Selasa, 9 Februari 2016

#152 - TIADA YANG SIA-SIA


1. Terimbau saat pabila saya ditanyakan soalan mengapa saya menyertai Kor Sukarelawan Siswa Polis (SUKSIS) sedangkan pada hakikatnya saya tidak memasang niat pun untuk menyertai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) usai bergraduasi nanti. Jawapan ringkas yang boleh saya berikan ialah – ilmu dan pengalaman.

2. Sebagai seorang mahasiswa sarjana muda Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat yang tiada kaitan langsung dengan bidang kepolisan, saya melihat keizinan Tuhan untuk saya melibatkan diri secara aktif dalam pasukan ini sebagai suatu peluang keemasan yang tidak harus dipersiakan begitu saja. Ilmu dan pengalaman yang saya cari bukan hanya berlegar dalam bulatan polis yang kecil itu sahaja, tetapi nawaitu lebih dari itu – saya mencari hakikat dan erti sebuah kehidupan.

3. Saya secara peribadi berusaha untuk keluar dari lingkungan selesa pelajar pengajian Islam dengan bersosial secara sihat sesama sahabat dari fakulti dan kaum yang berbeza. Bahkan kalau dalam kuliah di universiti pun, saya lebih gemar dan berkemahuan untuk membentuk kumpulan bersama ahli-ahli yang terdiri daripada pelbagai fakulti dan kaum. Ya, hati saya girang memerhati dan mentelaah kepelbagaian pemikiran sahabat-sahabat yang nyata banyak membawa rencah dan jauh berbeza daripada skop pemikiran saya sebagai mahasiswa pengajian Islam.

4. Ada satu malam ketika Perkhemahan SUKSIS 1Malaysia (CAMPS1M) berjalan, saya diminta untuk menyampaikan sedikit tazkirah sementara menunggu masuknya waktu Isyak. Saya mengambil peluang itu bagi mengajak sahabat-sahabat untuk kembali merenung apa tujuan hidup kita di atas dunia ini dan kaitannya dengan Kor SUKSIS. Alhamdulillah, respon yang diberi oleh mereka sungguh positif. Baru sekali saya berkuliah di hadapan, saya telah digelar sebagai "ustaz". Adoi. Lepas ni kena jaga tsiqah lebih sikitlah. Ok, gurau.

5. Namun begitu, apa yang membuatkan hati saya tersentuh ialah apabila di luar sana, masih banyak lagi sahabat yang sebenarnya sangat memerlukan bimbingan kehidupan selari dengan tuntutan agama. Masih ramai dalam kalangan para pemuda pemudi kita yang belum lancar membaca al-Quran. Masih ramai yang belum jelas dan keliru dengan suasana kehidupan akhir zaman ini. Ada sahabat yang menzahirkan luahan perasaan bahawa dia senang dengan cara penyampaian yang bersifat rahmah dan jauh daripada perlian, sindiran, dan kutukan. Malah, saya diharapkan agar dapat lebih membantu mereka untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Allahu, saya sendiri pun masih belum cukup baik dan masih terkial-kial dalam proses pengislahan diri. Saya jadi malu. Tetapi, Allah telah meletakkan saya di atas jalan ini. Saya perlu tetap meneruskan pemgembaraan untuk sama-sama mengubah diri untuk mengubah orang lain. Sama ada saya berubah atau saya tersungkur rebah. Gitu bah.

6. Jadi, melihat kepada situasi belakangan ini, hati saya sedih melihat para agamawan kita yang masih sering berselisih bab khilafiah, sedangkan banyak lagi masyarakat di luar sana, penghayatan agama dalam diri pun masih menadah-nadah. Mahukah kita mendengar ungkapan seperti: "alah, orang agama pun sibuk bergaduh sana sini, baik aku tak payah hidup beragama." Kita lupa untuk mengutamakan prioriti. Menyibukkan diri dengan urusan yang kurang atau tidak penting melebihi yang penting

7. Oleh kerana itulah, saya senang dengan cara saya yang lebih suka berdiam diri, berjalan, melihat, dan mentafsir. Ketika saya berjalan merentasi hutan pada waktu malam dan siang, ketika saya mendaki bukit nan tinggi, ketika saya melihat langit yang biru tanpa awanan, ketika saya menyusuri arus sungai yang deras, ketika saya menyaksikan mereka bersembang, menyanyi, dan menari... Saat itu, Allah mengingatkan saya melalui firman-Nya dalam surah Ali 'Imran, 3: 190-191. "Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia. Maha Suci Engkau, lindungilah kami daripada azab api neraka."

Mohon doa semua.
Selamat Tahun Baru Cina.
Daripada saya, "man in blue".

#151 - SYAIR AKU DAN PERUBAHAN


Maaf encik sekalian ada
Abang dan kakak, ibu dan bapa
Mari hayati syair si hamba
Buat pedoman sepanjang masa

Wahai pemuda serta pemudi
Harapan bangsa tiang negeri
Jangan terleka berhias diri
Ayuh segera koreksi hati

Sifat mahmudah perlu dicari
Sifat mazmumah harus dijauhi
Janganlah alpa dengan duniawi
Kelak binasa hancur peribadi

Setiap manusia punyai daya
Daya bagi mengubah minda
Ke arah minda kelas pertama
Bagi menuju wawasan utama

Ubahlah diri ke arah mulia
Ubahlah demi nusa tercinta
Agar hidup aman sentosa
Sejahtera selama-lamanya


(Syair ini telah dideklamasikan oleh KS 42596 — Ahmad Muhaimin bin Ahmad Safaruddin pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Etika dan Pengurusan Integriti Kor SUKSIS Universiti Malaya 2016. Kursus ini telah berjalan pada 23-28 Januari 2016 yang lalu di Kem Batalion 4, Pasukan Gerakan Am, Semenyih, Selangor.)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA