Selasa, 7 Jun 2016

#157 - KAMU SEMBAH RAMADAN ATAU ALLAH?


#TadabburQuran
#Day2
#Juz2

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٍ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا۟ ٱلْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi penerangan-penerangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa daripada kalangan kalian yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.

Al-Baqarah (2: 185)

---

🌍 Ayat di atas bercerita mengenai bulan Ramadan dan sebahagian kelebihan yang ada padanya.

🌍Pernah tidak timbul persoalan, "mengapa Allah beri kita 30 hari untuk berpuasa dalam bulan Ramadan? Apa tujuan dan sasaran sebenar?" Persoalan ini telah Allah jawab pada bahagian akhir ayat ini.

🌍 Allah berfirman, "ولتكملوا العدة" "Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa... " Bilangan atau kiraan ini sangat penting kerana hal ini melibatkan hubungan kita dengan Allah sebagai hamba dan proses pembangunan jiwa. Jadi, sasaran atau kiraan yang telah ditetapkan ini perlu dilengkapkan sebaik mungkin dengan berpuasa setiap hari secara serius agar program dan rencana pembangunan jiwa hamba ini berhasil.

🌍 Kemudian, Allah menyambung, "ولتكبروا الله على ما هداكم" "dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya..." Secara literalnya kita dapat memahami frasa ini ketika sambutan Aidilfitri. Pada hari tersebut, kita akan bersama-sama bertakbir dan mengagungkan kebesaran Allah SWT ketika pergi menunaikan solat sunat hari raya.

🌍 Walau bagaimanapun, perbuatan mengagungkan Allah bukan hanya setakat kita banyak bertakbir dan melaungkan "Allahu akbar" pada hari Aidilfitri sahaja kerana berjaya menunaikan ibadat puasa sebulan penuh dalam bulan Ramadan, tetapi apa yang lebih utama ialah kita menterjemahkan kenyataan "Allahu akbar" (Allah yang paling besar) ke dalam kehidupan. Ketika kita berpuasa dalam bulan Ramadan, kita berjaya mengiktiraf bahawa prioriti ketaatan kepada Allah lebih tinggi berbanding perlakuan dosa dan maksiat. Kita berjaya mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa demi memelihara puasa kita. Namun, setelah selesai Ramadan, adakah kita masih boleh mengekalkan rentak tersebut? Adakah kita masih meletakkan Allah sebagai perkara yang paling utama atau dosa dan maksiat kembali menjadi prioriti melebihi ketaatan?

🌍 30 hari Ramadan adalah suatu tempoh yang cukup panjang untuk membentuk tabiat mentaati Allah dan patuh kepada-Nya serta memelihara mata, lidah, dan anggota badan yang lain daripada melakukan perkara-perkara yang haram. Jika kita boleh memelihara diri daripada melakukan perkara yang halal (makan, minum, bersetubuh, dan lain-lain) ketika berpuasa, sepatutnya kita juga lebih mudah meninggalkan perkara yang haram setelah berlalu bulan Ramadan ini. Oleh sebab itulah, pada bahagian akhir ayat ini, Allah mengisyaratkan kita agar dapat mengakui kebesaran-Nya melalui cara, kaedah, petunjuk, dan ketetapan yang diberikan oleh-Nya (ولتكبروا الله على ما هداكم).

🌍 Inilah buah Ramadan yang kita harapkan. Allah sebagai prioriti ketika Ramadan, dan Allah kekal sebagai prioriti selepas Ramadan. Adakah kita ini hamba Allah atau hamba Ramadan?

🌍 Akhirnya, Allah berfirman, "ولعلكم تشكرون" yakni "dan supaya kamu bersyukur." Kita sepatutnya bersyukur kerana dapat menjadikan Allah sebagai keutamaan melebihi kepentingan peribadi. Allah yang paling utama berbanding keselesaan, kemahuan, keinginan, dan kehendak diri sendiri. Bersyukur kerana kita diberikan nikmat ini sedang masih banyak umat manusia di luar sana tidak dapat merasai nikmat sebegini.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA