Selasa, 14 Jun 2016

#164 - JANGAN SESEKALI BERPUTUS ASA TERHADAP ORANG LAIN!


#TadabburQuran
#Day9
#Juz9

وَإِذْ قَالَتْ أُمَّةٌ مِّنْهُمْ لِمَ تَعِظُونَ قَوْمًا ۙ ٱللَّهُ مُهْلِكُهُمْ أَوْ مُعَذِّبُهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا ۖ قَالُوا۟ مَعْذِرَةً إِلَىٰ رَبِّكُمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

Dan (ingatlah) ketika segolongan antara mereka berkata: "Mengapa kalian menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?" Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu adalah) untuk melepaskan diri daripada bersalah kepada Tuhan kalian, dan supaya mereka bertakwa".

Al-A`raf (7: 164)

---

󾀾 Ayat di atas mempunyai kaitan dengan kisah kaum yang melanggar peraturan hari Sabat (Sabtu). Hari Sabtu merupakan hari yang dikhususkan kepada kaum tersebut untuk beribadat kepada Allah dan dilarang daripada menangkap ikan. Akan tetapi, Allah sengaja ingin menguji mereka dengan membuatkan ikan-ikan di laut melompat keluar dari air dan membuat bising pada hari Sabtu, sedangkan pada hari lain, ikan-ikan tersebut tidak pula melakukan hal yang serupa. Jadi, para nelayan yang tidak tahan dengan ujian dan suasana tersebut telah melanggar peraturan hari Sabtu dengan pergi menangkap ikan.

󾀾 Jadi, disebabkan perlanggaran peraturan tersebut, kaum itu telah berpecah kepada dua golongan. Golongan pertama ialah Muslim (ketika itu) yang tidak lagi kisah akan halal dan haram dengan melanggar saja peraturan hari Sabtu tersebut. Golongan kedua pula ialah mereka yang masih berpegang teguh kepada agama dan tidak melanggar peraturan tersebut, tetapi mereka juga telah terpisah kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama ialah mereka yang masih menganggap golongan yang melanggar peraturan hari Sabtu itu masih saudara mereka dan perlu dinasihati bahawa apa-apa yang mereka lakukan adalah salah dan tidak patut dilakukan. Manakala, kumpulan kedua pula ialah mereka yang tidak kisah lagi akan golongan yang melanggar peraturan tersebut kerana telah menjadi liberal, progresif, hipokrit, dan lain-lain. Apabila kumpulan pertama mengajak kumpulan kedua untuk sama-sama menasihati saudara-saudara mereka yang telah tersasar, kumpulan kedua berkata, "apa guna kita hendak menasihati mereka? Lupakan saja mereka kerana Allah pasti akan membinasakan mereka."

󾀾 Jadi, ayat yang dipetik pada hari ini menceritakan perbualan yang berlaku antara kedua-dua golongan kedua yang beragama. Ya, mereka benar-benar mematuhi perintah Allah dan tidak melanggar peraturan hari Sabat. Namun, berlaku perbincangan antara mereka adakah patut atau tidak mereka menasihati saudara-saudara Muslim mereka yang telah rosak itu. Apabila ada antara mereka yang berasakan mereka perlu juga menasihati saudara mereka itu, kumpulan yang lain berkata, "mengapa kalian menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?" Kumpulan ini hanya melihat dosa yang ada pada orang lain dan terus menghukum mereka sebagai ahli neraka dengan menganggap tiada gunanya lagi untuk berdakwah kepada mereka.

󾀾 Kumpulan yang lagi satu tetap mencuba untuk bercakap dengan mereka dan walaupun kumpulan ini pergi juga, mereka tidak berkata dengan memberitahu bahawa apa-apa yang kalian lakukan ini adalah haram, kalian akan dihumban ke dalam api neraka. Tidak! Perkataan yang digunakan iaitu "تعظون" daripada asal perkataan "وعظ" sebenarnya bermaksud nasihat dan kata-kata yang sangat lembut yang mampu menembusi lubuk hati. Dalam erti kata yang lain, kumpulan yang pergi bercakap dengan saudara Muslim mereka yang rosak itu sebenarnya sedang bercakap dengan cara yang paling lembut dan merayu serta cuba memberikan peringatan Allah dengan menyentuh hati mereka, bukannya dengan cara menampar kepala dan berkata, "jangan buat macam ini!" Begitulah sepatutnya yang kita lakukan dalam dakwah.

󾀾 Jika kita ingin berdakwah, bukan hanya sekadar berkata bahawa apa-apa yang mereka lakukan adalah haram, tetapi cuba ingatkan mereka kepada Allah banyak-banyak. Allah telah menciptakan kita, bukankah kita perlu bersyukur kepada-Nya dengan tidak melakukan maksiat? Dengan cara ini mungkin lebih mudah mereka membuat kesimpulan bahawa mereka sedang melakukan perkara yang salah atas kesedaran diri sendiri.

󾀾 Jadi, kumpulan Muslim lain yang beragama namun bersikap acuh tidak acuh terhadap orang lain, mempersoalkan mereka yang cuba menasihati saudara mereka yang berdosa, untuk apa perlu diberikan nasihat? Bukankah Allah akan menyeksa atau membinasakan mereka? Lihatlah betapa yakinnya mereka bahawa Allah akan melakukan yang demikian! Ibarat Allah telah memberitahu mereka bahawa Dia akan menyeksa kaum yang berdosa itu. Bagaimana kita boleh menganggap bahawa orang yang berdosa itu tidak akan bertaubat? Bagaimana kita bisa mengetahui bahawa mereka tidak akan kembali ke pangkal jalan? Masih ingat dalam sesi tadabbur yang lepas, kita telah berbincang bahawa kalau kita telah terjebak dalam dosa kemunafikan, kita masih boleh kembali. Jadi, siapa kita untuk sesuka hati menilai orang lain seperti itu?

󾀾 Justeru, golongan yang pergi berdakwah menjawab pertanyaan mereka yang tidak pergi menasihati saudara mereka yang berdosa dengan jawapan yang sangat indah.

"قالوا معذرة إلى ربكم ولعلهم يتقون"

"(Nasihat itu adalah) untuk melepaskan diri daripada bersalah kepada Tuhan kalian, dan supaya mereka bertakwa."

Ya, mungkin kita tidak berkuasa untuk mencegah atau menghalang mereka daripada terus melakukan dosa, tetapi mereka ialah saudara se-Muslim kita. Sekurang-kurangnya kita telah mencuba untuk menasihati, bercakap dengan lembut, dan cuba membawa mereka kembali berhubung dengan Tuhan. Sekurang-kurangnya kita ada jawapan di hadapan Allah yang kita telah melakukan sesuatu, bukan hanya duduk diam, mengutuk, dan menghukum mereka sebagai ahli neraka. Inilah sikap yang perlu kita ada terhadap saudara Muslim kita yang berdosa.

󾀾 Bukan tugas kita untuk pergi kepada mereka dan berkata bahawa berdosa dan jahatnya mereka. Bukan! Apa yang kita perlu lakukan ialah "وعظ" kepada mereka. Motivasi bagi kita untuk terus melakukan mau`izah ini adalah supaya kita mempunyai jawapan di hadapan Allah nanti pada saat Dia bertanya, "kenapa engkau membiarkan saja mereka dalam keadaan berdosa? Bukankah mereka saudara Muslim engkau?" Kita adalah satu ummah dan kita tidak sepatutnya meninggalkan saudara-saudara kita di belakang. Selalulah cakna akan keadaan ummah. Motivasi kedua ialah mudah-mudahan dengan nasihat yang kita lakukan ini, mungkin mereka yang berdosa akan bertaubat dan menjadi orang yang bertakwa pada masa akan datang. Siapa tahu?

󾀾 Semoga Allah sentiasa memberikan rezeki kepada kita untuk menjadi hamba yang bertakwa kepada-Nya, amin.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA