Jumaat, 15 April 2016

#153 - IDEA-IDEA PENDIDIKAN DALAM AL-QURAN



Tarikh : 11 Mac 2016 (Jumaat)

Masa : 1130 - 1230
Tempat : Bilik Seminar 2, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
Tajuk : Idea-idea Pendidikan dalam al-Quran: Tumpuan terhadap Pembinaan Ilmu dan Adab Mahasiswa
Penyampai : Dr Asyraf Isyraqi Jamil
______________________________________



1. Dr Asyraf memulakan pengisian dengan memberi suatu bidalan: "Kalau seorang doktor tersilap dalam mengubati seorang pesakit, hanya seorang pesakit sahaja yang akan mati. Tetapi kalau seorang pendidik tersilap dalam mendidik masyarakat, nescaya satu generasi akan rosak".


2. Burhanuddin al-Zarnuji (w. 1223 H) ada mengarang sebuah kitab bernama "تعليم المتعلم للتعلم" yang berbicara mengenai keperluan adab seorang murid dalam menuntut ilmu.


3. Mengapa Allah menurunkan wahyu pertama kepada junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW dengan seruan "اقرأ"? Hal ini kerana kalimah "اقرأ" atau kata masdarnya "قراءة" itu sendiri membawa maksud "membaca bagi memahami" - suatu petunjuk yang jelas akan kepentingan menuntut ilmu sebagai keperluan yang utama. Berbeza dengan kalimah "تلاوة" yang secara ringkasnya hanya memberi makna "membaca".


4. Nabi SAW tidak menyampaikan sesuatu yang berhubung dengan Islam menurut hawa nafsunya, sebaliknya berpandukan wahyu yang telah diturunkan ke atasnya sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah lewat firman-Nya: "وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلۡهَوَىٰٓ # إِنۡ هُوَ إِلَّا وَحۡىٌ۬ يُوحَىٰ" (QS al-Najm, 53: 3-4). Kalimah "ينطق" berasal daripada masdar "نُطْقٌ" yang membawa maksud "sebutan yang berhasil daripada proses pemikiran". Daripada kalimah ini, lahirnya suatu disiplin ilmu yang disebut sebagai "علم المنطق".


5. Istilah pendidikan menurut kaca mata bahasa Arab secara ringkas boleh dibahagikan kepada tiga: ta`lim (تعليم), tarbiyah (تربية), dan ta'dib (تأديب). Namun begitu, Dr lebih cenderung untuk menggunapakai istilah "ta'dib" sebagai istilah yang paling tepat bagi pendidikan berdasarkan tujuan pendidikan itu sendiri - melahirkan manusia yang beradab hasil daripada proses berguru dan menuntut ilmu yang sebenar.


6. Jika dikatakan istilah "tarbiyah" adalah yang paling sesuai, hakikatnya kalimah "tarbiyah" atau kata dasarnya "ربى" juga memberi makna "mengasuh". Bukankah kita selalu berdoa dengan ungkapan seperti "ربِّ ٱرۡحَمۡهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرً۬ا" (QS al-Israa', 17: 24) - "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mengasuhku semasa kecil". Fir`aun juga pernah mengasuh Nabi Musa AS, tetapi bukan memberi pendidikan mengikut erti kata yang sebenar (rujuk al-Syu`araa', 26: 18). Maka, menggunakan istilah tarbiyah untuk pendidikan adalah kurang tepat.


7. Mari kita lihat idea pendidikan daripada surah al-Kahf, surah yang ke-18 dalam al-Quran, bermula dari ayat 60 hingga 82:

Bahagian I : ayat 60-65 (bahagian Musa AS mencari Khidir AS)



- Asal penurunan ayat: Kenyataan Musa As bahawa baginda merupakan Nabi dan makhluk yang paling alim pada ketika itu. Tetapi, Allah mengkhabarkan kepada baginda bahawa wujud seorang hamba Allah yang lebih alim daripada baginda. Jadi, Musa AS pun berhasrat untuk mencari hamba Allah tersebut bagi menuntut ilmu daripada beliau.
- Peristiwa ini mengajar kita agar sentiasa bersifat rendah hati, sentiasa berkehendak, mencari, dan menuntut ilmu.
- Perkataan "murid" berasal daripada kalimah Arab "مريد" yang memberi maksud "orang yang berkeinginan dan berkehendak (akan ilmu)".
- Ilmu itu perlu didatangi, bukan mendatangi. Ilmu itu juga bersifat "وصول" (penyampaian makna) dan "حصول" (makna sampai).



Bahagian II : ayat 66-77 (bahagian Musa AS berjalan bersama Khidir AS dan menyaksikan tindakan-tindakan yang tidak diduga)


- Antara ibrah yang boleh diambil daripada ayat-ayat ini ialah hendaklah sentiasa bersikap memohon izin, 'suhbah' guru (mahu berguru), serta bersifat sabar dan tidak tergesa-gesa.
- Orang yang menyampaikan ilmu, dia perlu melihat kepada siapa yang berada di hadapannya (pendengar atau pelajarnya).
- Kefahaman tidak semestinya hadir ketika dalam proses pembelajaran. Kefahaman mungkin akan hadir pada lain masa atau ketika.
- Kalau kita menuntut ilmu melalui medium pembacaan sahaja, hasilnya kita hanya akan memperoleh kefahaman yang terhad. Jadi, kita perlu kepada solusi iaitu dengan berguru.
- Penuntut ilmu tidak boleh tergesa-gesa dalam mendapatkan jawapan ketika menuntut ilmu serta mempertikaikan tindakan gurunya.
- Akal berasal daripada kalimah Arab "عقل" yang membawa makna "mengikat, menghubung". Jadi, akal itu sifatnya sebagai penghubung spiritual, manakala fungsi otak sebagai penghubung fizikal. Akal perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.



Bahagian III : ayat 78-82 (bahagian Khidir AS menjelaskan setiap tindakannya kepada Musa AS)


- Perlu kepada sifat menghormati dan percaya kepada guru.
- Ilmu yang kita peroleh itu ada kadar dan batasnya.
- Antara sifat yang tidak patut ada pada penyampai ilmu ialah menggalakkan anak muridnya berdebat dan berselisih pandangan.



8. Kesimpulannya, pendidikan atau ta'dib itu merangkumi hubungan guru dan murid serta perbicaraan mengenai sifat pengajar dan penuntut (ilmuwan). Dengan kata mudahnya, ta'dib membawa formula seperti berikut:


Ta'dib = (Hikmah + Adil) (Ilmu + Akhlak)


Wallahu a`lam. Mohon teguran jika berlaku kesilapan.


#SalamJumaat
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA