Ahad, 31 Julai 2016

#186 - ULASAN BUKU (JULAI 2016)


Bismillah. Assalamualaikum warahmatullah.

Ehem, semua sudah menunaikan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal ini? Apa khabar iman kita pasca-Ramadan? Masih sihat dan bertenaga, atau sudah lemah dan tidak bermaya? Moga-moga kita sentiasa beroleh kesedaran bagi memastikan kualiti iman kita sentiasa berada pada tahap yang terbaik, amin.

Baik, nak mula dari mana ya? Emm, sekadar pengenalan, rasanya ini merupakan kali pertama saya menulis ulasan (review) buku sebab sebelum ini, saya hanya sekadar membaca dan mentelaah sahaja, tetapi tidak pernah pula menulis ulasan usai menghabiskan pembacaan sesuatu buku. Walau bagaimanapun, pada kali ini, semangat untuk menulis ulasan buku tiba-tiba hadir membuak-buak dalam diri berikutan terinspirasi daripada sahabat-sahabat penggila buku yang telah saya temui di alam maya, umpamanya di laman sesawang Goodreads. Selain itu, saya juga berazam untuk mencatat ulasan buku ini pada akhir setiap bulan berdasarkan jumlah buku yang telah habis dibaca pada bulan tersebut. Contohnya, jika saya hanya mampu menamatkan sebuah buku sahaja pada satu-satu bulan itu, maka hanya sebuah buku sahajalah yang akan saya ulas. Gitu. Hal ini bagi memastikan agar saya terus istiqamah untuk membaca dengan tekun dan teliti, bukan sekadar menjadikan pembacaan sebagai hobi atau aktiviti mengisi masa senggang semata-mata.

Seperkara yang perlu kalian ketahui, saya mohon kalian supaya janganlah menganggap ulasan saya sebagai ulasan yang perlu dijadikan rujukan muktabar terhadap buku-buku yang telah saya ulas. Tambahan pula, ulasan saya tidaklah seprofesional atau seintelektual ulasan-ulasan mereka di luar sana yang jauh lebih profesional dan lebih intelektual berbanding diri saya yang hina-dina ini. Ulasan saya hanya sekadar tercetus daripada hadaman dan adunan pemikiran biasa-biasa (baca: biashe-biashe jew) seorang insan berkaca mata yang memakai gelaran "Hamas Syuja`iy". Sebab itu, blog ini diberi nama "Cetusan Hamas Syuja`iy", ewah. Nampaklah fungsi sikit di situ. Harapnya, dengan adanya pembaharuan dalam penulisan saya yang serba cetek ini, sekurang-kurangnya dapat memberikan sedikit inspirasi dan manfaat kepada kalian yang membelek-belek penulisan saya bagi meneruskan kelangsungan hidup di bawah lembayung reda-Nya. Tak banyak, sikit pun jadilah.

Ok, panjang pula membebel ya. Jadi, dengan lafaz basmalah yang agung, saya dengan ini ingin mempersembahkan tiga buah ulasan daripada tiga buah karya yang telah saya khatamkan pada bulan ini! *tepukan gemuruh*

---

1. #Henshin Mahasiswa


Penulis: Amirul Eqhwan bin Rahim
Penerbit: Inspirasee International Sdn. Bhd.
Tahun terbitan: 2016
Bilangan muka surat: 188
Rating: ★★★★

Asbab saya memilih buku ini sebagai naskhah yang pertama untuk ditelaah pada bulan ini adalah kerana saya baru saja menamatkan pengajian tahun pertama sarjana muda pada hujung bulan Jun yang lalu. Pada asalnya, saya mahu memulakan pembacaan bulan ini dengan karya yang berbeza sebaik saja saya pulang ke kediaman tercinta. Walau bagaimanapun, dengan tidak semena-mena, mata tertancap ke arah sebuah pustaka yang terletak elok di atas meja bacaan. "Eh, la! Abang aku dah beli rupanya buku ni. Nice!" getusku dalam hati. Lalu, tangan segera mencapai naskhah tersebut dan terus melabuhkan punggung di atas sebuah sofa untuk menikmati 'juadah' yang tersedia di dalam genggaman.

Buat pengetahuan semua, sebenarnya saya telah pun lama mengetahui akan kewujudan buku ini melalui laman sosial Facebook ketika saya masih berada dalam semester yang pertama. Hal ini yang demikian kerana buku ini dikarang sendiri oleh senior saya yang dihormati, iaitu saudara Amirul Eqhwan bin Rahim yang pada ketika itu masih bergelar mahasiswa tahun ketiga jurusan Sains Kimia di alma mater yang sama tempat saya menimba ilmu, Universiti Malaya (UM). Saudara Eqhwan yang saya kenali juga merupakan mantan Yang DiPertua Persatuan Belia Islam Nasional (YDP PEMBINA) UM serta memegang jawatan Pengerusi Exco Kerohanian dan Perpaduan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM sesi 2015/2016. Wah, hebat betul senior saya! Tidak hairanlah beliau sangat berkelayakan untuk menghasilkan buku ini.

Ok, sambung cerita. Di samping itu, banyak kali juga saya 'terserempak' dengan buku ini ketika meninjau-ninjau reruai-reruai buku yang dibuka di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya pada fasa minggu kuliah. Namun begitu, saya masih belum berkesempatan untuk membeli buku ini sebab saya fikir, lebih baik saya bertentang mata dan melakukan pembayaran secara terus dengan saudara Eqhwan. Alang-alang boleh dapat diskaun dan bonus autograf pengarang sekali, wakaka. Namun, apakan daya, masa tidak mengizinkan untuk saya berbuat demikian. Eleh, acah-acah sibuklah tu.

Apa-apa pun, Alhamdulillah kerana kakanda saya terlebih dahulu menunaikan hasrat murni tersebut iaitu dengan memiliki buku ini. Secara ringkasnya, buku ini merupakan sebuah panduan atau manual yang sangat berguna buat seluruh mahasiswa yang menjejakkan kaki ke alam universiti, terutamanya kepada pelajar lepasan sekolah atau prauniversiti yang bakal bergelar mahasiswa tahun pertama yang masih kurang atau tidak tahu-menahu langsung mengenai ikhtiar hidup di dunia varsiti. Istilah popular untuk golongan ini kita sebut sebagai 'freshie'. Entah dari mana datangnya istilah itu. Mungkin secara adat kepercayaannya, mahasiswa tahun pertama itu dianggap sebagai masih 'suci' daripada dinodai 'dosa' dan 'nista' varsiti, disebabkan itu mereka ialah "orang yang segar-bugar (freshie)". Agaknya begitulah.

Bukan setakat golongan freshie sahaja yang perlu mentelaah karya ini, malah para mahasiswa yang sudah sedia memakai gelaran mahasiswa juga sangat digalakkan untuk menghayati buku ini, khususnya mahasiswa universiti dalam negara. Saya yang hendak memasuki tahun kedua pengajian pun baru berkesempatan untuk membacanya. Tambahan pula, penulis menggarap isi dan menyentuh pelbagai topik dengan begitu baik sesuai dengan realiti kehidupan mahasiswa kontemporari. Bermula dari persediaan dan perancangan sebelum melangkah ke alma mater, ketempangan Minggu Haluan Siswa (MHS), hidup bergelumang dengan organisasi serta projek kolej dan universiti, bagaimana ukhuwah bersama para pensyarah, pengurusan masa dan kewangan mahasiswa, hinggalah perbincangan mengenai politik kampus. Bukan itu sahaja, malah diselitkan juga drama cinta mahasiswa, bulatan gembira (usrah), serta bonus cerpen abang naqib, wew.

Kesimpulan mudah yang boleh dinukilkan daripada buku ini adalah bagaimana mahu menjadi seorang mahasiswa Muslim berilmu yang pada masa yang sama, sentiasa beramal dan berada di bawah keredaan-Nya. Kalau hendak diceritakan semuanya di sini mana boleh, kalian perlu memilikinya segera. Apa tidaknya, besar harapan penulis agar setiap mahasiswa di luar sana dapat mengambil manfaat daripada buku ini seterusnya mengubah diri daripada mahasiswa yang biasa-biasa kepada mahasiswa yang luar biasa statusnya. Kita anak muda sebagai pemimpin masa depan negara, bukan? Jadi, mulakan membaca!

---

2. Pseudoscience Watch


Penulis: Ahli Medik dan Para Saintis Gila
Penerbit: Simptomatik Press
Tahun terbitan: 2016
Bilangan muka surat: 288
Rating: ★★★★★

Pertama kali saya berkenalan dengan buku "Pseudoscience Watch" adalah ketika saya terbaca suatu 'post' yang dihantar oleh siapa entah berkenaan buku ini di Facebook yang dikatakan bakal dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 di Malaysian Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor. Mendengar tajuk sahaja sudah menarik, ditambah pula dengan barisan penulis buku tersebut yang menggelarkan diri mereka sebagai "Ahli Medik dan Para Saintis Gila". I mean, seriously? Siapa mereka ini? Ohoi, memang nak kena dapatkan sebuah ni!

Jadi, hasrat pun tertunai usai keberangkatan ke PBAKL pada 2 Mei 2016 yang lalu. Saya berhasil memperoleh buku ini dan juga beberapa buah buku lain dengan menggunakan kepingan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) pemberian kerajaan yang tercinta. Namun, hasrat untuk membaca naskhah ini tertangguh sehingga ke cuti semester disebabkan beberapa kekangan yang ada. Sekali lagi, acah-acah sibuklah katakan.

Walau bagaimanapun, Alhamdulillah saya berjaya menghabiskan keseluruhan buku ini dalam tempoh dua minggu pertama bulan Syawal. Pergh, musim perayaan tu! Ingat senang ke nak habiskan dalam tempoh tersebut. Perlukan mujahadah dan konsistensi yang berterusan dalam 'mencuri' masa yang ada apabila tidak beraya ke mana-mana atau tidak berbuat apa-apa ketika berjalan raya <- betul atau tidak istilah ini.

Baik, buku ini sebenarnya membicarakan perihal sebilangan golongan tertentu yang mengamalkan "sains palsu" (pseudoscience). Mereka ini gemar memanipulasi dan melakukan korupsi terhadap ilmu, terutamanya yang berkaitan dengan ilmu sains, perubatan, kedoktoran, dan kejuruteraan yang disifatkan oleh penulis dan diisyaratkan oleh Rasulullah SAW sebagai golongan "Ruwaibidoh" (رويبضة), iaitu golongan yang bodoh dan dangkal, namun berbicara tentang perkara besar yang melibatkan orang ramai. Malangnya, banyak dalam kalangan anggota masyarakat yang terpengaruh dengan pembicaraan mereka. Maka, lahirlah sebuah entiti yang tegas, ganas, dan intelektual untuk bangun dan menentang golongan Ruwaibidoh ini. Entiti yang juga barisan penulis ini memakai gelaran "Pseudoscience Watch" dan mereka juga mengakui terdiri daripada pelbagai profesion seperti doktor perubatan, jurutera, saintis, dan ahli farmasi.

Sebagai tambahan, buku ini didokumentasikan hasil daripada catatan penting di halaman Facebook rasmi yang dikendalikan oleh pihak mereka sendiri (rujuk di sini). Hal ini yang demikian kerana, dikatakan halaman rasmi mereka sering diancam oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Malah, terdapat beberapa isu panas yang terpaksa dipadam atas sebab-sebab tertentu. Justeru, demi menyelamatkan penulisan yang bertujuan memerangi pendukung sains palsu serta bertanggungjawab menyedarkan kembali masyarakat yang terpengaruh dengan pemikiran mereka, maka terhasillah buku ini sebagai bahan rujukan jika pada masa akan datang, halaman Facebook mereka tidak wujud lagi.

Saya kira, buku ini hadir tepat pada masanya saat dunia hari ini berkecamuk dengan pelbagai kecelaruan dan pemikiran berbahaya yang telah ditimbulkan oleh golongan sains palsu ini, umpamanya isu antivaksin, pronatural, kelahiran alami di rumah (unassisted home birth), penunggang agama, penggunaan ganja sebagai remedi (ubat), produk-produk sains palsu, skim piramid atau multilevel marketing (MLM), rokok elektronik (vape), dan banyak lagi. Tipulah kalau cakap saya tak banyak belajar istilah baru sepanjang pengembaraan saya merenangi pembacaan naskhah ini, lebih-lebih lagi istilah berkaitan medik.

Akhirulkalam, saya berharap agar dengan adanya penerbitan buku seperti ini, sekurang-kurangnya dapat memberi saya dan para pembaca sedikit cahaya harapan dan pencerahan bagi menjawab kembali hujah yang dilontarkan oleh pihak pendukung sains palsu di luar sana. Tak perlu cakap banyak, ayuh dapatkannya dengan kadar yang segera!

---

3. Cerita Korea Kami


Penulis: Ummu Hani Abu Hassan, Norhayati Abu Bakar, Hanafi Sarif, Ahmad Fouad
Penerbit: Inteam Publishing Sdn. Bhd.
Tahun terbitan: 2016
Bilangan muka surat: 256
Rating: ★★★★

Wah, sejak bila kau minat nak baca bab-bab berkaitan Korea ni, Muhaimin? Bukankah kau ini anti-K-Pop?

Huhu, sebenarnya, faktor yang membuatkan saya berasa terpanggil untuk membaca karya-karya perihal Korea Selatan sejak belakangan ini adalah kerana saya bakal mengikuti program pertukaran pelajar selama satu semester (semester depan) di Chonnam National University (CNU), Gwangju, Korea Selatan. Alhamdulillah, bak kata pepatah Inggeris, "opportunity rarely knocks twice" (peluang jarang datang dua kali). Jadi, peluang keemasan yang hadir ini perlu digapai sebaik mungkin. Hendak tahu bagaimana saya bisa memperoleh tawaran ini? Nantikan dalam kisah akan datang. Insya-Allah, saya akan mula berlepas ke sana pada jam 8.00 pagi, 30hb Ogos ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). Kalau ada sesiapa yang hendak menemani dan menghantar saya pada hari dan masa tersebut, sangat dipersilakan. Saya amat menghargai kesudian dan kelapangan masa yang kalian berikan, ewah.

Awalnya, bukan buku ini sebenarnya yang hendak saya cari dan beli di kedai buku Bookworm yang berhampiran dengan rumah, sebaliknya buku yang berjudul "I'm a Backpacker: Korea" karya saudari Halian Azurin itu yang berada dalam radar saya ketika singgah di sana. Entah bagaimana, buku itu tidak ditemui pula di situ. Lain yang dicari, lain pula yang dijumpai. Takdir Tuhan telah menemukan saya dengan buku yang berjudul "Cerita Korea Kami" ini. Lantas, setelah tidak bertemu dengan buku asal yang diingini, saya mengira mungkin saya perlu pergi ke kedai buku yang lain pada lain masa untuk mencari buku tersebut. Apa lagi, tangan segera mencapai naskhah yang masih berbalut plastik itu dan terus melakukan pembayaran.

Apa yang menarik tentang pustaka ini ialah, buku ini merupakan himpunan pelbagai kisah yang menarik mengenai Korea Selatan dan segala isinya daripada empat orang penulis yang berbeza latar belakang. Penulis pertama, saudari Ummu Hani banyak bercerita mengenai pengalamannya selaku penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Hankuk University of Foreign Studies, Seoul dalam bidang Sastera Bandingan (Melayu). Kisah beliau yang berada di sana bersama suami dan anak-anak yang masih kecil sungguh mengujakan, umpamanya perihal budaya orang Korea, mengajar bahasa Melayu di sana, K-Pop vs Koslems (Korea Muslim), dan banyak lagi. Penulis kedua, saudari Norhayati Abu Bakar pula menukilkan perihal kisah lawatan ke beberapa lokasi menarik yang terdapat di Korea Selatan bersama keluarga dan anak beliau yang menuntut di sana (Sungkyunkwan University). Terdapat juga beberapa tips atau panduan yang dikongsikan kepada pembaca sekiranya memasang niat untuk berkunjung ke sana seperti bab pemilihan makanan, empat buah musim, dan lain-lain.

Fuh, tarik nafas sekejap. Ok, kita sambung. Penulis ketiga, saudara Hanafi Sarif yang merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Korea University, juga salah seorang pengendali halaman Facebook Mudahnya Bahasa Korea (MUBAKO) menceritakan beberapa cerita bermaknanya sepanjang bergelar pelajar di sana, terutamanya kisah berkaitan bola sepak, buah gingko, dan Ramadan di Korea Selatan. Manakala penulis keempat dan terakhir, saudara Ahmad Fouad yang kini mendalami bidang Antropologi dalam peringkat Sarjana di CNU (universiti yang sama dengan saya nak pergi nanti oi, haha), kisah yang dinukilkannya boleh disifatkan sebagai yang paling menggelikan hati. Apa yang kelakarnya itu? Ohoi, kalian kenalah baca buku ini!

Menariknya, walaupun terdapat variasi kisah yang dikumpulkan dalam buku ini, namun semuanya diungkapkan dengan bahasa yang jujur, santai, serta diselitkan nilai tarbiah Islam. Perbezaan agama, budaya, pemikiran, dan geografi yang wujud di Korea Selatan merupakan aset yang sangat berharga untuk dijadikan pengajaran kepada kita, khususnya masyarakat Muslim di Malaysia. Hal ini selaras dengan mafhum firman Allah SWT yang menggalakkan hamba-Nya untuk bertebaran di atas muka Bumi bagi menggali setiap inci hikmah dan manfaat yang tersembunyi.

Doakan permusafiran saya ketika berada di sana nanti, ya!

---

Sekian saja untuk ulasan buku pada bulan ini. Jangan lupa untuk bersama-sama saya sekali lagi pada hujung bulan depan, Insya-Allah! ^_^

Wassalam.

Selasa, 5 Julai 2016

#185 - DEMI MASA


#TadabburQuran
#Day30
#Juz30

وَٱلۡعَصۡرِ

Demi masa!

إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian;

إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Al-`Asr (103: 1-3)

---

⏰ Subhanallah, sedar tidak sedar, pejam celik pejam celik, kita telah pun berada pada penghujung hari dalam bulan Ramadan. Begitu pantas sekali masa berlalu. Maka, Insya-Allah, tadabbur al-Quran pada hari ini pun akan berbicara soal masa dan sangat sesuai sebagai konklusi bagi siri 30 hari tadabbur al-Quran kita.

⏰ Kebanyakan antara kita telah pun sedia maklum bahawa Allah telah bersumpah dengan masa dalam surah ini ("العصر" sendiri bermaksud masa), bahawa masa itu bergerak dan menitik terlalu pantas sehingga tidak mampu untuk menangkapnya. Bagaimana 30 hari sebulan Ramadan begitu cepat sekali berakhir? Bagaimana masa boleh berlalu begitu laju? Rasanya kita baru saja memasuki bulan Ramadan, tup tup Ramadan dah pun berakhir?

⏰ "إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ"

Tiada keraguan lagi bahawasanya manusia itu sememangnya lemas atau tenggelam dalam kerugian. Itulah realiti pahit yang harus kita telan. Ya, kerugian kita yang paling besar ialah masa. Kita baru saja kerugian sebulan Ramadan atau kita hampir saja kerugian barakah Ramadan dan peluang yang ada ini untuk memperoleh keampunan. Apabila kita menyedari bagaimana rupa kerugian itu, semestinya kita sebagai orang beriman tidak membiarkan seharian berlalu dengan masih mengamalkan sikap bertangguh atau berlengah-lengah.

⏰ Buat pengetahuan semua, surah al-`Asr hakikatnya merupakan kesimpulan daripada keseluruhan isi al-Quran. Apabila kita menyedari bahawa surah ini merupakan kesimpulan bagi al-Quran, maka kita perlu memperoleh sesuatu yang berguna daripada surah al-`Asr — penghormatan terhadap masa.

⏰ Apa contoh perbuatan yang menggambarkan penghormatan terhadap masa? Perbetulkan pengurusan masa seharian kita; ibaratnya masuk tidur dan bangun awal, menunaikan solat fardu tepat pada waktu, solat dengan niat yang benar, jangan membazir masa dengan perkara-perkara yang kurang atau tidak berfaedah, dan banyak lagi.

⏰ Contoh lain adalah jangan duduk di hadapan komputer atau bermain gajet sehingga larut malam, walaupun kita mahu menonton video Islamik. Pastikan kita mampu sekurang-kurangnya solat Isyak dan Subuh secara berjemaah, sama ada di masjid atau di rumah. Kita melakukan semua ini kerana kita sedar, manusia itu akan berterusan berada dalam fasa kerugian. Jadi, bagaimana mahu keluar dari zon kerugian ini?

⏰ Sama ada kita suka atau tidak, setiap daripada kita kesemuanya berarak menuju kematian. Tiada satu hari pun yang berlalu tanpa kita, isteri, dan anak-anak berjalan menghampiri kematian dan pengakhiran kehidupan yang sementara di dunia.

⏰ Kerugian itu sedang datang. Satu hari atau satu bulan baru saja diambil dari hidup kita dan kita tidak akan mendapatkannya kembali. Kita tidak akan kembali menjadi lebih muda, bahkan kita sebenarnya menjadi lebih tua dan semakin menghampiri hari penamat di atas muka Bumi ini. Itulah fakta yang harus kita terima.

⏰ Ya, faktanya ialah, kita akan sentiasa kehilangan masa kerana setiap perkara yang kita miliki di dunia ini kesemuanya berkait dengan masa. Kita menikmati duit yang melimpah-ruah, kediaman yang mewah, kesemuanya dalam kerangka masa yang tertentu, bukan? Kalau kita tidak memiliki masa, nescaya semua perkara tersebut akan tiada gunanya lagi. Bayangkan jika kita diberitahu bahawa kita akan mati dalam tempoh sejam sahaja lagi dari sekarang, adakah kesemua kenikmatan tersebut ada nilainya lagi? Sudah tentu tidak kerana apa yang kita miliki kini hanyalah satu jam sahaja!

⏰ Justeru, apabila kita benar-benar menghayati mesej al-Quran ini bahawa masa itu merupakan aset yang paling berharga dalam hidup, nescaya kita akan menggunakan serta menghormati setiap detik dan ketika yang kita miliki ini sebaik mungkin. Tiada lagi sikap sambalewa apabila tiba hari minggu seperti membuang masa menonton filem atau drama, bermain permainan video, dan pelbagai lagi bentuk pembaziran waktu. Sebaliknya kita akan berusaha melakukan pelbagai perkara yang produktif dalam kehidupan.

⏰ "إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ..."

Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, yakni hanya orang-orang Mukmin sahaja yang tidak akan mengalami kerugian kerana mereka sedar, mereka akan mengakhiri kehidupan ini dan menuju ke suatu tempat yang tiada lagi had atau batasan waktu. Atas kesedaran itu, orang-orang Mukmin melakukan pelbagai amalan kebajikan yang telah diperintahkan oleh Allah kepada mereka.

⏰ Kalimah "الصالحات" sebenarnya bermaksud "beberapa / sebilangan amal soleh" sahaja. Hal ini bermaksud bahawa Allah tidak meminta banyak pun amalan kebaikan daripada kita. Allah tidak meminta kita banyak melakukan amal soleh sepanjang tahun sepertimana kita menggandakan amal soleh ketika bulan Ramadan. Jadi, cukup dengan kita berterusan melakukan apa-apa jua amalan kebaikan dan jangan sesekali berhenti.

⏰ "...وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ..."

Orang-orang beriman itu saling menasihati, saling mengajak, dan saling menggalakkan antara satu sama lain ke arah kebenaran. Kalimah "تواصي" bermaksud "saling prihatin", menggambarkan bahawa "saya bukan lebih baik daripada kamu, dan kamu pula bukan lebih baik daripada saya; kita memerlukan antara satu sama lain".

⏰ Oleh hal yang demikian, perlunya kita untuk mencari sahabat yang beriman bagi memastikan nilai keimanan dan masa kita sentiasa hidup dan terpelihara. Mereka boleh selalu bertanya khabar akan keimanan dan kualiti masa kita apabila kita ada bersama mereka. Mereka jualah yang akan selalu mengingatkan kita akan tujuan hidup di atas muka Bumi, tentang bagaimana perlu untuk kita memiliki kehidupan yang baik tanpa melupakan matlamat hidup yang hakiki. Inilah yang dimaksudkan dengan "تواصي بالحق".

⏰ "...وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ"

Apabila ada ujian yang menerpa, cubaan yang melanda, godaan yang tiba, dan kesukaran yang menduga, kita perlu berpegang teguh pada keimanan kerana sabar bukan hanya diperlukan ketika berhadapan dengan saat-saat sulit sahaja, bahkan ketika menghadapi godaan duniawi jua. Kita perlu memiliki disiplin diri yang kuat daripada terlibat ke kancah kehinaan tersebut. Jika kita tidak mempunyai kesabaran yang jitu, nescaya kita tidak akan mampu untuk bertahan dalam setiap cabaran yang mendatang.

⏰ Ya, hari ini merupakan hari baru kita! Setelah kita berhempas-pulas selama sebulan, mengerahkan segala usaha, keringat, doa, dan air mata bagi memastikan roh Ramadan hidup dalam jiwa, kita perlu yakin bahawa Allah telah memberi kita suatu permulaan yang baru. "لا تقنطوا من رحمة الله".

⏰ Dari sini, kita benar-benar memahami nilai sebuah masa dan kita mahu memastikan bahawa kita akan melakukan yang terbaik dalam segenap aspek kehidupan. Antara tindakan yang boleh dilakukan adalah dengan menyusun jadual amalan seharian kita (مراتب الأعمال) — masa untuk hadir menunaikan solat tepat pada waktu, masa untuk mentadabbur atau mengulang hafazan al-Quran, masa untuk menuntut ilmu, dan lain-lain.

⏰ Paling penting dan utama, jaga solat kita dahulu kerana solat merupakan peringatan mutlak terhadap nilai masa. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتۡ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ كِتَـٰبً۬ا مَّوۡقُوتً۬ا

"Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." — Al-Nisa' (4: 103)

⏰ Bagi sesiapa yang masih bergelar remaja atau belia, yang masih menuntut ilmu sama ada di sekolah, kolej, atau universiti, jika anda mendapati diri anda banyak memiliki masa terluang, pastikan anda mengisi masa lapang tersebut dengan melakukan sesuatu yang produktif. Jangan sesekali membazirkan masa anda.

⏰ Hal ini yang demikian kerana, masa lapanglah antara penyebab atau punca kehancuran iman kita. Kebanyakan antara kita apabila memiliki masa lapang, kita mengisi masa tersebut dengan perkara-perkara dosa dan maksiat. Jika kita rasa kita lemah, jangan pernah sesekali berikan ruang masa lapang kepada kita. Cuba untuk selalu sibukkan diri dan mohonlah pertolongan Allah dalam menghadapi situasi tersebut.

⏰ Semoga Allah memberi kita kurniaan sahabat yang sejati dan mulia, menjauhkan kita dari orang-orang yang ingin mengajak melakukan dosa, memberi kita keputusan dan hikmah yang benar, sifat yang baik, serta kekuatan dalam melawan nafsu dan godaan dalam diri. Semoga Allah jua menjadikan kita seorang insan yang saling menasihati ke arah kebaikan dan kesabaran sehingga mampu menjadi asbab kepada orang lain untuk mengakrabkan diri kepada-Nya. Dan, semoga Allah tidak memasukkan kita ke dalam golongan yang mengalami kerugian, sebaliknya tergolong dalam kalangan mereka yang beruntung. Allahumma amin.

Barakallahu li walakum. Jazakumullahu khairan kasira.

#RamadanFiesta #EidMubarak

Isnin, 4 Julai 2016

#184 - BERISTIGHFARLAH!


#TadabburQuran
#Day29
#Juz29

فَقُلْتُ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارًا

"Sehingga aku berkata (kepada mereka): 'Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kalian, sesungguhnya Ia Maha Pengampun.

يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا

"(Sekiranya kalian berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kalian;

وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَٰلٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّٰتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَٰرًا

"Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

Nuh (71: 10-12)

---

☔️ Dalam surah ini, Nuh AS sedang memberitahu Allah tentang perkara yang telah baginda perbuat terhadap kaumnya; yakni apa yang telah baginda berjaya sempurnakan dan bagaimana ada perkara yang tidak berhasil untuk kaumnya. Tetapi Allah memilih untuk menyebut petikan ini dan di dalamnya terdapat suatu nikmat atau pemberian yang sangat indah. Pemberian itu ialah — apa yang akan kita peroleh apabila kita menyebut "istighfar" dengan ikhlas.

☔️ Secara jelasnya, jika kita memohon keampunan daripada Allah, maka Insya-Allah, hasilnya kita akan memperoleh keampunan. Tetapi, sebenarnya terdapat beberapa faedah tambahan dengan beristighfar kepada Allah seperti yang disebut dalam ayat di atas. Pemberian yang nyata kerana memohon keampunan ialah keampunan itu sendiri, namun terdapat juga faedah keduniaan. Kita akan dapat melihat faedah tersebut apabila beristighfar ketika masih di dunia lagi.

☔️ Apakah faedah tersebut?

"يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا"

"Dia akan menghantarkan hujan yang lebat (yang penuh kehidupan) kepada kalian."

Perlu diketahui bahawa hujan tetap turun ke atas kaum Nuh AS, tetapi turunnya hujan itu penuh dengan kematian. Jadi, Nuh AS berkata bahawa jika kaumnya memohon keampunan daripada Allah, maka Dia akan menurunkan hujan yang penuh dengan kehidupan. Jika kita menetap di sebuah bandar yang dilanda kemarau, apakah salah satu cara untuk membolehkan hujan turun? Istighfarlah! Insya-Allah, Dia akan menurunkan hujan dari langit.

☔️ Manfaat kedua:

"وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَٰلٍ وَبَنِينَ"

"Dan Dia akan memberi kepada kalian dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak..."

Kita akan menjalani kehidupan yang penuh sihat sambil dilimpahi pelbagai kerahmatan yang boleh kita nikmati seperti hujan dari langit, duit, dan anak-anak.

☔️ Manfaat ketiga:

"وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّٰتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَٰرًا"

"Dan Dia akan mengadakan bagi kalian kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kalian sungai-sungai."

Agama kita, Islam bukan hanya menawarkan pakej ukhrawi sahaja, bahkan tiba dengan menawarkan pakej duniawi juga. Sentiasa menyebut istighfar dengan ikhlas, Insya-Allah, Dia pasti melimpahi hidup kita dengan kenikmatan hidup di dunia sambil kita menyiapkan diri untuk kenikmatan abadi di akhirat sana.

☔️ Betapa indahnya agama ini! Kita tidak perlu pun meminta hujan, duit, anak-anak, kebun-kebun tanaman, dan sungai-sungai di dunia ini. Kita hanya perlu ikhlas dalam memohon Allah untuk mengampuni kita supaya Allah sangat gembira dengan kita yang memohon keampunan-Nya lalu mengurniai kita segala kenikmatan ini. Nikmat-nikmat ini tiada apa-apa pun bagi-Nya. Kita yang memerlukan semua ini. Apa yang penting bagi Allah ialah kita memohon keampunan daripada-Nya.

☔️ Sudut pandang atau perspektif yang diberikan daripada ayat ini ialah apa yang bernilai untuk Allah (hamba-Nya beristighfar kepada-Nya) dan apa yang bernilai untuk kita (kenikmatan dunia). Allah sedang berfirman melalui ayat-Nya ini kepada siapa? Ya, kepada golongan manusia yang sedang asyik dengan dosa kerana mereka berfikir, jika mentaati Allah dan memohon keampunan daripada-Nya (tidak melakukan kemungkaran lagi terhadap Allah), maka bagaimana mereka mahu mendapatkan wang? Bagaimana mahu menikmati kehidupan yang baik?

☔️ Allah berkata bahawa kita tidak sepatutnya berfikir dengan mentaati Allah, kita tidak boleh mengecap kenikmatan hidup lagi. Tetapi sebenarnya, kita boleh mendapatkan kehidupan yang lebih baik daripada yang kita jangka. Apabila kita cuba untuk mendapatkan kehidupan yang baik untuk diri kita, hanya diri kita yang berada di sisi sendiri. Tetapi apabila kita beristighfar, Allah yang akan berada di sisi kita. Walhasil, Dia akan mengurniakan kelengkapan, sumber, anak-anak, dan lain-lain kepada kita. Subhanallah!

☔️ Moga-moga Allah menjadikan kita insan yang sering beristighfar dengan sebenar-benarnya supaya kita bukan hanya dapat membersihkan diri kita di dunia semata-mata, tetapi juga memperoleh keampunan yang sangat mulia pada Hari Pengadilan nanti. Amin.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=Ugx4MZK3EGQ

Ahad, 3 Julai 2016

#183 - KEIMANAN DALAM MUSIBAH


#TadabburQuran
#Day28
#Juz28

مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ وَمَن يُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُۥ ۚ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa-apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Al-Taghabun (64: 11)

---

⦿ Musibah (مصيبة) bermaksud "kesusahan, malapetaka, bencana". Kalimah "أصاب" dalam bahasa Arab juga bermaksud "untuk menyasarkan". Allah sedang mengajar kita melalui penggunaan perkataan ini bahawa tiada satu pun yang berlaku kepada kita kecuali dengan bermaksud sesuatu untuk kita. Musibah itu memang secara spesifiknya disasarkan kepada kita dan akhirnya menemui sasaran. Musibah juga tidak semestinya buruk. Musibah ialah sesuatu yang memang Allah mahukan perkara tersebut berlaku kepada kita dan Allah mahu kita mengetahuinya.

⦿ Kalimah "ما" pada awal ayat sebenarnya berfungsi sebagai penyangkalan — Jangan sesekali berfikir bahawa ada sesiapa selain Allah yang meletakkan kita ke dalam situasi yang sedang kita lalui. Selamanya Allah dan dengan izin Allah jualah apa-apa yang telah berlaku ke atas kita itu berlaku sama ada baik atau buruk. Semuanya atas kehendak Allah. "ما شاء الله" (apa-apa yang Allah kehendaki), "رضيتُ بمَشِيئَةِ الله" (aku reda dengan kehendak Allah). Sama ada kita berdukacita atau bersukacita kerananya, kita perlu reda dengan ketentuan-Nya. Barulah kita benar-benar menerima bahawa kita ini seorang hamba Allah dan Dia sebagai Tuhan kita.

⦿ "Dan sesiapa yang beriman kepada Allah..." — kenyataan ini ialah kenyataan bersyarat. Mengapa? Hal ini yang demikian kerana apabila musibah menimpa, sebahagian orang akan kehilangan iman mereka. Mereka mula mempersoalkan Tuhan, "mengapa Allah berbuat seperti ini terhadapku jika Dia menciptakanku, menyayangiku, dan mahu memeliharaku? Apa jenis al-Rahman dengan meletakkan aku dalam situasi begini? ..." Apabila perkara sedemikian berlaku, maka iman kita telah pun hilang.

⦿ Allah berfirman bahawa sesiapa yang masih beriman kepada Allah semasa ditimpa musibah, "يهد قلبَه" — Allah akan memberinya suatu pemberian yang jika dia memiliki pemberian ini, dia tidak memerlukan apa-apa lagi dalam kehidupan ini, iaitu "Dia akan memimpin hatinya." Tiada perkara lain di dunia ini yang lebih bernilai selain memperoleh jaminan bimbingan atau petunjuk daripada Allah. Kita tidak tahu adakah kita mendapat petunjuk Allah atau tidak, tetapi Allah telah memberitahu jika kita melalui suatu kesusahan, kemudian kita mampu mempertahan dan memperkuat keimanan kita kepada Allah, maka Allah akan memberi kita pemberian iman yang hakiki di dalam hati dan bukan sesuatu yang kita boleh sekadar berucap dengan lidah.

⦿ Allah akan memimpin hati kita dan akan menjadi Pembimbing bagi segala perbuatan yang kita lakukan. Allah bukan berfirman "يهدِهِ" (Dia akan memimpinnya), tetapi Dia berkata "يهدِ قلبَهُ" (Dia akan memimpin hatinya). Makna kata, setiap degupan jantung akan sentiasa dilimpahi petunjuk dan zikrullah (ingatan kepada Allah). Segala perkara yang ada di dunia ini yang tertakluk di bawah petunjuk Allah berada di dalam hati orang beriman. Di mana seseorang itu merasai kesakitan musibah dan kesedihan? Tentunya di dalam hati. Justeru, Allah akan menghilangkan perasaan tersebut dari hati orang yang masih beriman walaupun ditimpa musibah.

⦿ Mari kita soroti kisah berikut. Terdapat sepasang suami isteri dari Pakistan yang hanya mempunyai seorang anak dan mereka memperoleh anak pun ketika usia mereka sudah lanjut. Diringkaskan cerita, anaknya kini berumur 18 tahun dan pada hari tersebut, dia akan bergraduasi daripada sekolah menengahnya. Selesai bergraduasi, dalam perjalanan pulang ke rumahnya dengan menunggang motosikal, tiba-tiba anak tersebut terlibat dalam suatu kemalangan jalan raya lalu meninggal dunia. Gambarkan bagaimana perasaan ibu bapanya ketika itu. Itulah satu-satunya anak yang mereka ada dan dia ibarat kehidupan mereka. Dialah kegembiraan, dialah kebanggaan dan hari tersebut merupakan hari dia bergraduasi. Berita kehilangannya pada hari tersebut membuatkan mereka berada dalam tekanan yang maha dahsyat.

⦿ Namun, setelah beberapa minggu, pada suatu hari, si suami menghampiri isterinya lalu berkata, "Allah telah memberi kita satu barang permainan dan Dia meminjamkan kita untuk bermain dengannya selama 18 tahun. Barang permainan tersebut ialah milik Dia, bukan milik kita, dan Dia cuma mengambil semula apa yang menjadi milik-Nya. Kita sepatutnya bersyukur kerana selama 18 tahun, Dia telah mengizinkan kita untuk menikmati hidup ini." Subhanallah.

⦿ Kisah di atas merupakan sebuah musibah yang sebenar dan bagaimana untuk mengekalkan keimanan. Apabila musibah menimpa, kita perlu berasakan bahawa Allah Maha Memiliki segala sesuatu itu. Allah memberi kita pinjaman kesihatan, anak-anak, isteri, kegembiraan, pekerjaan. Allah tidak berhutang dengan kita apa-apa, bahkan kita yang berhutang segala-galanya dengan Allah. Kita langsung tidak memiliki apa-apa — jari jemari, muka, hatta sebatang gigi. Kesemua ini ialah pemberian Allah dan bila-bila masa saja Dia boleh mengambilnya semula jika Dia mahu.

⦿ Apabila Allah mengambil sesuatu daripada kita, hal tersebut adalah sebagai peringatan bahawa barang itu bukan milik kita, bukan kita yang punya. Mereka yang tidak berapa yakin dan percaya bahawa Allah memiliki tiap-tiap sesuatu, mereka akan kehilangan iman mereka dan mula berkata, "itu milik aku, kenapa Dia perlu mengambilnya?"

⦿ Apabila keimanan ini menembusi hati kita, maka kita akan dapat memahami ayat ini bahawa Allah memiliki segala-galanya sama ada di langit mahupun di bumi. Mudah untuk berkata Allah memiliki tiap-tiap sesuatu yang berada di langit dan di bumi, bukan? Bagaimana dengan praktikalnya? Secara tuntas, kita LANGSUNG tidak memiliki apa-apa. Diri kita sendiri pun bukan milik kita.

⦿ Kita tahu satu ungkapan yang kita selalu sebut apabila ada antara kita yang meninggal dunia, iaitu: "إنا لله وإنا إليه راجعون" (kita milik Allah dan kepada Dia kita akan kembali). Jika keseluruhan diri kita pun menjadi milik Allah, bagaimana mungkin sebahagian daripada diri kita atau pemberian yang kita ada boleh menjadi milik kita? Inilah kesedaran iman yang sebenar.

⦿ Surah al-Taghabun ini merupakan surah berkenaan buah-buah keimanan. Apakah perkara yang dijiwai oleh seseorang apabila mereka benar-benar mempunyai keimanan yang hakiki? Inilah surah yang bercerita tentangnya. Kesimpulan daripada ayat ini, Allah Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu yang berlaku. Dia mengetahui setiap apa yang kita lalui. Dia yang mencipta dan menguji sesuatu situasi itu kepada kita, mana mungkin Dia tidak tahu?

⦿ Semoga Allah sentiasa memimpin hati-hati kita dan memberi kita kekuatan dalam menghadapi segala kesulitan. Semoga Allah memberi kita kemampuan untuk mengekalkan serta menguatkan keimanan kita pada saat-saat ujian atau tribunal yang sangat genting. Mudah-mudahan kita beroleh nikmat yang tidak semua orang mampu untuk memperolehnya — nikmat petunjuk dan hidayah ke dalam hati kita. Allahumma amin.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Sabtu, 2 Julai 2016

#182 - BAGAIMANA HUBUNGAN KITA DENGAN AL-QURAN?


#TadabburQuran
#Day27
#Juz27

۞ أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ ٱللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ ٱلْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا۟ كَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَٰبَ مِن قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ ٱلْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ ۖ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَٰسِقُونَ

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak antaranya orang-orang yang fasik - derhaka.

ٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ يُحْىِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا ۚ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلْءَايَٰتِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Ketahuilah kamu, bahawa Allah menghidupkan Bumi sesudah matinya; sesungguhnya Kami telah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan dan bukti, supaya kamu memahaminya.

Al-Hadid (57: 16-17)

---

🕋 Surah-surah Madaniyyah yang berada pada akhir juzuk ke-27 dan bersambung pada juzuk ke-28 seharusnya mampu membawa kaum Muslimin yang lemah imannya untuk mereka kembali menghidupkan atau mencergaskan semula keimanan mereka.

🕋 Allah mempunyai cara tersendiri apabila berbicara kepada kita. Apabila kita benar-benar membaca ayat-ayat Allah ini dengan penuh kesedaran bahawa Allah sebenarnya sedang berkata-kata dengan kita, kita akan dapat menyedari bahawa ayat-ayat di atas hakikatnya bisa menjadi ayat pengubah kehidupan.

🕋 Hanya dengan mendengar bacaan al-Quran sepatutnya mampu membuatkan hati kita berasa tenggelam dalam kekaguman dan keasyikan kerana mengingati Allah. Hati kita sepatutnya terisi dengan rasa kagum disebabkan kebenaran ayat al-Quran yang diturunkan ini. Kita telah pun mendengar bacaan imam dalam solat sunat Tarawih selama 27 malam. Allah bertanya kepada kita, belum sampaikah lagi masanya untuk kita merasai sesuatu? Belum sampaikah lagi masa untuk kita berasa khusyuk dan gerun bahawa Allah sedang berbicara dengan kita melalui bacaan kalam suci-Nya?

🕋 Allah memberikan amaran kepada kita bahawa jangan menjadi seperti orang-orang terdahulu yang diberi Kitab. Setelah berlalu suatu fasa (kerosakan) yang panjang, hati mereka menjadi keras. Apabila dibacakan isi Kitab kepada mereka, langsung tidak meninggalkan sebarang kesan dan perbezaan. Emosi mereka langsung tidak bertaut dengan Kitab mereka.

🕋 Kita belajar daripada ayat ini bahawa hubungan kita dengan al-Quran bukan sahaja hubungan intelektual, malah perlu ada juga hubungan emosional. Kita perlu ada hubungan yang mampu mengalirkan air mata kita. Kita perlu sering berfikir bahawa Allah sedang berkata-kata dengan kita apabila kita mendengar bacaan al-Quran. Keinginan ini yang kita mahukan bersama al-Quran.

🕋 Oleh kerana itulah, bulan Ramadan ini sepatutnya menjadi peluang yang sangat baik untuk kita menjadikannya sebagai bulan al-Quran. Peluang untuk menjadikan diri kita sebagai seorang insan yang mempunyai hubungan yang sangat utuh dengan Allah dan tali yang menjadi penghubung antara Allah dan kita ialah Kitab al-Quran. Setiap kali kita mempunyai pengalaman dengan Kitab ini, kita boleh merasakan keakraban kita dengan Allah yang mampu mengalirkan air mata kita. Hati kita perlu dilimpahi dengan perasaan takut, gerun, dan kagum akan kebesaran Allah. Hal ini merupakan sebahagian daripada makna bahasa "خُشُوع" (otot berasa kebas, ngilu, lenguh). Kita merasai perasaan seperti ini.

🕋 Banyak manusia yang mereka mempunyai hubungan dengan al-Quran, tetapi mereka tidak berasa emosional sama sekali. Hubungan mereka dengan al-Quran hanya sekadar amalan ritual semata-mata dan hal ini merupakan suatu tragedi bagi jiwa. Hati apabila telah menjadi keras, hati itu seolah-olah telah mati, bukan?

🕋 Subhanallah, ayat seterusnya... Mari kita lihat. "Ketahuilah kamu, bahawa Allah menghidupkan Bumi sesudah matinya..." Apa kaitan antara ayat ini dengan ayat sebelumnya? Allah SWT berfirman bahawa pada ayat sebelumnya, hati telah menjadi keras dan ibarat telah mati. Kemudian Allah berfirman pada ayat ini, Allah mengetahui bagaimana hendak menghidupkan kembali Bumi. Jadi, Dia juga mampu menghidupkan kembali hati kita. "Sesungguhnya Kami telah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan dan bukti, supaya kamu memahaminya." Fikirlah sejenak. Fikirlah tentang firman Allah apabila Dia berkata bahawa Dia mampu menghidupkan semula atau mengembalikan kehidupan kepada tumbuh-tumbuhan dan Bumi.

🕋 Seperti yang kita sedia maklum, ada sesetengah musim ketika Bumi sedang menghijau. Kemudian, bumi itu 'mati' untuk beberapa ketika sebelum musim bunga (ربيع) tiba kembali. Segala-galanya hidup, cantik, dan berwarna-warni. Bulan Ramadan juga sepatutnya menjadi 'musim bunga' untuk hati kita. Ramadan ialah bulan ketika hati kita kembali hidup disebabkan kita berhubung dengan al-Quran. Hal itu yang sepatutnya perlu berlaku. Jangan biarkan "musim bunga" ini menjadi "musim luruh". Allah telah menetapkan 30 hari ini supaya kita boleh menghindari segala macam keinginan dan fokus kepada keinginan spiritual. Dari sini kita mampu untuk membawa hubungan ini dengan terus membaca al-Quran sambil merenung dan berfikir secara serius.

🕋 Jika kita mampu untuk setiap hari mengambil iktibar dan peringatan, mengambil kefahaman tentang isi Kitab ini, dan merapatkan diri secara terus dengan Allah, maka kita mampu untuk tidak menjadi seperti mereka yang apabila berlalu suatu masa yang cukup panjang, mereka menjadi sangat tidak peka akan Kitab mereka.

🕋 Ini rayuan untuk diri kita supaya tidak bermalas-malasan dengan al-Quran serta tidak membiarkannya menjadi suatu hubungan yang pasif. Biarkan al-Quran menjadi hubungan yang sangat aktif. Kita berasa hidup dalam setiap solat kerananya. Di luar solat juga kita cuba untuk memahami setiap bahasa dan maknanya sebaik mungkin. Insya-Allah, Allah pasti akan membuka pintu-pintu kefahaman, hafazan, dan kesedaran untuk kita. Kita hanya perlukan niat yang benar. Bukankah Allah telah berfirman, "belum sampaikah masanya lagi?" Seolah-olah Allah sedang menunggu kita. Jadi, inilah masanya untuk kita membalas: "بَلَى" (ya, inilah masanya!). Inilah masanya untuk kita kembali kepada-Nya. Inilah masa untuk hati kita kembali lembut.

🕋 Semoga Allah mengurniakan kita hati yang lembut supaya mudah berasa gementar, gerun, dan kagum apabila mengingati Allah dan Kitab-Nya. Semoga Allah menjadikan al-Quran sebagai hujah untuk kita (حجة لك) dan bukan sebagai hujah ke atas kita (حجة عليك) pada Hari Kebangkitan nanti. Amin.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Jumaat, 1 Julai 2016

#181 - MENJULANG MARTABAT RASUL SAW


#TadabburQuran
#Day26
#Juz26

إِنَّآ أَرْسَلْنَٰكَ شَٰهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيرًا

Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya), dan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar).

لِّتُؤْمِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُعَزِّرُوهُ وَتُوَقِّرُوهُ وَتُسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

(Kami mengutusmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan supaya kalian kuatkan agama-Nya serta memuliakan-Nya, dan supaya kalian beribadat kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.

Al-Fath (48: 8-9)

---

🕌 Sesuatu yang menarik yang boleh kita ambil tahu, surah Muhammad merupakan surah ke-47 mengikut turutan surah dalam al-Quran, surah al-Fath pula merupakan surah ke-48, manakala surah al-Hujuraat ialah surah ke-49. Ketiga-tiga surah yang berturutan ini adalah suatu siri pembelajaran yang cukup komprehensif mengenai apa yang dimaksudkan dengan keimanan kepada Nabi Muhammad SAW serta mengenai sikap hormat dan cinta kepadanya. Suatu kursus yang berkaitan antara hubungan kita dengan Nabi SAW kesemuanya berada dalam satu tempat.

🕌 Ayat-ayat di atas merupakan ayat dari surah ke-48 (al-Fath) yang berbicara tentang apa yang perlu kita perbuat terhadap hubungan kita dengan Rasulullah SAW. Untuk lebih memahami ayat-ayat ini, kita perlu benar-benar memahami konsep "إلتِفات" (peralihan; perubahan; transisi). Bayangkan dalam suatu kelas yang terbahagi kepada dua bahagian, satu bahagian lelaki dan di sebelahnya ialah bahagian perempuan. Jadi, kita sebagai guru di hadapan boleh berkata, "kamu buat ini, kamu buat itu" sambil menunjuk kepada dua entiti (lelaki dan perempuan) dalam masa yang sama. Contoh lain, kita sebagai seorang guru dan kesemua anak murid kita ada di dalam kelas. Kita pun mula memberi arahan, "kamu semua boleh mula buat kerja dan kamu (sambil menunjuk kepada ketua kelas) tolong jaga dan kawal mereka." Jadi, kita telah bercakap kepada dua entiti dalam satu-satu masa; seorang ketua kelas dan murid-murid yang lain.

🕌 Justeru, dalam dua ayat al-Quran di atas, ayat yang pertama Allah berkata kepada Rasulullah SAW dengan "kamu" dan ayat yang kedua pula, Allah berkata kepada kita dengan "kalian". Seolah-olah Allah melihat dari atas dan Dia memberitahu Nabi "kamu lakukan ini dan kalian lakukan ini" tetapi masih dalam satu perbualan. Allah sebagai Pembicara dan Dia berbicara kepada kedua-dua belah pihak; Nabi SAW dan kita dalam satu aliran.

🕌 Allah berfirman: "إنا أرسلناك شاهدًا ومبشرًا ونذيرًا" (Sesungguhnya Kami telah mengutusmu sebagai Rasul yang menjadi saksi dan sebagai pembawa berita gembira serta pemberi amaran). Allah telah mengutus Nabi sebagai saksi. Bahagian inilah yang paling menakutkan kerana apabila baginda SAW sebagai seorang saksi, bermakna baginda boleh memberikan keterangan kepada sesiapa saja yang berada di situ. Para sahabat berasa sangat gerun akannya. Tetapi, Allah memberi mereka harapan semula dengan mengatakan Nabi juga sebagai "مبشر" (pembawa berita gembira) dan "نذير" (pemberi amaran). Kesimpulannya, Rasulullah SAW diberikan tiga gelaran: sebagai seorang saksi, pembawa berita gembira, dan pemberi amaran.

🕌 Kemudian, pada ayat seterusnya Allah berfirman kepada para Muslim pula, termasuk kita pada hari ini, "لتؤمنوا بالله ورسوله" (supaya kalian beriman kepada Allah dan Rasul-Nya). Seolah-olah Allah sedang memberitahu kita untuk menghormati baginda SAW. Pada mulanya Allah berkata kepada baginda dan kemudian Dia menyambung dengan maksud lebih kurang begini: "Kalian nampak apa yang telah Aku lakukan kepadanya? Aku telah mengutusnya sebagai Rasul kepada kalian supaya kalian boleh beriman kepada Allah dan Rasul-Nya."

🕌 Sambungan: "وتعزّروه..." (dan supaya kalian kuatkan agama-Nya...). Betapa indahnya perkataan itu! Pernahkah kita melihat seorang pelajar berlari mendapatkan gurunya lalu menawarkan diri untuk membantu? "Izinkan saya bawa beg cikgu." Kemudian, dia pun menolong membawanya. Atau, mungkin kita pernah melihat orang tua yang datang ke masjid dan ingin menanggalkan kasutnya, kemudian ada orang lain menghulurkan bantuan, "biar saya tolong letakkan kasut pak cik di atas rak." Atau, mungkin ayah kita ingin mengangkut bagasi untuk diletakkan di dalam bonet kereta, lalu kita pun datang menawarkan bantuan, "tak apa ayah, biar saya angkut beg ini untuk ayah." Pernah, bukan?

🕌 Beberapa situasi mengharukan di atas menunjukkan sifat penghormatan yang tinggi dan kita membantu seseorang bukan disebabkan mereka meminta pertolongan kita, tetapi disebabkan kita tidak boleh bertoleransi dengan mereka yang melakukan sesuatu sedangkan kita berada di sana, tetapi tidak berbuat apa-apa. Sifat hormat inilah yang disebut sebagai "تعزير". Allah berkata bahawa kita patut mempunyai perasaan tersebut terhadap Rasul-Nya SAW. Perasaan hormat yang cukup tinggi itu mendorong kita untuk membantunya.

🕌 Namun begitu, bagaimana kita boleh membantu Nabi SAW? Baginda sudah tiada. Baik, Allah telah mengajar kita sebuah doa yang diamalkan oleh Nabi SAW dan baginda mengajar kita untuk berdoa dengannya: "اللهمَّ انْصُرْ مَنْ نَصَرَ دِيْنَ محمّدٍ صلّى الله عليه وسلّم" (Ya, Allah! Bantulah sesiapa yang membantu agama Muhammad SAW). Dalam surah al-Saff, Allah telah mendidik kita melalui satu firman-Nya: "من أنصاري إلى الله..." (...siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku untuk menegakkan agama Allah?) Ini ialah kata-kata `Isa AS. Lalu, golongan Hawariyyun (pengikut setia Nabi `Isa yang beriman) menjawab, "نحن أنصار الله" (kamilah penolong-penolong Allah). Jadi, jika kita membantu agama Islam, secara tidak langsung kita sedang memartabatkan baginda SAW.

🕌 Setiap kali kita melakukan sesuatu untuk agama Allah, kita perlu ingat bahawa niat kita bukan sekadar bagi meraih reda Allah, tetapi niat kita juga adalah bagi melambangkan rasa hormat dan cinta yang cukup tinggi kepada Rasulullah SAW dengan bersegera melakukan apa-apa saja yang sepatutnya dilakukan untuk agama ini.

🕌 Sambungan lagi: "وتوقّروه..." (dan supaya kamu memuliakannya...). Kalimah "وقر" bermaksud "suatu beban". "توقروه" bermaksud kita memahami bahawa baginda ialah personaliti yang cukup agung. Apabila disebut baginda "sallallahu `alayhi wasallam", di sana terkandung kehebatan dan keseriusan. Ucapan ini bukan sesuatu yang ringan atau biasa-biasa kerana baginda bukan orang biasa-biasa. Apabila nama baginda SAW disebut, secara automatik muka, perasaan, dan sikap kita berubah (dengan bersikap serius). Kita sepatutnya menjadi seperti itu.

🕌 Akhir sekali: "وتسبّحوه بكرةً وأصيلًا" (dan supaya kamu mengakui kesempurnaan-Nya pada waktu pagi dan petang). Subhanallah! Allah berfirman bahawa Allah mengutus baginda SAW supaya kita beriman kepada Allah dan Rasul-Nya (لتؤمنوا بالله ورسوله). Allah berbicara tentang diri-Nya dahulu. Kemudian, ayat tersebut bertukar dan mula bercakap soal Rasul pula (وتعزروه وتوقروه). Tetapi kemudian, pada akhirnya, ayat tersebut kembali dan berakhir dengan Allah semula (وتسبحوه بكرة وأصيلا). Sekarang, apa maksud "و" dalam "وتسبحوه بكرة وأصيلا"? Huruf waw ini boleh jadi "waw bayyinah" — waw penjelasan. Iaitu dengan menunjukkan penghormatan, kemuliaan, dan keseriusan dalam hubungan kita dengan Nabi SAW, barulah kita boleh melakukan "tasbeeh" (pengakuan kesempurnaan kepada Allah). Jika kita tidak mempunyai perasaan hormat yang sewajarnya kepada Nabi SAW, kita tidak akan dapat mempunyai perasaan hormat kepada Allah SWT. Kita tidak akan dapat mengakui kesempurnaan Allah SWT.

🕌 Tidak percaya? Cuba kita lihat dan amati mereka yang memegang kepercayaan yang lain daripada kita. Hubungan mereka dengan Allah sangat aneh. Mereka boleh bercakap tentang Allah yang kita sebagai seorang Muslim sendiri tidak boleh bayangkan. Kita terganggu dengan kata-katanya. Bagaimana mereka boleh bercakap tentang Tuhan atau Allah seperti itu?! Kemudian, kita menyedari hubungan mereka dengan para Nabi mereka dan berfikir, "oh, di sini puncanya! Kau tak akan boleh mempunyai tasbih kepada Allah jika kau tak mempunyai ta`zir dan tawqir kepada Nabi dan Rasul kau. Kau ketiadaan kemuliaan dan keseriusan terhadap para Nabi dan Rasul, dan disebabkan itu kau tak mampu mempunyai hubungan yang elok dengan Allah."

🕌 Moga-moga Allah menjadikan kita orang yang menjulang maruah dan martabat Rasul kita SAW serta mempunyai rasa hormat yang paling tinggi agar bisa membakar keinginan kita untuk terus membantu prinsip perjuangan baginda SAW sebagai tanda kesetiaan kita kepadanya. Amin.

Barakallahu li walakum.

#RamadanFiesta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA