Ahad, 31 Julai 2016

#186 - ULASAN BUKU (JULAI 2016)


Bismillah. Assalamualaikum warahmatullah.

Ehem, semua sudah menunaikan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal ini? Apa khabar iman kita pasca-Ramadan? Masih sihat dan bertenaga, atau sudah lemah dan tidak bermaya? Moga-moga kita sentiasa beroleh kesedaran bagi memastikan kualiti iman kita sentiasa berada pada tahap yang terbaik, amin.

Baik, nak mula dari mana ya? Emm, sekadar pengenalan, rasanya ini merupakan kali pertama saya menulis ulasan (review) buku sebab sebelum ini, saya hanya sekadar membaca dan mentelaah sahaja, tetapi tidak pernah pula menulis ulasan usai menghabiskan pembacaan sesuatu buku. Walau bagaimanapun, pada kali ini, semangat untuk menulis ulasan buku tiba-tiba hadir membuak-buak dalam diri berikutan terinspirasi daripada sahabat-sahabat penggila buku yang telah saya temui di alam maya, umpamanya di laman sesawang Goodreads. Selain itu, saya juga berazam untuk mencatat ulasan buku ini pada akhir setiap bulan berdasarkan jumlah buku yang telah habis dibaca pada bulan tersebut. Contohnya, jika saya hanya mampu menamatkan sebuah buku sahaja pada satu-satu bulan itu, maka hanya sebuah buku sahajalah yang akan saya ulas. Gitu. Hal ini bagi memastikan agar saya terus istiqamah untuk membaca dengan tekun dan teliti, bukan sekadar menjadikan pembacaan sebagai hobi atau aktiviti mengisi masa senggang semata-mata.

Seperkara yang perlu kalian ketahui, saya mohon kalian supaya janganlah menganggap ulasan saya sebagai ulasan yang perlu dijadikan rujukan muktabar terhadap buku-buku yang telah saya ulas. Tambahan pula, ulasan saya tidaklah seprofesional atau seintelektual ulasan-ulasan mereka di luar sana yang jauh lebih profesional dan lebih intelektual berbanding diri saya yang hina-dina ini. Ulasan saya hanya sekadar tercetus daripada hadaman dan adunan pemikiran biasa-biasa (baca: biashe-biashe jew) seorang insan berkaca mata yang memakai gelaran "Hamas Syuja`iy". Sebab itu, blog ini diberi nama "Cetusan Hamas Syuja`iy", ewah. Nampaklah fungsi sikit di situ. Harapnya, dengan adanya pembaharuan dalam penulisan saya yang serba cetek ini, sekurang-kurangnya dapat memberikan sedikit inspirasi dan manfaat kepada kalian yang membelek-belek penulisan saya bagi meneruskan kelangsungan hidup di bawah lembayung reda-Nya. Tak banyak, sikit pun jadilah.

Ok, panjang pula membebel ya. Jadi, dengan lafaz basmalah yang agung, saya dengan ini ingin mempersembahkan tiga buah ulasan daripada tiga buah karya yang telah saya khatamkan pada bulan ini! *tepukan gemuruh*

---

1. #Henshin Mahasiswa


Penulis: Amirul Eqhwan bin Rahim
Penerbit: Inspirasee International Sdn. Bhd.
Tahun terbitan: 2016
Bilangan muka surat: 188
Rating: ★★★★

Asbab saya memilih buku ini sebagai naskhah yang pertama untuk ditelaah pada bulan ini adalah kerana saya baru saja menamatkan pengajian tahun pertama sarjana muda pada hujung bulan Jun yang lalu. Pada asalnya, saya mahu memulakan pembacaan bulan ini dengan karya yang berbeza sebaik saja saya pulang ke kediaman tercinta. Walau bagaimanapun, dengan tidak semena-mena, mata tertancap ke arah sebuah pustaka yang terletak elok di atas meja bacaan. "Eh, la! Abang aku dah beli rupanya buku ni. Nice!" getusku dalam hati. Lalu, tangan segera mencapai naskhah tersebut dan terus melabuhkan punggung di atas sebuah sofa untuk menikmati 'juadah' yang tersedia di dalam genggaman.

Buat pengetahuan semua, sebenarnya saya telah pun lama mengetahui akan kewujudan buku ini melalui laman sosial Facebook ketika saya masih berada dalam semester yang pertama. Hal ini yang demikian kerana buku ini dikarang sendiri oleh senior saya yang dihormati, iaitu saudara Amirul Eqhwan bin Rahim yang pada ketika itu masih bergelar mahasiswa tahun ketiga jurusan Sains Kimia di alma mater yang sama tempat saya menimba ilmu, Universiti Malaya (UM). Saudara Eqhwan yang saya kenali juga merupakan mantan Yang DiPertua Persatuan Belia Islam Nasional (YDP PEMBINA) UM serta memegang jawatan Pengerusi Exco Kerohanian dan Perpaduan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM sesi 2015/2016. Wah, hebat betul senior saya! Tidak hairanlah beliau sangat berkelayakan untuk menghasilkan buku ini.

Ok, sambung cerita. Di samping itu, banyak kali juga saya 'terserempak' dengan buku ini ketika meninjau-ninjau reruai-reruai buku yang dibuka di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya pada fasa minggu kuliah. Namun begitu, saya masih belum berkesempatan untuk membeli buku ini sebab saya fikir, lebih baik saya bertentang mata dan melakukan pembayaran secara terus dengan saudara Eqhwan. Alang-alang boleh dapat diskaun dan bonus autograf pengarang sekali, wakaka. Namun, apakan daya, masa tidak mengizinkan untuk saya berbuat demikian. Eleh, acah-acah sibuklah tu.

Apa-apa pun, Alhamdulillah kerana kakanda saya terlebih dahulu menunaikan hasrat murni tersebut iaitu dengan memiliki buku ini. Secara ringkasnya, buku ini merupakan sebuah panduan atau manual yang sangat berguna buat seluruh mahasiswa yang menjejakkan kaki ke alam universiti, terutamanya kepada pelajar lepasan sekolah atau prauniversiti yang bakal bergelar mahasiswa tahun pertama yang masih kurang atau tidak tahu-menahu langsung mengenai ikhtiar hidup di dunia varsiti. Istilah popular untuk golongan ini kita sebut sebagai 'freshie'. Entah dari mana datangnya istilah itu. Mungkin secara adat kepercayaannya, mahasiswa tahun pertama itu dianggap sebagai masih 'suci' daripada dinodai 'dosa' dan 'nista' varsiti, disebabkan itu mereka ialah "orang yang segar-bugar (freshie)". Agaknya begitulah.

Bukan setakat golongan freshie sahaja yang perlu mentelaah karya ini, malah para mahasiswa yang sudah sedia memakai gelaran mahasiswa juga sangat digalakkan untuk menghayati buku ini, khususnya mahasiswa universiti dalam negara. Saya yang hendak memasuki tahun kedua pengajian pun baru berkesempatan untuk membacanya. Tambahan pula, penulis menggarap isi dan menyentuh pelbagai topik dengan begitu baik sesuai dengan realiti kehidupan mahasiswa kontemporari. Bermula dari persediaan dan perancangan sebelum melangkah ke alma mater, ketempangan Minggu Haluan Siswa (MHS), hidup bergelumang dengan organisasi serta projek kolej dan universiti, bagaimana ukhuwah bersama para pensyarah, pengurusan masa dan kewangan mahasiswa, hinggalah perbincangan mengenai politik kampus. Bukan itu sahaja, malah diselitkan juga drama cinta mahasiswa, bulatan gembira (usrah), serta bonus cerpen abang naqib, wew.

Kesimpulan mudah yang boleh dinukilkan daripada buku ini adalah bagaimana mahu menjadi seorang mahasiswa Muslim berilmu yang pada masa yang sama, sentiasa beramal dan berada di bawah keredaan-Nya. Kalau hendak diceritakan semuanya di sini mana boleh, kalian perlu memilikinya segera. Apa tidaknya, besar harapan penulis agar setiap mahasiswa di luar sana dapat mengambil manfaat daripada buku ini seterusnya mengubah diri daripada mahasiswa yang biasa-biasa kepada mahasiswa yang luar biasa statusnya. Kita anak muda sebagai pemimpin masa depan negara, bukan? Jadi, mulakan membaca!

---

2. Pseudoscience Watch


Penulis: Ahli Medik dan Para Saintis Gila
Penerbit: Simptomatik Press
Tahun terbitan: 2016
Bilangan muka surat: 288
Rating: ★★★★★

Pertama kali saya berkenalan dengan buku "Pseudoscience Watch" adalah ketika saya terbaca suatu 'post' yang dihantar oleh siapa entah berkenaan buku ini di Facebook yang dikatakan bakal dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 di Malaysian Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor. Mendengar tajuk sahaja sudah menarik, ditambah pula dengan barisan penulis buku tersebut yang menggelarkan diri mereka sebagai "Ahli Medik dan Para Saintis Gila". I mean, seriously? Siapa mereka ini? Ohoi, memang nak kena dapatkan sebuah ni!

Jadi, hasrat pun tertunai usai keberangkatan ke PBAKL pada 2 Mei 2016 yang lalu. Saya berhasil memperoleh buku ini dan juga beberapa buah buku lain dengan menggunakan kepingan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) pemberian kerajaan yang tercinta. Namun, hasrat untuk membaca naskhah ini tertangguh sehingga ke cuti semester disebabkan beberapa kekangan yang ada. Sekali lagi, acah-acah sibuklah katakan.

Walau bagaimanapun, Alhamdulillah saya berjaya menghabiskan keseluruhan buku ini dalam tempoh dua minggu pertama bulan Syawal. Pergh, musim perayaan tu! Ingat senang ke nak habiskan dalam tempoh tersebut. Perlukan mujahadah dan konsistensi yang berterusan dalam 'mencuri' masa yang ada apabila tidak beraya ke mana-mana atau tidak berbuat apa-apa ketika berjalan raya <- betul atau tidak istilah ini.

Baik, buku ini sebenarnya membicarakan perihal sebilangan golongan tertentu yang mengamalkan "sains palsu" (pseudoscience). Mereka ini gemar memanipulasi dan melakukan korupsi terhadap ilmu, terutamanya yang berkaitan dengan ilmu sains, perubatan, kedoktoran, dan kejuruteraan yang disifatkan oleh penulis dan diisyaratkan oleh Rasulullah SAW sebagai golongan "Ruwaibidoh" (رويبضة), iaitu golongan yang bodoh dan dangkal, namun berbicara tentang perkara besar yang melibatkan orang ramai. Malangnya, banyak dalam kalangan anggota masyarakat yang terpengaruh dengan pembicaraan mereka. Maka, lahirlah sebuah entiti yang tegas, ganas, dan intelektual untuk bangun dan menentang golongan Ruwaibidoh ini. Entiti yang juga barisan penulis ini memakai gelaran "Pseudoscience Watch" dan mereka juga mengakui terdiri daripada pelbagai profesion seperti doktor perubatan, jurutera, saintis, dan ahli farmasi.

Sebagai tambahan, buku ini didokumentasikan hasil daripada catatan penting di halaman Facebook rasmi yang dikendalikan oleh pihak mereka sendiri (rujuk di sini). Hal ini yang demikian kerana, dikatakan halaman rasmi mereka sering diancam oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Malah, terdapat beberapa isu panas yang terpaksa dipadam atas sebab-sebab tertentu. Justeru, demi menyelamatkan penulisan yang bertujuan memerangi pendukung sains palsu serta bertanggungjawab menyedarkan kembali masyarakat yang terpengaruh dengan pemikiran mereka, maka terhasillah buku ini sebagai bahan rujukan jika pada masa akan datang, halaman Facebook mereka tidak wujud lagi.

Saya kira, buku ini hadir tepat pada masanya saat dunia hari ini berkecamuk dengan pelbagai kecelaruan dan pemikiran berbahaya yang telah ditimbulkan oleh golongan sains palsu ini, umpamanya isu antivaksin, pronatural, kelahiran alami di rumah (unassisted home birth), penunggang agama, penggunaan ganja sebagai remedi (ubat), produk-produk sains palsu, skim piramid atau multilevel marketing (MLM), rokok elektronik (vape), dan banyak lagi. Tipulah kalau cakap saya tak banyak belajar istilah baru sepanjang pengembaraan saya merenangi pembacaan naskhah ini, lebih-lebih lagi istilah berkaitan medik.

Akhirulkalam, saya berharap agar dengan adanya penerbitan buku seperti ini, sekurang-kurangnya dapat memberi saya dan para pembaca sedikit cahaya harapan dan pencerahan bagi menjawab kembali hujah yang dilontarkan oleh pihak pendukung sains palsu di luar sana. Tak perlu cakap banyak, ayuh dapatkannya dengan kadar yang segera!

---

3. Cerita Korea Kami


Penulis: Ummu Hani Abu Hassan, Norhayati Abu Bakar, Hanafi Sarif, Ahmad Fouad
Penerbit: Inteam Publishing Sdn. Bhd.
Tahun terbitan: 2016
Bilangan muka surat: 256
Rating: ★★★★

Wah, sejak bila kau minat nak baca bab-bab berkaitan Korea ni, Muhaimin? Bukankah kau ini anti-K-Pop?

Huhu, sebenarnya, faktor yang membuatkan saya berasa terpanggil untuk membaca karya-karya perihal Korea Selatan sejak belakangan ini adalah kerana saya bakal mengikuti program pertukaran pelajar selama satu semester (semester depan) di Chonnam National University (CNU), Gwangju, Korea Selatan. Alhamdulillah, bak kata pepatah Inggeris, "opportunity rarely knocks twice" (peluang jarang datang dua kali). Jadi, peluang keemasan yang hadir ini perlu digapai sebaik mungkin. Hendak tahu bagaimana saya bisa memperoleh tawaran ini? Nantikan dalam kisah akan datang. Insya-Allah, saya akan mula berlepas ke sana pada jam 8.00 pagi, 30hb Ogos ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). Kalau ada sesiapa yang hendak menemani dan menghantar saya pada hari dan masa tersebut, sangat dipersilakan. Saya amat menghargai kesudian dan kelapangan masa yang kalian berikan, ewah.

Awalnya, bukan buku ini sebenarnya yang hendak saya cari dan beli di kedai buku Bookworm yang berhampiran dengan rumah, sebaliknya buku yang berjudul "I'm a Backpacker: Korea" karya saudari Halian Azurin itu yang berada dalam radar saya ketika singgah di sana. Entah bagaimana, buku itu tidak ditemui pula di situ. Lain yang dicari, lain pula yang dijumpai. Takdir Tuhan telah menemukan saya dengan buku yang berjudul "Cerita Korea Kami" ini. Lantas, setelah tidak bertemu dengan buku asal yang diingini, saya mengira mungkin saya perlu pergi ke kedai buku yang lain pada lain masa untuk mencari buku tersebut. Apa lagi, tangan segera mencapai naskhah yang masih berbalut plastik itu dan terus melakukan pembayaran.

Apa yang menarik tentang pustaka ini ialah, buku ini merupakan himpunan pelbagai kisah yang menarik mengenai Korea Selatan dan segala isinya daripada empat orang penulis yang berbeza latar belakang. Penulis pertama, saudari Ummu Hani banyak bercerita mengenai pengalamannya selaku penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Hankuk University of Foreign Studies, Seoul dalam bidang Sastera Bandingan (Melayu). Kisah beliau yang berada di sana bersama suami dan anak-anak yang masih kecil sungguh mengujakan, umpamanya perihal budaya orang Korea, mengajar bahasa Melayu di sana, K-Pop vs Koslems (Korea Muslim), dan banyak lagi. Penulis kedua, saudari Norhayati Abu Bakar pula menukilkan perihal kisah lawatan ke beberapa lokasi menarik yang terdapat di Korea Selatan bersama keluarga dan anak beliau yang menuntut di sana (Sungkyunkwan University). Terdapat juga beberapa tips atau panduan yang dikongsikan kepada pembaca sekiranya memasang niat untuk berkunjung ke sana seperti bab pemilihan makanan, empat buah musim, dan lain-lain.

Fuh, tarik nafas sekejap. Ok, kita sambung. Penulis ketiga, saudara Hanafi Sarif yang merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Korea University, juga salah seorang pengendali halaman Facebook Mudahnya Bahasa Korea (MUBAKO) menceritakan beberapa cerita bermaknanya sepanjang bergelar pelajar di sana, terutamanya kisah berkaitan bola sepak, buah gingko, dan Ramadan di Korea Selatan. Manakala penulis keempat dan terakhir, saudara Ahmad Fouad yang kini mendalami bidang Antropologi dalam peringkat Sarjana di CNU (universiti yang sama dengan saya nak pergi nanti oi, haha), kisah yang dinukilkannya boleh disifatkan sebagai yang paling menggelikan hati. Apa yang kelakarnya itu? Ohoi, kalian kenalah baca buku ini!

Menariknya, walaupun terdapat variasi kisah yang dikumpulkan dalam buku ini, namun semuanya diungkapkan dengan bahasa yang jujur, santai, serta diselitkan nilai tarbiah Islam. Perbezaan agama, budaya, pemikiran, dan geografi yang wujud di Korea Selatan merupakan aset yang sangat berharga untuk dijadikan pengajaran kepada kita, khususnya masyarakat Muslim di Malaysia. Hal ini selaras dengan mafhum firman Allah SWT yang menggalakkan hamba-Nya untuk bertebaran di atas muka Bumi bagi menggali setiap inci hikmah dan manfaat yang tersembunyi.

Doakan permusafiran saya ketika berada di sana nanti, ya!

---

Sekian saja untuk ulasan buku pada bulan ini. Jangan lupa untuk bersama-sama saya sekali lagi pada hujung bulan depan, Insya-Allah! ^_^

Wassalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA