Selasa, 5 Julai 2016

#185 - DEMI MASA


#TadabburQuran
#Day30
#Juz30

وَٱلۡعَصۡرِ

Demi masa!

إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian;

إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Al-`Asr (103: 1-3)

---

⏰ Subhanallah, sedar tidak sedar, pejam celik pejam celik, kita telah pun berada pada penghujung hari dalam bulan Ramadan. Begitu pantas sekali masa berlalu. Maka, Insya-Allah, tadabbur al-Quran pada hari ini pun akan berbicara soal masa dan sangat sesuai sebagai konklusi bagi siri 30 hari tadabbur al-Quran kita.

⏰ Kebanyakan antara kita telah pun sedia maklum bahawa Allah telah bersumpah dengan masa dalam surah ini ("العصر" sendiri bermaksud masa), bahawa masa itu bergerak dan menitik terlalu pantas sehingga tidak mampu untuk menangkapnya. Bagaimana 30 hari sebulan Ramadan begitu cepat sekali berakhir? Bagaimana masa boleh berlalu begitu laju? Rasanya kita baru saja memasuki bulan Ramadan, tup tup Ramadan dah pun berakhir?

⏰ "إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ"

Tiada keraguan lagi bahawasanya manusia itu sememangnya lemas atau tenggelam dalam kerugian. Itulah realiti pahit yang harus kita telan. Ya, kerugian kita yang paling besar ialah masa. Kita baru saja kerugian sebulan Ramadan atau kita hampir saja kerugian barakah Ramadan dan peluang yang ada ini untuk memperoleh keampunan. Apabila kita menyedari bagaimana rupa kerugian itu, semestinya kita sebagai orang beriman tidak membiarkan seharian berlalu dengan masih mengamalkan sikap bertangguh atau berlengah-lengah.

⏰ Buat pengetahuan semua, surah al-`Asr hakikatnya merupakan kesimpulan daripada keseluruhan isi al-Quran. Apabila kita menyedari bahawa surah ini merupakan kesimpulan bagi al-Quran, maka kita perlu memperoleh sesuatu yang berguna daripada surah al-`Asr — penghormatan terhadap masa.

⏰ Apa contoh perbuatan yang menggambarkan penghormatan terhadap masa? Perbetulkan pengurusan masa seharian kita; ibaratnya masuk tidur dan bangun awal, menunaikan solat fardu tepat pada waktu, solat dengan niat yang benar, jangan membazir masa dengan perkara-perkara yang kurang atau tidak berfaedah, dan banyak lagi.

⏰ Contoh lain adalah jangan duduk di hadapan komputer atau bermain gajet sehingga larut malam, walaupun kita mahu menonton video Islamik. Pastikan kita mampu sekurang-kurangnya solat Isyak dan Subuh secara berjemaah, sama ada di masjid atau di rumah. Kita melakukan semua ini kerana kita sedar, manusia itu akan berterusan berada dalam fasa kerugian. Jadi, bagaimana mahu keluar dari zon kerugian ini?

⏰ Sama ada kita suka atau tidak, setiap daripada kita kesemuanya berarak menuju kematian. Tiada satu hari pun yang berlalu tanpa kita, isteri, dan anak-anak berjalan menghampiri kematian dan pengakhiran kehidupan yang sementara di dunia.

⏰ Kerugian itu sedang datang. Satu hari atau satu bulan baru saja diambil dari hidup kita dan kita tidak akan mendapatkannya kembali. Kita tidak akan kembali menjadi lebih muda, bahkan kita sebenarnya menjadi lebih tua dan semakin menghampiri hari penamat di atas muka Bumi ini. Itulah fakta yang harus kita terima.

⏰ Ya, faktanya ialah, kita akan sentiasa kehilangan masa kerana setiap perkara yang kita miliki di dunia ini kesemuanya berkait dengan masa. Kita menikmati duit yang melimpah-ruah, kediaman yang mewah, kesemuanya dalam kerangka masa yang tertentu, bukan? Kalau kita tidak memiliki masa, nescaya semua perkara tersebut akan tiada gunanya lagi. Bayangkan jika kita diberitahu bahawa kita akan mati dalam tempoh sejam sahaja lagi dari sekarang, adakah kesemua kenikmatan tersebut ada nilainya lagi? Sudah tentu tidak kerana apa yang kita miliki kini hanyalah satu jam sahaja!

⏰ Justeru, apabila kita benar-benar menghayati mesej al-Quran ini bahawa masa itu merupakan aset yang paling berharga dalam hidup, nescaya kita akan menggunakan serta menghormati setiap detik dan ketika yang kita miliki ini sebaik mungkin. Tiada lagi sikap sambalewa apabila tiba hari minggu seperti membuang masa menonton filem atau drama, bermain permainan video, dan pelbagai lagi bentuk pembaziran waktu. Sebaliknya kita akan berusaha melakukan pelbagai perkara yang produktif dalam kehidupan.

⏰ "إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ..."

Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, yakni hanya orang-orang Mukmin sahaja yang tidak akan mengalami kerugian kerana mereka sedar, mereka akan mengakhiri kehidupan ini dan menuju ke suatu tempat yang tiada lagi had atau batasan waktu. Atas kesedaran itu, orang-orang Mukmin melakukan pelbagai amalan kebajikan yang telah diperintahkan oleh Allah kepada mereka.

⏰ Kalimah "الصالحات" sebenarnya bermaksud "beberapa / sebilangan amal soleh" sahaja. Hal ini bermaksud bahawa Allah tidak meminta banyak pun amalan kebaikan daripada kita. Allah tidak meminta kita banyak melakukan amal soleh sepanjang tahun sepertimana kita menggandakan amal soleh ketika bulan Ramadan. Jadi, cukup dengan kita berterusan melakukan apa-apa jua amalan kebaikan dan jangan sesekali berhenti.

⏰ "...وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ..."

Orang-orang beriman itu saling menasihati, saling mengajak, dan saling menggalakkan antara satu sama lain ke arah kebenaran. Kalimah "تواصي" bermaksud "saling prihatin", menggambarkan bahawa "saya bukan lebih baik daripada kamu, dan kamu pula bukan lebih baik daripada saya; kita memerlukan antara satu sama lain".

⏰ Oleh hal yang demikian, perlunya kita untuk mencari sahabat yang beriman bagi memastikan nilai keimanan dan masa kita sentiasa hidup dan terpelihara. Mereka boleh selalu bertanya khabar akan keimanan dan kualiti masa kita apabila kita ada bersama mereka. Mereka jualah yang akan selalu mengingatkan kita akan tujuan hidup di atas muka Bumi, tentang bagaimana perlu untuk kita memiliki kehidupan yang baik tanpa melupakan matlamat hidup yang hakiki. Inilah yang dimaksudkan dengan "تواصي بالحق".

⏰ "...وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ"

Apabila ada ujian yang menerpa, cubaan yang melanda, godaan yang tiba, dan kesukaran yang menduga, kita perlu berpegang teguh pada keimanan kerana sabar bukan hanya diperlukan ketika berhadapan dengan saat-saat sulit sahaja, bahkan ketika menghadapi godaan duniawi jua. Kita perlu memiliki disiplin diri yang kuat daripada terlibat ke kancah kehinaan tersebut. Jika kita tidak mempunyai kesabaran yang jitu, nescaya kita tidak akan mampu untuk bertahan dalam setiap cabaran yang mendatang.

⏰ Ya, hari ini merupakan hari baru kita! Setelah kita berhempas-pulas selama sebulan, mengerahkan segala usaha, keringat, doa, dan air mata bagi memastikan roh Ramadan hidup dalam jiwa, kita perlu yakin bahawa Allah telah memberi kita suatu permulaan yang baru. "لا تقنطوا من رحمة الله".

⏰ Dari sini, kita benar-benar memahami nilai sebuah masa dan kita mahu memastikan bahawa kita akan melakukan yang terbaik dalam segenap aspek kehidupan. Antara tindakan yang boleh dilakukan adalah dengan menyusun jadual amalan seharian kita (مراتب الأعمال) — masa untuk hadir menunaikan solat tepat pada waktu, masa untuk mentadabbur atau mengulang hafazan al-Quran, masa untuk menuntut ilmu, dan lain-lain.

⏰ Paling penting dan utama, jaga solat kita dahulu kerana solat merupakan peringatan mutlak terhadap nilai masa. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتۡ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ كِتَـٰبً۬ا مَّوۡقُوتً۬ا

"Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." — Al-Nisa' (4: 103)

⏰ Bagi sesiapa yang masih bergelar remaja atau belia, yang masih menuntut ilmu sama ada di sekolah, kolej, atau universiti, jika anda mendapati diri anda banyak memiliki masa terluang, pastikan anda mengisi masa lapang tersebut dengan melakukan sesuatu yang produktif. Jangan sesekali membazirkan masa anda.

⏰ Hal ini yang demikian kerana, masa lapanglah antara penyebab atau punca kehancuran iman kita. Kebanyakan antara kita apabila memiliki masa lapang, kita mengisi masa tersebut dengan perkara-perkara dosa dan maksiat. Jika kita rasa kita lemah, jangan pernah sesekali berikan ruang masa lapang kepada kita. Cuba untuk selalu sibukkan diri dan mohonlah pertolongan Allah dalam menghadapi situasi tersebut.

⏰ Semoga Allah memberi kita kurniaan sahabat yang sejati dan mulia, menjauhkan kita dari orang-orang yang ingin mengajak melakukan dosa, memberi kita keputusan dan hikmah yang benar, sifat yang baik, serta kekuatan dalam melawan nafsu dan godaan dalam diri. Semoga Allah jua menjadikan kita seorang insan yang saling menasihati ke arah kebaikan dan kesabaran sehingga mampu menjadi asbab kepada orang lain untuk mengakrabkan diri kepada-Nya. Dan, semoga Allah tidak memasukkan kita ke dalam golongan yang mengalami kerugian, sebaliknya tergolong dalam kalangan mereka yang beruntung. Allahumma amin.

Barakallahu li walakum. Jazakumullahu khairan kasira.

#RamadanFiesta #EidMubarak

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA