Rabu, 15 Jun 2016

#165 - APA YANG BOLEH KITA SUMBANGKAN UNTUK ISLAM?


#TadabburQuran
#Day10
#Juz10

انفِرُوا۟ خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَٰهِدُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Pergilah kalian beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dalam keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dalam keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kalian pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kalian, jika kalian mengetahui.

Al-Tawbah (9: 41)

---

󾁎 Ayat ini merupakan arahan Allah kepada kaum Muslimin pada zaman Rasulullah SAW supaya berangkat dan menyertai peperangan Tabuk. Ketika itu, Makkah telah pun berjaya dikuasai semula oleh pihak Muslimin dan Islam telah tersebar ke seluruh Semenanjung Tanah Arab. Namun begitu, kerajaan Islam Madinah yang dipimpin oleh Rasulullah SAW telah mendapat ancaman daripada Empayar Rom. Jadi, baginda SAW telah merancang taktik peperangan bersama para sahabat sebagai persediaan menghadapi pasukan tentera Rom yang berjumlah antara 30,000 hingga 100,000 orang ramainya.

󾁎 Jadi, kaum Muslimin ketika itu perlu mengorbankan apa-apa saja perkara yang boleh disumbangkan bagi mempertahankan maruah dan kesucian Islam dalam mendepani cabaran musuh. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir daripada kalangan kaum Muslimin berasakan adakah mereka benar-benar layak dan kuat untuk berperang kerana ada antara mereka yang tidak pernah pergi berperang sebelum ini.

󾁎 Justeru, Allah memberikan perkataan universal yang bukan hanya sekadar bermanfaat dalam konteks tersebut (berperang di jalan Allah), malah untuk sesiapa saja yang mahu berbakti kepada agama Allah, melindunginya, dan melakukan khidmat di bawah naungan Islam selama-lamanya.

"انفِرُوا۟ خِفَافًا وَثِقَالًا"

Berangkatlah kalian baik dalam keadaan ringan mahupun berat. Sama ada ketika kita mempunyai wang yang banyak atau sedikit, ketika kita memiliki aset yang melimpah ruah atau sebaliknya, ketika kita mempunyai bakat yang boleh disumbangkan atau ketika kita berfikir kita tiada apa-apa bakat, ketika kita kuat atau ketika kita berfikir kita lemah, ketika kita berilmu pengetahuan atau ketika kita berfikir ilmu kita tidak banyak, dan banyak lagi. Setiap daripada kita mesti bergerak dan melangkah maju ke hadapan kerana kita perlu menyumbangkan sesuatu untuk Allah. Setiap daripada kita perlu membuat penilaian terhadap diri sendiri. Dalam ayat yang lain, Allah ada berfirman,

قُلْ كُلٌّ يَعْمَلُ عَلَىٰ شَاكِلَتِهِۦ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya (kecenderungannya) sendiri..." — Al-Isra' (17: 84)

󾁎 Allah mencipta kita dengan pelbakai bakat, kebolehan, dan keupayaan masing-masing. Maka, kita perlu menggunakan setiap kelebihan yang diberikan oleh Allah ini untuk bekerja kerana-Nya dengan cara yang betul. Kita mesti melakukan pentaksiran yang benar terhadap diri sendiri. Agama kita bukan hanya mengenai jiwa, rohani, solat, dan pencegahan daripada perkara yang haram, kemudian berhenti setakat di situ sahaja. Bukan! Hakikatnya, agama kita adalah tentang penjagaan diri sendiri serta melakukan sesuatu yang lebih dan di luar kehendak kita. Sesuatu yang kita lakukan untuk meraih syurga-Nya dengan membantu orang lain seperti menyebarkan agama Islam, berkhidmat kepada masyarakat, melakukan kerja sukarelawan, menghulurkan derma, memberikan nasihat yang baik, dan lain-lain. Pendek kata, kita menjadi sumber inspirasi kepada kehidupan dunia yang lebih baik.

󾁎 Bagaimana untuk memberikan inspirasi kepada dunia? Kita sendiri yang perlu melihat diri apa kelebihan yang kita ada yang boleh kita sumbangkan untuk kebaikan masyarakat. Inilah seruan Allah melalui ayat ini. Mari sama-sama berdoa, Insya-Allah, semoga Allah meletakkan kita untuk dapat berkhidmat sesuatu demi agama kerana peluang dipilih oleh Allah untuk berbakti kepada agama ialah kemuliaan terbesar yang bisa kita nikmati dalam hidup ini.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA