sini," bisik saya di dalam hati.

Pada jam 10.45 pagi, saya bertemu mata dengan salah seorang sahabat saya yang sama-sama menyertai program pertukaran pelajar ini, saudara Adib At Tamimi di hadapan bangunan penginapan setelah berbincang mengenai beberapa hal yang berbangkit di dalam aplikasi WhatsApp, bermula daripada soal kondisi dan lokasi bilik hinggalah kepada kisah ketibaan malam sebelumnya serta keadaan WiFi dormitori. Walaupun usianya tua dua tahun berbanding saya, namun dia masih berada dalam tahun kedua Sarjana Muda Usuluddin di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM). Sebelum ini, dia telah pun bergraduasi dari peringkat diploma di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Dia mengambil jurusan yang sama dengan seorang lagi sahabat kami yang mengikuti program ini, saudara Sollehin, cuma usia saya dan Sollehin adalah sama. Disebabkan itu, kami menganggap Adib sebagai 'ketua delegasi' yang mengepalai 20 orang pelajar dari Universiti Malaya (UM) ke program pertukaran pelajar di CNU ini. Halamak ~

"La, WiFi dorm ni pakai password je ke? Ingatkan ada username sekali macam kat UM tu," ujar saya kepada Adib setelah mendapat tahu bahawa WiFi bernama "U+village" yang digunakan di bangunan penginapan itu hanya menggunakan kata laluan sahaja tanpa memerlukan nama pengguna. Hanya WiFi utama kampus CNU bernama "JNU" yang memerlukan nombor identiti (ID) dan kata laluan bagi membolehkan para warga kampus mengakses Internet. Begitulah serba sedikit kisah saya dan WiFi pada hari pertama di CNU, zzz.


Selepas itu, saya mendapat tahu bahawa buddy yang membantu saya malam semalam, Bakhodirjon Komilov rupa-rupanya ialah seorang warganegara Uzbekistan. Oh, ternyata tekaan saya bahawa dia berasal dari Russia atau Ukraine adalah meleset sama sekali! Saya juga diberitahu oleh Adib bahawa Bakho (saya dan rakan-rakan memanggilnya sebagai Khai Bahar sahaja, haha) juga merupakan seorang Muslim. Alhamdulillah, akhirnya jumpa juga saya dengan pelajar Muslim di sini. "Kalau saya tahu dia Muslim, dah lama saya ucap salam kat dia," monolog saya di dalam hati. Bakho mengingatkan saya pada malam semalam bahawa pada jam 12.45 tengah hari nanti, semua pelajar pertukaran dikehendaki berkumpul di hadapan kedai serbaneka CU, tempat yang sama saya turun dari bas semalam. Tujuan kami diminta berkumpul adalah kerana kami perlu bergerak bersama-sama ke suatu tempat sebelum jam 1.00 petang kerana satu majlis santai yang dinamakan sebagai "Welcoming Party" akan dikendalikan oleh pihak CNU Office of International Affairs (OIA) bagi menyambut kehadiran kami selaku pelajar pertukaran antarabangsa ke sini.

Di CNU, mereka mempunyai perkhidmatan penyediaan makanan sebanyak tiga kali sehari di dewan makan kepada mahasiswa yang menginap di dormitori. Hebat!

Beberapa minit sebelum pukul 12.45 tengah hari, saya yang ketika itu telah pun berada di bawah sejak pukul 10.45 pagi tadi berhasrat ingin naik ke bilik sebentar bagi membawa turun bekalan sebotol air minuman. Sejak saya tiba di Bumi Hallyu ini, entah kenapa bibir saya mengering pula tak fasal-fasal. Mungkin bibir saya tidak bersedia dengan perubahan suhu dan iklim yang berbeza antara Malaysia dan Korea Selatan. Jadi, saya perlu sentiasa melembapkan bibir dengan kerap meminum air kosong. Namun begitu, setelah saya turun dan kembali semula ke tempat perkumpulan di hadapan dewan makan CNU, dengan tidak semena-mena, sahabat-sahabat lelaki saya yang duduk berkumpul sekali tadi - Adib, Sollehin, Farid, dan Yugendran - telah ghaib entah ke mana. Eh, ke mana pula mereka ini menghilang? Bukankah saya telah memberitahu mereka yang saya akan naik ke atas bilik sekejap sebelum turun semula? Ah, sudah!

Mungkin mereka ada berjalan ke mana-mana kawasan sekitar bangunan dormitori, fikir saya. Lalu, saya mengambil keputusan untuk duduk dahulu di situ sambil menunggu kemunculan mereka. Tunggu punya tunggu, tak juga muncul-muncul. Bayang-bayang pun tak nampak, batang hidung apatah lagi! "Mana korang pergi ni? Hilang macam tu je, dahlah tak bagitau," kalbu saya menjerit sebagai tanda kurang berpuas hati dengan tindakan mereka. Pertanyaan saya di dalam WhatsApp tidak berbalas. Ya, mereka tidak menerima mesej daripada saya disebabkan simbol tick langsung tidak berubah menjadi dua. Mudah kata, telefon mereka tidak bersambung dengan WiFi. Hendak menelefon mereka lagilah mustahil. Jam pula telah melepasi angka 1.15 petang. Disebabkan saya telah mati akal, maka saya membuat keputusan untuk kembali saja ke kamar. Sambil itu, saya meneliti gajet bagi menunggu respon kalau-kalau mereka ada membalas mesej saya, namun keputusannya adalah menghampakan.

Baru saja terdetik niat di dalam hati untuk qailulah usai menunaikan fardu Zuhur dan melayani gajet, kira-kira jam 2.30 petang, si Adib akhirnya hadir dan memunculkan diri di dalam bilikku. Melihat saja batang tubuhnya yang terpacak di hadapan pintu, saya lantas mengasaknya dengan pelbagai persoalan mengenai kehilangannya dan kawan-kawan yang lain secara tiba-tiba di hadapan dewan makan sebentar tadi. Adib segera memohon maaf lalu menceritakan hal yang sebenar. Katanya, sewaktu saya naik ke atas bilik sebentar tadi, buddy si Sollehin telah pun sampai lalu mengajak Sollehin dan rakan-rakan yang lain untuk bergerak ke Global & Research Hub (GRH), tempat di mana "Welcoming Party" bakal dilangsungkan.


Menurut cerita Adib, mereka sudah pun cuba memberitahu buddy Sollehin bahawa mereka sedang menunggu saya untuk bergerak bersama-sama, namun mungkin kerana buddy itu tidak memahami apa-apa yang cuba disampaikan, buddy itu langsung saja berjalan tanpa memberi respon yang sewajarnya terhadap kata-kata mereka. Saya yang mendengar kisahnya hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala. Entahlah, hendak mengatakan siapa yang bersalah dalam hal ini pun saya tidak tahu. Tidak mengapalah, benda sudah terjadi.

Lalu, saya segera bersiap dan mengikut Adib untuk berjalan ke tempat yang dimaksudkan. Agak jauh juga bangunannya dari tempat kediaman jika berjalan kaki. Patutlah nampak Adib mengah semacam sewaktu berpatah balik dari sana untuk mencari saya di kamar sebentar tadi. Sesampai saja di sana, baru saya mendapat tahu bahawa rupa-rupanya "Welcoming Party" telah pun tamat. Hai, nampaknya saya sudah terlepas program rasmi yang pertama pada hari yang pertama lagi. Nasib badan...

"Welcoming Party" yang saya tidak sempat menghadirinya, haha.

Sebahagian aplikasi yang sangat berguna sepanjang menjalankan kehidupan seharian di sini.

'Khai Bahar' :P

Mamat Belanda yang sporting.

Saya tiada di dalam gambar T-T

Seterusnya, program kedua yang dijadualkan pada hari itu selepas "Welcoming Party" ialah "Tour CNU". Saya dan beberapa sahabat Malaysia serta sebahagian dari China dibawa oleh empat orang wakil pelajar CNU untuk berjalan di sekeliling kawasan kampus bagi mengenali setiap bangunan dan jabatan yang ada di CNU. Empat orang wakil pelajar itu kelihatannya seperti ahli majlis tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti berkenaan dengan diketuai oleh seorang lelaki yang mungkin Presiden MPP. Saya menulis "seperti" dan "mungkin" kerana saya hanya meneka-neka sahaja jawatan mereka. Sewaktu mereka memperkenalkan diri pun, saya tidak dapat menangkap sangat butir bicara mereka kerana gaya percakapan bahasa Inggeris mereka tidak berapa kena dengan selera pemahaman bahasa Inggeris saya, heh.

Tetapi, bukan semua pelajar antarabangsa dari Asia yang menyertai kumpulan 'tour' itu kerana ada yang mengikut buddy masing-masing bagi mengelilingi dan mengenali kawasan sekitar kampus. Saya pula sehingga ke saat itu masih lagi belum bersua muka dengan buddy saya. Entah ke mana dia pergi. Sebelum berjalan mengelilingi kawasan kampus, salah seorang ahli jawatankuasa (AJK) CNU OIA bernama Jin telah menelefon buddy saya bagi mendapatkan penjelasan mengenai ketidakhadirannya selepas saya mengadu hal tersebut kepadanya. Sudahlah e-mel pengenalan diri langsung tidak dihantar kepada saya, hari kejadian pun dia tidak muncul-muncul. Selepas menghubungi buddy saya, hyeong Jin memberitahu saya bahawa buddy itu sekarang berada di luar kota Gwangju dan mungkin akan kembali ke CNU malam nanti. Hyeong Jin juga memberi jaminan bahawa buddy saya akan menghantar e-melnya kepada saya pada malam itu juga. Ok, tidak mengapalah kalau begitu. Saya terus saja dengan sikap positif saya. Biasalah, saya ini optimis orangnya.

Sebaik saja tamat perjalanan mengelilingi kawasan kampus, saya pun mengikut Adib berserta buddy nunanya ke sebuah kedai kopi yang berada di GRH. Kami memilih untuk makan kuih mufin dan air Ade (ibarat air Slurpee di 7Eleven). Ada beberapa perkara yang sempat kami sembang bersama buddy Adib berkenaan bab kehalalan makanan dan sebagainya ketika menikmati minum petang di dalam kedai itu. Bagusnya mereka ini ialah mereka sangat memahami sensitiviti kami sebagai orang Islam khususnya dalam soal pemilihan makanan.

Tepat jam 5.00 petang, setelah selesai program sebelumnya, kami pun berkumpul semula di dalam sebuah bilik yang berada di bangunan GRH bagi menyertai slot terakhir pada hari itu, iaitu slot "Orientation". Sampai sekarang saya tidak faham kenapa hanya slot itu sahaja yang diberi nama "Orientation" dan bukan keseluruhan hari. Bukankah satu hari itu ialah hari orientasi? Mungkin nama hari itu ialah "Hari Selamat Datang" begitu. Ah, pedulikanlah!

Jadi, ketika slot "Orientation" khusus untuk pelajar Asia yang dikendalikan oleh koordinator program pertukaran pelajar Miss Byeol Jeon, kami telah diperingatkan oleh beliau melalui emel sebelum tiba ke Korea Selatan untuk membawa beberapa barang yang diperlukan seperti sekeping gambar bersaiz 3 x 4 cm untuk kad identiti (ID) pelajar, sekeping gambar berlatar belakang putih bersaiz pasport untuk kad alien, dan wang tunai sebanyak 30,000 won untuk pembayaran kad alien. Tentu kalian tertanya-tanya, apa sebenarnya kad alien itu? Apa perbezaan antara kad alien dan kad ID? Haaa, secara mudahnya, kad alien ini ibarat 'pas kebenaran' untuk seseorang itu tinggal di Korea Selatan. Kalau bagi rakyat Korea biasa, kad alien ini semacam kad pengenalan merekalah. Kad ID pelajar pula ialah seperti kad matrik yang perlu dimiliki oleh setiap mahasiswa universiti. Ok, sudah jelas, bukan?

Seramai 20 orang pelajar Universiti Malaya bergambar bersama bagi mengabadikan kenangan menyambut Hari Kemerdekaan Malaya ke-59 di CNU. Sebenarnya ini kali pertama kami bergambar sekali. Hari sebelumnya, kami tidak sempat berbuat demikian kerana keadaan yang tidak mengizinkan. Saya pun belum mengenali semua orang lagi pada masa ini.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!


Selesai mengakhiri orientasi, kami pun pergi ke dewan makan CNU bagi menikmati hidangan malam. Namun bagi kami pelajar Muslim, kami tidak boleh menikmati hidangan yang disediakan disebabkan bercampur dengan makanan-makanan yang tidak halal. Jadi, bagaimana kami ingin meneruskan kelangsungan hidup di situ jika kami langsung tidak boleh mengambil hidangan yang disediakan oleh mereka?

Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi kerana pihak CNU telah mengeluarkan notis bahawa para pelajar yang menginap di dormitori boleh memohon semula pembayaran yuran makanan daripada dewan makan bagi sesiapa yang berminat. Jadi, kami pun sepakat untuk memohon kembali yuran tersebut dan menggunakan wang itu bagi mendapatkan makanan yang halal sama ada di kedai atau di restoran luar. Namun, kami perlu menunggu sehingga kami membuka akaun bank di Korea terlebih dahulu, baru kami bisa berbuat demikian. Haiyo ~


Malam itu menjadi saksi bahawa kami hanya mampu menikmati semangkuk nasi putih Korea yang siap dimasak dan dibungkus yang dibeli daripada kedai CU bersama lauk ringkas yang kami bawa dari tanah air seperti serunding, sambal bilis, dan lain-lain. Saat itu, baru kami mengetahui betapa bersyukurnya hidup di Malaysia dengan nikmat limpahan kenikmatan dan kemewahan rezeki yang pelbagai. Baru sehari berlalu, namun perasaan rindu akan masakan tanah air sudah berputik di dalam diri.

Saya pula sejak petang tadi menunggu, bilalah buddy saya hendak menghantar e-mel pengenalan diri kepada saya. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk menghantar e-mel kepadanya terlebih dahulu dengan berpandukan jadual senarai nama buddy berserta e-mel mereka. Namun begitu, sebaik saja saya selesai menghantar e-mel, muncul pula balasan daripada sistem yang mengatakan bahawa e-mel tersebut gagal dihantar. Salah alamat e-melkah? Saya cuba menghantar lagi untuk kali kedua dan ketiga, namun gagal jua.

Tidak berapa berkenan dengan perkara tersebut, saya lantas mengadu kepada Miss Byeol Jeon berkenaal hal tersebut. Tunggulah sehingga beliau membalas e-mel saya pada keesokan hari.

Ya, hari-hari seterusnya pasti akan lebih menarik untuk dihayati kisahnya sepanjang kembara ilmu saya di sini. Kita berhenti dahulu setakat ini...

Khamis, 1 September 2016

#189 - HARINYA TELAH TIBA


30 Ogos 2016.

Telefon pintar mengalunkan iramanya menandakan jam sudah menunjukkan angka 4.00 pagi.

Pagi itu bukan seperti kebanyakan pagi yang biasa. Tika dinihari, ramai yang masih diulit mimpi, namun tidak bagi saya. Ya, hari itu telah tiba! Sekian lamanya saya telah mempersiapkan segala kelengkapan diri bagi menghadapi hari itu dan akhirnya, hari yang dinanti berkunjung jua. Saya bakal 'terbang' ke Korea Selatan!

Saya masih mengingati tarikh 5 Mei yang lalu ketika sebuah mesej daripada Puan Vigneshree King, salah seorang pegawai International Student Centre (ISC), Universiti Malaya (UM) menyinggah ke peti masuk e-mel saya yang berbunyi seperti ini:

"Dear Students,

Hope this mail finds you well. Congratulations for being selected to go for the exchange programme at Chonnam National University, Korea. Please take note that the accommodation fees will be waived for this university. You are required to fill up the application form as attached below and send all the documents as required by 9 May 2016, Monday at 10.00am to ISC."

Alhamdulillah, saya berjaya memperoleh tawaran untuk mengikuti program pertukaran pelajar selama satu semester bawah ISC UM ke Chonnam National University (CNU), Gwangju, Korea Selatan! Akhirnya, impian sejak kecil untuk menimba ilmu dan mengutip pengalaman di luar negara tertunai jua. Sebetulnya, saya tidak pernah terfikir pun yang saya bakal menjejakkan kaki ke Bumi Sonata. Tambahan pula, sewaktu mula-mula memohon untuk mengikuti program pertukaran pelajar bawah ISC UM ini, saya memilih negara Asia Tenggara sebagai pilihan pertama, diikuti Korea Selatan dan Jepun di pilihan kedua dan ketiga. Namun, Allah SWT yang Maha Merancang telah meletakkan saya untuk melangkahkan kaki ke negara yang terkenal dengan budaya K-Pop ini. Lalu, segala persiapan dokumen, perancangan, dan penyediaan diri untuk ke sana diatur sebaik mungkin. Alhamdulillah, dipendekkan cerita, semuanya berjalan dengan lancar sehingga tiba ke saat ini.

Kami sekeluarga mula bertolak dari kediaman di Sungai Buloh seawal jam 5.15 pagi setelah siap mengurus diri dan bersarapan. Kami perlu bergegas awal kerana tiket penerbangan saya untuk ke Seoul adalah pada jam 8.00 pagi. Lebih kurang sejam kemudian, kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). Kelihatan tiga orang sahabat Kor Sukarelawan Siswa Siswi Polis (SUKSIS) UM saya pun berada di situ bagi mengikuti program pertukaran pelajar ke Korean National Police University (KNPU), Yongin, Korea Selatan; Uthayan, Azzalea, dan Najihah. Namun begitu, tidak pula kelihatan walau sebatang hidung pun 19 orang lagi sahabat saya yang juga mengikuti program pertukaran pelajar ke CNU. Sudah masuk ke dalam balai perlepasan agaknya. Awal benar mereka masuk, heh. Sejurus selepas "masuk semak" (check-in) bagasi seberat 23kg, kami sekeluarga pun menunaikan solat Subuh di surau KLIA2.

Seperkara yang membuatkan saya terharu pada pagi itu ialah kesanggupan beberapa sahabat saya dari UM menemani saya di lapangan terbang pada awal pagi hanya semata-mata mahu menghantar saya ke Korea. Yalah, saya tidak terlalu berharap pun untuk sesiapa hadir kerana saya tahu, bukan semua orang mampu bangkit dari lena yang mengasyikkan dan berkorban masa pada waktu dinihari sebegitu. Siapalah diri ini untuk menerima layanan semacam itu, huhu. Terima kasih banyak wahai sahabat-sahabatku, hanya Allah sahaja yang mampu membalas segala pengorbanan dan semangat yang telah kalian pamerkan terhadap diri ini. Buat kalian yang tidak hadir juga, terima kasih banyak atas doa, ucapan, dan nasihat yang telah kalian berikan sebelum saya berlepas ke sana. Moga-moga hal ini sentiasa menjadi pembakar azam dan pembulat tekad untuk saya terus menggali sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman sepanjang keberadaan saya di sana.

Bersama ahli keluarga yang tercinta. Lagi dua orang adik tidak dapat bersama kerana masing-masing berada di universiti dan sekolah berasrama penuh.

Ini dia muka-muka tak mandi sahabat saya yang hadir, haha. Dari kiri: Syifaa, Ali, Sulaiman, Muhaimin (saya), Ashraf, dan Fareez. Ada orang kata gaya saya sama sahaja. Entahlah.

Tepat jam 7.25 pagi, setelah bersalam dan berpelukan sesama ahli keluarga dan sahabat-handai, saya pun melangkah masuk ke balai perlepasan dan menuju ke pintu pagar P6. Selesai semua urusan berkaitan kastam dan sebagainya, saya pun menaiki pesawat AirAsia D7504 dan merebahkan punggung di atas kerusi berlabel 28J. Akhirnya, pada jam 8.00 pagi, pesawat pun mula berlepas meninggalkan KLIA2. Dengan nama Allah, penerbangan pun bermula...

Hujan renyai-renyai tatkala pesawat mahu berlepas.

Ketika berada di atas kapal terbang, baru saya terjumpa si Adib dan Sollehin, dua orang sahabat saya dari jurusan Usuluddin, Akademi Pengajian Islam UM (APIUM) yang juga sama-sama mengikuti program pertukaran pelajar ini. Sepanjang penerbangan, saya tidak boleh banyak melakukan aktiviti pembacaan kerana saya mudah berasa pening apabila membaca sambil berada di atas kenderaan. Jadi, saya banyak melakukan aktiviti melelapkan mata dan menghayati nasyid sahaja. Oh, tidak dilupakan juga nasi briyani berharga RM15.00 yang saya nikmati dari atas kapal terbang :D

Alhamdulillah, setelah lebih enam jam penerbangan, seperti yang tertera dalam pos Instagram saya di bawah, saya dan sahabat-sahabat pun selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul pada jam 3.20 petang waktu tempatan. Perasaannya ibarat mimpi apabila tanpa diduga, saya diberi kesempatan jua untuk menjejakkan sepasang kaki di tanah asing ini.


Kami diberitahu melalui emel beberapa hari sebelum hari kejadian bahawa kami akan disambut oleh beberapa orang pelajar tempatan yang digelar sebagai "buddy / buddies" dari CNU sebaik saja kami mendarat di sini. Kami juga bakal memiliki seorang buddy setiap seorang bagi membantu dan memudahkan urusan kami sepanjang pengajian dan kehidupan seharian kami di CNU. Jadi, terdapat dua orang buddies Korea (lelaki dan perempuan) yang hadir dan menyambut kami setibanya kami di Incheon.


Selepas itu, kami perlu bergerak ke kampus utama CNU pula yang terletak di Gwangju sejauh empat jam perjalanan dari Seoul. Bayangkan, enam jam penerbangan ditambah pula dengan empat jam perjalanan dengan menaiki bas, tentunya sangat memenatkan. Jadi, kami pun dibahagi kepada dua kumpulan dengan kumpulan pertama menaiki bas terlebih dahulu disusuli kumpulan kedua. Bukan kumpulan pelajar Malaysia seramai 20 orang sahaja yang berada di situ, bahkan kumpulan pelajar dari negara lain seperti Indonesia dan China turut mengikuti program pertukaran pelajar ke CNU ini. Saya pun dimasukkan ke dalam kumpulan kedua. Memandangkan buddy si hyeong Korea itu memberitahu bahawa kumpulan kedua bakal bergerak pada pukul 6.50 petang, maka saya mengambil keputusan untuk solat jamak Zuhur dan Asar terlebih dahulu di lapangan terbang.

Ya, buat pertama kalinya dalam sejarah hidup, saya bersolat di celahan orang ramai sambil beralaskan lantai marmar lapangan terbang. Saya terpaksa menggunakan tandas orang kelainan upaya (OKU) untuk mengambil wuduk melalui sinki secara privasi disebabkan tandas di Korea tidak mempunyai paip air. Macam pelik pula rasanya apabila mengambil wuduk melalui sinki sambil diperhatikan rakyat Korea yang berada di situ. Dahlah nak kena angkat kaki pula masuk ke dalam sinki untuk membasuh kaki, err...


Sebahagian suasana yang boleh disaksikan di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.

Bas yang membawa kami ke kampus utama CNU di Gwangju,

Akhirnya, lebih kurang jam 6.50 petang, bas merah yang dinanti-nanti itu pun tiba bagi membawa kumpulan kami. Saya memilih untuk duduk di bahagian yang agak belakang di dalam bas dengan pelajar-pelajar dari China duduk berhampiran. Ada beberapa orang antara mereka yang menegur saya sambil bertanya beberapa soalan seperti "nama awak siapa?", "awak asal mana?", dan lain-lain mengikut gaya percakapan bahasa Inggeris mereka. Jelas, kebanyakan rakyat Korea dan China sebenarnya masih lemah dari sudut penguasaan bahasa Inggeris menyebabkan berlaku sedikit kesukaran untuk berkomunikasi sesama mereka.

Buddy hyeong memeriksa nama sebelum bergerak menuju ke destinasi.

Ketika awal-awal perjalanan, saya banyak memerhatikan pemandangan luar. Terasa semacam masih tidak percaya kerana saya telah pun berada di negara Kimchi ini. Allahuakbar, melihat pemandangan indah saat matahari terbenam dengan persekitaran yang jarang-jarang dapat dilihat di tanah air membuatkan saya terus-menerus melafazkan kalimah memuji-Nya. Alhamdulillah, syukur pada-Mu, ya Allah. Tanpa disedari, mata pun terkatup rapat...


Perjalanan terasa begitu singkat kerana saya berasa sangat selesa menghabiskan masa di atas bas sambil leka dibuai mimpi. Lebih kurang jam 11.00 malam, kami selamat tiba di kampus utama CNU. Bas pun berhenti betul-betul di hadapan bangunan dormitori CNU. Kelihatan beberapa orang buddies menunggu dengan setia sambil memegang sehelai kertas bertulisankan nama pelajar yang bakal menjadi buddy mereka. Namun, anehnya, buddy saya tidak berada di situ. Ke mana kamu menghilang? Sebelum saya berangkat ke sini pun, beliau langsung tidak menghubungi saya melalui e-mel. Entahlah.

Nasib baik ada seorang buddy yang baik hati membantu saya bagi mengangkut bagasi dan menunjukkan lokasi bilik saya. Melihat raut wajahnya, tidak pula menampakkan bahawa beliau merupakan orang Korea. Melihat tanda nama yang tersangkut pada lehernya, "Bakhodirjon Komilov" jelas menunjukkan bahawa beliau mungkin berasal dari Russia atau Ukraine, fikir saya. Sesampai saja di bilik, saya begitu teruja melihat kecanggihan dan kekemasan susun atur dormitori itu. Bahkan, sebelum memasuki bangunan penginapan ini pun, terdapat sebuah pintu kaca lengkap dengan bebutang kunci keselamatan dan alat pengimbas cap jari. Betapa tahap keselamatan di sini sangat mantap dan mengikuti arus pemodenan.

Bakhodirjon Komilov

Gambaran bangunan penginapan CNU


Nampaknya kita sudah sampai ke penghujung malam. Jadi, setelah selesai mengurus diri dan menunaikan kewajipan kepada Ilahi, saya pun merebahkan badan lalu memejamkan mata sambil menanti hari-hari yang seterusnya...

Isnin, 22 Ogos 2016

#188 - CATATAN RINGKAS MALAYSIA DALAM TEMASYA SUKAN OLIMPIK


Temasya Sukan Olimpik merupakan temasya sukan yang teragung dan paling berprestij di dunia selain daripada Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia. Temasya yang diadakan selama empat tahun sekali ini bermula pada tahun 1896 di Athens, Greece. Temasya ini berjaya menarik penyertaan atlet-atlet terbaik dunia. Kebiasaannya, banyak rekod dunia yang tercipta dalam temasya tersebut.

Kontinjen Malaysia mula menyertai temasya Sukan Olimpik pada tahun 1956 di Melbourne. Negara kita yang masih bergelar Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu bertanding sebagai "Malaya" (MAL) dalam Sukan Olimpik 1956 dan 1960. Borneo Utara (kini Sabah) juga menghantar kontinjen mereka sendiri pada tahun 1956, sementara Singapura pula turut bertanding dalam temasya ini dari tahun 1948 hingga 1960. Apabila ketiga-tiga bekas tanah jajahan British ini membentuk Persekutuan Malaysia yang merdeka pada tahun 1963, kontinjen negara buat julung kalinya mengguna pakai nama "Malaysia" (MAS) pada Sukan Olimpik Tokyo 1964 sebelum Singapura memerdekakan diri daripada Malaysia pada tahun 1965, seterusnya bertanding sebagai "Singapura" (SIN) bermula Sukan Olimpik Mexico City 1968 hingga kini.

Semenjak tahun 1956, Malaysia sentiasa menghantar para atletnya ke setiap temasya Sukan Olimpik Musim Panas, kecuali pada tahun 1980 apabila negara kita telah menyertai gagasan pemulauan Sukan Olimpik Moscow 1980 bersama-sama 65 buah negara yang lain. Pada tahun tersebut, pasukan bola sepak Malaysia telah pun berjaya menempah tiket ke Sukan Olimpik 1980 buat kali kedua setelah mengalahkan Korea Selatan 2-1. Kali pertama pasukan bola sepak Malaysia layak ke Sukan Olimpik adalah pada tahun 1972. Boleh baca kisah lanjut mengenai pasukan bola sepak kebangsaan ketika itu di sini. Pemboikotan yang dikepalai oleh Amerika Syarikat ini adalah bagi menzahirkan protes terhadap pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan pada Disember 1979. Lantas, sebagai tanda "balas dendam", empat tahun berikutnya, Soviet Union (kini Russia) pula melancarkan boikot terhadap Sukan Olimpik Los Angeles 1984 bersama-sama 13 buah negara Blok Timur yang lain. Namun begitu, Malaysia tidak pernah menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk. Yalah, Malaysia mana ada musim sejuk, macam mana pula hendak bertanding, bukan?

Setelah begitu lama menyertai Sukan Olimpik, akhirnya Malaysia berjaya meraih pingat pertama pada temasya Sukan Olimpik Barcelona 1992. Itupun selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (OIC) memilih acara badminton sebagai salah satu sukan yang dipertandingkan bermula temasya Sukan Olimpik tersebut. Kisah lanjut mengenai sukan badminton Malaysia ke Sukan Olimpik boleh dibaca di sini. Pasangan beregu badminton negara yang juga pasangan adik beradik Razif Sidek dan Jalani Sidek berjaya membawa pulang sebutir pingat gangsa setelah tewas kepada pasangan beregu Korea Selatan, Kim Moon-soo dan Park Joo-bong pada peringkat separuh akhir. Empat tahun berikutnya di Atlanta, Malaysia sekali lagi berjaya membawa pulang pingat, kali ini menerusi pasangan beregu badminton Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock (pingat perak) dan pemain badminton perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek (pingat gangsa). Pasangan beregu badminton kita tewas kepada pasangan beregu dari Indonesia, Rexy Mainaky dan Ricky Subagja dalam perlawanan penentuan pingat emas. Rashid Sidek pula tewas kepada pemain China, Dong Jiong pada peringkat separuh akhir, namun berjaya mengalahkan pemain dari Indonesia, Hariyanto Arbi dalam perlawanan penentuan perak gangsa.

Selepas Sukan Olimpik Atlanta 1996, Malaysia mengalami kemarau pingat yang berpanjangan selama 12 tahun. Akhirnya, pada Sukan Olimpik Beijing 2008, Malaysia kembali bersinar dengan harapan pingat emas disandarkan ke atas pemain badminton perseorangan sensasi, Lee Chong Wei apabila berjaya mara ke perlawanan akhir badminton buat pertama kali dalam Sukan Olimpik. Namun, ternyata jagoan badminton tuan rumah, Lin Dan (nama gelaran: Super Dan) lebih mendominasi perlawanan itu, sekaligus menyaksikan Malaysia berjaya membawa pulang sebutir pingat perak. Lee Chong Wei kemudian dianugerahi gelaran "Dato'" atas pencapaiannya yang sangat cemerlang dalam arena sukan badminton.

Sukan Olimpik London 2012 pula menyajikan cerita berbeza. Kali ini, Malaysia buat pertama kalinya memperoleh pingat menerusi sukan yang berbeza selain badminton. Siapa lagi kalau bukan atlet terjun wanita kita, Pandelela Rinong Pamg menerusi acara terjun 10m platform. Beliau juga merupakan atlet wanita Malaysia yang pertama memenangi pingat dalam temasya Sukan Olimpik. Walau bagaimanapun, terlebih dahulu, Dato' Lee Chong Wei sekali lagi berjaya mara ke perlawanan akhir badminton buat kali kedua berturut-turut. Menariknya, lawannya pada peringkat akhir juga merupakan seteru yang sama seperti di Beijing dahulu. Beliau berjaya memperoleh pingat perak setelah tewas kepada Lin Dan dalam pertarungan sengit tiga set. Sebagai tambahan, "Super Dan" berjaya mencipta rekod dengan menjadi pemain badminton pertama mempertahankan emas dalam dua temasya Sukan Olimpik berturut-turut.

Hari ini, Sukan Olimpik Rio 2016 bakal menutup tirainya. Seperti yang kita sedia maklum, nyata pencapaian kontinjen Malaysia pada temasya kali ini merupakan antara yang terbaik sepanjang 15 kali penyertaan negara kita dalam Sukan Olimpik. Semestinya, wujud pelbagai kisah suka dan duka di sebalik warna-warni Sukan Olimpik Rio ini. Pingat pertama Malaysia diperoleh oleh pasangan terjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong menerusi acara terjun seirama 10m platform. Kemudian, sukan berbasikal menjadi sukan terbaru yang membutirkan pingat buat negara apabila penunggang prolifik kebangsaan, Azizulhasni Awang cemerlang membawa pulang pingat gangsa menerusi acara keirin pada peringkat akhir. Sebelum itu, kem badminton negara membawa beberapa khabar gembira dan terus mencipta pelbagai kejutan apabila pasangan beregu lelaki dan beregu campuran negara berjaya menewaskan beberapa pasangan beregu lain yang lebih tinggi kedudukannya (ranking) dan layak ke perlawanan akhir walaupun pada asalnya, mereka langsung tidak diberi harapan yang tinggi untuk membawa pulang sebarang pingat.

Terlebih dahulu, pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying terpaksa akur dengan kehebatan pasangan beregu campuran dari Indonesia, Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir apabila tunduk dalam perlawanan akhir, seterusnya berjaya menghadiahkan sebutir pingat perak. Pasangan beregu lelaki pula, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong mengulangi sejarah Sukan Olimpik Atlanta 1996 apabila berhasil memperoleh pingat perak buat negara setelah tewas kepada pasangan beregu dari China yang lebih berpengalaman, Fu Haifeng dan Zhang Nan walaupun pada satu ketika, Malaysia tampak bakal mengakhiri kemarau pingat emas yang sangat diidam-idamkan selama 60 tahun lamanya. Namun begitu, rezeki masih belum memihak kepada kontinjen negara kita.

Selepas itu, harapan emas terakhir jatuh di atas bahu Dato' Lee Chong Wei yang memiliki peluang cerah selepas berjaya menundukkan saingan utamanya, Lin Dan pada peringkat separuh akhir dalam aksi yang penuh dramatik yang juga merupakan pertemuan terakhir mereka dalam arena Sukan Olimpik. Dato' Lee Chong Wei berjaya melangkah ke peringkat akhir Sukan Olimpik buat kali ketiga berturut-turut, kali ini berhadapan pula dengan bintang muda China yang sedang meningkat naik, Chen Long. Apakan daya, beliau sudah mengerahkan segala kudrat dan usaha yang ada, namun belum berhasil untuk menghadiahkan emas Olimpik pertama buat negara. Beliau berjaya memperoleh hatrik pingat perak dalam acara badminton, seterusnya melakar kejayaan sebagai Olimpian Malaysia paling berjaya dalam sejarah.

Apa-apa pun, kesyukuran harus dipanjatkan kepada Tuhan kerana temasya Sukan Olimpik kali ini menyaksikan Malaysia berjaya mengutip empat butir pingat perak dan sebutir pingat gangsa, menjadikan lima butir pingat secara keseluruhan, seterusnya merupakan edisi yang paling ulung buat kontinjen Malaysia sepanjang penyertaan dalam temasya ini. Sukan Olimpik Rio juga menyaksikan persaraan beberapa legenda ternama dunia seperti Usain Bolt, Michael Phelps, dan Lin Dan. Segala puji bagi Tuhan kerana kita sempat diberi nafas untuk hidup sezaman dengan barisan legenda ini. Jadi, apa bab seterusnya?


Ayuh, terus bersikap optimis! Teruskan memberi sokongan dan dukungan kepada kesemua atlet kita yang telah memerah keringat dan berjuang bermatian-matian bagi mewangikan nama "Malaysia" di seantero dunia. Giatkan lagi usaha bagi menggilap serta mengasah bakat-bakat muda kita agar setanding dengan para atlet antarabangsa. Mereka ialah "emas" negara kita yang tiada galang ganti dan sanggup berkorban pelbagai perkara demi watan yang tercinta. Ada yang sanggup berjauhan dari keluarga, ada yang betah mengorbankan masa mudanya hanya semata-mata mahu menjadi yang terbaik demi tanah air Malaysia. Moga-moga Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti mampu menatijahkan sesuatu yang sangat bermakna buat kita; menyaksikan emas pertama negara serta mendengar lagu kebangsaan "Negaraku" dikumandangkan di sana sempena Wawasan 2020, Insya-Allah.

Malaysia Boleh!

Catatan oleh,
Ahmad Muhaimin bin Ahmad Safaruddin
Penyokong setia pasukan kebangsaan.

Klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas

Ahad, 7 Ogos 2016

#187 - TANGKAP SAMA ITU POKÉMON


"Angah, nanti dah besar Acu (bukan nama sebenar) nak jadi gamer, boleh?"

Saya yang sedang meneguk minuman ketika itu membiarkan sejenak enzim amilase di dalam mulut menjalankan tugasnya sebelum memberi respon terhadap persoalan yang dikemukakan. Sambil itu, mata ralit menatap skrin televisyen diod pemancar cahaya (LED) bersaiz 42 inci yang memaparkan sebuah siaran permainan. Bukan, bukan siaran Sukan Olimpik Rio 2016, tetapi siaran pertandingan sekumpulan gamers bertarung sesama mereka dalam peringkat separuh akhir permainan video "Counter-Strike: Global Offensive (CS:GO)" sempena ELEAGUE, sebuah liga sukan elektronik (eSports) khusus untuk para penembak profesional CS:GO yang berpusat di Atlanta, Amerika Syarikat.

Sebaik mendengar hasrat hati si adik, saya tidak pula melatah, apatah lagi meloncat dari kerusi ibarat terlihat lipas kudung. Malah, saya sudah menyedari akan hakikat itu kerana memang rutin harian si adik ialah menghadap sang komputer legenda untuk bermain FIFA Online 3. Tidak cukup setakat itu, impian untuk menjadi seorang gamer pun ditulis dengan penuh perasaan di atas sehelai kertas di samping beberapa impian yang lain lalu diletakkan di cermin muka bilik. Kalau setiap hari mengandam di situ, memang akan terbacalah gugusan impian tersebut. Ternyata didikan pakar motivasi sangat memberi kesan kepadanya.

"Emm, boleh je nak jadi gamer, tapi targetlah yang tinggi sikit. Bukan apa, gamer tu nampak macam kecil sangat skopnya. Cuba cari yang lagi besar, lebih luas. Software engineer contohnya. Bukan setakat boleh main game, bahkan boleh buat game terus!"

Usu (bukan nama sebenar) yang duduk di sebelah entah dengar atau tidak perbualan antara saya dan Acu. Sibuk menghafal sambil menyanyi lagu Maher Zain katanya. "Medina, Medina, Medinatun-Nabi..." Ya, itu dia, dia sedang bernasyid dengan penuh syahdu.

Saya menyambung lagi, "lagipun, tak kisah sebenarnya Acu nak jadi apa. Jadilah apa-apa pun, yang penting dapat bagi sumbangan untuk Islam. Kalau nak jadi gamer, Acu kena fikirlah gamer boleh bagi apa yang terbaik untuk agama." Halamak, ayat saya. Tapi, serius beb. Tak mahulah adik saya hanya semata-mata menjadi gamer' menang pertandingan, dapat duit, jadi kaya-raya, hidup senang. Kemudian, selepas itu?

Tiba-tiba, Acu meneruskan perbualan dengan pertanyaan berikutnya, "tadi Acu ada baca satu link kat Facebook, mufti kata main Pokémon Go haram, betul ke?"

Haaa, ini yang saya nak meroyan. Namun, segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan darjat kebesaran, eh kesabaran kepada setiap hamba-Nya, termasuk diri ini bagi digunakan sebaiknya. Jadi, saya pun cuba menjawab dengan penuh ketenangan sambil lidah dialunkan untuk mencari rentak lafaz pertuturan yang mengena.

"Salah tu. Kalau Acu baca betul-betul kat artikel yang mufti tulis kat website dia, dia tak kata haram pun. Mufti cuma nasihat supaya umat Islam tidak terlibat atau menjauhi game tu kalau membawa kepada mudarat. Itulah masalah media atau berita, suka buat cerita sensasi. Last last, orang kita yang salah faham terus kutuk mufti. Bacanya malas, mengajinya malas, tapi tau nak hina je."

Acu hanya separa gelak tanda mengiyakan. Kemudian, saya menyambung, "sebab tu Angah lagi suka kalau Acu jadi software engineer. Cuba cari idea macam mana nak bantu hasilkan game yang boleh mendidik dan menambah iman. Kalau budak-budak main game tu, automatik ingat kat Tuhan." Acu gelak. "Haha, macam mana tu?"

"Haaa, cubalah fikir," saya menjawab. Konon nak bagi jawapan selamatlah tu, tapi sebenarnya saya pun kekeringan idea. Entahlah, kadang-kadang kita ini asyik mencaci dan mengkritik sana sini, tetapi apa usaha kita bagi memperbaik situasi? Tampak semacam mustahil, tetapi hakikatnya tidak, bukan? Kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih!

Ahad, 31 Julai 2016

#186 - ULASAN BUKU (JULAI 2016)


Bismillah. Assalamualaikum warahmatullah.

Ehem, semua sudah menunaikan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal ini? Apa khabar iman kita pasca-Ramadan? Masih sihat dan bertenaga, atau sudah lemah dan tidak bermaya? Moga-moga kita sentiasa beroleh kesedaran bagi memastikan kualiti iman kita sentiasa berada pada tahap yang terbaik, amin.

Baik, nak mula dari mana ya? Emm, sekadar pengenalan, rasanya ini merupakan kali pertama saya menulis ulasan (review) buku sebab sebelum ini, saya hanya sekadar membaca dan mentelaah sahaja, tetapi tidak pernah pula menulis ulasan usai menghabiskan pembacaan sesuatu buku. Walau bagaimanapun, pada kali ini, semangat untuk menulis ulasan buku tiba-tiba hadir membuak-buak dalam diri berikutan terinspirasi daripada sahabat-sahabat penggila buku yang telah saya temui di alam maya, umpamanya di laman sesawang Goodreads. Selain itu, saya juga berazam untuk mencatat ulasan buku ini pada akhir setiap bulan berdasarkan jumlah buku yang telah habis dibaca pada bulan tersebut. Contohnya, jika saya hanya mampu menamatkan sebuah buku sahaja pada satu-satu bulan itu, maka hanya sebuah buku sahajalah yang akan saya ulas. Gitu. Hal ini bagi memastikan agar saya terus istiqamah untuk membaca dengan tekun dan teliti, bukan sekadar menjadikan pembacaan sebagai hobi atau aktiviti mengisi masa senggang semata-mata.

Seperkara yang perlu kalian ketahui, saya mohon kalian supaya janganlah menganggap ulasan saya sebagai ulasan yang perlu dijadikan rujukan muktabar terhadap buku-buku yang telah saya ulas. Tambahan pula, ulasan saya tidaklah seprofesional atau seintelektual ulasan-ulasan mereka di luar sana yang jauh lebih profesional dan lebih intelektual berbanding diri saya yang hina-dina ini. Ulasan saya hanya sekadar tercetus daripada hadaman dan adunan pemikiran biasa-biasa (baca: biashe-biashe jew) seorang insan berkaca mata yang memakai gelaran "Hamas Syuja`iy". Sebab itu, blog ini diberi nama "Cetusan Hamas Syuja`iy", ewah. Nampaklah fungsi sikit di situ. Harapnya, dengan adanya pembaharuan dalam penulisan saya yang serba cetek ini, sekurang-kurangnya dapat memberikan sedikit inspirasi dan manfaat kepada kalian yang membelek-belek penulisan saya bagi meneruskan kelangsungan hidup di bawah lembayung reda-Nya. Tak banyak, sikit pun jadilah.

Ok, panjang pula membebel ya. Jadi, dengan lafaz basmalah yang agung, saya dengan ini ingin mempersembahkan tiga buah ulasan daripada tiga buah karya yang telah saya khatamkan pada bulan ini! *tepukan gemuruh*

---

1. #Henshin Mahasiswa


Penulis: Amirul Eqhwan bin Rahim
Penerbit: Inspirasee International Sdn. Bhd.
Tahun terbitan: 2016
Bilangan muka surat: 188
Rating: ★★★★

Asbab saya memilih buku ini sebagai naskhah yang pertama untuk ditelaah pada bulan ini adalah kerana saya baru saja menamatkan pengajian tahun pertama sarjana muda pada hujung bulan Jun yang lalu. Pada asalnya, saya mahu memulakan pembacaan bulan ini dengan karya yang berbeza sebaik saja saya pulang ke kediaman tercinta. Walau bagaimanapun, dengan tidak semena-mena, mata tertancap ke arah sebuah pustaka yang terletak elok di atas meja bacaan. "Eh, la! Abang aku dah beli rupanya buku ni. Nice!" getusku dalam hati. Lalu, tangan segera mencapai naskhah tersebut dan terus melabuhkan punggung di atas sebuah sofa untuk menikmati 'juadah' yang tersedia di dalam genggaman.

Buat pengetahuan semua, sebenarnya saya telah pun lama mengetahui akan kewujudan buku ini melalui laman sosial Facebook ketika saya masih berada dalam semester yang pertama. Hal ini yang demikian kerana buku ini dikarang sendiri oleh senior saya yang dihormati, iaitu saudara Amirul Eqhwan bin Rahim yang pada ketika itu masih bergelar mahasiswa tahun ketiga jurusan Sains Kimia di alma mater yang sama tempat saya menimba ilmu, Universiti Malaya (UM). Saudara Eqhwan yang saya kenali juga merupakan mantan Yang DiPertua Persatuan Belia Islam Nasional (YDP PEMBINA) UM serta memegang jawatan Pengerusi Exco Kerohanian dan Perpaduan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM sesi 2015/2016. Wah, hebat betul senior saya! Tidak hairanlah beliau sangat berkelayakan untuk menghasilkan buku ini.

Ok, sambung cerita. Di samping itu, banyak kali juga saya 'terserempak' dengan buku ini ketika meninjau-ninjau reruai-reruai buku yang dibuka di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya pada fasa minggu kuliah. Namun begitu, saya masih belum berkesempatan untuk membeli buku ini sebab saya fikir, lebih baik saya bertentang mata dan melakukan pembayaran secara terus dengan saudara Eqhwan. Alang-alang boleh dapat diskaun dan bonus autograf pengarang sekali, wakaka. Namun, apakan daya, masa tidak mengizinkan untuk saya berbuat demikian. Eleh, acah-acah sibuklah tu.

Apa-apa pun, Alhamdulillah kerana kakanda saya terlebih dahulu menunaikan hasrat murni tersebut iaitu dengan memiliki buku ini. Secara ringkasnya, buku ini merupakan sebuah panduan atau manual yang sangat berguna buat seluruh mahasiswa yang menjejakkan kaki ke alam universiti, terutamanya kepada pelajar lepasan sekolah atau prauniversiti yang bakal bergelar mahasiswa tahun pertama yang masih kurang atau tidak tahu-menahu langsung mengenai ikhtiar hidup di dunia varsiti. Istilah popular untuk golongan ini kita sebut sebagai 'freshie'. Entah dari mana datangnya istilah itu. Mungkin secara adat kepercayaannya, mahasiswa tahun pertama itu dianggap sebagai masih 'suci' daripada dinodai 'dosa' dan 'nista' varsiti, disebabkan itu mereka ialah "orang yang segar-bugar (freshie)". Agaknya begitulah.

Bukan setakat golongan freshie sahaja yang perlu mentelaah karya ini, malah para mahasiswa yang sudah sedia memakai gelaran mahasiswa juga sangat digalakkan untuk menghayati buku ini, khususnya mahasiswa universiti dalam negara. Saya yang hendak memasuki tahun kedua pengajian pun baru berkesempatan untuk membacanya. Tambahan pula, penulis menggarap isi dan menyentuh pelbagai topik dengan begitu baik sesuai dengan realiti kehidupan mahasiswa kontemporari. Bermula dari persediaan dan perancangan sebelum melangkah ke alma mater, ketempangan Minggu Haluan Siswa (MHS), hidup bergelumang dengan organisasi serta projek kolej dan universiti, bagaimana ukhuwah bersama para pensyarah, pengurusan masa dan kewangan mahasiswa, hinggalah perbincangan mengenai politik kampus. Bukan itu sahaja, malah diselitkan juga drama cinta mahasiswa, bulatan gembira (usrah), serta bonus cerpen abang naqib, wew.

Kesimpulan mudah yang boleh dinukilkan daripada buku ini adalah bagaimana mahu menjadi seorang mahasiswa Muslim berilmu yang pada masa yang sama, sentiasa beramal dan berada di bawah keredaan-Nya. Kalau hendak diceritakan semuanya di sini mana boleh, kalian perlu memilikinya segera. Apa tidaknya, besar harapan penulis agar setiap mahasiswa di luar sana dapat mengambil manfaat daripada buku ini seterusnya mengubah diri daripada mahasiswa yang biasa-biasa kepada mahasiswa yang luar biasa statusnya. Kita anak muda sebagai pemimpin masa depan negara, bukan? Jadi, mulakan membaca!

---

2. Pseudoscience Watch


Penulis: Ahli Medik dan Para Saintis Gila
Penerbit: Simptomatik Press
Tahun terbitan: 2016
Bilangan muka surat: 288
Rating: ★★★★★

Pertama kali saya berkenalan dengan buku "Pseudoscience Watch" adalah ketika saya terbaca suatu 'post' yang dihantar oleh siapa entah berkenaan buku ini di Facebook yang dikatakan bakal dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 di Malaysian Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor. Mendengar tajuk sahaja sudah menarik, ditambah pula dengan barisan penulis buku tersebut yang menggelarkan diri mereka sebagai "Ahli Medik dan Para Saintis Gila". I mean, seriously? Siapa mereka ini? Ohoi, memang nak kena dapatkan sebuah ni!

Jadi, hasrat pun tertunai usai keberangkatan ke PBAKL pada 2 Mei 2016 yang lalu. Saya berhasil memperoleh buku ini dan juga beberapa buah buku lain dengan menggunakan kepingan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) pemberian kerajaan yang tercinta. Namun, hasrat untuk membaca naskhah ini tertangguh sehingga ke cuti semester disebabkan beberapa kekangan yang ada. Sekali lagi, acah-acah sibuklah katakan.

Walau bagaimanapun, Alhamdulillah saya berjaya menghabiskan keseluruhan buku ini dalam tempoh dua minggu pertama bulan Syawal. Pergh, musim perayaan tu! Ingat senang ke nak habiskan dalam tempoh tersebut. Perlukan mujahadah dan konsistensi yang berterusan dalam 'mencuri' masa yang ada apabila tidak beraya ke mana-mana atau tidak berbuat apa-apa ketika berjalan raya <- betul atau tidak istilah ini.

Baik, buku ini sebenarnya membicarakan perihal sebilangan golongan tertentu yang mengamalkan "sains palsu" (pseudoscience). Mereka ini gemar memanipulasi dan melakukan korupsi terhadap ilmu, terutamanya yang berkaitan dengan ilmu sains, perubatan, kedoktoran, dan kejuruteraan yang disifatkan oleh penulis dan diisyaratkan oleh Rasulullah SAW sebagai golongan "Ruwaibidoh" (رويبضة), iaitu golongan yang bodoh dan dangkal, namun berbicara tentang perkara besar yang melibatkan orang ramai. Malangnya, banyak dalam kalangan anggota masyarakat yang terpengaruh dengan pembicaraan mereka. Maka, lahirlah sebuah entiti yang tegas, ganas, dan intelektual untuk bangun dan menentang golongan Ruwaibidoh ini. Entiti yang juga barisan penulis ini memakai gelaran "Pseudoscience Watch" dan mereka juga mengakui terdiri daripada pelbagai profesion seperti doktor perubatan, jurutera, saintis, dan ahli farmasi.

Sebagai tambahan, buku ini didokumentasikan hasil daripada catatan penting di halaman Facebook rasmi yang dikendalikan oleh pihak mereka sendiri (rujuk di sini). Hal ini yang demikian kerana, dikatakan halaman rasmi mereka sering diancam oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Malah, terdapat beberapa isu panas yang terpaksa dipadam atas sebab-sebab tertentu. Justeru, demi menyelamatkan penulisan yang bertujuan memerangi pendukung sains palsu serta bertanggungjawab menyedarkan kembali masyarakat yang terpengaruh dengan pemikiran mereka, maka terhasillah buku ini sebagai bahan rujukan jika pada masa akan datang, halaman Facebook mereka tidak wujud lagi.

Saya kira, buku ini hadir tepat pada masanya saat dunia hari ini berkecamuk dengan pelbagai kecelaruan dan pemikiran berbahaya yang telah ditimbulkan oleh golongan sains palsu ini, umpamanya isu antivaksin, pronatural, kelahiran alami di rumah (unassisted home birth), penunggang agama, penggunaan ganja sebagai remedi (ubat), produk-produk sains palsu, skim piramid atau multilevel marketing (MLM), rokok elektronik (vape), dan banyak lagi. Tipulah kalau cakap saya tak banyak belajar istilah baru sepanjang pengembaraan saya merenangi pembacaan naskhah ini, lebih-lebih lagi istilah berkaitan medik.

Akhirulkalam, saya berharap agar dengan adanya penerbitan buku seperti ini, sekurang-kurangnya dapat memberi saya dan para pembaca sedikit cahaya harapan dan pencerahan bagi menjawab kembali hujah yang dilontarkan oleh pihak pendukung sains palsu di luar sana. Tak perlu cakap banyak, ayuh dapatkannya dengan kadar yang segera!

---

3. Cerita Korea Kami


Penulis: Ummu Hani Abu Hassan, Norhayati Abu Bakar, Hanafi Sarif, Ahmad Fouad
Penerbit: Inteam Publishing Sdn. Bhd.
Tahun terbitan: 2016
Bilangan muka surat: 256
Rating: ★★★★

Wah, sejak bila kau minat nak baca bab-bab berkaitan Korea ni, Muhaimin? Bukankah kau ini anti-K-Pop?

Huhu, sebenarnya, faktor yang membuatkan saya berasa terpanggil untuk membaca karya-karya perihal Korea Selatan sejak belakangan ini adalah kerana saya bakal mengikuti program pertukaran pelajar selama satu semester (semester depan) di Chonnam National University (CNU), Gwangju, Korea Selatan. Alhamdulillah, bak kata pepatah Inggeris, "opportunity rarely knocks twice" (peluang jarang datang dua kali). Jadi, peluang keemasan yang hadir ini perlu digapai sebaik mungkin. Hendak tahu bagaimana saya bisa memperoleh tawaran ini? Nantikan dalam kisah akan datang. Insya-Allah, saya akan mula berlepas ke sana pada jam 8.00 pagi, 30hb Ogos ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). Kalau ada sesiapa yang hendak menemani dan menghantar saya pada hari dan masa tersebut, sangat dipersilakan. Saya amat menghargai kesudian dan kelapangan masa yang kalian berikan, ewah.

Awalnya, bukan buku ini sebenarnya yang hendak saya cari dan beli di kedai buku Bookworm yang berhampiran dengan rumah, sebaliknya buku yang berjudul "I'm a Backpacker: Korea" karya saudari Halian Azurin itu yang berada dalam radar saya ketika singgah di sana. Entah bagaimana, buku itu tidak ditemui pula di situ. Lain yang dicari, lain pula yang dijumpai. Takdir Tuhan telah menemukan saya dengan buku yang berjudul "Cerita Korea Kami" ini. Lantas, setelah tidak bertemu dengan buku asal yang diingini, saya mengira mungkin saya perlu pergi ke kedai buku yang lain pada lain masa untuk mencari buku tersebut. Apa lagi, tangan segera mencapai naskhah yang masih berbalut plastik itu dan terus melakukan pembayaran.

Apa yang menarik tentang pustaka ini ialah, buku ini merupakan himpunan pelbagai kisah yang menarik mengenai Korea Selatan dan segala isinya daripada empat orang penulis yang berbeza latar belakang. Penulis pertama, saudari Ummu Hani banyak bercerita mengenai pengalamannya selaku penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Hankuk University of Foreign Studies, Seoul dalam bidang Sastera Bandingan (Melayu). Kisah beliau yang berada di sana bersama suami dan anak-anak yang masih kecil sungguh mengujakan, umpamanya perihal budaya orang Korea, mengajar bahasa Melayu di sana, K-Pop vs Koslems (Korea Muslim), dan banyak lagi. Penulis kedua, saudari Norhayati Abu Bakar pula menukilkan perihal kisah lawatan ke beberapa lokasi menarik yang terdapat di Korea Selatan bersama keluarga dan anak beliau yang menuntut di sana (Sungkyunkwan University). Terdapat juga beberapa tips atau panduan yang dikongsikan kepada pembaca sekiranya memasang niat untuk berkunjung ke sana seperti bab pemilihan makanan, empat buah musim, dan lain-lain.

Fuh, tarik nafas sekejap. Ok, kita sambung. Penulis ketiga, saudara Hanafi Sarif yang merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Korea University, juga salah seorang pengendali halaman Facebook Mudahnya Bahasa Korea (MUBAKO) menceritakan beberapa cerita bermaknanya sepanjang bergelar pelajar di sana, terutamanya kisah berkaitan bola sepak, buah gingko, dan Ramadan di Korea Selatan. Manakala penulis keempat dan terakhir, saudara Ahmad Fouad yang kini mendalami bidang Antropologi dalam peringkat Sarjana di CNU (universiti yang sama dengan saya nak pergi nanti oi, haha), kisah yang dinukilkannya boleh disifatkan sebagai yang paling menggelikan hati. Apa yang kelakarnya itu? Ohoi, kalian kenalah baca buku ini!

Menariknya, walaupun terdapat variasi kisah yang dikumpulkan dalam buku ini, namun semuanya diungkapkan dengan bahasa yang jujur, santai, serta diselitkan nilai tarbiah Islam. Perbezaan agama, budaya, pemikiran, dan geografi yang wujud di Korea Selatan merupakan aset yang sangat berharga untuk dijadikan pengajaran kepada kita, khususnya masyarakat Muslim di Malaysia. Hal ini selaras dengan mafhum firman Allah SWT yang menggalakkan hamba-Nya untuk bertebaran di atas muka Bumi bagi menggali setiap inci hikmah dan manfaat yang tersembunyi.

Doakan permusafiran saya ketika berada di sana nanti, ya!

---

Sekian saja untuk ulasan buku pada bulan ini. Jangan lupa untuk bersama-sama saya sekali lagi pada hujung bulan depan, Insya-Allah! ^_^

Wassalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA