Isnin, 4 Januari 2016

#150 - PASCAPEPERIKSAAN


Suatu perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata apabila melihat sahabat-sahabat yang masih tekun mengulang kaji dan berbincang mengenai mata pelajaran sempena menghadapi peperiksaan akhir semester yang masih berlangsung, sedangkan saya di sini telah pun mengakhirinya pada tahun lepas. Ceh, tulis tahun lepas macam dah lama sangat je gayanya dah habis 'exam'.

"Serius ah kau dah habis 'exam'?!"
"Berapa banyak subjek kau ambil sebenarnya?"
"Untunglah dah habis. Boleh kacau orang, main 'game', baca buku lain, bla bla bla..."
"Bila nak balik rumah?"

Err... Demikianlah respon sebahagian sahabat yang jelas menzahirkan kecemburuannya terhadap batang tubuh ini. Heh, semester ni je pun sekejap sangat ujiannya. Naik semester akan datang, tengoklah keadaannya nanti macam mana.

Namun, bukan itu sebenarnya yang saya hendak ceritakan dalam penulisan status ini. Tujuan utama saya hanyalah ingin berkongsi sepotong ayat al-Quran yang saya kira sangat sesuai untuk diceritakan dalam musim peperiksaan ini. Saya fokuskan ayat ini terlebih dahulu untuk diri saya dan juga buat manfaat sahabat-sahabat lain.

وَإِذَا مَسَّ الْإِنْسَانَ الضُّرُّ دَعَانَا لِجَنْبِهِ أَوْ قَاعِدًا أَوْ قَائِمًا فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُ ضُرَّهُ مَرَّ كَأَنْ لَمْ يَدْعُنَا إِلَىٰ ضُرٍّ مَسَّهُ ۚ كَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِلْمُسْرِفِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

"Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan." — Yunus, 10: 12

***

Ya, anak-anak. Begitulah hakikat kebanyakan manusia, terutamanya diri saya sendiri. Apabila menghadapi kesusahan dan tekanan (dalam konteks sekarang: musim peperiksaan), kita berdoa dan merayu bagai nak rak kepada Allah mohon kemudahan itu dan ini, bermacam jenis ibadat dan solat sunat kita selesaikan, tetapi usai kesusahan dan tekanan (peperiksan) berakhir, kita kembali semula kepada diri kita yang asal. Kalau semasa peperiksaan, kita sanggup bangun awal, qiyamullail, Subuh berjemaah, solat sunat Duha, membaca al-Quran, dan lain-lain. Semata-mata ingin merayu memohon agar Allah mempermudah segala urusan kita dalam fasa-fasa yang sukar itu. Namun, pascapeperiksaan, kita tinggalkan segala perkara tersebut dan kembali semula kepada cara hidup kita yang lama (bermalas-malasan dalam ibadat dan lain-lain), seolah-olah kita tidak pernah pun melakukan segala perkara tersebut sebelum itu.

Allahu rabbi, hamba jenis apa kita ini? Di mana hilangnya sifat malu kita? Adakah Tuhan itu hanya wujud semasa peperiksaan?

Muhasabah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA