Khamis, 9 Jun 2016

#159 - BAGAIMANA MAHU MEMPEROLEH KEBAIKAN DARIPADA ALLAH?


#TadabburQuran
#Day4
#Juz4

لَن تَنَالُوا۟ ٱلْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا۟ مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَىْءٍ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌ

Kalian tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kalian dermakan sebahagian daripada apa-apa yang kalian sayangi. Dan apa-apa jua yang kalian dermakan daripada sesuatu maka sesungguhnya Allah mengetahuinya."

Ali `Imran (3:92)

---

☘ Ayat di atas merupakan permulaan juzuk keempat dalam al-Quran.

☘ Kalimah "نال" dalam ayat ini digunakan ketika kita pergi mengembara dan sangat tidak sabar untuk tiba ke destinasi yang dituju. Orang-orang Arab sangat biasa dengan idea ini kerana mereka sering mengembara dengan merentas padang pasir dan sangat terdesak untuk tiba ke destinasi yang dituju oleh mereka. Jika mereka tidak dapat sampai ke destinasi, kemungkinan besar boleh membawa maut kerana tiada apa-apa yang boleh dijadikan ikhtiar hidup apabila berada di tengah-tengah padang pasir.

☘ Begitu juga halnya dengan pelayaran laut. Apabila kita berlayar di tengah-tengah lautan, tiba-tiba kita tersesat dan tidak dapat menemui daratan untuk berlabuh, maka kemungkinan untuk mendapatkan barang-barang keperluan yang mencukupi, terutamanya sumber minuman yang boleh diminum adalah sangat terhad. Jadi, kita perlu sampai ke daratan dalam tempoh yang tertentu jika ingin terus hidup.

☘ Maka, dalam hal ini, Allah juga mengaplikasikan perkataan yang digunakan untuk terus hidup dalam perjalanan dan tiba ke satu-satu destinasi dengan selamat. Tetapi, apa yang Allah tambah dalam ayat ini adalah sangat menarik.

☘ Allah menggunakan kalimah "البر" berbanding kalimah "الخير" atau kalimah lain yang membawa maksud "kebaikan". "البِرّ" dalam bahasa Arab sangat hampir dengan kalimah "البَرّ", dan "البَرّ" hakikatnya bermaksud "tanah" atau "daratan". Secara automatik, apabila kita mendengar perkataan "نال", kita akan terfikir "البَرّ".

☘ Idea perkataan yang hampir serupa dari segi sebutan yang digunakan oleh Allah ini menunjukkan bahawa Allah ingin kita berfikir secara gambaran atau imaginasi. Kita bayangkan jika kita tersesat di tengah-tengah lautan, disusuli pula dengan gelora ombak dan ribut taufan yang kencang. Kita tidak tahu adakah kita sempat untuk tiba ke daratan. Tetapi, dengan izin Allah, kita selamat tiba ke sebuah pulau sebagai contoh. Kita tiba ke sesebuah daratan ibarat kita berjaya mencapai kebaikan. Hidup dalam keadaan penuh noda dan dosa ibarat kita hidup terumbang-ambing di tengah-tengah lautan yang bergelora.

☘ Bayangkan lagi jika bot yang kita naiki di tengah-tengah lautan itu bocor atau terlalu berat disebabkan membawa beban yang sangat banyak. Apa yang perlu kita lakukan terhadap bot ini jika kita ingin terus berikhtiar untuk hidup dan selamat tiba di daratan? Kita perlu membuang sedikit barangan yang mungkin kita sayang dari bot itu, bukan? Begitu juga halnya dalam hidup ini.

☘ Justeru, Allah berfirman, kalian tidak akan sekali-kali dapat mencapai daerah kebajikan sebelum kalian dermakan sebahagian daripada apa-apa yang kalian sayangi (حتى تنفقوا مما تحبون). Allah memerintahkan kita untuk membelanjakan harta yang kita cintai bukan hanya tertakluk kepada pemberian sedekah untuk pihak masjid sahaja. Hakikatnya, kita juga perlu mengorbankan sedikit kemewahan harta kita kepada saudara-mara, jiran tetangga, dan orang di sekeliling yang mungkin hidupnya lebih sengsara. Kita tidak sepatutnya memberi sisa, barang-barang lama, atau barangan yang tidak mahu digunakan lagi sahaja, tetapi kita juga perlu banyak menginfakkan harta benda yang sangat kita cintai kepada mereka yang lebih memerlukan.

☘ Oleh hal yang demikian, jika kita pergi membeli-belah pelbagai jenis barangan, lebih-lebih lagi untuk sambutan hari raya, kita mampu membeli pelbagai jenis barangan yang kita sukai untuk diri kita, apa salahnya kita beli sedikit barangan yang kita cintai untuk tujuan sedekah. Itulah kebaikan (البِرّ) yang sesungguhnya.

☘ Apa-apa perkara yang kita sumbangkan, tidak perlu sampai kita menghebahkannya kepada sekalian manusia, kerana sesungguhnya Dia Maha Mengetahui setiap perbuatan dan tingkah laku kita. Cukup sekadar menjadi rahsia antara kita dan Allah. Semoga Allah `azza wa jalla memasukkan kita ke dalam golongan yang memperoleh kebaikan (الأبرار). Amin.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA