Ahad, 12 Jun 2016

#162 - KEJELEKAN LAWAN KEBAIKAN


#TadabburQuran
#Day7
#Juz7

قُل لَّا يَسْتَوِى ٱلْخَبِيثُ وَٱلطَّيِّبُ وَلَوْ أَعْجَبَكَ كَثْرَةُ ٱلْخَبِيثِ ۚ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ يَٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَٰبِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu." Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kalian berjaya.

Al-Ma'idah (5: 100)

---

🌳 Alhamdulillah, seminggu sudah kita menjalani ibadat puasa pada bulan Ramadan tahun ini. Baiklah, pada hari ini, kita akan sama-sama mentadabbur ayat ke-100 daripada surah al-Ma'idah.

🌳 Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW untuk berkata bahawa keburukan dan kebaikan itu adalah tidak sama. Perkara pertama yang perlu kita tahu ialah Allah bukan saja menyatakan bahawa keburukan dan kebaikan itu tidak sama, bahkan Allah memberitahu Nabi-Nya untuk menyatakan demikian juga kerana baginda SAW akan menjadi wakil Allah untuk menentukan apa-apa yang baik dan apa-apa yang buruk (apa-apa yang diterima dan apa-apa yang ditolak). Jadi, para Muslim mesti memahami hakikat ini bahawa arahan ini ialah arahan Rasulullah dan secara automatik merupakan arahan Allah jua.

🌳 Dunia masa ini, kita banyak mengungkapkan bahawa sesuatu perkara itu perlulah diputuskan atau digariskan oleh majoriti masyarakat. Masyarakat yang menjadi penentu sama ada perkara tersebut normal atau tidak, baik atau buruk, diterima atau ditolak, dan lain-lain. Hal ini boleh berubah mengikut peredaran masa dan zaman. Mungkin pada masa dahulu, masyarakat menolak sesuatu perkara itu, namun hal tersebut diterima pula pada masa kini dan telah menjadi norma. Piawaian (standard) boleh berubah-ubah. Jadi, sejauh mana kita mengikuti piawaian ini?

🌳 Nabi SAW telah diiktiraf oleh Allah untuk menggariskan sesuatu perkara mengikut piawaian yang dikehendaki. Hal ini juga merupakan salah satu tujuan mengapa baginda diutuskan kepada umat ini, iaitu memberitahu kita bahawa keburukan tidak akan sama dengan kebaikan walaupun kebanyakan yang buruk itu sangat menarik hati kita dan membuatkan kita terpesona. Di sini membawa maksud bahawa keburukan itu akan menjadi banyak dan merebak ke segenap inci dunia ini. Lalu, kita akan beralasan, "semua orang melakukan perbuatan sekian sekian, semua orang bercakap sekian sekian. Apa yang kau cakap ni? Rileks la, kenapa perlu rasa pelik? ..." bagi menghalalkan tindakan buruk kita itu. Perkara yang sudah menjadi kebiasaan akan diterima oleh orang ramai manakala perkara yang dianggap pelik, janggal, dan aneh tidak akan diterima.

🌳 Allah menegaskan bahawa keburukan itu akan diterima ramai. Namun begitu, perlu diingat bahawa walau setinggi mana pun penerimaan masyarakat dan walau sebiasa mana pun keburukan tersebut, keburukan dan kebaikan tidak akan pernah menjadi sama. Walau kita melihat kawan-kawan kita melakukannya, walau sekeliling kita dipenuhi dengannya, apa-apa yang salah akan tetap salah dan tidak akan sesekali menjadi perkara yang benar.

🌳 "Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran (يا أولي الألباب)..."

Ulul albab ialah orang-orang yang suci fikirannya dan jernih akalnya. Mindanya tidak akan terpengaruh dengan persekitaran, limpahan serangan pemikiran, dan mengikut secara membuta tuli. Kita tidak boleh berfikiran bahawa semua orang melakukan perbuatan tersebut, jadi perbuatan itu adalah benar. Ada orang yang menyambut sesuatu perayaan, misalnya perayaan mengenang kematian seseorang, tetapi mereka tidak tahu dan tiada idea mengapa mereka menyambutnya. Kebanyakannya disebabkan melihat orang lain menyambutnya juga. Jangan jadi domba, kawan! Kita mesti menjadi orang yang mempunyai kefahaman yang jelas dan terbuka!

🌳 Kenapa perlu menjadi golongan ulul albab? "لعلكم تفلحون". Supaya kalian memperoleh kejayaan! Kita melihat semua orang melakukan sesuatu perbuatan dan kita berfikir mereka melakukannya kerana boleh membawa kepada kejayaan. Tidak! Sebanyak mana pun manusia melakukannya dan sebanyak mana pun kita menganggap bahawa mereka sedang menuju kejayaan, kita patut lebih takut dan waspada kepada Allah. Gunakanlah akal fikiran serta tetaplah dengan kebaikan dan kebenaran jika kita mahu menjadi orang yang berjaya.

🌳 Selain "إفْلاح", kalimah Arab yang juga membawa maksud "kejayaan" ialah "فَوْز". Walau bagaimanapun, Allah tidak berfirman dengan lafaz "لعلكم تَفُوزُون", tetapi Dia berfirman dengan lafaz "لعلكم تُفْلِحُون". Kalimah "إفلاح" digunakan ketika kita berkebun atau bertani. Kita menanam sebutir benih, menggemburkan tanah, menyiram benih tersebut, memastikannya mendapat cahaya matahari yang mencukupi, serta memeliharanya daripada rumpai dan haiwan perosak – kita melakukan semua ini sepanjang tahun. Hasilnya, kita akan dapat melihat kejayaan. "تُفْلِحُونَ" digunakan apabila kita banyak mengerah tenaga dan melakukan pekerjaan terhadap sesuatu.

🌳 Allah sedang menyatakan bahawa menentang keburukan dan mencari sekilas kebaikan yang sangat jarang ditemui di sebalik dunia yang penuh dengan kekotoran ini memerlukan kerja keras dan mujahadah yang berterusan, bukan hanya perlu duduk diam dan berpeluk tubuh membiarkan segala-galanya terjadi dengan sendiri. Jangan khuatir kerana segala usaha dan penat lelah kita pasti akan dibayar dengan kejayaan. Berusaha untuk mencari kawan-kawan yang soleh, mencari hiburan yang baik, membaca buku dan bahan bacaan yang sesuai, mendapatkan pekerjaan yang mulia, mencari sumber makanan yang halal, memperoleh sumber pendapatan yang suci, dan lain-lain. Semua perkara ini memerlukan usaha yang sangaaaaat banyak namun hasilnya sangaaaaat berbaloi kerana kita melakukannya atas dasar ketakwaan kepada Allah serta bagi memastikan kita sentiasa tergolong dalam kalangan ulul albab yang memiliki akal dan fikiran yang jernih.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA