Sabtu, 28 Mei 2016

#155 - KERANA HAFAZAN ITU...


“Oh, Allah! How can I forget Your beautiful verses?” Raungku dalam hati. Entah kenapa, secara tiba-tiba ingatanku seolah-olah menjadi kosong. Butir-butir hafalan yang telah dituturkan sejak sekian lama tiba-tiba melayang entah ke mana.

Saat itu, aku beristighfar dan berselawat panjang. Kalau boleh, aku mahu menangis semahu-mahunya pada masa dan di tempat itu juga. Namun, aku cuba menahan deraian manik-manik halus itu daripada terus keluar.

***

Segala-galanya berjalan dengan begitu baik selama tempoh kurang lebih 11 minggu. Sehingga tersingkapnya minggu ke-12 kuliah, aku berjaya menamatkan kesemua senarai 11 surah yang dipertanggungjawabkan untuk aku menghafalnya. Bukan hanya sekadar menghafal kalimah per kalimah itu secara literal. Bukan juga disebabkan desakan akademik yang menuntut agar aku perlu lulus subjek itu supaya aku lulus jua untuk bergraduasi. Oh, tidak!

Bahkan, aku cuba untuk sentiasa meluruskan niat serta memahami setiap maksud dan mesej yang ingin disampaikan melalui setiap surah yang terkandung dalam juzuk ke-29 itu. Supaya dengan itu, aku berharap agar apa-apa yang kuucapkan daripada hasil hafalanku bukan hanya sekadar omongan kosong dan nihil tanpa sebarang penghayatan makna dan roh. Apa guna aku bercakap dan apa guna aku bertutur kalau aku sendiri tidak memahami apa-apa pun yang aku cakap dan tuturkan? Kalau pengertian pun tidak tahu, bagaimana pula mahu mengambil intipatinya untuk dijadikan pengamalan seharian dalam kehidupan? Ini ayat-ayat Allah, beb. Aku nak layannya macam itu sahaja? Jangan, sesekali jangan. Begitulah halnya yang aku fikirkan terhadap penghafalan Kalam Allah itu.

***

Helaan nafasku naik dan turun dengan begitu laju. Konsistensi nampaknya sedikit lari. Aliran peluh juga mula membasahi tubuh dan pakaian putihku.

Entah bagaimana, aku boleh terlupa untuk membawa sampul yang berisi borang penilaian hafazan yang dikirimkan ketika malam sebelum ujian oleh abang senior pentasmik (pendengar bacaan hafazan) aku. Sampul itu perlu diserahkan kepada kakak penguji hafazan ketika ujian sedang berlangsung. Lantas, tanpa berfikir panjang, aku segera berpatah balik ke kolej kediaman untuk mengambil sampul yang sangat berharga itu.

Sekembalinya ke Akademi Pengajian Islam, dengan tanpa menenangkan diri dan menarik nafas panjang terlebih dahulu, aku terus saja masuk ke dalam pejabat yang mendebarkan itu. Kerusi dicapai dan ditarik lalu aku duduk bersandar di situ. Waktu itu, baru aku sedar bahawa aku berada pada suatu kondisi yang maha tidak tenang – dengan proses hembusan dan helaan nafas yang tidak teratur, ditambah pula dengan pendingin hawa yang sudah dimatikan – menambahkan lagi keresahan yang bergelojak dalam jiwa ini. Oh, Tuhan! Semoga Engkau bisa membantu aku dan mengingatkan aku apa-apa yang aku terlupa pada saat-saat kecemasan ini.

***

“Awak dah tahu markah 'mid sem test' hafazan awak?” Tanya akak itu kepada saya.
“Belum lagi, kak. Abang Sam (bukan nama sebenar) tak pernah tunjuk pun markah hafazan tu kat kitorang,” jelas aku kepadanya.
“Seriuslah? Dah tu, nak tahu tak markah awak berapa?”
“Eh, mestilah nak, kak!”

Betapa aku sudah lama mengimpikan saat itu bagi mengetahui markah sebenar ujian hafazan pertengahan semester aku yang dirahsiakan selama ini. Akak itu semacam tidak percaya dengan apa-apa yang dilihat olehnya pada kertas penilaian hafazanku. Berkali-kali dia seolah-olah menafikan nilai angka yang terpampang pada atas objek putih itu.

”Biar betul ni? Apasal abang Sam bagi tinggi sangat? Takkanlah...” Katanya dengan nada dan mimik muka yang masih kurang percaya. Aku hanya tersenyum kerana geli hati sambil meluahkan rasa syukur kerana mendapat sedikit suntikan gembira sebelum ujian akhir hafazan bermula. Bismillah...

***

Sehingga kini aku masih menyalahkan diri sendiri atas kelemahan prestasi aku ketika mengulang hafazan ujian surah yang pertama sebentar tadi. Berkali-kali aku beristighfar dan bermuhasabah panjang mengapa aku boleh terlupa akan ayat-ayat-Nya yang Maha Indah itu, sedangkan sebelum ujian bermula, aku mampu mengungkapkannya dengan baik.

“Ok, akak bagi 'hint'. Tapi, dua markah bonus yang akak nak bagi tu akak terpaksa tolak la.”

Aku menerimanya dengan reda. Satu ayat daripada surah (nama surah dirahsiakan) itu diberi bantuan. Kemudian, tiba satu ayat yang lain, aku tersangkut lagi. Serius, masa itu aku memang benar-benar terlupa. Ingatan aku terhadap hafalan ayat itu seperti lesap begitu saja. Walaupun aku telah cuba untuk mengaitkan makna ayat yang sebelum dengan ayat yang seterusnya, namun tetap tidak berhasil.

Bantuan kedua diberikan lagi. Aku lantas menyambung ayat tersebut dengan lancar dan beberapa ketika kemudian, aku tersangkut sekali lagi buat menyambung ayat yang keseterusnya. “Ya, Allah! Macam mana boleh terlupa ni?” Aku berbisik perlahan. Mata aku mula berkaca-kaca. Aku masih belum mampu tenang sedari tadi hakikatnya walaupun aku cuba berlagak untuk bertindak seperti itu. Ruang bilik itu senyap seketika tanpa ada sebarang patah bicara tilawah.

Akhirnya, tempoh masa maksimum lima minit untuk satu surah tamat. Aku tidak berjaya menamatkan ayat yang dikehendaki untuk surah yang pertama. Lantas, aku mengatup wajah dengan lengan mengenangkan nasib yang tidak berpihak kepada aku itu. Oh, Tuhan! Apa sudah jadi dengan aku ini?

”Awak ok tak ni? Boleh sambung surah kedua tak? Ke nak tukar dulu dengan orang lain?”
“Boleh sambung, kak. Surah tadi tu je yang saya betul-betul terlupa. Allah, macam mana la boleh terlupa ayat tadi. Tak apa kak, lagi dua surah saya boleh, Insya-Allah.”

Saya nekad untuk tidak mahu berhenti separuh jalan. Perjuangan mesti diteruskan sehingga ke garisan penamat. Alhamdulillah, aku berjaya membuktikan bahawa markah yang tercatat dalam kertas penilaian hafazan aku itu bukan markah yang sia-sia, dan aku berjaya mengalunkan Kalam-Nya dalam dua buah surah itu dengan begitu baik dan lancar. Terpancar kelegaan saat mengungkapkan "صدق الله العظيم" selepas menyelesaikan ayat yang terakhir.

“Memang betullah abang Sam bagi markah macam ni kat awak.” Akhirnya akak tersebut dapat menerima kenyataan. Aku cuba memohon agar dapat digantikan surah yang aku tidak menunjukkan prestasi baik itu dengan surah yang lain, namun permintaanku ditolak mentah-mentah. “Tak apalah markah lompong-lompong sikit, tak naklah penuh sangat. Janji lulus.” Aiya, rupa-rupanya akak ini memang sukar untuk memberikan markah kepada pelajar, huhu. Tidak mengapalah, janji saya sudah memberikan yang terbaik, Insya-Allah.

***

Peristiwa aku tersangkut ayat hafazan pada malam itu benar-benar membuatkan aku berfikir dalam-dalam. Memang benarlah, kalau Allah mengatakan sesuatu itu jadi, maka jadilah. Kalau sebaliknya, maka seperti itulah yang berlaku walau sekuat mana pun kita berusaha yang terbaik untuk melunaskannya. Nyata, takdir Allah melebihi segala perancangan makhluk dan hamba-Nya. Sesungguhnya, musibah ini benar-benar mendidik aku untuk menerima segala qada' dan qadar-Nya dengan dada yang lapang.

Tentu ada sebab yang kukuh mengapa aku boleh 'hilang ingatan' sedemikian rupa. Barangkali aku kurang beradab dengan sekalian firman-Nya ketika proses menghafal dan mengulang berlangsung. Barangkali niat aku tergelincir saat menjalankan proses hafazan tersebut. Barangkali aku ada mencipta masalah sesama manusia sebelum itu. Walau apa-apa jua kebarangkaliannya, nyata Allah Maha Mengetahui segala-galanya. Aku sendiri yang perlu menggali hikmah di sebalik musibah ini.

Teringat kata-kata seorang pensyarah Jabatan Akidah ketika sesi kuliah Pengantar Usuluddin berlangsung melalui sabdaan Nabi SAW yang mulia:

“ما شاء الله كان، وما لم يشأ لم يكن”

Moga-moga hafalanku ini tidak berhenti setakat di sini sahaja.
Moga-moga aku terus bersemangat dalam meneruskan kembaraku menghafal ayat-ayat cinta-Nya yang Maha Agung.
Moga-moga aku dapat mengamalkan setiap bait ayat-Nya dalam kehidupan agar aku bisa menjadi seorang Muslim yang lebih soleh.

Ya, Allah! Jadikan al-Quran itu sebagai musim bunga bagi hatiku dan cahaya bagi penglihatanku, amin.

Jumaat, 27 Mei 2016

#154 - USIK-KUIS-SIKU


“لا إله إلا الله، إلها واحدا، ونحن له مسلمون!”
“Hidup, hidup! Hidup Islam!”
“Lawan tetap, lawan!”
“Takbir! Allahu akbar!”

Doa rabitah. Doa wehdah.
Demonstrasi jalanan.

Tidak kira sama ada laungan itu muncul dari doa atau suara keramat tika himpunan raya, gempita teriakan itu tidak akan lengkap jika para pelaung itu tidak melakukan "ribat" – sepasang siku yang berada di kedua-dua belah lengan, masing-masing saling disilangkan antara satu sama lain.

Ribat itu simbol perpaduan dan kesatuan.
Ribat itu lambang keutuhan dan kekuatan.
Sekali ribat dipasang, jiwa di dalam dada seakan-akan membara senyala-nyalanya.
Lantas, mahu saja langkah kaki terus diasung semahu-mahunya.

SIKU 💪

Dalam bahasa Arab, siku disebut sebagai "مِرْفَق". Siku itu menjadi suatu sudut pada lengan setiap manusia yang sempurna sifat tangannya. Tanpa siku, mana mungkin lengan kita bisa diayun dan dibengkokkan dengan begitu bersahaja. Mungkin atas faktor itu, orang Melayu menamakan orang kedekut sebagai "buruk siku" sebagai perlambangan bahawa tangannya punyai suatu sudut yang sangat jelek sifatnya, iaitu sangat sukar untuk menghulur atau meminjamkan sesuatu kepunyaan miliknya yang bernilai kepada orang lain disebabkan fungsi siku tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Ok, mengarut.

Bercakap soal "مرفق", tentunya perkataan itu adalah salah satu kata terbitan daripada kata asalnya, iaitu kalimah "رَفَقَ – يَرْفُقُ – رِفْقًا". Lantas, fikiran kembali melayang ke arah suatu program Ihya' Ramadan yang pernah dijalankan serta yang pernah saya bergerak kerja bersama-sama di dalamnya ketika zaman asasi dahulu. Bukan, bukan di Nilam Puri, tetapi di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM).

Itulah dia, RIFQOH atau nama penuhnya "Ramadan is the Fragrance Quality of the Heart". Siapa yang boleh lupa akan kenangan ini? Masakan tidak, saya dan sahabat-sahabat asasi yang lain, terutamanya dari Asasi Pengajian Islam dan Sains (APIdS) kohort ke-12 yang ketika itu sedang menyambung pengajian asasi di PASUM, tiba-tiba terbit rasa tanggungjawab dalam diri masing-masing akan peri pentingnya menghidupkan pembudayaan Ramadan, khususnya dalam kalangan para pelajar PASUM di Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah (KK12). Matlamat kami agar Ramadan yang dilalui di sana tidak dibiarkan begitu saja tanpa aturcara yang bermanfaat.

Apabila disebut "Rifqoh", pasti memori tidak akan lari daripada bercerita perihal pengarah kami pada waktu itu, Rofiq (رَفِيْقٌ).

Rofiq dan Rifqoh, semacam ada konspirasi di situ (eh?).
Rofiq, teman setia.
Rifqoh, persahabatan. 👥

Alhamdulillah, sepanjang saya bernafas di atas muka Bumi selama 21 tahun ini, telah banyak saya bertemu dengan sahabat yang bernama Rofiq (atau Rafiq atau mana-mana ejaan yang hampir serupa dengannya). Ya, kesemua mereka sememangnya menepati ciri-ciri sebagai teman setia pilihan.

Merekalah "siku" tempat saya berpaut padanya bagi mengumpul semula kekuatan diri.
Merekalah "siku" untuk saya bergurau senda dan berkongsi masalah dengannya.

Dan sememangnya banyak lagi "Rofiq" lain yang sentiasa melingkari kehidupan ini. "Rofiq-Rofiq" inilah yang sentiasa ada di sisi bagi berkongsi "siku-siku" mereka agar kepala yang kian dihinggap kantuk ini ada penongkatnya untuk didagukan. Ya, kalianlah "Rofiq" saya. Kalian jugalah "siku" saya yang telah mewarnai hidup saya selama ini. Terima kasih semua untuk itu. Hanya Allah jua yang mampu membalas segalanya. 😌

Jadi, kepada anda di luar sana, siapakah "Rofiq" yang bisa menjadi "siku" buat anda? 🙂

« اهدنا الصراط المستقيم، صراط الذين أنعمت عليهم من النبيين والصديقين والشهداء والصالحين، وحسن أولئك رفيقا »
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA