Isnin, 6 Jun 2016

#156 - AMBIL SERIUS PERINTAH TUHAN!


#TadabburQuran
#Day1
#Juz1

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تَذْبَحُوا بَقَرَةً ۖ قَالُوا أَتَتَّخِذُنَا هُزُوًا ۖ قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ

Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata: "Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab: "Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang daripada golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)".

Al-Baqarah (2: 67)

---

󾀔 Alhamdulillah, Allah masih memanjangkan umur kita untuk sempat bertemu semula dengan Ramadan yang mulia ini. Semoga kita dapat menggunakan peluang yang sangat berharga ini dengan sebaik mungkin. Untuk hari pertama Ramadan ini, kita akan meneliti ayat ke-67 daripada surah al-Baqarah yang berkisar perihal peristiwa seekor lembu betina (al-Baqarah sendiri bermaksud "lembu betina").

󾀔 Ketika Musa AS berkata kepada kaum baginda (Bani Israel) bahawa Allah memerintahkan mereka agar menyembelih seekor lembu betina, respon pertama mereka saat menerima arahan tersebut ialah "أتتخذنا هزوًا" (adakah engkau hendak menjadikan kami ini sebagai bahan gurauan?)

󾀔 "Engkau mahu kami menyembelih seekor lembu betina? Pembunuhan baru saja berlaku, tapi respon Tuhan ialah memerintahkan kami supaya menyembelih seekor lembu?" Begitulah ibaratnya kata-kata mereka.

󾀔 Apa signifikannya ayat ini? Hakikatnya, Allah mahu menunjukkan kepada kita bagaimana reaksi mereka terhadap perintah Allah. Bayangkan, seorang Rasul sedang memberitahu mereka mewakili Allah supaya menyembelih seekor betina. Tidak kisah sama ada perintah tersebut kelihatan logik ataupun tidak bagi mereka, perintah tersebut tetap merupakan perintah Tuhan dan merupakan suatu pengesahan kerana perintah itu datang melalui Rasul-Nya, yakni Musa AS. Sedihnya, mereka membalas arahan tersebut dengan mempersoalkan adakah Musa AS sedang mempermainkan mereka.

󾀔 Ayat ini dinukilkan kerana sebenarnya, masalah ini merupakan satu masalah yang berlanjutan, malah masih berlaku sehingga ke hari ini. Sebahagian umat Islam kini, apabila mendengar satu-satu arahan atau perintah yang sudah terang lagi bersuluh datang daripada Allah melalui perantaraan Nabi-Nya SAW, antara respon yang diberikan oleh mereka ialah: "Adakah engkau sedang bergurau? Seriuskah? Tolonglah, jangan serius sangat. Adakah itu yang Islam mahukan? Adakah itu yang Syariah katakan? Adakah itu yang Quran dan Hadis sebutkan? Takkanlah, mengarut ja semua tu..."

󾀔 Reaksi seperti ini yang membuatkan Musa AS berasa sedikit kecewa. Jadi, pada sambungan ayat ini, kita dapat melihat ucapan baginda yang memohon perlindungan Allah daripada tergolong dalam kalangan mereka yang hilang kawalan emosi (melakukan sesuatu yang tidak patut). Kalimah "جاهل" di sini memberi makna orang yang tidak mampu mengawal emosi merupakan kata lawan bagi kalimah "عاقل" yang membawa maksud orang yang mampu mengawal emosinya.

󾀔 Ayat ini bukan saja memberi amaran kepada orang yang memperolokkan perintah Allah, bahkan juga ayat ini menjadi suatu peringatan kepada orang yang berdakwah, yakni yang menyampaikan risalah Tuhan, melakukan tugas-tugas para Rasul, dan sebagainya. Apabila kita sedang berdakwah dan pada masa yang sama, kita diejek, dihina, serta diperolok, jangan sesekali kita hilang tahap kewarasan dan 'cool' dalam diri. Contohilah sikap Musa AS yang segera memohon perlindungan Allah daripada menjadi salah seorang yang "jahil", yang hilang sifat ketenangan mereka.

󾀔 Dalam erti kata yang lain, situasi ini memang boleh menyebabkan kemarahan baginda AS, namun baginda tidak mahu kemarahannya terlampias kerana hal tersebut akan merencatkan tugas dakwahnya. Jadi, tanggungjawab membawa mesej Islam dan memberi nasihat kerana Allah memerlukan hati dan jiwa yang sangat kebal kerana kita pasti akan berhadapan dengan mereka yang akan berkata hal-hal yang menyakitkan serta mencaci maki. Untuk itu, kita perlu sentiasa mengucapkan "أعوذ بالله أن أكون من الجاهلين".

󾀔 Semoga Allah sentiasa menjadikan kita orang yang: 1) tidak sesekali mempermainkan segala perintah Allah dan, 2) mampu mengawal emosi dan menahan kemarahan saat menerima respon yang tidak baik daripada para mad`u (orang yang didakwah) ketika proses berdakwah berjalan. Amin.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA