Isnin, 4 Januari 2016

#150 - PASCAPEPERIKSAAN


Suatu perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata apabila melihat sahabat-sahabat yang masih tekun mengulang kaji dan berbincang mengenai mata pelajaran sempena menghadapi peperiksaan akhir semester yang masih berlangsung, sedangkan saya di sini telah pun mengakhirinya pada tahun lepas. Ceh, tulis tahun lepas macam dah lama sangat je gayanya dah habis 'exam'.

"Serius ah kau dah habis 'exam'?!"
"Berapa banyak subjek kau ambil sebenarnya?"
"Untunglah dah habis. Boleh kacau orang, main 'game', baca buku lain, bla bla bla..."
"Bila nak balik rumah?"

Err... Demikianlah respon sebahagian sahabat yang jelas menzahirkan kecemburuannya terhadap batang tubuh ini. Heh, semester ni je pun sekejap sangat ujiannya. Naik semester akan datang, tengoklah keadaannya nanti macam mana.

Namun, bukan itu sebenarnya yang saya hendak ceritakan dalam penulisan status ini. Tujuan utama saya hanyalah ingin berkongsi sepotong ayat al-Quran yang saya kira sangat sesuai untuk diceritakan dalam musim peperiksaan ini. Saya fokuskan ayat ini terlebih dahulu untuk diri saya dan juga buat manfaat sahabat-sahabat lain.

وَإِذَا مَسَّ الْإِنْسَانَ الضُّرُّ دَعَانَا لِجَنْبِهِ أَوْ قَاعِدًا أَوْ قَائِمًا فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُ ضُرَّهُ مَرَّ كَأَنْ لَمْ يَدْعُنَا إِلَىٰ ضُرٍّ مَسَّهُ ۚ كَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِلْمُسْرِفِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

"Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan." — Yunus, 10: 12

***

Ya, anak-anak. Begitulah hakikat kebanyakan manusia, terutamanya diri saya sendiri. Apabila menghadapi kesusahan dan tekanan (dalam konteks sekarang: musim peperiksaan), kita berdoa dan merayu bagai nak rak kepada Allah mohon kemudahan itu dan ini, bermacam jenis ibadat dan solat sunat kita selesaikan, tetapi usai kesusahan dan tekanan (peperiksan) berakhir, kita kembali semula kepada diri kita yang asal. Kalau semasa peperiksaan, kita sanggup bangun awal, qiyamullail, Subuh berjemaah, solat sunat Duha, membaca al-Quran, dan lain-lain. Semata-mata ingin merayu memohon agar Allah mempermudah segala urusan kita dalam fasa-fasa yang sukar itu. Namun, pascapeperiksaan, kita tinggalkan segala perkara tersebut dan kembali semula kepada cara hidup kita yang lama (bermalas-malasan dalam ibadat dan lain-lain), seolah-olah kita tidak pernah pun melakukan segala perkara tersebut sebelum itu.

Allahu rabbi, hamba jenis apa kita ini? Di mana hilangnya sifat malu kita? Adakah Tuhan itu hanya wujud semasa peperiksaan?

Muhasabah.

Jumaat, 1 Januari 2016

#149 - MARI MERUNGUT DAN BERSUNGUT (CATATAN AWAL 2016)


2015 telah pun melabuhkan tirainya semalam. Ibarat kebiasaan, kebanyakan orang sudah pasti mahu menutup tahun yang penuh suka duka itu dengan penutup yang bahagia serta memasuki era 2016 dengan permulaan yang mempesona. Ya, sudah fitrah semula jadi manusia, kita sememangnya mahukan yang terbaik dalam segenap inci dan ruang yang wujud dalam hidup ini. Semua orang mahukan kebahagiaan. Setiap orang menginginkan kedamaian.

Namun begitu, walau fasa 2015 sudah tiba ke penghujung, masih kedengaran juga pelbagai cerita kurang enak yang sering menyinggahi jaluran halus cuping telinga. Bertalu-talu. Bermula dengan kisah dua jenis pekerjaan, disambung pula dengan kes Encik Zulkifli dan van putih, serta janji pemerintah kita yang berazam memastikan tanah watan kita menjadi lebih makmur dan sejahtera pada tahun depan — semuanya telah saya dengar dan baca sama ada melalui usaha sendiri atau perantaraan orang lain. Belum lagi dikira dengan pelbagai masalah yang berlaku pada sebelum ini — isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji, kejatuhan nilai wang ringgit, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), serta bermacam-macam lagi isu nasional mahupun antarabangsa. Maka, kedengaranlah (kalau penulisan, baca: kelihatanlah) komen-komen dan ulasan-ulasan daripada para netizen dengan pelbagai citarasa dan warna. Ada yang bersifat rungutan dan sungutan. Malahan, tidak kurang juga yang bersifat cacian, perlian, dan makian. Apa yang pasti, saya tetap dengan perangai saya — tidak mahu mengulas segala isu tersebut dengan lebih lanjut kerana lebih selesa untuk berdiam diri dan terus melakukan pemerhatian.

Kalau dalam konteks pelajar pula, rata-rata mahasiswa Universiti Awam (UA) seluruh Malaysia kini sedang berjuang bermati-matian dalam usaha untuk terus bernafas dalam medan peperiksaan. Ya, cuping telinga saya disapa lagi. Tetapi, kali ini dengan suara-suara keluhan dan rungutan sahabat-sahabat yang terasa begitu sesak untuk terus berenang menempuh lautan ilmu yang maha luas ini. Sudahlah yuran pengajian dan kos sara hidup tinggi yang amat, ditambah pula dengan tekanan hidup belajar. Ya, seperti biasa, saya tetap juga dengan perangai saya — lebih selesa untuk menutup mulut (kalau penulisan, baca: tidak menaip) dan hanya memerhatikan saja gelagat mereka yang berada di sekeliling.

Formula kebanyakan daripada kita ini mudah sahaja sebenarnya. Banyak MERUNGUT dan BERSUNGUT.

Rakyat marhaen merungut dengan negaranya.
Mahasiswa bersungut dengan akademiknya.

Saya?

Suka untuk saya mengajak sahabat-sahabat dalam bersama-sama menghayati doa Nabi Ya'qub AS ini:

إِنَّمَا أَشْكُو بَثِّي وَحُزْنِي إِلَى الله...

"Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah..." (Yusuf, 12: 86)

Lihat juga khutbah Nabi Musa AS:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." (Ibrahim, 14: 7)

Dan juga ungkapan Nabi Sulaiman AS:

وَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ ۖ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيم

"...Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah." (Al-Naml, 27: 40)

Sebesar dan sebanyak mana pun lahar rungutan dan sungutan yang ingin dimuntahkan, hayatilah peribadi Ya'qub AS yang sangat hebat diuji dengan hanya mengeluh dan mengadu kepada Allah sahaja. Kadang-kadang, kita terlalu banyak berkeluh-kesah sehingga terlupa untuk bersyukur dengan apa-apa yang telah kita ada di hadapan mata. Bersyukurlah kerana masih punya tubuh badan yang sihat untuk beramal dan berbakti. Bersyukurlah kerana masih punya kesempatan untuk menuntut ilmu yang mungkin tiada pada orang lain. Bukankah itu janji Allah bahawa orang yang bersyukur pasti akan ditambah rezeki melalui sabdaan para Nabi-Nya?

Syukur bukan bermakna akur dengan kezaliman. Diam bukan bermakna reda dengan kecelaruan. Diam perlu juga disertai dengan tindakan dan usaha. Bersifatlah analitikal sebelum mengeluarkan apa-apa perkataan dan menzahirkan perbuatan. Cuba untuk sentiasa bersikap optimis dan memandang setiap sesuatu dengan pandangan positif, bukan hanya sentiasa bersikap pesimis dan memandang setiap sesuatu dengan pandangan negatif sahaja. Kalau dah semua tak mampu buat, lebih baik berdiam diri daripada menghamburkan kata-kata dosa dan nista. Persoalannya, apa tindakan yang telah dilakukan untuk mengislahkan diri demi agama? Banyak mana usaha yang benar-benar dikerahkan untuk menuju ke arah negara yang lebih sejahtera? Hanya sekadar merungut dan bersungut serta masih lagi lalai dengan 'movie', permainan, dan gajet?

2016 ini, ayuh sama-sama kita dambakan, sama-sama kita memasang cita-cita, untuk lebih kuat berkhidmat dan berbakti demi kemaslahatan umat sejagat. Teringat bait kata Raef dalam salah satu lagunya, Dream:

"Too many times I've walked through these streets
Wondering where we went wrong
Our hands alone can feel so helpless and weak
But surely with yours they’ll be strong
Our problems and fears will soon disappear
If we try hard enough they’ll all be gone
Brothers and sisters, it takes each of us
Together we can overcome!
We shall overcome"

Salam tahun baru Masihi 2016.

Ahmad Muhaimin bin Ahmad Safaruddin
Mahasiswa Tahun Pertama,
Sarjana Muda Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat,
Universiti Malaya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA