Sabtu, 11 Jun 2016

#161 - JANGAN PUTUS HARAPAN TERHADAP RAHMAT ALLAH!


#TadabburQuran
#Day6
#Juz6

إِنَّ ٱلْمُنَٰفِقِينَ فِى ٱلدَّرْكِ ٱلْأَسْفَلِ مِنَ ٱلنَّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا

Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali daripada (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.

إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُوا۟ وَأَصْلَحُوا۟ وَٱعْتَصَمُوا۟ بِٱللَّهِ وَأَخْلَصُوا۟ دِينَهُمْ لِلَّهِ فَأُو۟لَٰٓئِكَ مَعَ ٱلْمُؤْمِنِينَ ۖ وَسَوْفَ يُؤْتِ ٱللَّهُ ٱلْمُؤْمِنِينَ أَجْرًا عَظِيمًا

Kecuali orang-orang yang bertaubat (daripada perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (agama) Allah, serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka yang demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman (di dalam syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar.

مَّا يَفْعَلُ ٱللَّهُ بِعَذَابِكُمْ إِن شَكَرْتُمْ وَءَامَنتُمْ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ شَاكِرًا عَلِيمًا

Apa gunanya Allah menyeksa kalian sekiranya kalian bersyukur (akan nikmat-Nya) serta kalian beriman (kepada-Nya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).

Al-Nisa' (4: 145-147)

---

🌲 Fokus tadabbur al-Quran kita pada hari ini sebenarnya pada ayat ke-147, tetapi sengaja dibawakan dua butir ayat sebelumnya bagi melihat hukuman Allah terhadap orang-orang munafik (hipokrit), iaitu mereka akan ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah daripada lapisan-lapisan neraka.

🌲 Namun begitu, pada ayat seterusnya, Dia berfirman: "Kecuali orang-orang yang bertaubat (daripada perbuatan munafik itu) dan memperbaik amalan mereka (yang salah) dan mereka pula berpegang teguh kepada (agama) Allah, serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka yang demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman, dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar."

🌲 Hal ini menunjukkan bahawa sememangnya ada orang yang pernah terjebak dalam kancah kemunafikan namun mereka sempat bertaubat dan kembali kepada Tuhannya. Jadi, sifat munafik bukanlah sifat yang kekal dan hakikatnya bisa dihapuskan. Jika kita pernah menderitai penyakit hipokrit ini, kita sememangnya boleh kembali ke pangkal jalan kerana pintu taubat Allah sentiasa terbuka. Kemudian, kita perlu memperbetul diri, berbaik sesama manusia, serta kembali bertaut kepada Allah. Seterusnya, hendaklah kita kembali mengikhlaskan diri dalam beragama kerana masalah utama orang munafik ialah tidak ikhlas, tidak jujur, atau berpura-pura dalam beragama. Natijahnya, kita tidak akan lagi tergolong dalam kalangan mereka yang munafik, sebaliknya termasuk bersama-sama dengan orang yang beriman.

🌲 Pada akhir ayat tersebut, Allah akan memberikan pahala yang besar kepada orang-orang yang beriman. Lihat, pada ayat sebelumnya, Allah menegaskan bahawa golongan munafik akan dihumbankan ke dalam dasar neraka yang paling bawah. Bahkan dalam surah al-Nisa' ini pun, lebih kurang 60 ayat hanya didekasikan untuk golongan munafik sahaja. Sesuatu yang sangat serius sehingga membuatkan kita terfikir, "adakah aku ini seorang yang hipokrit?"

🌲 Sebab itu saya memilih petikan ayat ini. Allah ingin memberitahu manusia yang sudah terlalu tenggelam dan penuh dengan dosa, mereka berasakan bahawa mereka sudah putus harapan bahawa Allah akan mengampuni dirinya. Pada masa itulah, syaitan akan berbisik kepadanya, "yeah, Allah akan seksa kau! Kau akan dihumban ke dalam neraka!" Kemudian, jika pergi mendengar khutbah atau ceramah pula, penceramah akan mengatakan, "orang sekian sekian akan masuk ke dalam neraka!" Lalu, pada akhirnya, mereka akan mempersoalkan, "untuk apa Allah menciptakan neraka? Kenapa Allah ingin menyeksa aku? Kenapa Dia nak lontarkan aku ke dalam neraka? Kenapa ada bermacam bentuk penyeksaan di dalamnya? ..." serta pelbagai lagi persoalan yang menyesakkan jiwanya.

🌲 Haaa... Ayat ini sebenarnya yang saya nak kongsi! Bukankah Allah telah berfirman,

"مَّا يَفْعَلُ ٱللَّهُ بِعَذَابِكُمْ إِن شَكَرْتُمْ وَءَامَنتُمْ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ شَاكِرًا عَلِيمًا"

"Apa gunanya Allah menyeksa kalian sekiranya kalian bersyukur (akan nikmat-Nya) serta kalian beriman (kepada-Nya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka)."

Apa perlu Allah menyeksa kamu? Kenapa kamu fikir Allah akan menyeksa kamu? Adakah kamu fikir itu yang Allah mahu?

🌲 Jika kita bersyukur dan beriman, Allah sangat-sangat menghargainya. Kalimah "شاكر" kebiasaannya digunakan untuk hamba, tetapi Allah menggunakannya untuk diri-Nya sendiri. Dia pasti memberi dan menambah nikmat jika kita boleh berfikir bahawasanya Allah telah memberikan hanya yang baik-baik kepada hamba-Nya.

🌲 Renungilah kisah Hasan al-Basri. Ketika anak perempuannya tercedera, disebabkan beliau kasih akannya, Hasan berlari ke arah anak perempuannya lalu beliau mengangkatnya. Sambil melihat tangan anaknya yang tercedera, beliau bertanya, "adakah tanganmu baik-baik saja?" Anaknya menjawab, "Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana Dia hanya membiarkan saya tercedera pada tangan sahaja tetapi memelihara anggota badan saya yang lain dengan selamat." Subhanallah! Jika kita dapat melihat dengan jelas apa-apa yang perlu disyukuri dan benar-benar beriman kepada-Nya, Allah pasti akan lebih menghargai. Dia lebih mengetahui setiap masalah dan apa-apa saja yang berlaku ke atas diri kita. Dia pasti tidak akan tergamak untuk menyeksa kita kerana Dia Maha Mengasihi hamba-hamba-Nya yang bersyukur. Allah mencipta kita bagi menunjukkan Maha Luasnya rahmat dan kasih sayang Allah.

🌲 Semoga Allah mengizinkan kita untuk merasai nikmat, rahmat, dan kasih sayang Allah serta tidak membiarkan kita berputus asa daripada rahmat dan kasih sayang-Nya. Sesungguhnya, pintu-pintu syurga sentiasa terbuka bagi menyambut kita untuk masuk melaluinya.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA