Khamis, 16 Jun 2016

#166 - MEREKA YANG MENGHINA ALLAH


#TadabburQuran
#Day11
#Juz11

وَلَا يَحْزُنكَ قَوْلُهُمْ ۘ إِنَّ ٱلْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا ۚ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) berasa dukacita disebabkan kata-kata mereka yang ingkar itu; kerana sesungguhnya segala kekuasaan tertentu bagi Allah; Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui.

أَلَآ إِنَّ لِلَّهِ مَن فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَن فِى ٱلْأَرْضِ ۗ وَمَا يَتَّبِعُ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ شُرَكَآءَ ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ

Ingatlah! Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di Bumi dan bahawa mereka yang menyembah sesuatu yang lain Allah sebagai sekutu-Nya, mereka tidak menurut (sesuatu keyakinan), mereka hanya menurut sangkaan semata-mata, dan mereka hanyalah orang-orang yang sentiasa berdusta.

Yunus (10: 65-66)

---

󾀼 Dalam ayat ke-65 surah Yunus, Rasulullah SAW telah diberitahu oleh Allah SWT bahawa baginda akan mendengar kata-kata daripada kaum musyrikin yang akan menyakiti baginda. Lalu, Allah menyatakan kepada baginda supaya jangan biarkan kata-kata tersebut menyakitinya. Nabi SAW perlu menjadi lebih kuat kerana jika baginda membiarkan kata-kata mereka menyakitinya, kaum musyrikin pasti akan membuatkan moral baginda jatuh dan baginda SAW pasti tidak dapat menjalankan tugas menyebarkan mesej Islam — mesej harapan, keyakinan, dan membawa manusia kembali mencari tujuan hidup yang hakiki.

󾀼 Jika moral dan semangat Nabi SAW sendiri jatuh, bagaimana sekalian manusia yang lain boleh mencari moral dan motivasi yang mereka ingini? Jadi, jika Nabi Muhammad SAW berfikir kata-kata mereka menghina Allah, agama-Nya, dan diri baginda sendiri, apa kata Allah?

إِنَّ ٱلْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا

Tidak diragukan lagi, segala maruah, kemuliaan, dan kekuasaan semuanya milik Allah. Mustahil Allah boleh diperangi atau dilawan kerana Allah memiliki segala-galanya.

󾀼 Allah bukan tidak mendengar apa-apa yang telah mereka katakan. Allah jua bukan tidak tahu apa-apa yang telah mereka sebutkan yang kita sendiri tidak boleh mendengarnya. Bahkan Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Allah memberi baginda SAW nasihat yang sangat jelas bagaimana mahu terus melangkah ke hadapan walaupun mendengar percakapan yang sangat hodoh dan menjelikkan.

󾀼 Dewasa ini, kita seringkali berada di atas talian (online). Seringkali juga kita terdedah dengan komen-komen di dalam blog, Facebook, di bawah video YouTube, dan lain-lain yang sangat menghina Islam. Saat kita membaca komentar negatif dan penuh dengan emosi tersebut, pasti akan membuatkan kita berasa sakit hati dan berfikir, "macam mana boleh ada spesies orang yang sanggup menghina Allah dan Rasul-Nya?" atau ayat yang seumpamanya. Seperkara yang kita perlu ingat, iman kita ibarat langit dengan bumi jika hendak dibandingkan dengan iman Nabi SAW. Namun begitu, baginda SAW juga berasa sedikit terganggu dengan kata-kata mereka. Tetapi, Allah mengingatkannya bahawa jangan biarkan kata-kata tersebut melemahkannya. Kata-kata mereka sesekali tidak dapat mencabar kekuasaan Allah kerana Dia memiliki segala-galanya.

󾀼 Allah memiliki tiap-tiap sesuatu yang berada di langit mahupun di Bumi. Semestinya kata-kata kebencian mereka tidak akan sesekali dapat menggugat kebesaran dan kemuliaan-Nya. Justeru, jika kita terasa dengan kenyataan negatif yang dilemparkan oleh pihak tertentu, kebanyakan daripada kita akan memberi reaksi dengan membalas semula kenyataan negatif tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa kita masih belum faham apa yang sepatutnya dilakukan.

󾀼 Kita perlu mengaplikasikan apa-apa yang telah diajar oleh agama. Kita juga perlu konsisten menyebarkan agama yang telah kita pelajari ini kepada orang lain. Jangan biarkan sifat agresif dan kebencian yang dilontarkan oleh pihak lain menyekat dan mengganggu tugas dakwah kita sebagaimana baginda SAW. Insya-Allah, semoga Allah sentiasa memberi kita kekuatan dan terus thabat (teguh pendirian) di atas jalan Islam ini walaupun menghadapi cemuhan dan tentangan daripada musuh.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA