Khamis, 1 September 2016

#189 - HARINYA TELAH TIBA


30 Ogos 2016.

Telefon pintar mengalunkan iramanya menandakan jam sudah menunjukkan angka 4.00 pagi.

Pagi itu bukan seperti kebanyakan pagi yang biasa. Tika dinihari, ramai yang masih diulit mimpi, namun tidak bagi saya. Ya, hari itu telah tiba! Sekian lamanya saya telah mempersiapkan segala kelengkapan diri bagi menghadapi hari itu dan akhirnya, hari yang dinanti berkunjung jua. Saya bakal 'terbang' ke Korea Selatan!

Saya masih mengingati tarikh 5 Mei yang lalu ketika sebuah mesej daripada Puan Vigneshree King, salah seorang pegawai International Student Centre (ISC), Universiti Malaya (UM) menyinggah ke peti masuk e-mel saya yang berbunyi seperti ini:

"Dear Students,

Hope this mail finds you well. Congratulations for being selected to go for the exchange programme at Chonnam National University, Korea. Please take note that the accommodation fees will be waived for this university. You are required to fill up the application form as attached below and send all the documents as required by 9 May 2016, Monday at 10.00am to ISC."

Alhamdulillah, saya berjaya memperoleh tawaran untuk mengikuti program pertukaran pelajar selama satu semester bawah ISC UM ke Chonnam National University (CNU), Gwangju, Korea Selatan! Akhirnya, impian sejak kecil untuk menimba ilmu dan mengutip pengalaman di luar negara tertunai jua. Sebetulnya, saya tidak pernah terfikir pun yang saya bakal menjejakkan kaki ke Bumi Sonata. Tambahan pula, sewaktu mula-mula memohon untuk mengikuti program pertukaran pelajar bawah ISC UM ini, saya memilih negara Asia Tenggara sebagai pilihan pertama, diikuti Korea Selatan dan Jepun di pilihan kedua dan ketiga. Namun, Allah SWT yang Maha Merancang telah meletakkan saya untuk melangkahkan kaki ke negara yang terkenal dengan budaya K-Pop ini. Lalu, segala persiapan dokumen, perancangan, dan penyediaan diri untuk ke sana diatur sebaik mungkin. Alhamdulillah, dipendekkan cerita, semuanya berjalan dengan lancar sehingga tiba ke saat ini.

Kami sekeluarga mula bertolak dari kediaman di Sungai Buloh seawal jam 5.15 pagi setelah siap mengurus diri dan bersarapan. Kami perlu bergegas awal kerana tiket penerbangan saya untuk ke Seoul adalah pada jam 8.00 pagi. Lebih kurang sejam kemudian, kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). Kelihatan tiga orang sahabat Kor Sukarelawan Siswa Siswi Polis (SUKSIS) UM saya pun berada di situ bagi mengikuti program pertukaran pelajar ke Korean National Police University (KNPU), Yongin, Korea Selatan; Uthayan, Azzalea, dan Najihah. Namun begitu, tidak pula kelihatan walau sebatang hidung pun 19 orang lagi sahabat saya yang juga mengikuti program pertukaran pelajar ke CNU. Sudah masuk ke dalam balai perlepasan agaknya. Awal benar mereka masuk, heh. Sejurus selepas "masuk semak" (check-in) bagasi seberat 23kg, kami sekeluarga pun menunaikan solat Subuh di surau KLIA2.

Seperkara yang membuatkan saya terharu pada pagi itu ialah kesanggupan beberapa sahabat saya dari UM menemani saya di lapangan terbang pada awal pagi hanya semata-mata mahu menghantar saya ke Korea. Yalah, saya tidak terlalu berharap pun untuk sesiapa hadir kerana saya tahu, bukan semua orang mampu bangkit dari lena yang mengasyikkan dan berkorban masa pada waktu dinihari sebegitu. Siapalah diri ini untuk menerima layanan semacam itu, huhu. Terima kasih banyak wahai sahabat-sahabatku, hanya Allah sahaja yang mampu membalas segala pengorbanan dan semangat yang telah kalian pamerkan terhadap diri ini. Buat kalian yang tidak hadir juga, terima kasih banyak atas doa, ucapan, dan nasihat yang telah kalian berikan sebelum saya berlepas ke sana. Moga-moga hal ini sentiasa menjadi pembakar azam dan pembulat tekad untuk saya terus menggali sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman sepanjang keberadaan saya di sana.

Bersama ahli keluarga yang tercinta. Lagi dua orang adik tidak dapat bersama kerana masing-masing berada di universiti dan sekolah berasrama penuh.

Ini dia muka-muka tak mandi sahabat saya yang hadir, haha. Dari kiri: Syifaa, Ali, Sulaiman, Muhaimin (saya), Ashraf, dan Fareez. Ada orang kata gaya saya sama sahaja. Entahlah.

Tepat jam 7.25 pagi, setelah bersalam dan berpelukan sesama ahli keluarga dan sahabat-handai, saya pun melangkah masuk ke balai perlepasan dan menuju ke pintu pagar P6. Selesai semua urusan berkaitan kastam dan sebagainya, saya pun menaiki pesawat AirAsia D7504 dan merebahkan punggung di atas kerusi berlabel 28J. Akhirnya, pada jam 8.00 pagi, pesawat pun mula berlepas meninggalkan KLIA2. Dengan nama Allah, penerbangan pun bermula...

Hujan renyai-renyai tatkala pesawat mahu berlepas.

Ketika berada di atas kapal terbang, baru saya terjumpa si Adib dan Sollehin, dua orang sahabat saya dari jurusan Usuluddin, Akademi Pengajian Islam UM (APIUM) yang juga sama-sama mengikuti program pertukaran pelajar ini. Sepanjang penerbangan, saya tidak boleh banyak melakukan aktiviti pembacaan kerana saya mudah berasa pening apabila membaca sambil berada di atas kenderaan. Jadi, saya banyak melakukan aktiviti melelapkan mata dan menghayati nasyid sahaja. Oh, tidak dilupakan juga nasi briyani berharga RM15.00 yang saya nikmati dari atas kapal terbang :D

Alhamdulillah, setelah lebih enam jam penerbangan, seperti yang tertera dalam pos Instagram saya di bawah, saya dan sahabat-sahabat pun selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul pada jam 3.20 petang waktu tempatan. Perasaannya ibarat mimpi apabila tanpa diduga, saya diberi kesempatan jua untuk menjejakkan sepasang kaki di tanah asing ini.


Kami diberitahu melalui emel beberapa hari sebelum hari kejadian bahawa kami akan disambut oleh beberapa orang pelajar tempatan yang digelar sebagai "buddy / buddies" dari CNU sebaik saja kami mendarat di sini. Kami juga bakal memiliki seorang buddy setiap seorang bagi membantu dan memudahkan urusan kami sepanjang pengajian dan kehidupan seharian kami di CNU. Jadi, terdapat dua orang buddies Korea (lelaki dan perempuan) yang hadir dan menyambut kami setibanya kami di Incheon.


Selepas itu, kami perlu bergerak ke kampus utama CNU pula yang terletak di Gwangju sejauh empat jam perjalanan dari Seoul. Bayangkan, enam jam penerbangan ditambah pula dengan empat jam perjalanan dengan menaiki bas, tentunya sangat memenatkan. Jadi, kami pun dibahagi kepada dua kumpulan dengan kumpulan pertama menaiki bas terlebih dahulu disusuli kumpulan kedua. Bukan kumpulan pelajar Malaysia seramai 20 orang sahaja yang berada di situ, bahkan kumpulan pelajar dari negara lain seperti Indonesia dan China turut mengikuti program pertukaran pelajar ke CNU ini. Saya pun dimasukkan ke dalam kumpulan kedua. Memandangkan buddy si hyeong Korea itu memberitahu bahawa kumpulan kedua bakal bergerak pada pukul 6.50 petang, maka saya mengambil keputusan untuk solat jamak Zuhur dan Asar terlebih dahulu di lapangan terbang.

Ya, buat pertama kalinya dalam sejarah hidup, saya bersolat di celahan orang ramai sambil beralaskan lantai marmar lapangan terbang. Saya terpaksa menggunakan tandas orang kelainan upaya (OKU) untuk mengambil wuduk melalui sinki secara privasi disebabkan tandas di Korea tidak mempunyai paip air. Macam pelik pula rasanya apabila mengambil wuduk melalui sinki sambil diperhatikan rakyat Korea yang berada di situ. Dahlah nak kena angkat kaki pula masuk ke dalam sinki untuk membasuh kaki, err...


Sebahagian suasana yang boleh disaksikan di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.

Bas yang membawa kami ke kampus utama CNU di Gwangju,

Akhirnya, lebih kurang jam 6.50 petang, bas merah yang dinanti-nanti itu pun tiba bagi membawa kumpulan kami. Saya memilih untuk duduk di bahagian yang agak belakang di dalam bas dengan pelajar-pelajar dari China duduk berhampiran. Ada beberapa orang antara mereka yang menegur saya sambil bertanya beberapa soalan seperti "nama awak siapa?", "awak asal mana?", dan lain-lain mengikut gaya percakapan bahasa Inggeris mereka. Jelas, kebanyakan rakyat Korea dan China sebenarnya masih lemah dari sudut penguasaan bahasa Inggeris menyebabkan berlaku sedikit kesukaran untuk berkomunikasi sesama mereka.

Buddy hyeong memeriksa nama sebelum bergerak menuju ke destinasi.

Ketika awal-awal perjalanan, saya banyak memerhatikan pemandangan luar. Terasa semacam masih tidak percaya kerana saya telah pun berada di negara Kimchi ini. Allahuakbar, melihat pemandangan indah saat matahari terbenam dengan persekitaran yang jarang-jarang dapat dilihat di tanah air membuatkan saya terus-menerus melafazkan kalimah memuji-Nya. Alhamdulillah, syukur pada-Mu, ya Allah. Tanpa disedari, mata pun terkatup rapat...


Perjalanan terasa begitu singkat kerana saya berasa sangat selesa menghabiskan masa di atas bas sambil leka dibuai mimpi. Lebih kurang jam 11.00 malam, kami selamat tiba di kampus utama CNU. Bas pun berhenti betul-betul di hadapan bangunan dormitori CNU. Kelihatan beberapa orang buddies menunggu dengan setia sambil memegang sehelai kertas bertulisankan nama pelajar yang bakal menjadi buddy mereka. Namun, anehnya, buddy saya tidak berada di situ. Ke mana kamu menghilang? Sebelum saya berangkat ke sini pun, beliau langsung tidak menghubungi saya melalui e-mel. Entahlah.

Nasib baik ada seorang buddy yang baik hati membantu saya bagi mengangkut bagasi dan menunjukkan lokasi bilik saya. Melihat raut wajahnya, tidak pula menampakkan bahawa beliau merupakan orang Korea. Melihat tanda nama yang tersangkut pada lehernya, "Bakhodirjon Komilov" jelas menunjukkan bahawa beliau mungkin berasal dari Russia atau Ukraine, fikir saya. Sesampai saja di bilik, saya begitu teruja melihat kecanggihan dan kekemasan susun atur dormitori itu. Bahkan, sebelum memasuki bangunan penginapan ini pun, terdapat sebuah pintu kaca lengkap dengan bebutang kunci keselamatan dan alat pengimbas cap jari. Betapa tahap keselamatan di sini sangat mantap dan mengikuti arus pemodenan.

Bakhodirjon Komilov

Gambaran bangunan penginapan CNU


Nampaknya kita sudah sampai ke penghujung malam. Jadi, setelah selesai mengurus diri dan menunaikan kewajipan kepada Ilahi, saya pun merebahkan badan lalu memejamkan mata sambil menanti hari-hari yang seterusnya...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SILA TINGGALKAN ULASAN ANDA