Jumaat, 10 Jun 2016

#160 - ETIKA KEKAYAAN DAN WANG


#TadabburQuran
#Day5
#Juz5

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kalian makan (gunakan) harta-harta kalian sesama kalian dengan jalan yang salah (tipu, judi, dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kalian, dan janganlah kalian berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kalian."

Al-Nisa' (4: 29)

---

󾀼 Hari ini kita akan memerhatikan sepotong ayat yang sangat hebat daripada surah al-Nisa' yang bercerita mengenai salah satu prinsip etika utama dalam Islam. Ayat ini memberitahu orang-orang yang beriman supaya jangan menggunakan harta-harta sesama mereka dengan cara yang dusta.

󾀼 Jika kita bekerja di sesebuah tempat yang mempunyai ketetapan masa masuk dan keluar pejabat, jangan berdusta terhadapnya. Jika kita dilantik menjadi seorang konsultan atau perunding dan kita dibayar sejumlah wang untuk mengisi sesuatu pekerjaan dalam suatu tempoh masa yang ditetapkan, jangan kita mengambil kesempatan dengan hanya duduk minum kopi dan bersantai, sedangkan kita dibayar untuk bekerja.

󾀼 Semua perkara di atas tidak boleh dilakukan kecuali jika majikan kita tahu kita sedang melakukan perbuatan tersebut (إلا أن تكون تجارة عن تراض منكم). Melainkan jika terdapat sebarang kata sepakat atau persetujuan antara kedua-dua belah pihak (majikan dan pekerja) bahawa pekerja ingin mengambil sedikit masa untuk berehat sebentar daripada bekerja, maka hal itu adalah dibolehkan. Dalam erti kata yang lain, tiada sesiapa pun yang mampu bersikap produktif 100% sepanjang masa. Kita cuma manusia biasa. Jadi, pasti akan timbul pertanyaan seperti ini, "ok, saya bekerja dari jam 9 pagi hingga 5 petang, tapi saya perlu beristirahat selama 40 minit. Kadangkala saya akan cuma duduk diam dan berbual sahaja. Adakah boleh begitu?" Baik, jika majikan kita tahu yang kita berbuat seperti itu dan boleh diterima olehnya, maka hal tersebut adalah dibenarkan kerana mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak.

󾀼 Selain daripada peristiwa di atas, kita juga dilarang mengambil kesempatan ke atas orang lain dan memanipulasi mereka bagi memperoleh keuntungan yang berlebihan. Jangan menaikkan harga atau caj sesuka hati kepada pelanggan. Misalnya, andaikan bahawa kita merupakan seorang mekanik di sesuatu tempat, kemudian datang seorang pelanggan meminta kita membaiki kerosakan yang dialami oleh kenderaannya. Kita tahu bahawa sudah tentu dia hanya akan bergantung kepada diri kita, bukan? Jadi, jangan sesuka hati memanipulasi dan meningkatkan caj perkhidmatan disebabkan kita sedar bahawa hanya kita seorang sahaja mekanik yang berada di kawasan tersebut. Jangan 'makan' harta orang lain menggunakan penipuan.

󾀼 Kalimah "تَرَاضٍ" juga bermaksud kedua-dua belah pihak bersetuju dengan servis atau produk yang saling bertukar tangan. Contohnya, jika kita sebagai seorang peniaga ingin menjual sejenis telefon pintar kepada seorang pelanggan dan kita tahu beberapa maklumat penting berkaitan telefon tersebut yang pelanggan kita juga perlu tahu akan info tersebut, maka kita mesti memberitahunya. Begitu juga halnya jika kita sebagai majikan ingin mengadakan kontrak atau perjanjian dengan pelanggan. Mungkin kontrak tersebut mengandungi isi sehingga berpuluh-puluh muka surat banyaknya, tetapi pelanggan kita malas untuk membaca keseluruhan isi kontrak tersebut dan ingin terus menurunkan tandatangan. Jangan! Kita perlu memastikan pelanggan tersebut mengetahui segala isi kontrak yang terkandung sebelum menandatanganinya. Jika sebaliknya yang berlaku, maka kita telah menipu duit orang lain dan hal ini amat dibenci oleh Allah SWT.

󾀼 Dalam soal larangan mengambil harta orang lain secara batil ini, bukan hanya tertakluk pada pekerja terhadap majikannya sahaja, bahkan majikan terhadap pekerjanya juga diambil kira. Jika kita sebagai majikan mengetahui bahawa pekerja kita telah bersungguh-sungguh melakukan pekerjaannya, tetapi gaji atau bayaran yang kita berikan tidak setimpal dengan usahanya, atau kita sebagai majikan memberikan layanan istimewa kepada sebahagian pekerja dan tidak kepada pekerja yang lain walaupun mereka bekerja dalam sektor pekerjaan yang sama, maka hal itu adalah dilarang sama sekali. Kecuali jika pekerja tersebut bersetuju dan gembira dengan perbuatan kita kerana orang yang bersetuju tidak semestinya gembira. Setuju dan gembira perlu ada pada kedua-dua belah pihak. Inilah "تراض منكم" yang dimaksudkan.

󾀼 Jika perjanjian yang adil antara kedua-dua belah pihak telah termeterai, maka kita tidak ada hak untuk merungut dan mengeluh kerana kita sendiri yang bersetuju dan secara sukarela menerima perjanjian tersebut.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA