Isnin, 13 Jun 2016

#163 - IBU BAPA DALAM ISLAM


#TadabburQuran
#Day8
#Juz8

۞ قُلْ تَعَالَوْا۟ أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ ۖ أَلَّا تُشْرِكُوا۟ بِهِۦ شَيْـًٔا ۖ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَٰنًا ۖ وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَوْلَٰدَكُم مِّنْ إِمْلَٰقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ ۖ وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلْفَوَٰحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ ۖ وَلَا تَقْتُلُوا۟ ٱلنَّفْسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلْحَقِّ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kalian kepada kalian, iaitu janganlah kalian sekutukan dengan Allah sesuatu pun; dan hendaklah (kalian) berbuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kalian membunuh anak-anak kalian kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kalian dan kepada mereka; dan janganlah kalian hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kalian membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kalian, supaya kalian memahaminya."

Al-An`am (6: 151)

---

󾁇 Alhamdulillah, pada permulaan minggu kedua Ramadan ini, kita akan sama-sama melakukan sedikit renungan terhadap ayat ini mengenai apa yang perlu kita perbuat terhadap kedua-dua orang tua kita.

󾁇 Dalam surah al-Isra' ayat ke-17 juga, Allah ada berfirman satu ayat indah yang mengandungi nasihat mengenai hak seorang anak terhadap ibu bapa. Namun, terdapat sesuatu yang menarik minat saya untuk berkongsi ayat ke-151 daripada surah al-An`am ini.

󾁇 Ayat ini bermula dengan, "قُلْ تَعَالَوْا۟ أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُم" — Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kalian kepada kalian..." Jadi, ayat ini seharusnya menyebut perkara-perkara atau perbuatan-perbuatan yang diharamkan oleh Allah:

1- أَلَّا تُشْرِكُوا۟ بِهِۦ شَيْـًٔا

janganlah kalian sekutukan dengan Allah sesuatu pun

3- وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَوْلَٰدَكُم مِّنْ إِمْلَٰق

janganlah kalian membunuh anak-anak kalian kerana kepapaan

4- وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلْفَوَٰحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَن

janganlah kalian hampiri kejahatan-kejahatan - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi

5- وَلَا تَقْتُلُوا۟ ٱلنَّفْسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلْحَق

janganlah kalian membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak)

󾁇 Eh, perasan atau tidak di atas tadi, nombor dua tidak ada? Ya kan, nombor dua ialah "وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَٰنًا" — dan hendaklah (kalian) berbuat baik kepada ibu bapa. Tapi kan, bukankah semua perkara yang disebut oleh Allah dalam ayat ini berupa larangan — Jangan mensyirikkan Allah, jangan membunuh anak dan orang lain, jangan menghampiri perkara yang keji? Semuanya "jangan". Tetapi, kenapa hanya frasa "وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَٰنًا" sahaja yang berbentuk arahan? Kenapa ya? *garu kepala yang tidak gatal

󾁇 Subhanallah, hendak tahu mengapa dari segi retorik, ayat ini sangat berkuasa? Hakikatnya, Allah ingin menyatakan bahawa kalau kita hanya ingin melakukan sedikit sahaja kebaikan terhadap ibu bapa, lebih baik kita tidak perlu melakukannya. Dalam Islam, tiada perintah atau hukum yang mengatakan bahawa kita perlu melakukan yang terbaik bagi sesuatu perbuatan, barulah perbuatan kita diterima oleh Allah. Jika kita tidak melakukan yang terbaik, kita akan berada dalam keadaan berdosa. Tiada dalam Islam hukum seumpama itu kecuali terhadap ibu bapa. Ya, ibu bapa!

󾁇 Cuba kita perhatikan, Allah tidak memerintahkan kita untuk bersifat ihsan terhadap Allah yang mana jika kita tidak bersifat sedemikian, maka kita telah melakukan perkara yang haram. Tetapi, Allah memerintahkan kita untuk berlaku ihsan terhadap kedua-dua ibu bapa. Ihsan di sini bermaksud kita perlu menjadi yang terbaik dan melakukan sebaik mungkin terhadap kedua-dua orang tua kita. Kita perlu menjadi yang terbaik untuk mereka dalam setiap situasi dan keadaan. Jika kita tidak menjadi yang terbaik, kita sebenarnya telah berada dalam daerah yang haram.

󾁇 Jika kita tidak mempunyai kesempurnaan dalam solat, secara teknikalnya kita masih belum berdosa dan kita perlu lebih berusaha ke arah kesempurnaan tersebut. Jika kita tidak mempunyai kesempurnaan bagaimana ingin berbicara dengan manusia, kita masih boleh memperbaiki diri dan sekurang-kurangnya, kita masih tidak berdosa. Lain pula halnya dengan ibu bapa. Jika hendak berbicara dengan ibu bapa, berbicaralah dengan cara yang paling baik. Jika hendak berurusan, berurusanlah dengan cara yang paling baik. Jika hendak memberi hadiah, berilah hadiah yang paling baik. Bersabarlah terhadap mereka dengan kesabaran yang paling tinggi. Allah tidak mengkhususkan kata kerja bagi semua ini. Dia hanya berfirman bahawa jika dengan ibu bapa, jadi yang terbaik (إحسان). Apa yang terbaik? Tahu apa maksudnya?

󾁇 Tiada satu perkara pun antara perhubungan kita dengan ibu bapa melainkan semuanya mesti yang paling baik. Kata-kata kita, sikap kita, bahasa tubuh kita, pendapat kita, layanan kita, pemberian kita, masa kita — mereka mesti memperoleh yang terbaik daripada diri kita. Dalam bahasa mudahnya, kita boleh mengandaikan apabila seseorang memberi kita sesuatu arahan, dia seolah-olah memaksudkan, "saya tidak mahu sebarang perbincangan lagi, ok?" Jadi, misalnya jika ibu bapa kita menyuruh kita "diam", cukup dengan hanya satu perkataan sahaja, kita perlu diam. Selesai. Tidak perlu ada sebarang perbincangan, bantahan, mahupun percanggahan. Tiada sebarang kompromi.

󾁇 Inilah arahan Allah yang dimaksudkan daripada ayat ini. Apa-apa saja yang berkaitan dengan ibu bapa, jadi yang terbaik. Jika kita mengurangi atau tidak sempurna kebaikan tersebut, kita akan berada dalam keadaan berdosa. Semoga Allah sentiasa memandu kita untuk terus hidup di bawah rahmat-Nya dan memberi kita kekuatan untuk terus bersabar dalam melayani ibu bapa meskipun mereka berada dalam keadaan marah, emosi tidak stabil, atau memberi kita arahan yang tidak sepatutnya (seperti melanggar syariat Islam). Berikan yang terbaik kepada mereka seboleh mungkin. Ya Allah, ampunkan dosa kami dan dosa kedua-dua ibu bapa kami. Amin.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA