Isnin, 22 Ogos 2016

#188 - CATATAN RINGKAS MALAYSIA DALAM TEMASYA SUKAN OLIMPIK


Temasya Sukan Olimpik merupakan temasya sukan yang teragung dan paling berprestij di dunia selain daripada Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia. Temasya yang diadakan selama empat tahun sekali ini bermula pada tahun 1896 di Athens, Greece. Temasya ini berjaya menarik penyertaan atlet-atlet terbaik dunia. Kebiasaannya, banyak rekod dunia yang tercipta dalam temasya tersebut.

Kontinjen Malaysia mula menyertai temasya Sukan Olimpik pada tahun 1956 di Melbourne. Negara kita yang masih bergelar Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu bertanding sebagai "Malaya" (MAL) dalam Sukan Olimpik 1956 dan 1960. Borneo Utara (kini Sabah) juga menghantar kontinjen mereka sendiri pada tahun 1956, sementara Singapura pula turut bertanding dalam temasya ini dari tahun 1948 hingga 1960. Apabila ketiga-tiga bekas tanah jajahan British ini membentuk Persekutuan Malaysia yang merdeka pada tahun 1963, kontinjen negara buat julung kalinya mengguna pakai nama "Malaysia" (MAS) pada Sukan Olimpik Tokyo 1964 sebelum Singapura memerdekakan diri daripada Malaysia pada tahun 1965, seterusnya bertanding sebagai "Singapura" (SIN) bermula Sukan Olimpik Mexico City 1968 hingga kini.

Semenjak tahun 1956, Malaysia sentiasa menghantar para atletnya ke setiap temasya Sukan Olimpik Musim Panas, kecuali pada tahun 1980 apabila negara kita telah menyertai gagasan pemulauan Sukan Olimpik Moscow 1980 bersama-sama 65 buah negara yang lain. Pada tahun tersebut, pasukan bola sepak Malaysia telah pun berjaya menempah tiket ke Sukan Olimpik 1980 buat kali kedua setelah mengalahkan Korea Selatan 2-1. Kali pertama pasukan bola sepak Malaysia layak ke Sukan Olimpik adalah pada tahun 1972. Boleh baca kisah lanjut mengenai pasukan bola sepak kebangsaan ketika itu di sini. Pemboikotan yang dikepalai oleh Amerika Syarikat ini adalah bagi menzahirkan protes terhadap pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan pada Disember 1979. Lantas, sebagai tanda "balas dendam", empat tahun berikutnya, Soviet Union (kini Russia) pula melancarkan boikot terhadap Sukan Olimpik Los Angeles 1984 bersama-sama 13 buah negara Blok Timur yang lain. Namun begitu, Malaysia tidak pernah menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk. Yalah, Malaysia mana ada musim sejuk, macam mana pula hendak bertanding, bukan?

Setelah begitu lama menyertai Sukan Olimpik, akhirnya Malaysia berjaya meraih pingat pertama pada temasya Sukan Olimpik Barcelona 1992. Itupun selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (OIC) memilih acara badminton sebagai salah satu sukan yang dipertandingkan bermula temasya Sukan Olimpik tersebut. Kisah lanjut mengenai sukan badminton Malaysia ke Sukan Olimpik boleh dibaca di sini. Pasangan beregu badminton negara yang juga pasangan adik beradik Razif Sidek dan Jalani Sidek berjaya membawa pulang sebutir pingat gangsa setelah tewas kepada pasangan beregu Korea Selatan, Kim Moon-soo dan Park Joo-bong pada peringkat separuh akhir. Empat tahun berikutnya di Atlanta, Malaysia sekali lagi berjaya membawa pulang pingat, kali ini menerusi pasangan beregu badminton Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock (pingat perak) dan pemain badminton perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek (pingat gangsa). Pasangan beregu badminton kita tewas kepada pasangan beregu dari Indonesia, Rexy Mainaky dan Ricky Subagja dalam perlawanan penentuan pingat emas. Rashid Sidek pula tewas kepada pemain China, Dong Jiong pada peringkat separuh akhir, namun berjaya mengalahkan pemain dari Indonesia, Hariyanto Arbi dalam perlawanan penentuan perak gangsa.

Selepas Sukan Olimpik Atlanta 1996, Malaysia mengalami kemarau pingat yang berpanjangan selama 12 tahun. Akhirnya, pada Sukan Olimpik Beijing 2008, Malaysia kembali bersinar dengan harapan pingat emas disandarkan ke atas pemain badminton perseorangan sensasi, Lee Chong Wei apabila berjaya mara ke perlawanan akhir badminton buat pertama kali dalam Sukan Olimpik. Namun, ternyata jagoan badminton tuan rumah, Lin Dan (nama gelaran: Super Dan) lebih mendominasi perlawanan itu, sekaligus menyaksikan Malaysia berjaya membawa pulang sebutir pingat perak. Lee Chong Wei kemudian dianugerahi gelaran "Dato'" atas pencapaiannya yang sangat cemerlang dalam arena sukan badminton.

Sukan Olimpik London 2012 pula menyajikan cerita berbeza. Kali ini, Malaysia buat pertama kalinya memperoleh pingat menerusi sukan yang berbeza selain badminton. Siapa lagi kalau bukan atlet terjun wanita kita, Pandelela Rinong Pamg menerusi acara terjun 10m platform. Beliau juga merupakan atlet wanita Malaysia yang pertama memenangi pingat dalam temasya Sukan Olimpik. Walau bagaimanapun, terlebih dahulu, Dato' Lee Chong Wei sekali lagi berjaya mara ke perlawanan akhir badminton buat kali kedua berturut-turut. Menariknya, lawannya pada peringkat akhir juga merupakan seteru yang sama seperti di Beijing dahulu. Beliau berjaya memperoleh pingat perak setelah tewas kepada Lin Dan dalam pertarungan sengit tiga set. Sebagai tambahan, "Super Dan" berjaya mencipta rekod dengan menjadi pemain badminton pertama mempertahankan emas dalam dua temasya Sukan Olimpik berturut-turut.

Hari ini, Sukan Olimpik Rio 2016 bakal menutup tirainya. Seperti yang kita sedia maklum, nyata pencapaian kontinjen Malaysia pada temasya kali ini merupakan antara yang terbaik sepanjang 15 kali penyertaan negara kita dalam Sukan Olimpik. Semestinya, wujud pelbagai kisah suka dan duka di sebalik warna-warni Sukan Olimpik Rio ini. Pingat pertama Malaysia diperoleh oleh pasangan terjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong menerusi acara terjun seirama 10m platform. Kemudian, sukan berbasikal menjadi sukan terbaru yang membutirkan pingat buat negara apabila penunggang prolifik kebangsaan, Azizulhasni Awang cemerlang membawa pulang pingat gangsa menerusi acara keirin pada peringkat akhir. Sebelum itu, kem badminton negara membawa beberapa khabar gembira dan terus mencipta pelbagai kejutan apabila pasangan beregu lelaki dan beregu campuran negara berjaya menewaskan beberapa pasangan beregu lain yang lebih tinggi kedudukannya (ranking) dan layak ke perlawanan akhir walaupun pada asalnya, mereka langsung tidak diberi harapan yang tinggi untuk membawa pulang sebarang pingat.

Terlebih dahulu, pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying terpaksa akur dengan kehebatan pasangan beregu campuran dari Indonesia, Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir apabila tunduk dalam perlawanan akhir, seterusnya berjaya menghadiahkan sebutir pingat perak. Pasangan beregu lelaki pula, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong mengulangi sejarah Sukan Olimpik Atlanta 1996 apabila berhasil memperoleh pingat perak buat negara setelah tewas kepada pasangan beregu dari China yang lebih berpengalaman, Fu Haifeng dan Zhang Nan walaupun pada satu ketika, Malaysia tampak bakal mengakhiri kemarau pingat emas yang sangat diidam-idamkan selama 60 tahun lamanya. Namun begitu, rezeki masih belum memihak kepada kontinjen negara kita.

Selepas itu, harapan emas terakhir jatuh di atas bahu Dato' Lee Chong Wei yang memiliki peluang cerah selepas berjaya menundukkan saingan utamanya, Lin Dan pada peringkat separuh akhir dalam aksi yang penuh dramatik yang juga merupakan pertemuan terakhir mereka dalam arena Sukan Olimpik. Dato' Lee Chong Wei berjaya melangkah ke peringkat akhir Sukan Olimpik buat kali ketiga berturut-turut, kali ini berhadapan pula dengan bintang muda China yang sedang meningkat naik, Chen Long. Apakan daya, beliau sudah mengerahkan segala kudrat dan usaha yang ada, namun belum berhasil untuk menghadiahkan emas Olimpik pertama buat negara. Beliau berjaya memperoleh hatrik pingat perak dalam acara badminton, seterusnya melakar kejayaan sebagai Olimpian Malaysia paling berjaya dalam sejarah.

Apa-apa pun, kesyukuran harus dipanjatkan kepada Tuhan kerana temasya Sukan Olimpik kali ini menyaksikan Malaysia berjaya mengutip empat butir pingat perak dan sebutir pingat gangsa, menjadikan lima butir pingat secara keseluruhan, seterusnya merupakan edisi yang paling ulung buat kontinjen Malaysia sepanjang penyertaan dalam temasya ini. Sukan Olimpik Rio juga menyaksikan persaraan beberapa legenda ternama dunia seperti Usain Bolt, Michael Phelps, dan Lin Dan. Segala puji bagi Tuhan kerana kita sempat diberi nafas untuk hidup sezaman dengan barisan legenda ini. Jadi, apa bab seterusnya?


Ayuh, terus bersikap optimis! Teruskan memberi sokongan dan dukungan kepada kesemua atlet kita yang telah memerah keringat dan berjuang bermatian-matian bagi mewangikan nama "Malaysia" di seantero dunia. Giatkan lagi usaha bagi menggilap serta mengasah bakat-bakat muda kita agar setanding dengan para atlet antarabangsa. Mereka ialah "emas" negara kita yang tiada galang ganti dan sanggup berkorban pelbagai perkara demi watan yang tercinta. Ada yang sanggup berjauhan dari keluarga, ada yang betah mengorbankan masa mudanya hanya semata-mata mahu menjadi yang terbaik demi tanah air Malaysia. Moga-moga Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti mampu menatijahkan sesuatu yang sangat bermakna buat kita; menyaksikan emas pertama negara serta mendengar lagu kebangsaan "Negaraku" dikumandangkan di sana sempena Wawasan 2020, Insya-Allah.

Malaysia Boleh!

Catatan oleh,
Ahmad Muhaimin bin Ahmad Safaruddin
Penyokong setia pasukan kebangsaan.

Klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA