Khamis, 30 Jun 2016

#180 - DOSA-DOSA BESAR DAN PERBUATAN-PERBUATAN KEJI


#TadabburQuran
#Day25
#Juz25

فَمَآ أُوتِيتُم مِّن شَىْءٍ فَمَتَٰعُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

Oleh itu, apa-apa jua yang diberikan kepada kamu, maka hal tersebut hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa-apa yang ada di sisi Allah (daripada pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya;

وَٱلَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَٰٓئِرَ ٱلْإِثْمِ وَٱلْفَوَٰحِشَ وَإِذَا مَا غَضِبُوا۟ هُمْ يَغْفِرُونَ

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya;

Al-Shura (42: 36-37)

---

󾭚 Nikmat dan kesenangan hidup kita di dunia ini hanyalah sementara dan di sisi Allah (di akhirat nanti) jualah yang kekal selamanya. Kita punyai rumah, Allah juga punyai rumah, tetapi rumah Allah lebih baik dan kekal selamanya. Kita punyai kenderaan, Allah juga punyai kenderaan, tetapi kenderaan Allah lebih baik dan kekal selamanya. Kita punyai pasangan dan anak-anak, Allah juga punyai pasangan dan anak-anak yang lebih baik untuk kita dan akan kekal selamanya. Dalam erti kata yang lain, mereka akan datang kembali kepada kita di dalam syurga, tetapi mereka lebih baik dan lebih kekal untuk selamanya.

󾭚 Apa-apa saja yang akan diberikan oleh Allah dan ada di syurga nanti pasti akan kekal selamanya dan tidak akan berubah. Perubahan itu menyakitkan. Jika kita melihat kembali ke belakang dan berfikir, ke mana perginya 10 tahun yang lalu? Kita sendiri pun tidak tahu. Subhanallah, sungguh cepat masa berlalu meninggalkan kita.

󾭚 Orang-orang yang beriman dan bertawakal itu (mudah-mudahan kita termasuk dalam kalangan mereka), mereka sangat yakin bahawa apa-apa yang ada di akhirat itulah yang paling baik untuk mereka walaupun mereka mempunyai kehidupan yang sangat baik di sini (dunia). Kita perlu hidup dengan keimanan ini. Jadi, bagaimana untuk kita mampu beroleh kesenangan dan kenikmatan abadi ini?

󾭚 Allah ada menyebut mengenai orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji pada ayat yang seterusnya. Seperti yang kita sedia maklum, terdapat dosa kecil dan dosa besar. Ada banyak dosa kecil seperti tergesa-gesa dalam menunaikan solat, tidak mengambil wuduk dengan sempurna, tidak menundukkan pandangan, berbuat jenaka terhadap seseorang, membaca al-Quran secara tidak bertajwid, dan lain-lain yang kadang-kadang kita melakukannya tanpa kita sedari. Tetapi kemudiannya, di sana juga terdapat dosa-dosa besar (perkara-perkara yang haram) seperti minum arak, zina mata, berzina, membunuh orang lain tanpa hak, mengamalkan atau mengambil riba, tidak menutup aurat, berkata perkara-perkara yang haram, dan banyak lagi.

󾭚 Allah berfirman, kalau kita mahu menjadi ahli syurga, perkara pertama yang perlu kita berikan kepada Allah ialah jangan melakukan perkara-perkara yang haram dan keji. Jauhkan diri darinya. Kita boleh memperbaiki diri kita terhadap dosa-dosa kecil dari sehari ke sehari dalam proses menjadi Muslim yang lebih baik. Tetapi, perkara paling utama dalam turutan prioriti ialah tinggalkan dosa-dosa besar. Kita perlu berhenti terus daripada melakukannya sebelum kita bimbang akan perkara lain dalam Islam.

󾭚 Jika kita ketagih akan pornografi, kita sebenarnya mempunyai masalah spiritual yang sangat besar. Kita perlu menghindarinya kerana zina mata boleh membawa kepada bentuk-bentuk zina yang lain. Mohon sangat agar kita segera menyelesaikan masalah tersebut dan berhenti terus daripada melakukannya. Begitu juga dengan ketagihan-ketagihan yang lain; ketagihan arak, ketagihan dadah, ketagihan rokok (rokok tradisional atau elektronik), ketagihan shisha, dan lain-lain. Jika kita ada mengambil duit secara haram daripada pekerjaan kita, melabur dalam industri yang haram dan membuat duit melaluinya, menyewakan tempat untuk orang lain melakukan kegiatan maksiat, menyokong atau bersubahat dalam perkara-perkara yang haram, dan banyak lagi; kita perlu segera BERHENTI.

󾭚 Seterusnya, selepas kita berhenti melakukan dosa-dosa besar, perkara kedua yang perlu kita ambil berat dan terus meninggalkannya ialah "فواحش" (segala bentuk perbuatan yang keji / lucah). Hal ini termasuklah mengadakan temu janji (dating) dengan ajnabi, berpasang-pasangan sebelum nikah, menonton pornografi, dan segala bentuk kekejian yang seangkatan, sewaktu, atau ada manifestasi dengannya. Hindarkan kesemuanya.

󾭚 Yang terakhir ialah, "وإذا ما غضبوا هم يغفرون" (apabila mereka berasa marah, mereka mampu untuk memaafkan). Kesemua perkara ini perlu kita utamakan dan tetapkan matlamat ini untuk diri kita sendiri. Bagaimana kita mahu diri kita dikelilingi oleh mereka yang mampu membantu kita menghindari dosa-dosa besar? Carilah kawan dan teman yang soleh yang mampu untuk selalu memastikan kita berada di atas jalan yang benar. Apabila kita tergelincir, mereka mampu untuk menghentikan dan menarik kita kembali.

󾭚 Insya-Allah, semoga hidup kita sebagai Muslim bertambah baik dari sehari ke sehari dan semoga kita mampu untuk berdiri di hadapan Allah dengan jayanya pada Hari Pengadilan nanti. Semoga kita mampu mengucapkan tahniah sesama kita pada hari itu kerana telah saling membantu untuk mencapai matlamat ini. Jumpa di syurga nanti!

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Rabu, 29 Jun 2016

#179 - SEBUAH MESEJ HARAPAN


#TadabburQuran
#Day24
#Juz24

۞ قُلْ يَٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسْرَفُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا۟ مِن رَّحْمَةِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Al-Zumar (39: 53)

---

❄ Dalam ayat ini, perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah kalimah "قل" (katakanlah), iaitu Allah memerintakan Nabi-Nya untuk menyampaikan pesanan. Hal ini adalah penting kerana ayat ini menjadi sebuah mesej harapan. Perkara pertama yang kita belajar ialah kita sebagai da`i dan agen yang menyampaikan mesej-mesej Islam, antara tugas utama kita ialah kita sendiri perlu menyebarkan harapan kepada mad`u (orang yang didakwah). Itulah hakikat di sebalik kalimah "قل". Allah boleh saja berfirman secara terus kepada manusia tanpa meletakkan kalimah "قل", tetapi Dia tidak melakukan sedemikian. Hal ini yang demikian kerana Nabi SAW sememangnya diutuskan untuk menyampaikan harapan, ibaratnya dengan meletakkan tangannya di atas bahu seseorang, dan berkata, "saya ada sesuatu hendak berkongsi dengan kamu."

❄ Allah berfirman: "يا عبادي" (wahai hamba-hamba-Ku). "عباد" sebenarnya berbeza daripada "عَبِيد". "عَبِيد" digunakan untuk kesemua hamba dalam al-Quran dan secara spesifiknya, untuk hamba-hamba yang tidak beriman kepada Allah. Contoh ayat: "وما ربك بظلّامٍ للعبيد" (dan Tuhanmu tidak pernah menzalimi "`abid"). Ya, Tuhan tidak pernah menzalimi hamba-Nya, bahkan hamba-Nya yang menzalimi diri mereka sendiri. Manakala kalimah "عباد" pula digunakan untuk hamba-hamba yang baik. Ayat di atas sebenarnya ditujukan kepada orang-orang yang berdosa, tetapi Allah berkata bahawa mereka masih boleh tetap menjadi hamba-Nya dan bertaubat.

❄ Kita mungkin telah melakukan perkara yang melampaui batas, yang menyebabkan kita menghampiri perkara yang haram lalu memasukinya, namun selepas itu kita berasa sangat-sangat bersalah atas kelakuan kita. Ingat! Kita masih hamba kepada-Nya, jangan putuskan hubungan dengan-Nya. Kita telah melakukan dosa dan kita takut untuk kembali bertemu Allah kerana terdapat segunung dosa lampau berada di belakang kita. Allah tahu yang kita telah bersalah terhadap diri sendiri dan Allah tahu dosa kita terlampau tinggi dan membuatkan kita tertekan sehingga kita berfikir, "siapa saya untuk kembali kepada Allah? Dosaku terlampau banyak." Jangan, jangan begitu!

❄ Apa yang Allah kata? "لا تقنطوا من رحمة الله" (janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah). Allah sedang memberitahu kita bahawa kasih sayang dan perhatian-Nya jauh lebih tinggi dan lebih besar daripada dosa kita. Tiada satu saat pun dalam hidup kita, selagi kita menarik dan menghembus nafas, pintu rahmat Allah telah tertutup. Tiada. Sedangkan Allah masih membuka pintu rahmat walaupun kepada mereka yang akan berada pada tingkat yang paling bawah di dalam neraka iaitu golongan munafik (rujuk #TadabburQuran #Day6 #Juz6). Ya, mereka masih boleh bertaubat! Apatah lagi kita?

❄ Ayat ini bukannya dimulakan dengan seruan terhadap orang munafik pun. Tidak! Tetapi Allah berkata, "wahai hamba-Ku..." Kita masih hamba-Nya. Kita tidak diancam untuk berada pada tingkat neraka yang paling bawah pun, kenapa perlu kita putus harapan dengan Allah? Sedangkan orang munafik pun masih mempunyai harapan kepada Allah, jadi kita sepatutnya jangan sekali-kali berfikir bahawa kita telah berada di luar pengharapan kepada-Nya.

❄ Jangan terkeliru mengenai apa pandangan manusia terhadap kita dengan apa pandangan Allah terhadap kita. Manusia mungkin berfikir bahawa kita ialah manusia yang jahat lalu menyingkirkan kita. Tetapi, hanya Allah yang Maha Satu yang tidak akan sesekali menyingkirkan kita.

❄ Akan ada manusia yang sering melakukan pelbagai perkara yang merosakkan dan mencelarukan. Tetapi, mereka masih ada hubungan dengan Allah, iaitu mungkin solat Jumaat setiap minggu, atau solat sunat hari raya, atau cuma berpuasa dalam bulan Ramadan. Itu pun bukan setiap hari. Mungkin cuma beberapa hari. Hanya itu sahaja amalan yang mereka ada. Kita mungkin termasuk dalam salah seorang golongan itu. Sekurang-kurangnya masih ada satu pintu yang terbuka! Tidakkah kita berfikir bahawa pintu itu cukup untuk kita masuk melaluinya dan kembali kepada Allah?

❄ Kembalilah kepada-Nya, terimalah bahawa kita telah melakukan kesilapan. Dia itu Tuhan kita, dan Dia sedang memberitahu kita yang Dia sangat mencintai kita. Allah sedang menunggu kita, pulanglah kepada-Nya dan kembali berfikir hakikat kehidupan. Apa yang akan Dia lakukan jika kita kembali kepada-Nya?

"إِنَّ ٱللَّهَ يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيم"

Tiada keraguan lagi bahawa Allah pasti akan menutup dan mengampunkan dosa kita secara KESELURUHANNYA. Selesai. Kita cuma perlu kembali kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya. Kita boleh membuat permulaan baru sekali lagi, kita boleh melakukannya, dan Allah pasti menerima taubat kita.

❄ Kita sudah semakin hampir menuju ke penghujung bulan Ramadan, tinggal beberapa hari saja lagi. Inilah masa yang terbaik untuk memohon keampunan daripada Allah. "Ya, Allah! Aku memohon permulaan yang baharu. Aku tahu aku telah menzalimi diriku sendiri. Aku telah banyak melakukan dosa dan kesalahan..." Duduk dan berbicaralah dengan Allah pada waktu malam. Hanya kita dan Allah. Beritahu segala dosa kita, akui segala kesalahan yang telah kita perbuat. Mengadu saja kepada-Nya walau dalam bahasa apa sekalipun. Menangislah kepada-Nya. Air mata yang mengalir itu akan membuatkan kita semakin akrab dengan Allah berbanding sebelumnya. Biarlah air mata yang mengalir itu hanya kerana-Nya, hanya antara kita dan Allah, bukan kerana sesiapa.

❄ Sambutlah tawaran Allah bahawa Dia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani akan hamba-hamba-Nya. Hanya Dia yang Maha Satu yang sentiasa menunjukkan rahmat, kasih sayang, dan penjagaan-Nya kepada kita. Inilah minggu yang terbaik untuk kita memulakan sesuatu yang baharu dan memastikan kesemua dosa kita terhapus. Mari bersama-sama berdoa moga-moga kita diberikan kekuatan oleh Allah untuk bertaubat serta menjadi inspirasi kepada keluarga dan setiap orang di sekeliling kita untuk terus berubah dan mengakrabkan diri kepada-Nya. Amin.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Selasa, 28 Jun 2016

#178 - JANGAN TERBURU-BURU DALAM MENGHAKIMI


#TadabburQuran
#Day23
#Juz23

۞ وَهَلْ أَتَىٰكَ نَبَؤُا۟ ٱلْخَصْمِ إِذْ تَسَوَّرُوا۟ ٱلْمِحْرَابَ

Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) berita (perbicaraan dua) orang yang berselisihan? Ketika mereka memanjat tembok tempat ibadat;

إِذْ دَخَلُوا۟ عَلَىٰ دَاوُۥدَ فَفَزِعَ مِنْهُمْ ۖ قَالُوا۟ لَا تَخَفْ ۖ خَصْمَانِ بَغَىٰ بَعْضُنَا عَلَىٰ بَعْضٍ فَٱحْكُم بَيْنَنَا بِٱلْحَقِّ وَلَا تُشْطِطْ وَٱهْدِنَآ إِلَىٰ سَوَآءِ ٱلصِّرَٰطِ

Iaitu ketika mereka masuk kepada Nabi Dawud, lalu baginda terkejut melihat mereka; mereka berkata kepadanya: "Janganlah takut, (kami ini) adalah dua orang yang berselisihan, salah seorang daripada kami telah berlaku zalim kepada yang lain; oleh itu hukumkanlah antara kami dengan adil, dan janganlah melampaui (batas keadilan), serta pimpinlah kami ke jalan yang lurus.

إِنَّ هَٰذَآ أَخِى لَهُۥ تِسْعٌ وَتِسْعُونَ نَعْجَةً وَلِىَ نَعْجَةٌ وَٰحِدَةٌ فَقَالَ أَكْفِلْنِيهَا وَعَزَّنِى فِى ٱلْخِطَابِ

"Sebenarnya orang ini ialah (seorang sahabat sebagai) saudaraku; ia mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor sahaja; dalam pada itu ia (mendesakku dengan) berkata: 'Serahkanlah yang seekor itu kepadaku', dan dia telah mengalahkan daku dalam merundingkan perkara itu".

Sad (38: 21-23)

---

󾓶 Hari ini, kita akan mengambil sedikit pelajaran daripada kisah Nabi Dawud AS melalui perbualan dalam ayat di atas. Sebagai umat Islam, kita mesti menunjukkan sifat hormat dan kemuliaan yang tinggi terhadap para Nabi dan Rasul kita. Walaupun para Nabi kita mempunyai nama yang sama dengan nama yang ada dalam tradisi Kristian dan Yahudi yang berbagai-bagai, namun cara kita berfikir dan cara kita menghormati para Nabi tidak sama dengan cara mereka berfikir dan cara mereka menghormati para Nabi.

󾓶 Kisah yang diceritakan dalam al-Quran ini mengisahkan Dawud AS sedang berada di mihrab (tempat solat) baginda dan baginda ialah seorang khalifah ketika itu. Kita memanggilnya "khalifah" dan bukan "raja" kerana Allah menggelarnya demikian pada ayat ke-26 dalam surah yang sama. Terma "khalifah" digunapakai untuk seseorang yang ditinggalkan di bumi bagi melaksanakan perintah Allah.

󾓶 Jadi, ayat di atas bermula dengan sebilangan orang memanjat dinding tembok Dawud AS lalu pergi ke mihrabnya. Baginda berasa sangat terkejut dengan kehadiran mereka. Kalimah "فزِع" bermaksud ketakutan yang berpunca daripada rasa terkejut dan baginda sememangnya tidak tahu apa yang sedang berlaku. Tetapi, mereka menenangkan Dawud supaya jangan berasa takut lalu menerangkan kepadanya mengenai tujuan kedatangan mereka ke situ.

󾓶 Mereka yang datang ke mihrab Nabi Dawud tersebut sebenarnya terdiri daripada dua kumpulan manusia (dua kumpulan, bukan dua orang) yang berlaku sedikit perselisihan antara mereka. Jadi, mereka datang kepada Nabi Dawud bagi memohon pertolongan baginda untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh mereka. Mereka melihat ketokohan Dawud AS yang telah berjaya membunuh Jalut pada suatu ketika, jadi mereka menganggap hanya baginda ialah orang terbaik yang mampu menangani isu tersebut.

󾓶 Isu mereka adalah salah seorang saudara mereka (si A) mempunyai 99 ekor kambing biri-biri dan yang seorang lagi (si B) hanya mempunyai seekor kambing biri-biri sahaja. Jadi, si A itu telah memaksa si B agar menyerahkan saja seekor biri-biri itu kepadanya. Si A seolah-olah telah membuli si B. Jadi, si B mengadu masalah tersebut kepada Nabi Dawud. Baginda mendengar aduannya, kemudian baginda mengeluarkan keputusan seperti dalam ayat ke-24 surah ini:

قَالَ لَقَدْ ظَلَمَكَ بِسُؤَالِ نَعْجَتِكَ إِلَىٰ نِعَاجِهِۦ ۖ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ ٱلْخُلَطَآءِ لَيَبْغِى بَعْضُهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَقَلِيلٌ مَّا هُمْ ۗ ...

Nabi Dawud berkata: "Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingnya; dan sesungguhnya kebanyakan daripada orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai lapangan hidup), sesetengahnya berlaku zalim kepada sesetengah yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit!..."

󾓶 Kenyataan Nabi Dawud AS amat tepat iaitu seringkali rakan niaga akan berakhir dengan melakukan huru-hara atau mengambil kesempatan antara satu sama lain kecuali bagi mereka yang benar-benar beriman dan beramal soleh, dan mereka ini adalah sangat sedikit. Usai baginda mengeluarkan kenyataan tersebut, kumpulan manusia tadi tiba-tiba hilang dari pandangan. Oh, rupa-rupanya yang datang tadi ialah malaikat! Apabila Dawud AS sedar bahawa Allah sedang mengujinya, baginda terus beristighfar kepada Tuhannya lalu bersujud dan bertaubat (ok, boleh buat sujud tilawah sekarang 󾌳).

󾓶 Untuk pengetahuan semua, kisah ini ada dalam versi Bible (Israiliyyat) tetapi dengan jalan cerita yang ditokok tambah dan sangat tidak patut untuk kita mengatakannya terhadap para Nabi. Diceritakan, Dawud AS (David) berkenan dengan isteri salah seorang jeneralnya. Bagi membolehkan baginda mengahwini isteri jeneral tersebut, baginda telah menghantar jeneral itu ke dalam satu peperangan supaya beliau terbunuh. Ketika itu, Dawud telah pun mempunyai 99 orang isteri dan baginda mahu isteri yang ke-100. Jadi, Allah mahu memberinya pengajaran dengan menghantar sebilangan orang yang mempunyai masalah biri-biri tadi. Oleh sebab itulah, baginda melakukan taubat.

󾓶 Kisah yang diceritakan dalam al-Quran sangat jelas. Pertama, kita langsung tidak boleh menerima riwayat Israiliyyat tersebut kerana telah memfitnah Nabi Allah dengan sesuatu yang kita sendiri pun tidak boleh jangka, hatta daripada seorang Muslim yang jahat. Kedua, yang paling penting ialah ayat-ayat di atas tadi sebenarnya sudah ada jawapan terhadap apa yang telah berlaku. Sebilangan 'manusia' datang kepada Dawud AS sehingga membuatkan baginda terkejut (ففزع منهم). Jelas, seorang hakim jika hendak menghakimi sesuatu kes, dia tidak boleh berada dalam keadaan trauma atau terganggu. Itu masalah pertama Nabi Dawud AS. Baginda bukan berada dalam keadaan yang terbaik disebabkan oleh perbuatan mereka.

󾓶 Selepas itu, kumpulan 'manusia' tersebut mula membentangkan kes mereka. Hanya si B yang menceritakan masalahnya, iaitu dia mempunyai seekor kambing biri-biri tetapi kawannya yang mempunyai 100 ekor mahu mengambil biri-birinya. Jika seorang hakim itu berada dalam kondisi minda yang terbaik, dia perlu berkata, "nanti dulu, apa bukti kamu? Walaupun kamu memanggilnya sebagai pesalah, tak semestinya dia benar-benar bersalah. Biar saya dengar pula penjelasan daripada pihak yang lain." Tetapi dalam kisah ini, Dawud AS terus saja menjalankan hukuman dengan mengatakan si A telah menzalimi si B tanpa mendengar penjelasan terlebih dahulu daripada si A disebabkan baginda masih berada dalam keadaan terperanjat.

󾓶 Kemudian, dengan serta-merta kumpulan 'manusia' tadi hilang lalu membuatkan Nabi Dawud tersedar bahawa baginda sepatutnya tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan. Baginda sepatutnya bertenang terlebih dahulu, memahami situasi itu sepenuhnya, meminta penjelasan daripada kedua-dua belah pihak, kemudian barulah baginda mengeluarkan keputusan. Oleh kerana itulah, baginda melakukan taubat. Baginda telah belajar bahawa jangan bersikap terburu-buru dalam menjalankan sesuatu hukuman.

󾓶 Sad, 38:26

يَٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلْنَٰكَ خَلِيفَةً فِى ٱلْأَرْضِ فَٱحْكُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ بِٱلْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌۢ بِمَا نَسُوا۟ يَوْمَ ٱلْحِسَابِ

"Wahai Dawud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu."

Dalam ayat ini, Allah SWT telah berfirman bahawa Dia telah menjadikan Dawud AS sebagai khalifah di atas muka bumi, maka hendaklah baginda menjalankan hukuman antara manusia dengan hak (keadilan). Kalaulah kisah di atas mengatakan bahawa baginda telah melakukan jenayah (menjadikan isteri jeneral sebagai isteri ke-100), sudah tentulah ayat tersebut berbunyi seperti ini: "Kami telah menjadikan kamu sebagai khalifah di atas muka bumi, maka berlaku adillah terhadap diri sendiri!"

󾓶 Allah juga menasihati Dawud AS supaya jangan menuruti hawa nafsu ketika menghakimi sesuatu perkara kerana hal tersebut boleh membawa kita tersasar dari jalan Allah. Inilah pengajaran kepada Nabi Dawud AS dan juga pengajaran yang indah kepada sistem kehakiman kita. Seorang hakim tidak boleh menjatuhkan hukuman dengan emosi berat sebelah atau di bawah tekanan.

󾓶 Apa yang kita lihat sekarang ini, di negara-negara yang korup, terdapat para hakim yang diancam, disogok, dirasuah, atau diganggu emosinya sebelum melangkah ke dalam mahkamah. Ada sebahagian kes perceraian yang mana hakim tersebut terus menjatuhkan hukuman cerai tanpa memahami sepenuhnya situasi sebenar atau disebabkan cenderung kepada mana-mana pihak sama ada suami atau isteri. Justeru, para hakim perlu berada dalam keadaan emosi yang neutral. Jika tidak, mereka tidak mampu menjalankan tugas dengan sebaiknya.

󾓶 Inilah keindahan ayat al-Quran daripada Allah SWT yang telah menetapkan piawaian keadilan yang tinggi. Piawaian ini bukan tertakluk kepada pihak hakim sahaja, malah kepada sesiapa jua jika hendak menjalankan sebarang proses penghakiman sama ada dalam urusan keluarga, kawan, kerja, organisasi, dan lain-lain. Proses penghakiman perlu dijalankan dengan emosi yang penuh stabil dan neutral serta tidak diganggu oleh ketidaktentuan fikiran, ketidakseimbangan emosi, atau kecenderungan kepada mana-mana pihak.

Barakallahu li walakum. (jangan lupa sujud tilawah!) ✌

#RamadanFiesta

Isnin, 27 Jun 2016

#177 - BERBICARALAH SECARA JUJUR, TEPAT, DAN BENAR


#TadabburQuran
#Day22
#Juz22

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَقُولُوا۟ قَوْلًا سَدِيدًا

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara),

Al-Ahzab (33: 70)

---

󾁉 Sesiapa yang mengaku beriman kepada Allah, hendaklah ia bertakwa kepada-Nya (berhati-hati dalam melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya), kemudian perintah bertakwa ini disusuli pula dengan manifestasi perintah berkata-kata dengan perkataan yang tepat dan benar.

󾁉 Kalimah "سديدًا" berasal daripada kalimah "سَدْ" yang bermaksud "sesuatu yang menghilangkan jurang". "سَدْ" juga bermaksud "empangan". Apabila dikaitkan kedua-dua makna ini, ideanya ialah tiada satu jurang pun yang patut ada pada empangan supaya boleh menghalang air daripada mengalir melaluinya (menghalang kebocoran). Jadi, implikasi "سديد" di sini ialah kita hendaklah berkata-kata dengan cara yang tidak meninggalkan ruang yang boleh mengakibatkan penyalahtafsiran.

󾁉 Dalam kita berkata-kata, hendaklah kita berkata-kata dengan penyampaian yang jelas agar maksud sebenar penyampaian kita sampai kepada orang lain. Kita tidak boleh berkata-kata dengan apa-apa yang tidak ingin kita memaksudkannya pun hanya semata-mata mahu bersikap formal. Contohnya dalam situasi peletakan jawatan, kita ingin menulis sepucuk emel dengan ayat seperti "saya sangat menghargai setiap detik masa sepanjang bekerja di sini dan saya berterima kasih kepada pihak pengurusan atas itu dan ini..." Kita menulis semuanya indah tetapi dalam hati kita sebenarnya seperti "aku benci orang-orang dalam syarikat ni. Aku tak percaya aku tinggalkan syarikat ini. Mereka semua menjijikkan bla bla bla..." Sangat bertentangan antara apa yang ada di dalam minda dengan apa yang ditaip dalam penulisan. Ucapan seperti ini bukan ucapan yang jelas dan terbuka. Bukanlah bermaksud kita perlu menjadi kurang ajar dalam ucapan tetapi kita perlu jujur terhadap diri sendiri.

󾁉 Antara perkara yang diwajibkan oleh Allah untuk kita berkata-kata sebagai seorang Muslim ialah menjawab salam. Apabila ada orang lain yang mengucapkan "Assalamualaikum" kepada kita, kemudian kita kembali mengucapkan "Waalaikumussalam" kepadanya (atau sebaliknya), secara tidak langsung kita sebenarnya telah membuat pengisytiharan terbuka bahawa antara kita dan dia tiada lagi persengketaan mahupun pertelingkahan. Mungkin dahulu kita punya isu dan dendam terhadapnya, tetapi kini kita telah pun mengucapkan "sejahtera ke atas kamu", berharap semoga kesejahteraan Allah melimpahinya. Antara kita dan dia sudah tiada sebarang isu lagi. Aman tanpa perang. Kita berharap semoga kehidupannya sentiasa disimbahi kedamaian. Itulah "Assalamualaikum" dan itulah pengisytiharan keamanan terhadap orang lain.

󾁉 Bayangkan kalau kita sebagai seorang suami sedang bertengkar dengan isteri kita sebelum kita pergi ke pejabat. Sebelum kita bergerak, kita berkata "Assalamualaikum!" kemudian dijawab oleh isteri dengan "Waalaikumussalam!" dalam nada marah. Kita pun menghempas pintu dan berlalu pergi. Situasi berikut tidak boleh dipanggil "سديد" kerana kita tidak berkata dengan apa yang sebenarnya kita maksudkan. Kita tidak bermaksud "keamanan" pun. Kita mengatakan sedemikian hanya kerana kita perlu mengatakannya.

󾁉 Apabila Nabi Muhammad SAW pernah bersabda mafhumnya: "Tidak halal bagi seorang Muslim tidak bertegur sapa (kerana gaduh) lebih dari tiga hari...", bukanlah bermaksud setelah dua hari setengah berlalu, kita pun menelefon kawan kita lalu berkata, "hey, Assalamualaikum." dan terus meletakkan telefon. Bukan itu matlamatnya! Tujuannya ialah apabila kita mengucapkan salam, kita perlu mengucapkannya sambil memaksudkannya juga kerana ayat di atas berkata, "apabila kamu bercakap, hendaklah bercakap dengan apa yang kamu maksudkan."

󾁉 Jika kita memahami apa maksud sebenar "Assalamualaikum" dan ucapan itu menjadi "قول سديد", maka hubungan kita sesama manusia tentunya akan berbeza. Allah sangat melarang kita daripada berdendam. Sunnah mengucapkan salam bukan bermaksud kita boleh menyimpan dendam. Subhanallah.

󾁉 Yang terakhirnya, "سديد" juga boleh membawa pengertian "ucapan yang benar". Bukan sekadar berkata dengan apa yang dimaksudkan, tetapi juga berkata hal yang benar. Kalau tiada apa-apa ucapan benar yang boleh diungkapkan, tidak payah berkata apa-apa. Cukup dengan mendiamkan diri. Bertakwalah kepada Allah dan bukalah mulut hanya jika kita ada sesuatu yang benar untuk kita berkata-kata. Jangan bercakap perkara yang tidak sepatutnya dan boleh menyinggung perasaan. Juga, jangan bercakap sesuatu yang boleh membawa dua maksud, sama ada boleh menyinggung perasaan atau bermaksud sesuatu yang baik. Walau ucapan salam sekalipun, ucapkannya dengan cara yang sepatutnya dan tidak mendatangkan salah faham.

󾁉 Bahasa bukan hanya sekadar penggunaan perkataan, tetapi juga merangkumi bahasa tubuh dan nada suara yang diambil. Semuanya perlu diambil kira supaya orang lain benar-benar memahami maksud kata-kata kita dan supaya mereka tidak mengesyaki sesuatu yang tersirat seperti "adakah engkau memaksudkan perkara yang lain?" atau "adakah engkau bercakap dalam kod rahsia?" dan lain-lain. Kita perlu belajar teknik berkomunikasi ini.

󾁉 Apabila kita berasa sakit hati dengan seseorang, kemudian orang tersebut bertanya kepada kita, "hey, apa yang tak kena?" tetapi kita menjawab, "oh, tak ada apa-apa!" Tidak boleh begitu. Semestinya ada yang tidak kena dan kita perlu mencari kaedah penyelesaian yang terbaik dan dihormati. Bukan untuk melempiaskan perasaan tetapi supaya orang lain tahu bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Hal ini juga merupakan sebahagian daripada "قولٌ سديدٌ".

󾁉 Mudah-mudahan Allah memberi kita kemampuan untuk sentiasa bersikap jelas dalam setiap ucapan dan kemampuan untuk menjadikan ucapan salam kita sebagai "قولٌ سديدٌ", sebagai ucapan yang benar-benar jelas lagi bermakna, seterusnya menangkis segala sifat dendam antara satu sama lain. Semoga Allah jua memberi kita kekuatan untuk memaafkan orang lain dan terus membina hubungan walau kita terkadang melakukan kesilapan sepanjang perhubungan. Amin.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Ahad, 26 Jun 2016

#176 - SEORANG MUSLIM ITU TIDAK RASIS


#TadabburQuran
#Day21
#Juz21

وَمِنْ ءَايَٰتِهِۦ خَلْقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَٰفُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَٰنِكُمْ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍ لِّلْعَٰلِمِينَ

Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan Bumi, serta perbezaan bahasa kalian dan warna kulit kalian. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi penerangan-penerangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.

Al-Rum (30: 22)

---

󾀿 Allah telah berfirman sesuatu yang sangat berkuasa dan banyak membawa implikasi kepada kita sebagai Muslim yang hidup dalam kepelbagaian masyarakat walau di mana-mana saja kita berada.

󾀿 Apabila Allah menggelarkan sesuatu sebagai tanda kekuasaan-Nya, hal ini bermakna sesuatu itu perlu ditakzim, dihormati, dan dihargai kerana perkara tersebut membawa kita kembali kepada-Nya. Banyak ayat al-Quran yang bercerita mengenai kekuasaan-Nya (آياته) seperti penciptaan langit dan bumi dalam ayat di atas. Kita sepatutnya memuliakan ciptaan Allah ini kerana boleh membawa kita lebih hampir dan dekat kepada-Nya.

󾀿 Kemudian, perbezaan bahasa dan kebudayaan yang wujud di atas muka bumi ini juga merupakan salah satu bukti dan tanda kekuasaan Allah SWT. Allah SWT telah menciptakan kita daripada hanya seorang lelaki dan seorang wanita (Adam dan Hawa), tetapi kemudian berkembang kepada keturunan demi keturunan sehingga menjadi banyak dan wujud kepelbagaian bangsa, bahasa, dan budaya. Adam AS pada ketika setelah baginda diciptakan, Allah telah mengajarnya "الأسماء" (perkataan-perkataan) — semestinya dengan hanya satu bahasa. Jadi, keseluruhan bahasa di dunia ini, dengan pelbagai variasi demi variasi, semuanya merupakan 'anak-anak' daripada bahasa asli Adam AS.

󾀿 Oleh hal yang demikian, mereka yang berkomunikasi dengan bahasa selain bahasa kita tidak sepatutnya menjadi bahan jenaka dan modal berlawak, sebaliknya perlu dihormati. Mereka yang bercakap dengan bahasa Kantonis, Bangla, Punjabi, Perancis, dan lain-lain kadang-kadang kedengaran pelik dan kelakar bagi kita. Tetapi, faktanya ialah keseluruhan bahasa di dunia ini perlu kita hormati kerana hal ini adalah sebahagian daripada kebesaran Allah. Allah sendiri telah berfirman bahawa perbezaan bahasa ialah tanda keagungan-Nya. Ya, bahasa Melayu, Inggeris, Arab, dan lain-lain semuanya salah satu tanda kekuasaan Allah. Subhanallah!

󾀿 Seterusnya, Allah juga menciptakan manusia ini dengan pelbagai warna kulit, etnik, dan bangsa. Dari perspektif al-Quran dan Muslim, kita diwajibkan untuk menghormati bangsa dan kaum lain kerana hakikatnya, Allah SWT sendiri menyatakan bahawa perbezaan bangsa dan warna kulit itu sebagai tanda kebesaran Ilahi. Apabila kita melihat bangsa lain, kemudian dengan sesuka hati kita membuat kesimpulan bahawa bangsa itu unggul, bangsa itu kelas bawahan; atau menyatakan bahawa bangsa tersebut dicintai atau terkutuk, maka sesungguhnya kita telah melakukan penafian terhadap salah satu bukti kebesaran Allah.

󾀿 Jika kita membaca keseluruhan isi al-Quran, pasti kita akan dapati firman Allah mengenai mereka yang tidak beriman, tidak menghormati, mendustakan, atau tidak mengambil endah akan tanda kekuasaan-Nya. Mereka yang termasuk dalam golongan ini juga ialah mereka yang tidak menghormati bangsa dan warna kulit orang lain. Secara automatik mereka juga mengabaikan kekuasaan-Nya. Betapa hebatnya didikan al-Quran wahyu Allah ini dalam memerangi perkauman (racism). Aneh, bagaimana kita boleh mengaku kita Muslim sedangkan kita masih lagi mempunyai kecenderungan terhadap perkauman?

󾀿 Pada ayat-ayat Allah ini, banyak terdapat pengajaran dan panduan bagi mereka yang benar-benar mengetahui (للعالِمين). Justeru, apa yang kita belajar dari sini? Mereka yang rasis tetapi masih menggelarkan diri mereka Muslim adalah sangat mustahil untuk mereka berpengetahuan kerana orang yang berpengetahuan pasti akan mengambil pelajaran daripada ayat ini.

󾀿 Semoga Allah menghilangkan sifat perkauman dan prejudis terhadap bangsa dan budaya mereka yang lain daripada kita supaya kita terhindar daripada penolakan atau penafian terhadap kekuasaan Allah SWT. Semoga Allah menjadikan kita juga termasuk dalam kalangan mereka yang semakin hampir dan akrab dengan Allah melalui bukti kebesaran-Nya dan tidak lagi terlepas pandang atau mengabaikannya secara keseluruhan.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Sabtu, 25 Jun 2016

#175 - PENYEMBUH BAGI PENDERITAAN EMOSIONAL


#TadabburQuran
#Day20
#Juz20

وَأَصْبَحَ فُؤَادُ أُمِّ مُوسَىٰ فَٰرِغًا ۖ إِن كَادَتْ لَتُبْدِى بِهِۦ لَوْلَآ أَن رَّبَطْنَا عَلَىٰ قَلْبِهَا لِتَكُونَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ

Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya ia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah ia daripada orang-orang yang percaya (akan janji Allah).

Al-Qasas (28: 10)

---

󾁂 Alhamdulillah, kita sudah masuk hari ke-20 Ramadan! Ayat ini bercerita perihal ibu kepada Nabi Musa AS dan seharusnya menjadi sangat dekat dengan hati kita kerana kesemua manusia pasti pernah melalui pengalaman yang membawa kepada trauma secara emosinya.

󾁂 Kita juga mungkin pernah berasa terseksa sebagai akibat kehilangan orang yang tersayang, menanggung kesakitan, atau kesakitan itu berpunca daripada orang lain seperti kata-kata ibu bapa terhadap kita, kata-kata anak terhadap ibu bapanya, ataupun kata-kata antara suami dan isteri serta antara kawan-kawan.

󾁂 Contoh musibah lain yang menimpa kehidupan kita seperti kehilangan pekerjaan, harta benda, tempat tinggal, atau mungkin lebih teruk daripada itu. Berapa ramai lagi umat manusia di atas muka bumi ini yang hidup mereka lebih banyak berhadapan dengan situasi yang lebih ngeri yang tidak mampu kita bayangkan? Kanak-kanak di tempat lain ada yang menanggung penyeksaan yang lebih dahsyat berbanding kanak-kanak di tempat kita. Banyak lagi realiti lain yang berlaku di sekeliling kita.

󾁂 Justeru, ayat al-Quran di atas merupakan sebuah pengharapan yang sangat agung kerana apabila manusia menghadapi kelukaan emosi dan jiwa, mereka berfikir bahawa mereka tidak dapat pulih dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Dalam ayat tersebut, ibu kepada Musa AS mendepani cabaran yang amat besar iaitu beliau terpaksa meletakkan anaknya di dalam air. Sukar untuk kita bayangkan bagaimana seorang ibu terpaksa melakukan perkara seperti itu. Tetapi, beliau cuma ada dua pilihan: sama ada melihat anaknya disembelih oleh tentera Firaun di hadapan matanya atau membawa Musa dan meletakkannya di dalam sebuah bakul yang belum diuji tahap kalis airnya, kemudian membiarkannya mengalir dibawa aliran sungai.

󾁂 Sesungguhnya, Allah SWT yang memberinya ilham dan kekuatan untuk melakukan yang sedemikian kerana ibu Musa pasti tidak mampu membuat keputusan tersebut secara emosinya. Namun begitu, selepas beliau meletakkan anaknya Musa di dalam sungai, hatinya berasa sangat hiba dan trauma menyaksikan Musa pergi dibawa arus dan beliau pasti tidak dapat mendapatkan anaknya kembali. Pasti banyak timbul persoalan, adakah baginda akan lemas atau tidak? Adakah buaya akan melahapnya? Adakah tentera Firaun dapat mengesan baginda lalu membunuhnya? Benar, fikiran ibu Musa pasti sangat resah dan hatinya kosong memikirkan pelbagai kemungkinan buruk bakal terjadi.

󾁂 Kita boleh bayangkan bagaimana perasaan ibu Musa ketika itu seperti orang yang baru saja menerima berita yang tragis. Matanya tidak berkelip, mulutnya terkunci, dan emosinya lumpuh secara keseluruhan. Begitulah keadaan yang sedang beliau lalui. Beliau hampir-hampir saja membocorkan rahsianya dengan berteriak, "itu anakku!" Tetapi jika beliau bertindak sedemikian, anaknya pasti akan dibunuh. Kalaulah tidak kerana Allah kuatkan dan tetapkan hatinya (فؤاد) yang meradang, nescaya rahsia itu pasti bocor. Tetapi, Allah telah membuatkan hatinya (قلب) tenang dan kembali normal.

󾁂 Ingin tahu kenapa ada sebahagian orang yang apabila ditimpa musibah yang membawa kepada trauma, tetapi mereka tidak dapat pulih? Sebabnya ialah Allah tidak mengikat dan meneguhkan hati mereka. Hakikatnya, kita sebagai manusia biasa tidak mampu untuk memulihkan emosi yang hancur, tetapi kita belajar daripada ayat ini bahawa Allah Maha Berkuasa menyembuhkan hati kita dan membuatkan kita terus kuat untuk melangkah. Kita boleh berkata kepada diri sendiri: "Aku tak kuat untuk menghadapi semua ini." Namun hakikatnya, Allah SWT boleh mengikat hati kita dan cukuplah keimanan bagi memungkinkan kita terus melangkah dalam kehidupan.

󾁂 Bagaimana seorang ibu mampu menghadapi trauma dengan meletakkan anaknya di dalam sungai dan mungkin tidak dapat berjumpanya lagi? Ya, Allah telah menguatkan hatinya. Beliau bukan saja mampu mengatasi trauma tersebut, tetapi beliau juga mampu berfikir dengan jelas selepas itu dengan menghantar kakak kepada Musa AS untuk mengawasinya. Ibu Musa mungkin tidak dapat berfikir secara rasional jika bukan kerana campur tangan Allah. Beliau juga bukan seorang Nabi (sudah tentu bukan seorang Nabi kerana beliau ialah seorang wanita), tetapi hanya seorang hamba yang beriman.

󾁂 Jadi, jika kita menghadapi trauma atau musibah yang menggugat emosi, yakinlah bahawa Allah boleh masuk campur serta memberi kita ketenangan minda dan kedamaian hati semula. Sama ada kebimbangan, ketakutan, kesedihan, kemarahan, atau apa-apa bentuk kesakitan emosional dalam diri yang menimpa kita, Allah boleh menghilangkan segala parut dan luka emosi tersebut dari hati kita.

󾁂 Semoga kita sentiasa mampu untuk memohon kepada Allah agar Dia menghilangkan segala kedukaan dan meneguhkan hati kita agar kita tergolong dalam kalangan mereka yang benar-benar beriman serta hidup dengan spiritual dan emosional yang sihat. Amin.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Jumaat, 24 Jun 2016

#174 - KEPENTINGAN SAHABAT YANG MULIA


#TadabburQuran
#Day19
#Juz19

وَيَوْمَ يَعَضُّ ٱلظَّالِمُ عَلَىٰ يَدَيْهِ يَقُولُ يَٰلَيْتَنِى ٱتَّخَذْتُ مَعَ ٱلرَّسُولِ سَبِيلًا

Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul?

يَٰوَيْلَتَىٰ لَيْتَنِى لَمْ أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلًا

"Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib!

لَّقَدْ أَضَلَّنِى عَنِ ٱلذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَآءَنِى ۗ وَكَانَ ٱلشَّيْطَٰنُ لِلْإِنسَٰنِ خَذُولًا

"Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (al-Quran) setelah disampaikan kepadaku. Dan syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)".

وَقَالَ ٱلرَّسُولُ يَٰرَبِّ إِنَّ قَوْمِى ٱتَّخَذُوا۟ هَٰذَا ٱلْقُرْءَانَ مَهْجُورًا

Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai".

Al-Furqan (25: 27-30)

---

󾁃 Pada hari kiamat, orang yang zalim akan menggigit tangannya sendiri. Hal ini menunjukkan suatu bentuk ekspresi penyesalan yang terlalu amat. Dia tidak berkata: "Alangkah baiknya kalau aku beriman kepada Rasul." tetapi dia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul."

󾁃 Apa kata sebahagian hukama tentang maksud "jalan" di sini? Hari Pengadilan tiba, orang yang zalim akan berada di pihak yang salah dan dia akan melihat pengikut-pengikut Nabi SAW mengatur langkah mengikuti baginda ke syurga. Orang itu akan berkata seperti, "kenapa aku tidak bersama mereka? Bagaimana mungkin aku tidak mengambil jalan tersebut? Kenapa aku terlalu bodoh untuk tidak mengambil jalan ke syurga itu sewaktu di dunia dahulu?" serta pelbagai lagi persoalan yang jelas menampakkan penyesalannya.

󾁃 Ayat di atas juga menunjukkan bahawa dengan beriman kepada Nabi, mencintainya, menghormatinya, dan memujanya; semua itu adalah bagus sekali, tetapi masih tidak cukup. Kita perlu berjalan di atas jalannya dan kita perlu hidup dengan cara hidup begitu — menerima segala ajaran dan bimbingan baginda SAW serta mengaplikasikannya ke dalam kehidupan seharian. Inilah bukti sebenar cinta dan penghargaan kita terhadap Nabi SAW; arahannya lebih bermakna berbanding kemahuan diri kita sendiri, bukan hanya sekadar berkata "aku cinta Nabi" sahaja.

󾁃 Kemudian, orang yang zalim itu menyalahkan rakannya pula: "Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib!" Di akhirat, dia telah lupa siapa nama mamat si fulan yang diikutinya itu, tetapi dia telah bersamanya sepanjang masa. Orang yang diikutinya telah berkata, "kenapa perlu ikut Islam? Tak payahlah ikut, kan bodoh tu? Tinggalkan je diorang yang ikut Islam tu, semuanya lembab. Agama hanya untuk orang dungu, bukan untuk intelektual macam kita, bla bla bla..." Ya, pada Hari Pengadilan nanti, apabila kita menyebut nama Rasul, kita tahu bahawa bagindalah Rasul. Tetapi, apabila kita menyebut kawan kita yang telah kita ikuti sewaktu di dunia — yang menjadi penyebab kita tidak mengikuti cara hidup Rasul, kita tidak boleh memikirkan namanya langsung. Hanya boleh memanggilnya "fulan" (si dia).

󾁃 "Orang itu telah menggelincirkan dan memesongkan aku daripada peringatan al-Quran setelah dia datang kepadaku..." Bermakna orang ini hakikatnya Muslim dan telah terdedah dengan agama yang benar, tetapi dia tidak mahu mengamalkannya dalam kehidupan. Walaupun pelbagai nasihat, amaran, dan peringatan telah datang kepadanya melalui rakan-rakan yang baik, khutbah, ceramah, dan lain-lain, dia langsung tidak ambil kisah.

󾁃 "Dan syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)" — وَكَانَ ٱلشَّيْطَٰنُ لِلْإِنسَٰنِ خَذُولًا. Kalimah "خذولا" dalam bahasa Arab bermaksud seorang kawan yang bertindak seperti seorang kawan kepada kita sehingga suatu saat, dia akan meninggalkan kita terkapai-kapai. Begitulah yang akan dilakukan oleh syaitan kepada kita, dia akan membawa kita menelusuri jalan ke neraka dan kemudian cuba untuk melarikan diri pula.

󾁃 Sekarang ayat ini bercerita mengenai keadaan yang berlaku pada hari tersebut, bukan? Orang yang menyesal itu akan melihat dari kejauhan Nabi SAW dan pengikutnya sedang berjalan menuju ke syurga. Kini, Allah memberikan peluang kepada Nabi untuk bercakap. Baginda akan berpaling kepada golongan manusia yang berada dalam penyesalan itu. Mereka mengharapkan bahawa Nabi akan berpatah balik dan memberitahu sesuatu yang akan menyelamatkan mereka kerana kita tahu bahawa Nabi boleh memberi syafaat. Lalu, baginda bersabda: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai." Baginda merujuk kepada umat baginda daripada kalangan kaum Quraisy dan juga daripada kalangan Muslim yang hanya Muslim pada nama dan keturunan. Allah berfirman, "...mereka telah mengambil al-Quran ini..." Allah tidak mengatakan "al-Quran ITU" tetapi Dia mengatakan "al-Quran INI" kerana hakikatnya al-Quran itu sangat hampir dan mudah diakses. Kita tidak perlu melalui rintangan yang maha hebat untuk mencapainya. Namun, mereka yang tidak dapat bersama-sama Nabi SAW ini telah mengabaikan al-Quran dan meninggalkannya.

󾁃 Bayangkan bagaimana Rasulullah SAW memberikan penyaksian dan keterangan terhadap mereka yang tidak mengambil al-Quran secara serius. Ya, kita perlu mengambil al-Quran secara serius! Sama ada kita hidup berdasarkan realiti yang akan berlaku pada Hari Kiamat nanti atau tidak, sama ada kita mengambil peduli akan Hari Kebangkitan atau tidak, sama ada kita percaya atau tidak, sama ada kita mentaati Allah atau tidak; hari tersebut tetap akan tiba. Kita mahu berfikir soalnya atau tidak, kita tetap tidak dapat mengubah realiti. Hari itu pasti akan tiba. Tiada jalan untuk kita melarikan diri darinya dan kita perlu menghadapinya.

󾁃 Apa yang ada pada kita sekarang hanyalah Kitab Allah dan sesama kita untuk saling mengingatkan antara satu sama lain. Inilah legasi yang ditinggalkan oleh baginda Rasul SAW. Bersama-sama kita bertindak sekarang! Kita tidak mahu berada dalam golongan yang salah pada hari tersebut, bukan?

󾁃 Semoga Allah menjadikan kita termasuk dalam kalangan mereka yang bersama-sama mengambil jalan yang dirintiskan oleh Rasulullah SAW dalam hidup ini supaya kita dapat mengorak langkah bersama-sama baginda pada Hari Pengadilan nanti. Amin ya Rabb.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Khamis, 23 Jun 2016

#173 - MUSLIM YANG MENYEBARKAN KEKEJIAN


#TadabburQuran
#Day18
#Juz18

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلْفَٰحِشَةُ فِى ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلَْآخِرَةِ ۚ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

Al-Nur (24: 19)

---

󾠨 Ayat di atas berkaitan amaran Allah terhadap orang-orang yang gemar menyebarkan keburukan dan perbuatan yang keji dalam kalangan orang-orang yang beriman. Mereka yang ingin menjadikan perkara tersebut suatu kebiasaan pasti akan mendapat azab di dunia mahupun di akhirat.

󾠨 Mengapa hal ini merupakan suatu jenayah yang sangat serius? Allah sendiri telah menjawab pada akhir ayat ini bahawa Allah lebih mengetahui akan keseriusan perkara ini sedangkan kita tidak mengetahuinya.

󾠨 Jadi, apa maksud manusia yang suka menyebarkan keburukan dan kekejian ini? Hal ini boleh wujud dalam bentuk hiburan. Sebagai contoh, kita sebagai seorang Muslim dan kita baru saja selesai menonton sebuah video muzik yang tidak patut ditonton oleh seorang Muslim, kemudian kita kongsikan video tersebut bersama-sama rakan-rakan sama ada di Facebook atau seumpamanya. Dengan bangganya kita berkata, "hey, mari tonton video ini! Sangat osem! 󾌧" Kita secara tidak sedar telah menyebarkan perbuatan yang keji hanya dengan dua kali klik.

󾠨 Sepatutnya kita perlu lebih berhati-hati dalam menyebarkan sesuatu benda dalam kalangan manusia. Perkara ini bukan hanya terbatas pada video, gambar, dan yang sewaktu dengannya sahaja. Malah, kata-kata atau percakapan seseorang juga termasuk dalam kategori ini. Jika kita mendengar kata-kata yang sungguh skandal dan mengejikan, sebagai seorang Muslim, kita tidak patut bercakap tentangnya, lebih-lebih lagi menyebarkannya. Tinggalkan saja kata-kata kontroversi tersebut, jangan mensensasikan isu itu lagi.

󾠨 Konteks ayat di atas sebenarnya berbicara mengenai tuduhan terhadap Umm al-Mu'minin `Aisyah RHA yang mengatakan beliau telah terlibat dalam skandal salah laku dan fitnah ini telah berleluasa dalam kalangan masyarakat ketika itu. Jika kita tahu sesuatu buruk yang berlaku dalam masyarakat, jangan bercakap akan hal tersebut secara terbuka melainkan jika boleh membawa manfaat. Contoh, jika kita mengenali seseorang sedang keluar makan atau mengadakan temu janji (dating) dengan ajnabi, jangan bercakap akan hal tersebut kepada sebarangan orang. Kita hanya boleh berbicara mengenai kes tersebut kepada orang yang boleh membantu menyelesaikannya seperti ibu bapa kepada orang tadi. Lebih mudah, kita bertentang mata dan bercakap sendiri dengan insan yang terlibat itu.

󾠨 Ya, kita tahu bahawa sangat seronok untuk kita bersembang hal-hal kontroversi, bukan? Tetapi di sisi Allah, perbuatan ini adalah satu jenayah yang sangat serius. Jadi, jangan ikut sesuka hati atau sesedap mulut kita saja untuk bercakap mengenai isu-isu seperti ini.

󾠨 Sebagai tambahan, isi al-Quran hakikatnya tidak berbicara tentang sesuatu perkara seperti hubungan intim antara lelaki dan wanita secara jelas dan tersurat. Ya, al-Quran ada berbicara akan hal tersebut dalam lapan hingga sembilan kali, tetapi al-Quran berbicara mengenainya secara bermaruah dan terhormat. Bahasa Arab kaya dengan kosa kata, boleh saja Allah menggunakan perkataan yang jelas dan tersurat, tetapi Allah tidak menggunakannya. Sedihnya, sebaliknya pula yang berlaku dalam masyarakat kita. Kadang-kadang kita sangat tidak selesa apabila mendengar seseorang yang bercakap menggunakan bahasa yang sangat tidak sesuai dalam budaya kita. Ada cara lain yang lebih sopan dan sepatutnya kita praktikkan walau dalam urusan-urusan yang rumit begini.

󾠨 Semoga Allah memberi kita nilai kesopanan dan tatasusila yang sangat tinggi serta dijauhkan daripada menjadi mereka yang menjadi punca atau asbab dalam menyebarkan perkara-perkara yang boleh menjatuhkan maruah sesama umat Islam.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Rabu, 22 Jun 2016

#172 - APAKAH KERUGIAN YANG MUTLAK?


#TadabburQuran
#Day17
#Juz17

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَعْبُدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ حَرْفٍ ۖ فَإِنْ أَصَابَهُۥ خَيْرٌ ٱطْمَأَنَّ بِهِۦ ۖ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ ٱنقَلَبَ عَلَىٰ وَجْهِهِۦ خَسِرَ ٱلدُّنْيَا وَٱَلآخِرَةَ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلْخُسْرَانُ ٱلْمُبِينُ

Dan ada antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.

Al-Hajj (22: 11)

---

󾁀 Allah SWT berfirman bahawa ada sebahagian manusia yang menyembah Allah di "tepi tebing / cenuram / gaung". Kalimah "حَرفٍ" sebenarnya bermaksud "tebing / cenuram / gaung". Jadi, di sini kita boleh bayangkan seseorang yang berdiri di tepi tebing dan seolah-olah tergantung atau terjurai di situ, tidak tetap kedudukannya.

󾁀 Allah memberikan gambaran ini dan seterusnya berfirman: "Kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya)." Ayat ini menceritakan perihal manusia yang komited dengan Islam selagi mana masih mudah atau sesuai dengan dirinya. Apabila ada hal kebaikan berlaku, mereka akan berkata, "saya sayang Islam. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik." Namun, apabila sesuatu perkara buruk berlaku pula, tiba-tiba saja mereka berkata seperti, "kenapa Allah buat begini kepada aku?" atau "siapa lagi yang perlukan agama?" atau "aku sepatutnya dapat yang lebih baik" dan pelbagai lagi ungkapan.

󾁀 Sikap mereka berubah menjadi agresif terhadap Allah dan keimanan mereka. Kemudian, mereka berpatah balik seolah-olah mereka tidak pernah menjadi Muslim sebelum itu. Allah berkata bahawa golongan manusia seperti ini akan rugi di dunia dan di akhirat. Allah menggunakan perkataan yang jarang digunakan oleh-Nya, iaitu kalimah "الخُسران" pada penghujung ayat. Kalimah ini membawa maksud "kerugian mutlak", iaitu tahap kerugian yang paling tinggi. Jika kita menjadi seperti mereka, kita akan rugi bukan saja di dunia, malah di akhirat sana. Walaupun pada masa-masa tertentu yang baik, kita menunjukkan keimanan, namun keimanan tersebut tidak membawa apa-apa erti dan bukan keimanan yang sebenar. Hal ini disebabkan kita langsung tidak melepasi sebarang bentuk ujian atau dugaan yang menyebabkan kita berpatah balik dari Islam kerananya. Bukan setakat "خُسر" (kerugian), tetapi sehingga ke tahap "خسران" (kerugian mutlak / muktamad).

󾁀 Jika kita berada pada fasa kesukaran, pada saat iman kita diuji dengan kepayahan, lalu kita berasakan keimanan kita pudar, maka beringatlah selalu akan keadaan urusan ini. Oleh kerana itulah, kita hendaklah selalu memohon "thabat" (ketetapan hati) daripada Allah agar iman kita dapat terus bertahan dalam menghadapi tribulasi dan waktu-waktu yang sukar.

󾁀 Insya-Allah, pengajaran kita akan bersambung pada surah seperti surah al-`Ankabut dan surah al-Qasas tentang bagaimana Allah mendidik kita untuk berurusan dengan cubaan dan dugaan serta bagaimana Dia memberi kita kekuatan untuk terus berhadapan dengan cabaran kehidupan.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Selasa, 21 Jun 2016

#171 - APA YANG MEMBAWA KEPADA KESESATAN DAN NERAKA?


#TadabburQuran
#Day16
#Juz16

۞ فَخَلَفَ مِنۢ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَٱتَّبَعُوا۟ ٱلشَّهَوَٰتِ ۖ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا

Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (di dalam neraka),

Maryam (19: 59)

---

󾁍 Dalam ayat ini, Allah berbicara tentang zuriat Nuh AS, zuriat Ibrahim AS, dan zuriat Ya`qub AS (Bani Israel). Sesuatu tentang keturunan dan para pengikut mereka yang tidak hidup berlandaskan syariat. "Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu..." Kalimah "خَلَفَ" sebenarnya bermaksud keturunan manusia yang datang selepas itu yang hidup dengan mematuhi syariat, manakala "خَلْف" (dengan baris sukun) pula bermaksud keturunan manusia yang berpaling dan tidak lagi mengikuti ajaran nenek moyang mereka. Nenek moyang mereka berpengetahuan tetapi mereka jahil.

󾁍 Jadi, Bani Israel disifatkan sebagai sebuah bangsa yang rosak selepas kedatangan para Nabi dalam bangsa mereka. Saya berkongsi demi memastikan kita juga tidak menjadi sebuah bangsa yang rosak sepertimana Bani Israel. Apa bukti mereka telah rosak? Pertama ialah "أضاعوا الصلاة" (mencuaikan solat) dan kedua "اتبعوا الشهوات" (menurut hawa nafsu). Kelak, mereka pasti akan menghadapi "غَيًّا". Kalimah "غيا" di sini boleh dimaksudkan dengan salah satu tingkat api neraka ataupun ditafsirkan sebagai kesesatan dalam beragama.

󾁍 Allah berfirman bahawa akan tiba generasi masa depan Muslim yang hidup dengan tidak berpandukan kehendak agama sepertimana generasi terdahulu. Pertama, mereka akan mencuaikan solat dan melepaskan peluang untuk menunaikan solat. Kedua, hasilnya, mereka akan menjadi manusia yang mengikuti kehendak nafsu dan syahwat mereka sendiri. Ketiga, kelak mereka akan menemui azab dan penyelewengan yang maha dahsyat. Mereka akan menyeleweng daripada akidah dan mula meninggalkan Islam. لا حول ولا قوة إلا بالله.

󾁍 Amaran ini ialah amaran yang telah diberikan oleh Allah terhadap bani Israel. Apabila Nabi Muhammad SAW memberitahu kita supaya mengikuti jalan mereka yang datang sebelum kita, kita sepatutnya berwaspada agar kita tidak menjadi "خلْف" tetapi menjadi mereka yang "خَلَف". Keindahan lain yang boleh kita dapati di sini ialah Allah tidak mengatakan kesemua mereka adalah seperti ini, tetapi Allah berkata dalam kalangan mereka ada yang seperti ini. Ada yang menjadi "خلْف", ada juga yang menjadi "خَلَف".

󾁍 Kesimpulannya, kita berpeluang untuk menjadi mereka yang membuatkan generasi terdahulu bangga serta dapat bersama-sama mereka di dalam syurga atau berpeluang menjadi mereka yang mengecewakan. Semoga Allah menempatkan kita bersama golongan yang mendapat kebaikan. Amin.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Isnin, 20 Jun 2016

#170 - UCAPAN "INSYA-ALLAH", GUNAKAN SEBAIKNYA!


#TadabburQuran
#Day15
#Juz15

وَلَا تَقُولَنَّ لِشَا۟ىْءٍ إِنِّى فَاعِلٌ ذَٰلِكَ غَدًا

Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): "Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti".

إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ ۚ وَٱذْكُر رَّبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَىٰٓ أَن يَهْدِيَنِ رَبِّى لِأَقْرَبَ مِنْ هَٰذَا رَشَدًا

Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): "Insya-Allah". Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang daripada ini".

Al-Kahf (18: 23-24)

---

󾀽 Alhamdulillah, kita telah pun sampai separuh juzuk daripada al-Quran. Pada hari ini, kita akan meneliti ayat al-Quran yang berbicara mengenai "Insya-Allah" yang sering meniti pada bibir kita.

󾀽 Ayat di atas, Allah melarang kita daripada berkata "aku pasti melakukan sekian-sekian nanti / esok hari / akan datang" kecuali dengan disertakan frasa "Insya-Allah". Dalam erti kata yang lain, kita telah memasang sepenuh niat bahawa kita pasti akan melakukan sesuatu perancangan, dan perkara yang akan mengubah perancangan asal kita hanyalah jika perancangan Allah berbeza daripada perancangan kita. Hal tersebut adalah di luar kawalan kita dan inilah maksud kita berkata "Insya-Allah".

󾀽 Secara positifnya, kita pasti akan melakukan sesuatu perbuatan itu jika diizinkan oleh Allah. Kemudian, kita perlu melaksanakan perbuatan tersebut dengan penuh komitmen. Kesilapan kita ialah kita menyalahgunakan frasa "Insya-Allah" sebagai alat untuk melepaskan diri daripada melakukan sesuatu. Sekiranya ada orang lain mengundang kita untuk pergi ke suatu majlis, atau menetapkan tarikh akhir untuk sesuatu projek, kita membalas dengan mengucapkan "Insya-Allah" tetapi dengan niat kita tidak ingin perancangan tersebut menjadi.

󾀽 Kita telah mengubah sesuatu yang sepatutnya menjadi pengiktirafan bahawa masa depan bukan milik kita kepada sesuatu yang menjadi alasan untuk kita melepaskan diri atau sebagai bahan jenaka. Hal ini tidak sepatutnya berlaku! Sebagai seorang Muslim, kita perlu mengotakan janji apabila telah dipersetujui. Jangan sekadar berkata "Insya-Allah" jika kita berjanji, padahal apa yang kita maksudkan sebenarnya "itu cara aku untuk mengatakan mungkin tidak."

󾀽 Gunakan frasa "Insya-Allah" dengan makna dan pemahaman yang benar. Maksudnya, apabila kita berkata "Insya-Allah", kita perlu sedaya upaya dan seboleh mungkin untuk memastikan perjanjian atau perancangan tersebut berjalan dengan lancar, dan perkara yang tidak boleh kita jangkakan hanyalah kehendak Allah. Jika Allah berkehendak bahawa mungkin esok tiba-tiba berlaku ribut taufan, kenderaan kita tidak boleh dihidupkan, atau kita pula yang menghadapi masalah kesihatan, walhal kita tidak tahu dan tidak menjangkakan semua benda tersebut akan berlaku. Semuanya dalam pengetahuan Allah. Yang hanya kita boleh lakukan adalah dengan memberikan usaha yang terbaik untuk melakukannya.

󾀽 Sekiranya kita menunjukkan kemalasan dan pada masa yang sama Allah tidak meletakkan sebarang halangan pun yang memungkinkan kita untuk tidak dapat menunaikan janji yang telah dibuat, tetapi dengan selambanya kita berpatah balik dan berkata, "aku rasa Allah tak izinkan benda tersebut berlaku." Ketahuilah, kita dengan sengaja telah bermain-main dengan kalimah-Nya.

󾀽 Jadi, ingat! Kalimah "Insya-Allah" bukanlah pengakuan bahawa sesuatu hal itu tidak akan terjadi, sebaliknya pengakuan bahawa semua perkara adalah di bawah kehendak Allah, tetapi kita boleh berusaha sedaya upaya untuk memastikan apa-apa yang kita katakan itu berjalan. Semoga Allah menjadikan kita manusia yang sentiasa menghormati setiap kata-kata yang kita lontarkan setiap hari seperti Alhamdulillah, Insya-Allah, Astaghfirullah, dan lain-lain serta mempraktikkannya dengan cara yang sepatutnya. Allahumma amin.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Ahad, 19 Jun 2016

#169 - MEMOHON PERLINDUNGAN ALLAH DARIPADA SYAITAN


#TadabburQuran
#Day14
#Juz14

فَإِذَا قَرَأْتَ ٱلْقُرْءَانَ فَٱسْتَعِذْ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيْطَٰنِ ٱلرَّجِيمِ

Oleh itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau (terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang kena rejam.

إِنَّهُۥ لَيْسَ لَهُۥ سُلْطَٰنٌ عَلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka.

Al-Nahl (16: 98-99)

---

󾁁 Allah berfirman dalam ayat ke-98 surah al-Nahl "فإذا قرأت القرآن" (apabila kamu membaca al-Quran). Allah tidak berkata, "jika kamu membaca al-Quran." Jadi, Allah sebenarnya mengharapkan kita agar membaca al-Quran. Jika pengharapan itu tiada, Allah pasti akan berkata "jika / sekiranya". Apabila kita membaca al-Quran, "فاستعذ بالله من الشيطان الرجيم" (maka hendaklah engkau memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang kena rejam).

󾁁 Saat kita membaca al-Quran, syaitan akan datang kepada kita dan cuba untuk membuatkan kita mengantuk. Syaitan juga akan membuatkan kita berfikir perkara-perkara lain yang perlu diselesaikan dan akan membuatkan kita menghabiskan bacaan al-Quran dengan pantas. Hal ini akan berlaku ketika kita sedang menunaikan solat, ketika kita sedang duduk bersahaja dan membaca al-Quran, ketika kita sedang cuba menghafaz atau mengulang hafazan, atau lain-lain keadaan, masa, dan ketika.

󾁁 Oleh kerana itulah, setiap masa dan ketika, sebelum membaca al-Quran, ucapkan isti`azah: "أعوذ بالله من الشيطان الرجيم". Perkara ini ialah arahan daripada Allah dan perkara ini juga ialah bahagian yang paling penting dalam hubungan kita dengan al-Quran. Seperkara yang perlu kita tahu ialah syaitan mahu hubungan kita dengan Allah sentiasa renggang. Al-Quran boleh membawa kita rapat dengan Allah, jadi syaitan sangat membenci akan hal ini. Untuk itu, syaitan akan melakukan apa-apa saja sekatan, gangguan, dan penyelewengan dalam merosakkan hubungan kita dengan al-Quran.

󾁁 Dalam ayat yang seterusnya pula, Allah berfirman: "Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka." Dalam erti kata yang lain, Allah bukan ingin menakutkan kita dengan kehadiran syaitan ini. Hakikatnya, jika kita benar-benar percaya kepada Allah dan mengucapkan isti`azah, bermakna kita percaya dan yakin bahawa cukuplah Allah sebagai Pelindung kita.

󾁁 Oleh hal yang demikian, sebelum kita membaca al-Quran, sila pastikan bahawa kita memohon perlindungan Allah terlebih dahulu. Isti`azah ini diucapkan bukan sekadar disebabkan syaitan akan mengganggu kita, menghalang kita daripada menghabiskan bacaan, atau membuatkan kita malas sahaja. Syaitan juga akan membuatkan kita salah faham dan salah tafsir akan makna al-Quran. Mereka akan membuatkan kita berfikir sesuatu itu ada di situ, padahal sebenarnya tidak ada.

󾁁 Justeru, memohon perlindungan Allah bukan setakat menjadi lafaz di bibir sahaja, tetapi kita perlu melafazkannya dengan sebenar-benarnya lafaz yang lahir dari hati. Ibarat kita berdoa kepada Allah, "ya Allah, lindungilah aku, aku akan terlibat dalam membaca dan memahami kitab-Mu, maka aku benar-benar memohon perlindungan-Mu daripada syaitan yang direjam yang mungkin boleh memesongkan aku jika aku tidak berhati-hati."

󾁁 Semoga Allah sentiasa melindungi kita dan melindungi bacaan Quran kita serta menghalang syaitan daripada mengganggu bacaan kita, amin.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Sabtu, 18 Jun 2016

#168 - BERHENTILAH MERUNGUT DAN BERSYUKURLAH!


#TadabburQuran
#Day13
#Juz13

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras."

Ibrahim (14: 7)

---

󾁆 Allah SWT berfirman, walau kita hanya sedikit sahaja menunjukkan kesyukuran (Dia tidak meminta banyak kesyukuran daripada kita), Allah telah bersumpah bahawa Dia pasti akan terus menambah, menambah, dan menambah kepada kita. Hanya dengan kita menunjukkan sedikit kesyukuran.

󾁆 Persoalannya, kita hendak mengekspresikan kesyukuran ini kepada siapa? Tentu kita akan berfikir bahawa kita perlu bersyukur kepada Allah, tetapi Allah tidak menyebut diri-Nya sendiri. Justeru, boleh jadi kita perlu bersyukur kepada Allah, bersyukur kepada ibu bapa, bersyukur kepada guru-guru, bersyukur kepada sahabat-sahabat, bersyukur terhadap kesihatan kita, dan lain-lain yang kita perlu bersyukur kepadanya kerana telah melakukan sesuatu untuk kita.

󾁆 Kita hanya perlu menjadi orang yang bersyukur, berterima kasih, dan menghargai walaupun sedikit. Bersyukur bukan hanya dengan sekadar mengucapkan "Alhamdulillah". Bersyukur adalah suatu sikap, gaya hidup, dan cara berfikir. Allah berjanji bahawa "لأزيدنّكم" (Aku pasti akan tambah kepadamu). Ini ialah janji Allah, tiada ragu-ragu lagi.

󾁆 Dalam al-Quran, Allah selalunya akan menggunakan kata ganti nama "Kami" bagi menunjukkan diri-Nya. Hanya pada beberapa keadaan, Allah menggunakan kata ganti nama "Aku". Jadi, dalam ayat ini, Allah telah menggunakan kata ganti nama" Aku". Jadi, timbul persoalan sekali lagi, apa yang Allah ingin tambah kepada kita?

󾁆 Kita mungkin boleh berkata bahawa Allah akan tambah kepada kita pengetahuan, kebijaksanaan, kesabaran, dan banyak lagi. Kita tidak mampu untuk hanya berkata, "Ya Allah, tambahi aku..." tanpa ada subjek di belakang. Kita hendak tambah apa? Dalam ayat yang lain, Allah ada berfirman seperti "زادتهم إيمانًا" (bertambah keimanan mereka). Allah tidak hanya menyebut Dia akan menambahi mereka. Tetapi dalam ayat yang kita bincangkan ini, kalau kita dapat menunjukkan kesyukuran walau sedikit, Dia akan menambah kepada kita. Yalah, tambah apa?

󾁆 Haaa... Inilah keindahan ayat ini! Allah tidak menghadkan apa yang Dia ingin tambah kepada kita. Motivasi bagi kita untuk terus bersyukur melalui ayat ini bahawa Allah pasti akan terus, terus, dan terus memberikan apa-apa saja yang bermanfaat untuk diri kita. Asalkan kita zahirkan kesyukuran kita kepada-Nya.

󾁆 Adakah kita tahu bahawa ayat ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada intipati ucapan Nabi Musa AS? Nabi Musa mengungkapkan ayat ini ketika baginda memberi ucapan kepada Bani Israel selepas mereka berjaya menyeberangi Laut Merah yang terbelah dua. Setelah Bani Israel menyeberangi laut tersebut, mereka masih terkenang akan memori pahit anak-anak mereka yang telah disembelih oleh Firaun pada tahun-tahun sebelum itu. Mereka ialah ibu bapa yang hati mereka masih berparut luka yang dalam setelah melihat dan melalui pelbagai seksaan. Jadi, Musa AS bukan memberikan khutbah kepada mereka tentang kesabaran, tambahan pada waktu itu mereka sedang berada di padang pasir, namun sebaliknya baginda telah berkhutbah mengenai kesyukuran kerana hakikatnya, kita sekali-kali tidak akan dapat memperoleh kesabaran jika kita tidak mempunyai kesyukuran. Kesyukuran datang sebelum kesabaran. Ya, jika kita boleh bersyukur, Allah pasti akan menjaga setiap keperluan kita dan akan menambah, menambah, dan menambah lagi.

󾁆 Namun begitu, jika kita bersikap sebaliknya iaitu kufur, tidak bersyukur, tidak berterima kasih, atau tidak menghargai, kita tidak akan dapat melihat kebaikan dalam hidup. Allah boleh saja berkata, "jika kamu tidak bersyukur, maka Aku pasti akan menarik segala pemberian dan menyeksamu." Tetapi, Allah tidak berfirman seperti itu, sebaliknya Dia berfirman: "إن عذابي لشديد" (sesungguhnya azab-Ku amat pedih). Bunyinya ayat ini seperti sangat keras, bukan? Tetapi sebenarnya, pernyataan ini bukan bermaksud "jika... maka..." Dalam bahasa Arab, ayat itu akan menjadi suatu pernyataan "jika... maka..." apabila ada huruf "ف" (maka). Contoh, kalau frasa tadi berbunyi seperti ini: "ولئن كفرتم فإن عذابي لشديد", maka frasa itu akan membawa maksud "jika kamu kufur, maka sesungguhnya azab-Ku pasti amat keras."

󾁆 Tetapi, frasa tadi tiada perkataan "maka". Tahu apa maksudnya? Maksudnya ayat tadi bukan ayat penyata. Maksudnya lagi, Allah tidak berbuat bahawa jika kita tidak bersyukur, Dia akan menyeksa kita. Allah berkata "jika kamu kufur, .........." Allah tidak menghabiskan ayat tersebut, sebaliknya Dia terus memulakan ayat yang baru, iaitu "sesungguhnya azab-Ku amat pedih." Dia tidak menghubungkan kedua-dua ayat tersebut secara tatabahasa.

󾁆 Hal ini yang sepatutnya kita perlu bersyukur kerananya. Fakta di sini ialah Allah tidak meletakkan "ف" kerana jika Dia meletakkan "ف", tentu akan membawa maksud begini: "Jika kamu kufur, maka kamu sebaiknya perlu tahu bahawa azab-Ku adalah sangat keras." Tetapi, Allah berfirman di sini: "Jika kamu kufur, .........." Tiada apa-apa. Kemudian, Dia terus berfirman: "sesungguhnya azab-Ku amat pedih." Dia tidak meletakkan huruf "ف" itulah yang sepatutnya perlu kita bersyukur selama-lamanya.

󾁆 Subhanallah, betapa indahnya ayat ini! Betapa berkuasanya khutbah yang telah disampaikan oleh Nabi Musa AS kepada Bani Israel sehingga Allah mengambil kata-katanya menjadi sebahagian daripada ayat al-Quran. Semoga Allah 'azza wa jalla membantu kita untuk belajar daripada keindahan hikmah al-Quran serta menjadikan kita seorang yang bersyukur dan sentiasa optimis melihat sesuatu dari sisi yang positif. Berhentilah menjadi orang yang muram, pesimis, dan hanya nampak keburukan daripada sesuatu. Juga, berhentilah daripada asyik mengkritik dan sinis sepanjang masa. Jadilah orang yang pandai menghargai dan berterima kasih terhadap setiap orang dan setiap perkara di sekeliling kita; ibu bapa, guru-guru, sahabat-sahabat, rumah, sekolah, kolej, universiti, kesihatan, fizikal tubuh badan, dan banyak lagi.

󾁆 Berhentilah mengeluh tentang sifat tubuh badan kita sama ada kurus, gemuk, pendek, dan lain-lain. Berhentilah merungut jika kita sakit seminggu kerana ada orang yang lebih hebat kesakitannya berbanding diri kita. Mulakan hari kita dengan senyuman dan penuh perasaan gembira. Semoga kita termasuk dalam golongan yang dijanjikan oleh Allah untuk ditambah segala nikmat-Nya kepada kita, amin.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Jumaat, 17 Jun 2016

#167 - TEMAN LELAKI, TEMAN WANITA, DAN GODAAN


#TadabburQuran
#Day12
#Juz12

وَرَٰوَدَتْهُ ٱلَّتِى هُوَ فِى بَيْتِهَا عَن نَّفْسِهِۦ وَغَلَّقَتِ ٱلْأَبْوَٰبَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ ۚ قَالَ مَعَاذَ ٱللَّهِ ۖ إِنَّهُۥ رَبِّىٓ أَحْسَنَ مَثْوَاىَ ۖ إِنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلظَّٰلِمُونَ

Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itu pun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (daripada perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya."

Yusuf (12:23)

---

󾁅 Alhamdulillah, hari ini, kita akan melihat ayat ke-23 daripada surah Yusuf. Dalam ayat ini, Allah berbicara mengenai godaan isteri al-Aziz terhadap Nabi Yusuf AS. Kalimah "رود" datang daripada kalimah "رويدا رويدا" yang bermaksud "secara perlahan-lahan". Jadi, isteri kepada menteri tersebut cuba untuk menggoda Nabi Yusuf bukan hanya sekali, tetapi berkali-kali.

󾁅 Walaupun Yusuf AS cuba untuk melarikan diri, namun baginda tidak dapat melakukannya kerana baginda sedang berada di dalam rumah wanita tersebut. Ke mana saja baginda pergi, pasti wanita tersebut ada di situ. Nabi Yusuf ketika itu masih di alam belia remaja.

󾁅 Beberapa tahun sebelum itu, ketika menteri al-Aziz selesai membeli Nabi Yusuf yang dijual sebagai hamba ketika baginda masih kanak-kanak, dalam perjalanan pulang ke rumahnya, menteri itu sedar akan kebijaksanaan dan keistimewaan yang ada pada Yusuf. Jadi, kanak-kanak ini perlu dilayan dan dipelihara dengan penuh kehormatan. Agak menghairankan bagaimana seorang hamba boleh memperoleh kehormatan seperti yang dinikmati oleh Yusuf AS. Setibanya menteri itu di rumahnya, beliau telah berpesan kepada isterinya supaya memberikan penghormatan kepada Yusuf dengan memberikannya sebuah bilik tetap, bukan sebuah bilik biasa dengan hanya ada sebuah katil. Menteri itu mahu supaya Yusuf AS tetap tinggal di situ untuk beberapa generasi kerana beliau melihat Yusuf sebagai aset yang amat berharga baginya.

󾁅 Menteri al-Aziz bukan saja sedar akan kelebihan yang ada pada diri Yusuf, tetapi beliau juga sebenarnya sedar bahawa isterinya mempunyai masalah terhadap maruah dirinya. Oleh kerana itulah, beliau meminta isterinya untuk menghormati Yusuf dengan memberinya sebuah bilik khas dan jangan sesekali melangkah masuk ke dalam bilik baginda dan buat sesuka hati seperti bercakap-cakap dengannya, memberinya arahan, dan lain-lain. Berikan Yusuf jarak, ruang, dan privasi.

󾁅 Masa terus berlalu. Apabila usia Yusuf telah meningkat remaja, isteri menteri tersebut mula menggoda Yusuf sedikit demi sedikit. Kalimah "رود" juga berasal daripada perkataan yang membawa maksud "niat". Jadi, wanita tersebut cuba membuat Yusuf mempunyai niat dan berfikir perkara yang sama sepertimana dirinya.

󾁅 Sesungguhnya wanita itu sangat berkehendakkan Yusuf, dan Yusuf juga mungkin timbul keinginan terhadap wanita itu jika baginda tidak menyedari kenyataan Tuhannya betapa kejinya perbuatan zina itu. Justeru, wanita tersebut mahu Yusuf tergelincir dari niat asalnya (tetap memastikan dirinya suci dan tidak mahu terjerumus ke dalam perkara ini). Bayangkan jika diri kita berada dalam situasi Yusuf – seorang wanita cantik, juga seorang bos yang sedang mengejar dan menggoda kita (selalunya lelaki yang kejar perempuan, tapi dalam hal ini perempuan pula yang kejar lelaki), sambil dia berkata tiada apa-apa yang perlu ditakutkan, semuanya baik-baik saja, kemudian kita berada di tempat yang paling privasi dan semua pintu yang berada di dalam rumah berkunci pula – agak-agak mampukah kita bertahan?

󾁅 Kemudian, isteri menteri tersebut berkata "هيت لك" (marilah ke mari, aku bersedia untukmu). Perkataan ini digunakan sebagai kata-kata godaan dan tidak digunakan dalam kata-kata biasa. Betapa wanita tersebut benar-benar menyerahkan dirinya kepada Nabi Yusuf. Kalau kita sebagai lelaki, sama ada di sekolah, kolej, universiti, tempat kerja, pasar raya, dan lain-lain, tiba-tiba ada perempuan menghantar kita pesanan berbunyi seperti: "Awak ni comel la. Nak chatting? Ini nombor saya bla bla bla..." Apa kita buat? Orang muda seperti kita pasti akan berfantasi indah apabila menghadapi situasi seperti ini. Tetapi Yusuf AS, pada detik baginda digoda itulah, kita dapat melihat perwatakan Yusuf yang sangat mengagumkan. Dalam situasi sebegitu, baginda masih boleh mengingati bahawa Allah sedang memerhatikannya. Baginda berkata,

"معاذ الله"
(aku memohon tempat yang mendapat perlindungan Allah).

"إِنَّهُۥ رَبِّىٓ أَحْسَنَ مَثْوَاىَ"
(sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku sebaik-baiknya).

󾁅 Bermaksud Tuhan telah memberinya tempat tinggal yang sangat baik. Yusuf memaksudkan "رب" di sini sebagai Allah. Apabila wanita itu mendengar kalimah "رب", jika dia tidak takut akan Tuhan sekalipun, sekurang-kurangnya dia hendaklah takut akan "رب" (tuan, pemilik) rumah tersebut, iaitu suaminya sendiri. Inilah kebijaksanaan Yusuf, baginda menggunakan kalimah "رب" yang boleh membawa dua maksud, sama ada Tuhan Allah atau tuan rumah (suami wanita) tersebut. Kalau dah tak boleh ingat Allah sangat dah, sekurang-kurangnya ingat yang kau masih ada suami, perempuan. Begitulah maksud ayat lebih kurang.

󾁅 Menariknya di sini, Nabi Yusuf tidak lagi memanjangkan perbualan antara mereka berdua sesudah itu seperti berkata, "jangan, akak tak boleh buat macam ini..." Apa yang baginda buat ialah terus melarikan diri. Jika kita berada dalam situasi yang sama pun, jangan hanya sekadar duduk diam dan berkata, "Astaghfirullah, haram buat benda ni, kak. Akak kena fikir balik apa yang akak kata ni..." Jangan beri nasihat langsung kerana kita hakikatnya bukan memberi nasihat, tetapi kita cuma memanjangkan lagi masa bersamanya. Jujurlah terhadap diri sendiri.

󾁅 Tolong lari dari perbualan tersebut, jangan panjangkan lagi godaan itu, jangan balas mesej atau pesanannya, walaupun sekadar menulis, "saya tak akan balas lagi mesej awak." Jangan lakukannya! Kalau si dia tanya, "kenapa tak balas mesej saya?" tak perlu kita balas, "Astaghfirullah, sekarang kan bulan Ramadan?" Sekali lagi, jangan sesekali respon! Bukan lelaki sahaja, malah perempuan pun perlu begitu.

󾁅 Kisah Nabi Yusuf ini bukan hanya sekadar sebuah kisah biasa yang tiada kena-mengena dengan kisah cinta dalam hidup kita pada hari ini, bahkan inilah nasihat daripada al-Quran untuk kita. Kisah ini kisah kita! Jika kita terlibat dalam perkara ini dan kita telah mendengar ayat ini, Allah pasti akan bertanya kepada kita pada hari akhirat nanti. Jadi, saat kita membaca kisah-kisah dalam al-Quran, jangan hanya sekadar baca dan berasakan kisah-kisah tersebut tiada kaitan dengan diri kita. Apa guna kita solat, puasa, bertilawah al-Quran, tapi dalam masa yang sama, kita ada teman lelaki atau teman wanita. Tolong ambil serius kerana hal ini bukan dosa kecil dan kita seolah-olah mempermainkan agama kita sendiri.

󾁅 Insya-Allah, mari sama-sama berdoa agar kita sentiasa kuat untuk melakukan hal-hal yang baik dan memutuskan perhubungan yang haram. Jika kita tidak mampu memutuskannya, buatlah hubungan itu supaya menjadi halal.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA