Rabu, 8 Jun 2016

#158 - MEMAHAMI UJIAN DAN DUGAAN


#TadabburQuran
#Day3
#Juz3

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَآ إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦ ۖ وَٱعْفُ عَنَّا وَٱغْفِرْ لَنَا وَٱرْحَمْنَآ ۚ أَنتَ مَوْلَىٰنَا فَٱنصُرْنَا عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْكَٰفِرِينَ

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa-apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa-apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir."

Al-Baqarah (2: 286)

---

⛅ Tadabbur ayat pada hari ini, kita akan bersama-sama melakukan sedikit refleksi pada ayat yang terakhir daripada surah al-Baqarah.

⛅ Pada bahagian awal ayat ini, Allah berfirman:

"لا يكلف الله نفسا إلا وسعها"

Kalimah "تكليف" dalam bahasa Arab bermaksud "beban, tanggungjawab". Hal ini bermakna Allah tidak akan membebani seseorang melainkan mengikut kapasiti individu tersebut.

⛅ Hakikatnya, setiap ujian yang kita lalui sepanjang perjalanan hidup ini semuanya disesuaikan mengikut kemampuan kita dalam mengurus ujian-ujian tersebut. Apa-apa ujian yang dilalui oleh orang lain, mungkin kita tidak boleh menanganinya, dan apa-apa ujian yang dilalui oleh kita, mungkin orang lain pula yang tidak boleh menanganinya. Setiap pemberian yang kita nikmati dan setiap kesusahan yang kita tempuhi, semuanya berdasarkan kemampuan dan kekuatan masing-masing.

⛅ Namun begitu, perlu diingat bahawa terdapat juga beberapa perkara yang setiap antara kita bertanggungjawab terhadap perkara tersebut. Contohnya, dalam soal rukun Islam, seseorang tidak boleh berkata, "Masya-Allah, kau solat lima kali sehari semalam, tapi aku tak boleh. Aku bukan ahli solat. Itu bukan kemampuan aku." Dalam hal ini, kita tidak boleh mencari alasan dalam melakukan perkara yang wajib dan meninggalkan segala yang haram kerana perkara ini telah pun dipertanggungjawabkan oleh Allah ke atas setiap individu Muslim (fardu ain). Tidak boleh tidak, kita mesti mampu melakukannya.

⛅ Allah memberi taklifan seperti ini kerana Dia Maha Mengetahui bahawa setiap orang sebenarnya mampu untuk menunaikan setiap perkara yang wajib dan menjauhi segala yang haram dan mungkar. Sesiapa yang berkata "aku tak boleh lakukannya", maka dia sebenarnya telah menafikan suatu firman Allah yang mengatakan bahawa engkau mampu untuk melakukannya dan Dia tidak akan membebani seseorang melainkan dengan keupayaannya. Jadi, tepuk dada tanya iman, adakah kita bersikap jujur terhadap diri sendiri ketika kita mengatakan "aku tak mampu" sedangkan hakikatnya Allah mengatakan "engkau mampu melakukannya"?

⛅ Seterusnya, Allah berfirman:

"لها ما كسبت وعليها ما اكتسبت"

Seseorang individu akan memperoleh manfaat terhadap apa-apa kebaikan yang ia lakukan dan akan menempah dosa terhadap apa-apa keburukan yang ia kerjakan. Dalam bahasa Arab, kalimah "كسب" bermaksud (lebih mudah) untuk memperoleh dan digunakan untuk amal kebajikan, manakala kalimah "اكتسب" bermaksud (lebih susah) untuk memperoleh dan digunakan untuk amal kejahatan.

⛅ Agak pelik kerana selama ini kita berasakan bahawa untuk melakukan sesuatu dosa adalah sangat mudah manakala untuk melaksanakan hal kebaikan adalah payah sekali. Tetapi, dalam ayat ini Allah memberitahu kita suatu rahsia. Kita mungkin berasa seronok dan mudah ketika kita melakukan sesuatu dosa dalam jangka masa pendek, tetapi berapa banyak harga yang perlu dibayar untuknya dalam jangka masa panjang?

⛅ Hakikatnya, setiap masalah dan kesusahan yang muncul dalam hidup kita sebenarnya berpunca daripada ketidakpatuhan dan keingkaran kita terhadap perintah Allah. Ketahuilah, kita mungkin berasa berat dan payah ketika mengerjakan sesuatu kebaikan, namun kesusahan yang kita salurkan pada awalnya lebih mudah dan berbaloi berbanding melakukan kejahatan yang pada awalnya tampak senang, namun pada akhirnya lebih derita dan sengsara. Pilihan berada di tangan anda.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA